Di sebuah kopitiam klasik di Medan Pasar, Shanthi Kandiah tersenyum mengenang perjalanan kerjayanya, sebuah perjalanan yang dibina daripada ketekunan, peluang dan inspirasi daripada wanita-wanita hebat sebelum dirinya.
Bermula di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Shanthi berpeluang bekerja bersama tokoh seperti Wong Sau Ngan dan Nik Ramlah Mahmood. Melihat mereka memimpin perbincangan dasar yang kompleks, berhujah dengan penuh keyakinan dan mempertahankan idea mereka tanpa goyah, menjadi antara pelajaran terbesar dalam hidupnya.
“Apabila kita lihat wanita memimpin tanpa rasa ragu, kita pun terdorong untuk percaya bahawa jantina bukan penghalang,” katanya.
Seperti ramai wanita, Shanthi pernah menjeda kerjayanya selama lebih 10 tahun demi keluarga. Namun, kepulangannya ke dunia undang-undang membuktikan tekadnya, dia mempelajari bidang baharu dan membina semula kerjayanya dari bawah. “Tidak mudah,” katanya, “tapi kita perlu pandai mencari jalan masuk semula.”
Hari ini, Shanthi bukan sahaja kembali sebagai profesional, malah bergiat aktif dalam filantropi bersama suaminya, pelabur Brahmal Vasudevan. Melalui Creador Foundation, mereka memberi tumpuan kepada pendidikan, seni dan kesihatan. Salah satu usaha paling berimpak ialah Schola, portal kerjaya yang kini membantu lebih setengah juta pelajar Malaysia memahami laluan masa depan mereka.
Yayasan ini juga memberi perhatian dalam bidang seni, khususnya di kawasan bersejarah Kuala Lumpur. Idea tersebut bermula secara kebetulan apabila Shanthi dan Brahmal menyedari deretan rumah kedai yang lama tertutup di Medan Pasar, termasuk Sin Seng Nam, yang suatu ketika dahulu menjadi tempat persinggahan kegemaran para peguam ketika lokasi mahkamah berdekatan. Lot hujung tersebut kemudiannya dihidupkan semula oleh Creador dan hari ini menempatkan KLCG Confectionery & Bakery, dengan pintu bidai kuning terang yang menjadikannya lokasi popular untuk bergambar.
Namun, pasangan ini tidak berhenti di situ sahaja. Mereka mula membayangkan sesuatu yang lebih besar, sebuah ruang budaya yang mampu menghidupkan kembali kawasan tersebut melalui seni dan persembahan yang membawa kepada kelahiran Muara Arts, sebuah pusat seni moden dan kontemporari yang sedang dibangunkan di kawasan bersejarah Medan Pasar yang bakal dibuka menjelang akhir dekad ini. Projek ini bukan sekadar bangunan tetapi simbol kehidupan baharu bagi kawasan lama yang suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada rutin harian Shanthi sebagai peguam muda.
Setelah puas merantau ke pelbagai pelusuk dunia termasuk Singapore, London, Boston, Palo Alto dan New Delhi, kepulangannya ke Kuala Lumpur pasti memberikan kepuasan tersendiri. Melalui seni, Shanthi berharap dapat membuka ruang ekspresi kepada generasi muda, terutama wanita, agar mereka memiliki rasa kepunyaan terhadap kota ini.
Sewaktu zaman belajar dahulu, dia gemar untuk melibatkan diri dalam teater dan pernah melakonkan watak Ranjit Singh daripada sitkom televisyen Mind Your Language semasa di sekolah menengah. Kataya suatu hari nanti, dia mungkin akan cuba menulis skrip filem pula!