Di Sebalik Wajah Moden

TUN HIZAMI HASHIM | 5 Oktober 2026

KUALA Lumpur terus berkembang sebagai sebuah bandar moden. Namun, di sebalik wajah moden dan langit birunya yang sentiasa berubah, masih terdapat bangunan bersejarah, ruang awam dan institusi yang menjadi sebahagian daripada kisah pembentukan ibu negara.

Perkara ini dapat dilihat menerusi Jelajah Warisan KL, sebuah program yang membawa wakil media menelusuri beberapa lokasi bersejarah dan ikonik di Kuala Lumpur, selain memberi peluang untuk melihat sendiri usaha pemuliharaan, restorasi serta pembangunan baharu yang sedang membentuk landskap bandar ini.

Jelajah Warisan KL merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas yang dilancarkan pada April 2025 bagi meningkatkan kesedaran mengenai warisan Kuala Lumpur, termasuk usaha memulihara, memulihkan dan memberi fungsi baharu kepada tempat-tempat bersejarah di seluruh ibu negara.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak daripada sektor awam dan swasta, termasuk Khazanah Nasional Berhad, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Creador Foundation, Railway Assets Corporation, KLCC Holdings Berhad dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi edisi kali ini, wakil media berpeluang mengunjungi lokasi-lokasi tersebut secara dekat serta mendengar sendiri daripada rakan strategik Warisan KL mengenai usaha pemuliharaan, restorasi dan pembangunan semula yang sedang dilaksanakan.

Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin, yang mewakili Sekretariat Bersama Warisan KL, berkata program ini bertujuan mendekatkan pihak media dengan kisah di sebalik tapak warisan Kuala Lumpur. “Jelajah Warisan KL memberi kita peluang untuk melihat bagaimana kawasan dan bangunan di Kuala Lumpur dipulihara dan diberikan fungsi baharu. Kita mahu memastikan sejarah dan perkembangan kawasan-kawasan ini terus dapat dikongsi dengan orang ramai,” katanya.


Dato’ Mohamed Nasri bersama wakil media semasa Jelajah Warisan KL, berkongsi kisah yang lebih besar di sebalik usaha pemulihan serta visi untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih dinamik dan selesa didiami.


Dato’ Mohamed Nasri berkata tapak warisan tidak seharusnya wujud sebagai mercu tanda yang berdiri sendiri, sebaliknya perlu dihubungkan melalui ruang yang menggalakkan orang ramai meneroka bandar dengan berjalan kaki. Katanya, inilah sebabnya inisiatif seperti Jelajah Warisan KL penting, kerana ia memberi peluang kepada pihak media untuk berjalan kaki dari satu tapak ke satu tapak, merasai sendiri hubungan antara lokasi-lokasi tersebut serta memahami dengan lebih mendalam bagaimana warisan, ruang awam dan bandar secara keseluruhannya saling berkait.

“Tapak-tapak warisan perlu dihubungkan melalui ruang awam yang selamat, mudah diakses dan menyeronokkan, yang menggalakkan orang ramai menemui semula Kuala Lumpur dengan berjalan kaki. Apabila kita berjalan, kita mengalami bandar dengan cara yang berbeza – kita dapat melihat seni bina, ruang awam, kisah yang menghubungkan satu destinasi dengan destinasi yang lain serta ciri-ciri yang menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang unik.

“Itulah sebabnya perjalanan itu sendiri merupakan sebahagian penting daripada pengalaman Warisan KL. Apa yang kami harap dapat dilihat oleh orang ramai ialah Warisan KL bukan sekadar inisiatif pemuliharaan dan pemulihan bangunan. Ia adalah usaha untuk memelihara identiti kita, mewujudkan peluang, memperkukuh komuniti dan memastikan kisah yang berkait dengan tempat-tempat ini terus dikongsi dengan generasi akan datang. Pada akhirnya, ia adalah tentang menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur.”

Jelajah dimulakan di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, salah satu bangunan bersejarah yang paling dikenali di ibu negara.

Dibina pada 1910 dan direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback, stesen ini menampilkan seni bina Indo-Saracenic yang menjadi antara ciri utamanya.

Pada suatu ketika dahulu, stesen ini memainkan peranan penting sebagai penghubung antara Kuala Lumpur dengan bandar-bandar lain melalui jaringan kereta api. Lebih satu abad kemudian, bangunan ini masih menjadi sebahagian daripada landskap ibu negara.

Kini, kerja-kerja pemuliharaan dan restorasi sedang dijalankan bagi memastikan ciri seni bina dan nilai sejarah bangunan ini terus dipelihara.

Menurut Lena Ng Hwe Ling dari Bahagian Hartanah, Railway Assets Corporation, kerja-kerja restorasi kini memasuki fasa kedua, dengan binaan percubaan atau “mock-up” dilakukan bagi menguji kaedah serta bahan yang sesuai sebelum kerja pemulihan secara menyeluruh diteruskan.

“Proses mock-up ini penting kerana kita mahu memastikan kaedah dan bahan yang digunakan benar-benar sesuai dengan bangunan asal. Kita perlu mengekalkan ciri seni bina asal, sambil memastikan kerja-kerja pemuliharaan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Usaha ini merupakan kesinambungan daripada fasa pertama yang melibatkan pemulihan dan pengecatan semula fasad bangunan, pembaikan permukaan dinding luar serta pengukuhan beberapa bahagian struktur termasuk bumbung soffit dan kubah chhatri.

Pendekatan teliti ini penting bagi memastikan ciri seni bina bangunan yang telah berdiri di Kuala Lumpur selama lebih 100 tahun itu terus dikekalkan.


Penjelajahan diteruskan ke Kompleks Dayabumi, yang siap dibina pada 1984 dan mempunyai 35 tingkat.

Bangunan ini menjadi antara mercu tanda Kuala Lumpur yang dikenali melalui pengaruh seni bina Islam, termasuk corak bintang segi lapan dan penggunaan marmar putih yang ketara pada fasadnya.

Kini, kawasan ini bakal memasuki satu lagi fasa menerusi pembangunan semula City Point di bawah Dayabumi Fasa 3.

Wakil media meninjau kerja-kerja yang sedang dijalankan di Kompleks Dayabumi, selain berpeluang melihat sendiri bahagian dalam bangunan yang jarang dibuka kepada orang awam.

Menurut Datin Suria Ismail, Ketua Pembangunan Aset, KLCC Property Holdings Berhad, pembangunan semula itu akan merangkumi ruang makan dua tingkat serta podium peruncitan.

Projek ini dijangka siap pada tahun hadapan, sekali gus membawa aktiviti baharu ke kawasan berkenaan selain mengukuhkan hubungan antara kompleks bersejarah Dayabumi, komuniti setempat dan pengunjung.

Pembangunan semula ini menunjukkan bagaimana mercu tanda yang telah lama menjadi sebahagian daripada identiti seni bina Kuala Lumpur boleh terus berkembang dan menampung fungsi baharu tanpa kehilangan tempatnya dalam landskap bandar.

Destinasi seterusnya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad yang menghadap Dataran Merdeka.

Siap dibina pada 1897, bangunan ini merupakan antara mercu tanda Kuala Lumpur yang paling dikenali, dengan seni bina tersendiri dan menara jamnya. Bangunan ini juga menjadi saksi kepada pelbagai detik penting dalam sejarah negara.

Di sekeliling Dataran Merdeka turut berdiri beberapa bangunan warisan penting, antaranya Pejabat Pos Besar Lama, Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Panggung Bandaraya dan Muzium Tekstil Negara.

Menurut Hilmi Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Asset Warisan, usaha kini giat dijalankan untuk memulihara bangunan-bangunan bersejarah ini sambil memperkenalkan fungsi dan pengalaman baharu yang lebih dekat dengan masyarakat. Penekanannya adalah untuk memastikan tempat-tempat ini kekal relevan dan mudah diakses tanpa menjejaskan ciri asal serta nilai warisannya.

Pengunjung juga boleh meneroka Galeri Royal Selangor dan Galeri Bandar Raya Kuala Lumpur, antara lain, yang mengetengahkan kisah perkembangan ibu negara menerusi pameran interaktif.

Daripada asal-usul Kuala Lumpur sebagai penempatan perlombongan bijih timah di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, galeri ini membawa pengunjung menelusuri perjalanan kota sehingga berkembang menjadi sebuah ibu negara moden.

Galeri ini turut mengetengahkan peranan Yap Ah Loy dalam membangunkan semula Kuala Lumpur selepas konflik dan kebakaran pada penghujung abad ke-19, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan pembentukan kota ini.

Kesemua tarikan ini menunjukkan bahawa warisan Kuala Lumpur bukan hanya terletak pada bangunan-bangunan tertentu, tetapi turut terkandung dalam kisah, tokoh dan peristiwa yang membentuk perkembangan bandar ini.

Jelajah kemudian diteruskan ke Medan Pasar, satu lagi kawasan bersejarah di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dikenali dengan menara jamnya, dibina pada 1937.

Di salah satu hujung kawasan ini pula terletaknya sebuah rumah yang pernah dikaitkan dengan Yap Ah Loy, menambah lagi nilai sejarah kawasan berkenaan.

Kini, Medan Pasar menjadi sebahagian daripada inisiatif Warisan KL yang diterajui Creador Foundation, dengan beberapa pembangunan baharu bagi memperkukuh peranan kawasan ini sebagai hab seni dan kebudayaan.
Antaranya ialah Muara Arts yang dijadualkan dibuka pada November ini.

Menurut Foo E Leen, Pengarah LLA Sdn Bhd, ruang seni seluas kira-kira 20,000 kaki persegi itu mengambil alih enam buah rumah kedai dari sekitar tahun 1930-an. Bangunan-bangunan ini pernah digunakan untuk kegiatan perdagangan sebelum kemudiannya diduduki oleh institusi perbankan dan kewangan pada 1960-an.

Dalam usaha pemuliharaan, ciri asal rumah-rumah kedai tersebut dikekalkan, manakala ruang dalamannya disesuaikan sebagai galeri bertaraf muzium.

Pembangunan ini dijangka memberikan dimensi baharu kepada Medan Pasar, daripada sebuah kawasan perdagangan bersejarah kepada ruang yang mempertemukan warisan, seni dan kehidupan budaya Kuala Lumpur.

Ia juga menunjukkan bagaimana penggunaan semula bangunan bersejarah untuk fungsi baharu dapat memastikan tempat-tempat tersebut terus aktif dan relevan, dan bukan sekadar menjadi tinggalan masa lalu.

Jelajah Warisan KL bagi wakil media ini melabuhkan tirai di Stadium Merdeka dan Presint Merdeka 118, dua ruang yang mempertemukan detik penting dalam sejarah negara dengan pembangunan bandar generasi baharu.

Dibina pada 1956, Stadium Merdeka mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah negara. Di sinilah, pada 31 Ogos 1957, Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, melaungkan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali.

Stadium ini ditutup pada 2016 untuk kerja pemulihan sebelum dibuka semula kepada orang awam pada Ogos 2024.

Di sekitarnya, pembangunan Presint Merdeka 118 memperkenalkan pelbagai tarikan dan pengalaman baharu kepada kawasan yang sarat dengan sejarah negara.

Pembukaan 118 Mall, Muzium Tekstil Merdeka, Look at 118 dan The View at 118 dijangka menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke presint ini, sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi serta mewujudkan cara baharu untuk orang ramai menikmati kawasan berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Dato' Ir. Ts. (Dr.) Izwan Hasli Mohd Ibrahim, pembangunan ini bertujuan mengimbangi aspirasi Kuala Lumpur untuk masa depan dengan penghargaan terhadap sejarahnya. “Kita mahu terus ‘reach for the sky’, tetapi pada masa yang sama tetap ‘stay on the ground’. Aspirasi kami bukan sahaja untuk membina mercu tanda yang ikonik, tetapi juga memastikan Presint Merdeka 118 kekal dekat dengan sejarah, budaya dan komuniti,” katanya.

Di Muzium Tekstil Merdeka, pengunjung boleh meneroka koleksi busana tradisional dan aksesori masyarakat Melayu menerusi lapan galeri yang mengetengahkan aspek ketukangan, simbolisme, spiritualiti dan kesusasteraan.

Pengalaman ini menggabungkan bahan pameran fizikal dengan paparan digital.
Muzium ini turut menempatkan koleksi peribadi tokoh budaya Azah Aziz yang disumbangkan oleh anaknya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, pada Oktober 2022.

Satu lagi tarikan ialah pameran yang mengetengahkan kisah pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat berdasarkan naskhah lama Hikayat Hang Tuah.

Menurut manuskrip tersebut, Hang Jebat menggunakan kain berbenang emas untuk membalut tubuhnya bagi menahan darah daripada luka yang dialaminya ketika pertarungan. Naskhah ini dipinjamkan oleh Yayasan Profesor Diraja Ungku Aziz.

Menghubungkan Masa Lalu dan Masa Depan Kuala Lumpur

Daripada Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Kompleks Dayabumi hingga ke Dataran Merdeka, Medan Pasar dan Stadium Merdeka, Jelajah Warisan KL memperlihatkan pelbagai lapisan sejarah ibu negara.

Kesemua lokasi ini menceritakan perjalanan sebuah bandar yang bermula sebagai penempatan kecil perlombongan bijih timah sebelum berkembang menjadi sebuah metropolis moden, sambil mengekalkan hubungan fizikal dan budaya dengan masyarakat, tempat serta peristiwa yang membentuknya.

Lebih penting lagi, lawatan ini menunjukkan bahawa pemuliharaan warisan dan pembangunan bandar tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain.

Di seluruh Kuala Lumpur, bangunan dan ruang bersejarah sedang dipulihara, disesuaikan dan diberikan fungsi baharu supaya terus menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian bandar.

Inilah yang menjadi teras visi Warisan KL – melihat warisan bukan sekadar sesuatu yang perlu dipelihara, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan Kuala Lumpur yang terus berkembang dan boleh dialami, digunakan serta dihargai oleh masyarakat hari ini dan generasi akan datang.

Melalui inisiatif seperti Jelajah Warisan KL, lebih ramai dapat mengenali kisah yang tersimpan di sebalik bangunan, jalan dan ruang awam di ibu negara, sekali gus menghargai warisan yang terus membentuk wajah Kuala Lumpur hingga hari ini.

Media berpeluang merasai sendiri kemudahan menerokai tapak warisan yang diketengahkan dalam Jelajah Warisan KL dengan berjalan kaki, dengan satu lokasi terletak dalam jarak berjalan kaki dari lokasi yang seterusnya.


Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2