Central Market
Medan Pasar: Di Sini Kuala Lumpur Bermula
Tidak banyak tempat yang dapat menggambarkan kisah awal Kuala Lumpur sebaik Medan Pasar. Terletak berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, dataran bersejarah ini pernah menjadi nadi perdagangan bandar Kuala Lumpur yang muda, tempat di mana para pedagang, peniaga dan komuniti berkumpul ketika Kuala Lumpur berkembang daripada sebuah penempatan perlombongan di kawasan pedalaman, kepada sebuah pusat bandar yang pesat membangun.

Asalnya dikenali sebagai “Old Market Square” – nama rasmi dalam Bahasa Inggeris yang digunakan sejak 1893 hingga kini – Medan Pasar dinamakan sempena pasar lama yang diasaskan oleh Kapitan Yap Ah Loy. Terletak berhampiran pusat perdagangan di Sungai Klang, kawasan ini berkembang menjadi pasar awam dan pusat perdagangan pertama Kuala Lumpur.

Selama beberapa generasi, Medan Pasar menjadi tumpuan kehidupan harian, dikelilingi bank, rumah perdagangan, hotel dan rumah kedai yang mencerminkan kemakmuran bandar yang semakin berkembang. Tidak jauh dari situ terletak kediaman Yap Ah Loy, yang dikatakan sebagai rumah terbesar di Kuala Lumpur pada ketika itu, di tapak yang kini menempatkan Pacific Express Hotel. Hari ini, Medan Pasar kekal sebagai antara kawasan warisan paling tersendiri di bandar ini, dengan himpunan bangunan pra-perang yang mengagumkan serta mercu tanda ikonik Menara Jam Medan Pasar.

Sebagai sebahagian daripada Warisan KL, Medan Pasar sedang dihidupkan semula oleh Creador Foundation sebagai destinasi yang meriah, tempat warisan, budaya dan komuniti bertemu, sekali gus memastikan dataran bersejarah ini terus memainkan peranan penting dalam kehidupan bandar.
01
Sejarah dan Legasi Medan Pasar

Ditubuhkan pada penghujung abad ke-19, Medan Pasar berkembang di sekitar pasar yang diasaskan oleh Kapitan Yap Ah Loy sebelum muncul sebagai pusat perdagangan utama Kuala Lumpur. Kedudukannya yang strategik berhampiran pusat perdagangan di Sungai Klang, serta di persimpangan laluan yang menghubungkan kawasan perlombongan bijih timah di sekitarnya, menjadikannya tempat tumpuan semula jadi bagi pedagang yang tiba dengan perahu dan para peniaga yang memenuhi keperluan bandar yang berkembang pesat.

Di tengah-tengah dataran ini berdiri Menara Jam Medan Pasar yang ikonik. Di bawahnya pernah dipasang sebuah pencawang elektrik untuk membekalkan tenaga kepada rumah-rumah kedai di sekitarnya, menjadi antara tanda awal betapa pentingnya kawasan ini sebagai pusat perdagangan Kuala Lumpur.

Apabila aktiviti perdagangan berkembang rancak, jalan-jalan di sekelilingnya mula menempatkan bank, syarikat perdagangan, hotel dan perniagaan milik keluarga, sekali gus menjadikan dataran ini antara kawasan komersial paling sibuk di Kuala Lumpur pada era kolonial. Walaupun pasar asal kemudiannya dipindahkan ke lokasi lain, Medan Pasar terus mengekalkan kepentingannya sebagai mercu tanda sivik dan komersial yang berada di tengah-tengah pembangunan bandar.

Berdiri megah di tengah dataran merupakan Menara Jam Medan Pasar yang dibina pada tahun 1937 bagi memperingati pertabalan Raja George VI. Direka dalam gaya Art Deco, ia kekal sebagai salah satu mercu tanda yang terkenal di kawasan ini dan simbol warisan bandar Kuala Lumpur yang kaya.
02
Kepentingan Seni Bina

Medan Pasar menawarkan antara koleksi seni bina komersial bersejarah terbaik di Kuala Lumpur, mencerminkan evolusi bandar ini sepanjang separuh abad ke-20 yang awal.

Deretan rumah kedai pra-perang yang mengelilingi kawasan ini memaparkan gabungan pengaruh Neo-Klasik dan Art Deco yang kaya. Fasad yang elegan, kerja plaster hiasan, ukiran astetik, bidai kayu serta kaki lima tradisional yang memperlihatkan mutu pertukangan yang pernah menjadi identiti jalan-jalan perdagangan Kuala Lumpur.

Selaras dengan visi Warisan KL, Yayasan Creador sedang melaksanakan program pemuliharaan berskala besar yang melibatkan kira-kira 54 bangunan warisan di sekitar Medan Pasar. Usaha pemuliharaan ini memberi tumpuan kepada mengekalkan karakter seni bina kawasan tersebut sambil menyesuaikan sebahagian bangunan untuk kegunaan kontemporari. Sehingga kini, enam rumah kedai warisan telah dipulihkan sepenuhnya, manakala bangunan-bangunan lain masih menjalani proses konservasi yang teliti.

Jika digabungkan dengan Menara Jam yang telah dipulihkan, bangunan-bangunan ini membentuk antara landskap jalan bersejarah yang paling lengkap dan autentik di Kuala Lumpur.

03
Medan Pasar Hari Ini

Hari ini, Medan Pasar sedang diberi nafas baharu sebagai destinasi budaya, kreativiti dan komuniti.

Pelbagai tarikan budaya baharu bakal menghidupkan kawasan bersejarah ini, termasuk Galeri Seni Muara, sebuah galeri seni awam bukan berasaskan keuntungan yang mempamerkan karya seni moden dan kontemporari dari Asia Tenggara bagi memberi inspirasi, menggalakkan penglibatan serta menghubungkan para seniman dan khalayak di seluruh rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa; dan Teater Seni Muara – sebuah venue persembahan baharu yang direka untuk menganjurkan produksi tempatan dan antarabangsa.

Usaha revitalisasi ini turut memperkenalkan kafe, restoran dan pengalaman runcit baharu yang beroperasi di dalam bangunan warisan yang dipulihkan, di samping menyediakan peluang kepada artisan, penggiat kraf dan jenama tempatan untuk mempamerkan hasil karya mereka. Secara keseluruhannya, inisiatif ini bertujuan mewujudkan ekosistem budaya yang dinamik, melengkapi karakter bersejarah kawasan ini sambil mengajak orang ramai untuk kembali meneroka nadi Kuala Lumpur yang lama.

04
Membentuk Masa Depan Teras Sejarah Kuala Lumpur

Kisah Medan Pasar mencerminkan evolusi Kuala Lumpur itu sendiri. Daripada asal-usulnya sebagai dataran pasar pertama bandar ini kepada peranannya hari ini sebagai kawasan warisan yang dihidupkan semula, Medan Pasar sentiasa menjadi tempat pertemuan perdagangan, budaya dan komuniti.

Sebagai sebahagian daripada Warisan KL, Medan Pasar membuktikan bahawa pemuliharaan warisan bukan sekadar memelihara bangunan bersejarah, tetapi juga mampu menghidupkan semula kehidupan sosial dan budaya yang membentuk identiti sesebuah bandar.

Lebih daripada sekadar sebuah dataran bersejarah, Medan Pasar terus menjadi simbol tempat bermulanya Kuala Lumpur, menghubungkan warisan masa lalu bandar ini dengan masa depan yang penuh potensi.

Key Strategies

KLCCD’s Strategic Master Plan outlines seven core strategies to transform downtown KL into a thriving cultural district.

The new face of Kuala Lumpur

A city shaped by history and growth — explore Kuala Lumpur’s story in our booklet.

Jangan lepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik berdekatan

Shaping the Future of KL

Warisan KL aims to redefine Kuala Lumpur as one of Asia’s premier creative and cultural destinations – a city where history, creativity, and modernity come together to create a dynamic and inclusive urban experience.
Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2