Menerusi beberapa siri e-mel, sejarawan Chung Chee Min, 84, telah berkongsi pengetahuan beliau tentang VI bersama kami. Chung telah bersama VI sejak dulu lagi, dari tahun 1953 hingga 1959, beliau merupakan seorang pelajar, sebelum kembali semula ke sekolah itu sebagai guru matematik dari 1965 hingga 1967.
Chung merupakan individu yang paling sesuai untuk berkongsi tentang VI: beliau telah menulis tiga buah buku mengenainya, merakamkan sejarah serta kenangan peribadinya ( A Concise History of the Victoria Institution 1893–2002, The V.I. Anthology, Voices from the Golden Age dan The Big School ). Beliau juga menyumbang serta membantu menyelenggara
laman web Victoria Institution.
Menurut Chung, seorang arkitek dari British A.C. Norman telah mereka bangunan asal VI di High Street. Arkitek yang sama yang telah mereka bentuk St. Mary’s Cathedral yang terletak bersebelahan dengan Padang (Dataran Merdeka).
“Antara perincian utama dalam reka bentuk bangunan yang diterapkan oleh Norman ialah gaya seni bina kotej Inggeris era Victoria yang jelas, menampilkan gabungan separa batu-bata dan separa kayu dengan elemen Gothik, seperti gerbang di tingkat bawah,” kata Chung.
Bagi bangunan VI yang sedia ada di Jalan Hang Tuah pula, ia direka oleh firma seni bina terkenal berpangkalan di Singapura, Swan & Maclaren, dengan gaya Art Deco, menampilkan blok utama berbentuk huruf “E” serta menara jam yang menonjol. Menariknya, kontraktor bagi pembinaan bangunan ini ialah Low Yat, yang kemudiannya mengasaskan Low Yat Group.
Menara ikonik VI pula telah direka dengan teliti dalam gaya neo-klasik “stripped” dengan sentuhan barok. Antara elemen utama dalam rekaan ini termasuklah kubah kecil yang mana bahagian atasnya mempunyai sentuhan menarik, tiang hiasan dan laluan pengudaraan, hiasan tepi siling serta pedimen segi tiga. Pada tahun 2009, sekolah ini secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.