Tokong Cina Tertua di Kuala Lumpur

ALEX DAUD BRIGGS | 4 Mac 2026

MELALUI cahaya tanglung merah yang digantung tinggi dan kepulan asap daripada colok yang terkumpul di udara yang menandakan kemeriahan Tahun Baharu Cina telah tiba pada bulan lalu di semua tokong Cina, di Kuala Lumpur.

Salah satu daripadanya ialah Tokong Sin Sze Si Ya, yang mana lokasinya tersembunyi di tengah-tengah kota.
  
Pada pandangan pertama, tokong yang serba sederhana yang terletak di Jalan Tun HS Lee ini mungkin kelihatan lebih sunyi dan tidak segah Tokong Thean Hou di Robson Heights, KL atau Kek Lok Si di Pulau Pinang. Namun di sebalik dindingnya yang sederhana tersimpan kisah luar biasa yang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah Kuala Lumpur sendiri.


Kebangkitan Daripada Abu

Sin Sze Si Ya ialah tokong Cina tertua di Kuala Lumpur, dibina selepas salah satu tempoh pergolakan besar dalam sejarah awal kota ini. Tokong ini diasaskan pada tahun 1864 oleh Yap Ah Loy, Kapitan Cina ketiga Kuala Lumpur semasa Perang Klang. Ketika itu, keadaan di sini amat kacau-bilau disebabkan perebutan kuasa di antara sultan dengan kumpulan kongsi gelap Cina yang bersaing untuk menguasai kawasan tersebut.

Tokong ini didedikasikan kepada dua dewa, Sin Sze Ya dan Si Sze Ya, roh yang dipercayai telah membimbing Yap Ah Loy menuju kemenangan dalam konflik tersebut. Sin Sze Ya khususnya dipercayai merupakan roh Seng Meng Lee, seorang Kapitan Cina terdahulu yang dibunuh secara kejam dalam satu serangan hendap. Dikatakan bahawa ketika beliau dipenggal, darah putih mengalir dari lehernya, menandakan bahawa beliau adalah figura yang suci.
     
Kerana peranan mereka penting dalam tempoh tersebut, kedua-dua dewa ini bukan sahaja dipuja di Sin Sze Si Ya, malah turut disembah di beberapa tokong lain di seluruh negara seperti di Seremban, Kajang dan Rawang. Hal ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan tokong ini dalam sejarah kota, malah menjadikan dewa-dewanya unik dalam konteks Malaysia.   

“Kebanyakan dewa tokong boleh dijejak asal-usul mereka dari China sejak ribuan tahun lalu, tetapi kehadiran dewa di Sin Sze Ya hanya berlaku kira-kira 170 tahun lalu, di tanah ini. Mereka seolah-olah menjadi dewa pelindung bagi semua tokong (Cina Malaysia),” kata Ken Lim, Ketua Eksekutif Sin Sze Si Ya.   

“Dewa-dewa ini tidak wujud di mana-mana bahagian lain di dunia, tiada di Tanah Besar China, bukan di Asia Tenggara, malah tidak juga di Singapura, Sabah atau Sarawak. Secara keseluruhannya, ia hanya wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Ini menjadikannya unik bukan sahaja kepada masyarakat Cina Malaysia, tetapi kepada rakyat Malaysia.”
Persiapan Menyambut Tahun Baharu

Menjelang Tahun Baharu Cina, pada bulan lepas, tokong ini dihiasi dengan tanglung merah dan hiasan bertemakan kuda bagi menyambut Tahun Kuda.

Apabila detik tengah malam menjelang pada malam ambang Tahun Baharu, para penganut berpakaian merah mengunjungi tokong untuk menyalakan colok pertama sebagai tanda penghormatan kepada dewa-dewa tokong, dengan harapan memperoleh keamanan dan kemakmuran. Apabila jam tepat menunjukkan pukul 12, ramai yang merangkak di bawah meja altar luar sebanyak tiga kali, satu ritual yang diamalkan lebih seabad dan dipercayai sinonim dengan ritual meninggalkan nasib malang tahun lalu.

Pada waktu ini juga para penganut membuat persembahan kepada Tai Sui, Dewa Tahunan. Dalam adat tradisional Cina ini, mereka yang lahir di bawah zodiak yang diramalkan menghadapi nasib kurang baik akan berdoa dan mempersembahkan korban kepada Tai Sui sebagai usaha menolak bala serta memohon perlindungan dan bimbingan sepanjang tahun mendatang.

Walaupun Sin Sze Si Ya telah diberikan sentuhan moden, namun pada terasnya tokong ini kekal teguh memelihara tradisi dan adat yang telah diamalkan dalam komuniti sejak penubuhannya.
Muzium Perintis KL

Berbeza dengan tokong lain, setibanya di Sin Sze Si Ya, pengunjung tidak akan disambut oleh ruang yang dipenuhi bau kemenyan atau pintu gerbang berhias indah. Sebaliknya pengunjung akan disambut oleh sebuah bangunan moden yang kemas, Muzium Perintis KL. Jika tokong ini melambangkan sejarah kerohanian Kuala Lumpur, muzium ini pula menceritakan kisah perkembangan bandar raya tersebut.

Muzium ini diasaskan oleh bekas pengerusi tokong, Datuk Hiew Wee Ting, bagi mendokumentasikan sejarah bersama ini.
    
“Beliau merupakan seorang jurutera yang sangat berpengalaman dan berhasrat merakamkan sejarah tokong serta sejarah Kuala Lumpur, memandangkan kedua-duanya saling berkait rapat. Sebahagian muzium ini menampilkan kisah Kuala Lumpur, manakala satu bahagian lagi menumpukan perhatian kepada budaya, tradisi dan artifak tokong,” kata Lim.

Dengan hanya RM10, pengunjung dibawa kembali ke zaman awal Kuala Lumpur, sebuah penempatan kecil perlombongan bijih timah yang dicemari dengan persaingan kongsi gelap, banjir dan konflik, malah sering disamakan dengan “Wild West” di tengah Lembah Klang!

Muzium ini mempamerkan artifak, pakaian, model skala serta gambar awal yang dipelihara dengan rapi, sekali gus memberi gambaran tentang bagaimana bandar ini berkembang dari semasa ke semasa sambil mengekalkan identitinya yang tersendiri.
   
Lebih daripada itu, muzium ini memperlihatkan bagaimana para peneroka awal berdepan pelbagai kesukaran dengan penuh keberanian, sekali gus meletakkan asas kepada sebuah masyarakat majmuk yang makmur dan akhirnya berkembang menjadi sebuah kota bertaraf global.
Warisan yang Terus Hidup

Hanya beberapa langkah dari Pasar Seni dan dalam jarak berjalan kaki ke Jalan Petaling, Sin Sze Si Ya berdiri di kawasan yang suatu ketika dahulu merupakan nadi awal Kuala Lumpur yang penuh gejolak. Di sinilah para pelombong bijih timah berdagang, kongsi gelap bertembung, dan kegiatan perdagangan mula berakar di sepanjang Sungai Klang.

Hari ini, di tengah-tengah kafe, butik dan rumah kedai yang dipulihara, tokong ini kekal sebagai sauh yang tenang, mengingatkan kita bahawa di sebalik latar langit moden kota ini, tersirat jaringan kisah lama yang masih hidup dan bernafas. Dalam naratif Warisan KL, tempat-tempat seperti inilah yang mengikat ibu kota kepada memori, kesinambungan dan makna.  
           
Sebaik melangkah masuk ke dewan utama Sin Sze Si Ya, pengunjung akan melihat dua plak yang dipasang pada dinding di sebelah kanan. Inilah artifak tertua tokong tersebut, dengan inskripsi dalam bahasa Mandarin yang secara umum membawa maksud “Semoga Keamanan Bersama Kita” dan “Berkat serta Perlindungan Agung”.

Selepas Perang Selangor, kedua-dua tokong dan Kuala Lumpur musnah dibakar, ditenggelami banjir dan dibina semula beberapa kali. Plak-plak ini dipasang ketika proses pembinaan semula sebagai satu permohonan kepada dewa-dewi yang dipuja agar melindungi kota ini daripada bencana selanjutnya. Sejak itu, kedua-dua tokong dan bandar raya ini terus bertahan.

Sebagai simbol hidup warisan Kuala Lumpur, Sin Sze Si Ya melambangkan ketabahan kota ini serta warganya. Berkali-kali ia dibina semula dan setiap kali tokong ini akan lebih kukuh dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran.

Hari ini, tokong ini berdiri sebagai sebuah institusi yang unik di Malaysia: diasaskan dalam keadaan yang mencerminkan sejarah tempatan, didedikasikan kepada dewa-dewi yang berkait rapat dengan tanah ini, dan diziarahi oleh rakyat Malaysia yang mencari panduan, rezeki dan kesinambungan ketika melangkah ke hadapan.    
    
“Ia sebuah tokong yang sangat penting, khususnya bagi masyarakat Cina,” kata Lim. “Sehingga hari ini, orang ramai terus datang berdoa di sini setiap bulan, terutamanya semasa Tahun Baharu Cina. Pada pagi Tahun Baharu, anda akan melihat ratusan pengunjung hadir ke tokong – sebuah pemandangan yang benar-benar mengagumkan.”

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2