- Pentadbiran Kolonial: Dahulu dikenali sebagai “Secretariat Building”, bangunan ini direka untuk menempatkan keseluruhan pentadbiran negeri Selangor. Dewan Majlis turut ditempatkan di bangunan ini, menjadi tempat para anggota Majlis Negeri dan Majlis Persekutuan bersidang.
- Sintesis Seni Bina: Direka oleh pasukan Jabatan Kerja Raya Selangor yang terdiri daripada Arthur Charles Alfred Norman, Regent Alfred John Bidwell dan Arthur Benison Hubback, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan sebuah tafsiran tersendiri terhadap seni bina British Raj. Bangunan ini menggabungkan elemen seni bina British dan Mughal dengan penyesuaian kepada iklim tropika. Antara ciri-ciri utamanya ialah kubah tembaga yang ikonik, gerbang berbentuk ladam kuda serta menara jam setinggi 41 meter.
- Pusat Kehakiman: Dari tahun 1984 ke 2010-an, bangunan ini berfungsi sebagai lokasi mahkamah tertinggi Malaysia, termasuk Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu lokasi penting dalam institusi kehakiman negara.
- Penamaan: Pada tahun 1974, bangunan ini secara rasmi dinamakan semula sempena Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor yang memerintah ketika pembinaannya.
Kunjungan ke Bangunan Sultan Abdul Samad tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke Dataran Merdeka, dataran bersejarah yang terbentang indah di hadapan bangunan ikonik ini. Bersama-sama, kedua-dua mercu tanda ini membentuk salah satu ensemble warisan yang paling dikenali di Malaysia, merakam perjalanan negara daripada zaman penjajahan kepada sebuah negara yang merdeka.
Dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor, kawasan lapang ini merupakan pusat pentadbiran dan kehidupan sosial Kuala Lumpur pada zaman kolonial, dikelilingi oleh bangunan-bangunan sivik yang penting. Pada 31 Ogos 1957, ribuan rakyat berhimpun di sini untuk menyaksikan detik bersejarah apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan, menandakan lahirnya sebuah negara yang merdeka.
Hari ini, Dataran Merdeka terus menjadi medan upacara rasmi negara, menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan, festival kebudayaan, acara sukan serta pelbagai perhimpunan awam. Tiang benderanya yang setinggi 95 meter terus megah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan dan kedaulatan negara.
Selain nilai sejarahnya, dataran ini turut menempatkan beberapa elemen warisan yang penting. Air Pancut Victoria, yang dihadiahkan sempena Jubli Intan Ratu Victoria pada tahun 1897, merupakan antara monumen awam tertua yang masih kekal di Kuala Lumpur. Berhampiran sini terdapat replika Penanda Batu Sifar yang bersejarah, juga dikenali sebagai Penanda Pos Sifar. Penanda asal ini berfungsi sebagai titik rujukan untuk mengukur jarak ke destinasi di kawasan sekitar, mengikut sistem batu sifar yang digunakan di bandar-bandar dan pekan-pekan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dataran Merdeka juga terletak di tengah-tengah kawasan warisan Kuala Lumpur. Di sekelilingnya berdiri beberapa mercu tanda bersejarah yang penting, termasuk Royal Selangor Club, Katedral St. Mary's, Perpustakaan Kuala Lumpur, serta Galeri Bandaraya Kuala Lumpur, yang beroperasi di bekas Bangunan Percetakan Kerajaan yang dibina pada tahun 1899. Bersama-sama Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan-bangunan ini dikelilingi kawasan hijau yang luas serta deretan seni bina era kolonial yang dipelihara dengan indah, mewujudkan salah satu kawasan warisan yang paling istimewa di ibu negara. Bersama-sama, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi lambang perjalanan Malaysia daripada sebuah pentadbiran kolonial kepada sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Hari ini, Bangunan Sultan Abdul Samad terus menjadi sebahagian yang hidup dalam landskap bandar, beralih daripada fungsi pentadbiran semata-mata kepada sebuah mercu tanda budaya dan pelancongan di bawah inisiatif Warisan KL.
Dibuka semula kepada orang ramai pada 2 Februari, 2026 selepas menjalani kerja-kerja pemuliharaan rapi selama 11 bulan di bawah Dana Warisan Khazanah Nasional Berhad, Bangunan Sultan Abdul Samad telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Malaysia, dengan kehadiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin-pemimpin negara yang lain.
Penyempurnaan Fasa 2 pada Mei 2026 memperluaskan transformasi Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad daripada sekadar kerja-kerja pemuliharaan kepada pengaktifan semula ruang warisan. Pejabat Pos Besar Lama yang telah dipulihkan, kini sebahagian daripada pengalaman Bangunan Sultan Abdul Samad, diberi nafas baharu melalui pilihan runcit dan sajian budaya yang disusun secara khusus, di samping menyokong keusahawanan tempatan. Jenama tempatan menampilkan sajian, kraf dan reka bentuk Malaysia, mencerminkan visi Warisan KL untuk menghidupkan semula bangunan bersejarah dengan fungsi baharu, sambil memelihara keaslian dan integriti seni binanya.
Bangunan ini terus menjadi latar utama bagi beberapa sambutan peringkat kebangsaan yang penting di Malaysia. Ia juga merupakan titik tumpuan dalam laluan warisan Kuala Lumpur, menarik ribuan pengunjung yang datang untuk mengagumi fasadnya yang diterangi cahaya pada waktu malam.
Adaptif Penggunaan Semula dan Ruang Budaya
Bangunan Sultan Abdul Samad kini semakin ditafsir semula sebagai sebuah ruang untuk penglibatan awam.
- Pameran: Pengunjung boleh menerokai pameran tetap “Kota Sejuta Rahmat: Kuala Lumpur, 1820-an–1974” di Balai Gagasan, serta pelbagai tarikan lain yang mengetengahkan sejarah, warisan dan aspirasi masa depan bandar raya ini.
- Akses Awam: Sebagai sebahagian daripada usaha Warisan KL untuk mewujudkan ruang yang lebih “berpusatkan rakyat”, kawasan sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad telah dipertingkatkan dengan laluan mesra pejalan kaki bagi menggalakkan interaksi sosial dan memupuk rasa bangga terhadap bandar.
Sebagai mercu tanda utama dalam inisiatif Warisan KL, Bangunan Sultan Abdul Samad memainkan peranan penting untuk menghidupkan semula “jiwa” bandar. Usaha ini bukan sahaja melibatkan pemeliharaan struktur fizikal, tetapi juga menafsir semula peranannya dalam abad ke-21 bagi memacu peluang baharu dalam sektor pelancongan dan perusahaan komuniti sambil mengekalkan statusnya sebagai lambang warisan.
Key Strategies
The new face of Kuala Lumpur
A city shaped by history and growth — explore Kuala Lumpur’s story in our booklet.
Jangan lepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik berdekatan
Shaping the Future of KL





















