Playback & Preview: Rentak Julai dan apa yang menarik di bulan Ogos!

Kumpulan WARISAN KL | 5 Ogos 2025

WVC’s Tay Cher Siang, AJ Popshuvit dan Adriel Wong membawa kami semua hanyut dalam classic-jazz rojak, dan kami amat terhibur!
HAI semua pemburu warisan dan pencinta budaya! Selamat datang ke edisi pertama Playback & Preview, sorotan bulanan terbaru kami di mana kami kongsikan semua tentang seni, hati dan warisan yang kami dah pergi – dan juga beri sedikit perkongsian tentang apa yang bakal berlaku dalam kampung konkrit, Kuala Lumpur ini.

Pernah tak rasa macam baru je kelip mata, tiba-tiba dah hujung bulan? Pastu terfikir, “Eh, ada jazz kat Petaling Street? Orang tanam ulam dalam bandar? Ravel main kat KLCC?” Haa, kami faham sangat. Jadi, di sini kami nak tolong anda untuk ikut rentak semua benda menarik yang berlaku di kota, dengan Tea Thambi secukup rasa.
Playback: Sorotan Bulan Julai
Bach bertemu jazz di Quan’s Kitchen?
Betul tu! Kami sempat saksikan kumpulan WVC beraksi di J-AZZ BACH dan persembahan mereka memang padu! Diketuai oleh Tay Cher Siang, kumpulan ini telah membawa kami menelusuri 19 lagu penuh bertenaga yang telah menggabungkan kehebatan barok dengan irama jazz. Menariknya, ada rentak tabla (Vick Ramakrishnan), alunan seruling buluh (Tan Jie), dan vokal memukau dari Tan Chee Shen. Bach pun mesti terkejut kalau dengar! Jazz Bach merupakan sebahagian daripada edisi sulung International Bachfest Malaysia yang melabuhkan tirainya pada Julai 27, selepas lima hari penuh muzik, pembelajaran dan kerjasama antarabangsa yang luar biasa. Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur yang bersejarah serta Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown, festival ini berlangsung dari Julai 23 hingga 27 dan menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta dari 14 negara, semua bersatu untuk meraikan legasi Johann Sebastian Bach di bawah tema: “Bridging Bach.”
Ravel, dengan nafas baharu di Dewan Filharmonik Petronas
Sedih kami tak dapat saksikan secara langsung, tapi Ravel at 150 di Dewan Filharmonik Petronas masih tetap buat kami terpukau dari jauh. Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO), di bawah pimpinan maestro Nasran Nawi dan Eric Lee, mempersembahkan penghormatan buat Ravel daka 90 minit yang cukup meriah. Ada juga sentuhan magis pianis muda dari Sarawak, Bridget Yee, yang menyuntik elemen jazz ke dalam karya klasik. Malaysia boleh, ya memang betul!
Sayur in the City, di sisi yang lebih hijau, pasukan kecil Warisan KL sempat turun padang dan “kotorkan tangan” dalam bengkel pertanian bandar yang cukup menyeronokkan. Diadakan betul-betul di tengah-tengah KL, tak jauh dari Menara 118 yang megah. Pelbagai aktiviti dan hasil tangkapan yang kami temui. Daripada African Night Crawlers (cacing!) hinggalah menanam bayam Okinawa (ya, itu memang wujud), kami bertemu dengan warga KL jiwanya penuh semangat, memberi impak yang besar, bermula dengan tumbuhan yang kecil. Nak sorotan tambahan? Kami juga temui seorang pakcik yang sedang mainkan lagu-lagu klasik di piano awam di stesen MRT CM, satu initiatif Arts On The Move. KL, tolong jangan berubah.
Kumpulan Warisan KL, Ann Marie Chandy dan Annabeth Lee bersama pasu Bayam Okinawa mereka.
KLAW 2025 – Bandar Lama, Gaya Baharu
Jika anda ada berjalan di sekitar Chinatown baru-baru ini dan tertanya, “Eh, ni pemasangan seni bina ke?” Pastinya anda tidak berhalusinasi. Kuala Lumpur Architecture Week (KLAW) membawakan empat pemasangan seni bina yang cukup cantik dan penuh makna. Sampai boleh buat orang berhenti, berfikir dan mungkin ambil swafoto dua tiga kali. Bukti bahawa bandar lama kita masih licik dan ada banyak helah baru yang menarik!
KL Street Jam 2025 – Muzik & Suasana Merdeka!
Baru hujung minggu lepas, bandaraya kita cukup meriah dengan Ekspresi Muzik Kuala Lumpur di Laman Jejak Pahlawan. Dari vokal padu Haiza, ke solo gitar power Maman Teachers Pet, gaya santai Nadia Hasnan dan kerancakan Dr Kronik – memang layan habis. Ditambah pula dengan persembahan Artis & Kombo Budaya DBKL, jadilah pesta jalanan terbuka di bawah bintang-bintang. Dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2013, KL Street Jam telah bergerak dari Jalan Raja Laut ke Dataran Merdeka, dan kini ke Bulatan Dato’ Onn, menjadikannya antara acara utama DBKL untuk mengangkat dan meriahkan seni tempatan. Ini bukan sekadar konsert, ia juga satu kenyataan bandar: bahawa ruang awam KL milik rakyat, dan seni wajar ada tempat dalam kehidupan harian kita di jalanan. Hidup pembuat irama dan penari balkoni. Ini baru KL!
Pratonton: Apa Ada Bulan Ogos Nanti?
Jejak Alam, Tempat & Tumbuhan
Tahukah anda nama tempat seperti Pinang dan Sentul sebenarnya diambil daripada nama tumbuhan sebenar? Sertai Forest Learning Centre dalam nature walk santai menyusuri kehijauan Taman Botani Perdana – kenali semula Malaysia, sehelai daun demi sehelai. Ogos 3 & 10 pada pukul 10 pagi & 5 petang.

Pesta Kopi Kuala Lumpur 2025
Peminat kafein dan pengumpul mug hipster, Jangan lepaskan peluang! Segalanya akan berlangsung di Semua House, Jalan Masjid India, dengan kopi tempatan, seni, muzik dan macam-macam lagi. Jangan lupa untuk bawa beg tote sendiri, bersama tekak yang dahaga. Ogos 8–10 pada pukul 10 pagi – 10 malam.

Bicara Warisan: Rumah 1916
Untuk anda yang meminati sejarah dan warisan, jangan lepaskan peluang mendengar Dato’ Zahim Albakri berkongsi kisah pemulihan rumah keluarga beliau yang berusia lebih 100 tahun di Batu Gajah. Dahulunya dikenali sebagai sekolah diraja, kini menjadi warisan hidup. Perkongsian akan diadakan pada Ogos 9 pada pukul 10.30 pagi di Pusat Warisan Badan Warisan Malaysia. RM20 untuk bukan ahli; percuma untuk ahli. Belum pernah ke Pusat Warisan Badan Warisan Malaysia? Mungkin ini masa yang sesuai untuk ikuti lawatan berpandu ke Rumah Penghulu Abu Seman, antara rumah tradisional Melayu tertua yang masih kekal dan telah dipulihara oleh Badan Warisan Malaysia, terletak di No. 2, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Lawatan berpandu tersedia pada pukul 11 pagi dan 3 petang, Selasa hingga Sabtu. Untuk pertanyaan atau tempahan, boleh emel ke [email protected] atau hubungi 03-2144 9273.
Masa untuk bercerita semakin berani minggu lalu! Chelsea Penafort singgah ke The Duke Museum bersama Little Momo, The Brave. Dan ya! Kanak-kanak (dan orang dewasa) semua tekun mendengar!
Legasi Kidah Rakyat Malaysia
Terokai sejarah kaya sastera kanak-kanak Malaysia diDuke Museum of Picture Book Art di GMBB sehingga Ogos 17 (10.30 pagi – 7.30 malam) – dari cerita rakyat Melayu tradisional hinggalah kisah berbahasa Inggeris yang dibentuk oleh sistem pendidikan era kolonial. Sertai pelancaran buku baharu, sesi bersama penulis dan aktiviti penceritaan yang sesuai untuk anda dan anak-anak.

Itu sahaja yang dapat kami kongsikan buat masa ini! Pastikan kamera anda sentiasa bersedia dan mata peka pada halaman acara dan radar kami – sebab KL penuh dengan cerita dari setiap sudut jalan.

Kami akan kembali bulan hadapan dengan lebih banyak imbas kembali dan acara menarik yang bakal KL sajikan buat anda. Jumpa di edisi seterusnya, teruskan rasa ingin tahu dan jangan lupa:Kadang-kadang cara paling seronok nak kenali semula bandar anda… ialah naik bas atau kereta api, lepas tu jalan kaki je, dan layan!

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2