Terokai Warisan KL dengan Skuter Elektrik

Sofia Shamsunahar | 3 April 2025

Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar yang kaya dengan sejarah, yang mana pesona kolonial bertemu dengan inovasi moden. Untuk pengembaraan bandar saya baru-baru ini, saya mencuba sesuatu yang berbeza. Daripada berjalan kaki, saya memilih sesuatu yang lebih menarik – meneroka warisan KL dengan skuter elektrik TRYKE. Menyusuri jalan yang penuh bersejarah, melintasi mercu tanda ikonik dan menikmati pemandangan langit kota yang menakjubkan, memberikan pengalaman yang sempurna menggabungkan antara keseronokan, budaya dan perasaan nostalgia.

Sekitar kawasan KL terdapat banyak bangunan tinggalan yang bersejarah, daripada Masjid Jamek ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan bangunan “pencakar langit” lama Daya Bumi (bangunan ini sudah berusia lebih empat dekad!).

Dengan menyelami tinggalan kota ini dan mengagumi kepelbagaian seni binanya, ia membuatkan saya lebih menghargai apa yang kita miliki – gabungan memukau antara keanggunan kolonial, warisan Islam dan sentuhan kemodenan yang cukup kemas.

Kenapa saya memilih untuk menggunakan skuter elektrik? Beberapa kawasan seperti Pasar Seni atau Central Market selalunya merupakan kawasan trafik yang sesak, dengan menaiki skuter di lorong basikal, laluan pejalan kaki dan lorong kecil, ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan. Sebenarnya saya boleh saja berjalan kaki, tapi saya nak elakkan peluh dan penat berjalan jauh di bawah terik matahari... dan skuter adalah pilihan yang lebih menyeronokkan.

Namun begitu, ada sesetengah kawasan yang masih tidak mesra skuter sepenuhnya. Tetapi, jika anda kreatif dengan pemilihan laluan anda, ia memang berbaloi untuk dicuba!

TRYKE merupakan penyedia perkhidmatan skuter elektrik pertama dan satu-satunya daripada Malaysia, dengan misi untuk menggalakkan lebih ramai orang keluar dan meneroka persekitaran mereka. Anda boleh mengenal pasti skuternya yang berwarna kuning terang melalui aplikasi TRYKE.

Untuk menyewa skuter TRYKE, anda hanya perlu muat turun aplikasi TRYKE, daftar maklumat pembayaran, cari skuter melalui aplikasi dan kemudian berjalan ke arah skuter tersebut, imbas kod QR pada pemegang menggunakan telefon anda, dan terus mulakan perjalanan anda. Jika anda datang bersama kenalan, anda juga boleh tambah skuter pasangan anda melalui aplikasi tersebut!

Untuk sekitar kawasan Kuala Lumpur, TRYKE mengenakan caj serendah RM1 untuk memulakan tunggangan, dan kemudian 60 sen untuk setiap minit. Anda juga boleh membeli pakej 90 minit pada harga RM29.

Berbeza dengan lawatan berkumpulan, anda boleh mengawal perjalanan anda – jadi anda boleh luangkan masa sebanyak mana yang anda mahu di setiap lokasi bersejarah tanpa rasa tergesa-gesa.

Selamat mencuba TRYKE dan jaga keselamatan! Ini laluan yang kami cadangkan – selamat meneroka!

Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Stesen ini merupakan hentian pertama dalam laluan kami, yang terletak di Jalan Sultan Hishamuddin. Bangunan kolonial yang cantik ini dibina pada tahun 1892, dan masih berfungsi sebagai stesen keretapi hingga hari ini, dengan menyediakan laluan ke arah utara (sehingga ke Perlis, negeri yang bersempadan dengan Thailand), dan ke arah selatan selatan (sehingga ke Singapura). Saya terkejut apabila mengetahui kos pembinaannya ialah RM23,000 – satu jumlah yang besar pada awal 1900-an! Arthur Benison Hubback, seorang Penolong Arkitek British kepada Pengarah Kerja Raya, bertanggungjawab mereka bentuk stesen ini.

Kompleks Dayabumi
Hentian kedua dalam laluan TRYKE kami ialah Kompleks Dayabumi, salah satu pencakar langit terawal di Kuala Lumpur yang dirasmikan pada tahun 1984. Ia menampilkan gaya seni bina Islam Moden, seni bina Moor dan Antarabangsa yang sangat mengagumkan. Anda boleh ke Dayabumi dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur melalui laluan River of Life, iaitu laluan pejalan kaki di tepi sungai yang luas – di kedua-dua belah aliran sungai utama yang merentasi bandar, dan memperlihatkan bangunan dari seberang sungai berhampiran Pasar Seni. Kompleks Dayabumi merangkumi Menara Dayabumi setinggi 35 tingkat, Pejabat Pos Besar (Pos Malaysia), sebuah kompleks beli-belah yang telah dirobohkan pada tahun 2015 untuk pembangunan semula, serta sambungan ke stesen KTM Komuter.

Tebing Sungai Dayabumi (River of Life)
Anda boleh menggunakan laluan River of Life sebagai cara untuk ke beberapa lokasi dalam laluan kami. River of Life merupakan inisiatif kerajaan untuk menghidupkan semula sungai-sungai yang mengalir melalui Kuala Lumpur. Projek ini bertujuan untuk membersih dan meningkatkan kualiti air sungai sambil mencantikkan kawasan sekitarnya. Hasil daripada projek ini, anda kini boleh melihat laluan pejalan kaki, tumbuhan tropika yang indah, kolam ikan koi, mural dan kafe di sepanjang sungai. River of Life turut memperlihatkan Masjid Jamek dari sudut yang sangat cantik – pada waktu petang, anda boleh melihat pemandangan masjid yang diselubungi kabus biru dramatik dari salah satu jambatan di atas sungai tersebut. Menaiki TRYKE di kawasan ini juga mudah kerana terdapat laluan pejalan kaki yang luas di sekitar sungai berhampiran Pasar Seni.

Pasar Seni
Dibina pada tahun 1888, Pasar Seni dahulunya merupakan pasar basah. Kini, ia menjadi pusat kebudayaan, seni dan kraf Malaysia. Selepas menjalani transformasi pada tahun 2024, bahagian dalam pasar ini kini tampil dengan gabungan segar dan funky antara seni dan budaya Malaysia tradisional dan moden, mempamerkan kedai baharu serta yang telah lama bertapak di situ. Pengunjung boleh mencuba aktiviti seperti melukis batik dan pelbagai bengkel lain, termasuk bengkel guna semula (upcycling) bersama ekha hub. Anda juga boleh menikmati pelbagai snek nostalgia zaman kanak-kanak Malaysia di Pasar Besar, sebuah kedai runcit bertema unik yang menampilkan barangan khas Malaysia. Jangan lupa juga untuk menghantar poskad kepada orang tersayang secara terus di beberapa kedai seni tempatan seperti Loka Made. Hampir apa sahaja anda boleh berbelanja di sini – dari pakaian batik (baju, apron, getah rambut, sarung bantal dan banyak lagi!), ukiran kayu, barang kemas, gajet dan pelbagai hasil seni tempatan. Seronok untuk meluangkan masa di Pasar Seni, dan merasai pengalaman mencuba keunikan kraf serta budaya negara kita.

Bangunan Mahkamah Agung Lama
Bawa TRYKE anda ke bangunan Mahkamah Agung yang lama (juga dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Lama Kuala Lumpur) melalui lorong-lorong kecil bersebelahan Pasar Seni. Menurut portal rasmi Mahkamah Negeri Kuala Lumpur, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pernah beroperasi di sini pada tahun 1978. Bangunan warisan yang gah ini terletak di tepi Sungai Gombak. Arkitek di sebalik reka bentuk bangunan ini sekali lagi ialah AB Hubback. Terletak di Jalan Raja, bersebelahan Dataran Merdeka, bangunan ini dibina dalam gaya seni bina Indo-Saracenic yang serupa dengan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak berhampiran bangunan ini.

Masjid Jamek
Betul-betul bersebelahan dengan bangunan Mahkamah Agung Lama, terdapat Masjid Jamek yang ikonik, yang terletak di antara pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang, yang mana boleh diakses melalui Jalan Tun Perak. Salah satu masjid tertua di Kuala Lumpur, Masjid Jamek – atau nama penuhnya Masjid Jamek Sultan Abdul Samad – telah dibina pada tahun 1901. Seni bina masjid ini merupakan gabungan seni bina Moor, Islam dan Mughal; direka bentuk sekali lagi oleh AB Hubback juga. Masjid Jamek pernah menjadi masjid utama Kuala Lumpur sehinggalah Masjid Negara dibina pada tahun 1965. Letakkan TRYKE anda seketika dan singgah ke masjid ini dengan berjalan-jalan di sekitar masjid ini untuk menghayati kehalusan seni binanya. Pastikan anda mematuhi kod pakaian yang ditetapkan – wanita perlu menutup kepala, badan, kaki dan lengan; manakala lelaki perlu memakai seluar panjang. Masjid ini juga menyediakan jubah dan tudung jika diperlukan.

Dataran Merdeka
Hentian terakhir saya buat kali ini ialah Dataran Merdeka. Anda boleh ke sini dari Masjid Jamek dengan menunggang di atas laluan pejalan kaki dan melintas jalan menggunakan lintasan belang dan lampu isyarat. Dataran Merdeka ialah padang terbuka di tengah-tengah bandar yang menjadi tempat kegemaran orang ramai untuk berkumpul. Siap pada tahun 1897, di sinilah Bendera Union diturunkan dan Bendera Malaysia, yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang, dinaikkan buat pertama kali pada Ogos 31, 1957. Sering kali, perarakan Hari Kebangsaan rasmi diadakan di dataran ini. Pada pagi Ahad ketika Hari Tanpa Kenderaan, orang ramai berkumpul di sini untuk berlari, berbasikal atau bermain kasut roda. Pada waktu petang hujung minggu, anda boleh melihat keluarga berkelah dan bersantai di padang rumput ini. Terdapat tiang bendera setinggi 95m – antara yang tertinggi di dunia – terletak di hujung selatan dataran. Jangan lupa juga untuk melihat Air Pancur Victoria yang berhampiran, yang dihantar dari Britain sempena sambutan Jubli Berlian Ratu Victoria pada tahun 1897, tetapi hanya dipasang di lokasi pada tahun 1904.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2