Terokai Keindahan Art Deco di KL

ANN MARIE CHANDY | 16 Jun 2025

Hayati pemandangan Bangunan Oriental dengan Art Deco yang menakjubkan di Jalan Tun Perak, daripada LRT Masjid Jamek. – Foto: Ann Marie Chandy
Warisan bukanlah balutan songket atau sesuatu yang terkunci di sebalik pintu muzium semata-mata. Kadang-kadang, mungkin sesuatu yang betul-betul di hadapan mata kita — ia mungkin terletak pada garisan kemas sebuah tangga, atau susunan jendela yang anda lalui ratusan kali, walaupun tidak menyedarinya. Saat anda merasakan seolah-olah anda kenali Kuala Lumpur — NAH! — anda terlihat kelibat Art Deco, yang telah wujud di sini sejak hampir satu abad lamanya, masih tegap dan bergaya!

Walaupun pusat bandar KL mungkin tidak sekadar Miami Beach di Amerika atau Napier di New Zealand, apa yang kita ada ialah secebis Art Deco tropika yang kaya dengan personaliti — disesuaikan dengan iklim kita, dan diadun bersama semangat kota.
“Setiap bangunan ada warisan sejarahnya — bila saya lihat bangunan-bangunan ini, saya bayangkan bagaimana agaknya kehidupan pada zaman kegemilangannya.”

Zain Abdullah
Zain Abdullah, seorang pegawai bank dari Shah Alam, yang juga tulang belakang di sebalik blog Heritage Buildings of Malaysia (myheritagebuildings.blogspot.com), telah lama terpikat dengan kisah-kisah yang tersembunyi dalam bangunan lama. “Setiap bangunan ada warisan sejarahnya — bila saya lihat bangunan-bangunan ini, saya bayangkan bagaimana agaknya kehidupan pada zaman kegemilangannya,” katanya.

Art Deco pada bangunan, amat menarik minat Zain kerana gayanya yang tak lapuk dek zaman. “Pada zamannya, ia sangat moden, dan rekaan yang konsisten menjadikannya mudah dikenali, walaupun hanya menghayati dari jauh,” katanya.

Zain telah lama mendokumentasikan ciri-ciri unik ini — seperti fasad berbentuk ziggurat, alur menegak dan tiang bendera (ya, termasuk yang tiada bendera pun, katanya sambil ketawa) — bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di Pulau Pinang, Ipoh dan lokasi lain. Apa yang paling memikat hatinya ialah bagaimana gaya ini mula mendapat tempat sekitar tahun 1920-an dan 30-an, sejurus selepas Perang Dunia Pertama berakhir. “Ia merupakan satu tempoh penuh harapan, terutamanya di Eropah, sebelum kemusnahan Perang Dunia Kedua melanda,” dia mengenangkan masa lalu.

Bangunan kegemarannya di pusat bandar KL? “Sudah tentu Bangunan Oriental di penjuru Jalan Melaka dan Jalan Tun Perak,” jawabnya tanpa ragu. “Ia adalah bangunan tertinggi di KL pada tahun 1932 dan memenuhi semua ciri Art Deco — dari tingkap yang langsing, garis-garis rekaan yang kemas, tiang bendera yang megah berdiri, sehingga ke bumbung berbentuk piramid di puncaknya. Ikonik, memang tak dapat disangkal.”

Sama ada anda seorang pencinta warisan seperti Zain, pemburu fasad menarik untuk Instagram, atau sekadar ingin bersiar-siar di ibu kota dengan perspektif baru — bangunan-bangunan ini menawarkan pespektif segar untuk menghayati Kuala Lumpur — penuh gaya, sarat sejarah dan padat dengan cerita yang menanti untuk diterokai.
Apakah Art Deco?
Art Deco lahir pada era 1920-an — satu gerakan reka bentuk yang berani, mencerminkan semangat optimis zaman mesin dan diterjemahkan ke dalam seni bina, perabot, fesyen dan juga filem. Penampilannya mudah dikenali, seperti yang dikatakan oleh Zain: garis-garis yang kemas, bentuk bertingkat seperti ziggurat (berbentuk piramid bertangga), penekanan pada elemen menegak, lengkung aerodinamik dan motif cahaya matahari (sunburst). Jika versi Barat sering diserlahkan dengan krom berkilat dan hiasan mewah, versi Asia Tenggara pula mempunyai sentuhan tersendiri — menekankan fungsi dan kesesuaian dengan iklim tropika.
Jika anda perasan “kening” di atas tingkap itu? Lekuk bumbung ini, bersama lorong kaki lima (kanan), adalah elemen seni bina yang direka khas untuk menyesuaikan diri dengan cuaca tropika – memberikan teduhan, mengurangkan haba dan melindungi pejalan kaki daripada hujan.
Di KL, ini bermaksud penggunaan konkrit menggantikan marmar, struktur berteduh menggantikan hiasan berlebihan, tingkap yang tertanam ke dalam dinding, dan kaki lima yang melindungi daripada panas terik matahari. Anda akan dapat lihat “kening tingkap” (bumbung kecil yang tergantung di atas tingkap), lubang pengudaraan, panel geometri dan rekaan aliran angin yang bukan sahaja cantik tetapi juga berfungsi.

Bagi anda yang mula berasa teruja, kami akan kongsikan senarai beberapa lokasi Art Deco yang wajib dilawati di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pasar Seni
Jika anda melawat Pasar Seni, jangan hanya mencari cenderamata dan makanan jalanan sahaja – kerana anda pasti akan jumpa ciri-ciri klasik Art Deco.
Terletak di penjuru Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Hang Kasturi berhampiran Chinatown, Pasar Seni bukan sekadar tempat membeli-belah — ia merupakan pameran hidup warisan Art Deco Malaysia. Bangunan ini pada asalnya dibina pada tahun 1888 sebagai pasar basah dan telah direka semula pada tahun 1937 oleh TY Lee, seorang jurutera-arkitek di bawah Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur.

Kini, ia menjadi contoh terbaik bagaimana bangunan warisan boleh diberi nafas baharu, berfungsi sebagai pusat seni, budaya dan kraf tempatan. Lihatlah bangunan ini bukan hanya pada deretan cenderamata dan juadah jalanan, dan anda akan temui ciri-ciri klasik Art Deco — Parapet bertingkat (langkah-langkah di atas garis bumbung), jalur konkrit putih bertekstur melintasi fasad, motif geometri yang berani — termasuk corak piramid bertingkat dan cincin menegak yang menghubungkan kesemua 22 pintu masuk (rujuk gambar di bawah). Kemudian dicat dalam tona tropika lembut seperti biru pucat dan putih, bangunan ini turut menampilkan tiang bendera konkrit di puncaknya dan perincian bijak seperti blok pengudaraan yang menggabungkan fungsi dengan estetika.

Jadi, jika anda melintasi kawasan Pasar Seni, perlahankan langkah dan hayati simetri serta keanggunan bergaya yang menjadikan bangunan ini bukan sekadar ikonik, tetapi juga menarik dari segi seni binanya.
Bangunan Oriental
Dahulu merupakan bangunan tertinggi di Kuala Lumpur pada ketinggian 25 meter (82 kaki), Bangunan Oriental di Jalan Tun Perak ialah contoh seni bina Art Deco yang menonjol – permata bandar yang tersembunyi di depan mata. Direka oleh AO Coltman dan dibuka pada tahun 1932 sebagai ibu pejabat Syarikat Oriental Life Assurance, bangunan lima tingkat ini kemudiannya menempatkan Radio Malaya dan pelbagai pejabat kerajaan. Fasadnya yang melengkung dengan anggun mengikuti selekoh jalan, manakala arked di aras bawah dihiasi gerbang bertekstur (rusticated) yang memberikan sentuhan klasik dan dramatik.
Lihat betapa telitinya! Daripada stucco frieza bercantum melalui gerbang bertekstur di sepanjang aras bawah, sehinggalah garisan sunburst di atas pintu gerbang utama. Bangunan Oriental penuh dengan Art Deco menanti untuk ditemui.
Daripada frieze (jalur hiasan) berwarna putih dengan corak cakera bercantum, ke gerbang bertekstur di sepanjang arked aras bawah, sehinggalah garisan sunburst di atas pintu gerbang utama — Bangunan Oriental penuh dengan sentuhan Art Deco yang menanti untuk diterokai. Panel tengah di bahagian hadapan bangunan diapit dengan dua menara kecil, dibingkai dengan jalur hiasan putih yang bercorak dan bercantum — menambah tekstur, rentak, dan gaya khas Art Deco. Lihat dengan lebih teliti dan anda dapat lihat kesemua tingkap tinggi telah diapit oleh panel dinding bertingkat, tiang hiasan (pilaster) yang bermula dari tingkat tiga, serta garisan bersih yang memancar dari pintu gerbang utama dalam corak sunburst. Menariknya, bangunan ini turut memiliki ruang bawah tanah yang direka khas di musim banjir — satu kejuruteraan bijak pada zaman itu. Inilah bangunan yang menggabungkan bentuk, fungsi dan gaya — dan reka bentuknya yang tak lapuk dek zaman masih mampu memikat pencinta seni bina hingga ke hari ini.
Menara Jam, Medan Pasar
Menara Jam Medan Pasar Lama, yang dibina pada tahun 1937 sempena pertabalan Raja George VI, merupakan contoh seni bina Art Deco yang sederhana namun elegan di Kuala Lumpur. Berdiri pada ketinggian 7.6m (25 kaki), bentuk kiubnya yang padat, garis simetri, dan motif sunburst yang menjadi tanda gaya ini, mencerminkan penekanan Art Deco terhadap geometri berani dan bentuk yang kekal. Walaupun plak peringatan asalnya telah dialih selepas kemerdekaan pada tahun 1957, menara ini masih kekal sebagai titik tumpuan yang bermaruah di kawasan bersejarah Medan Pasar, dikelilingi bangunan-bangunan dengan pilaster berjalur yang turut membawa pesona era Art Deco yang sama.
Matahari membeku pada hiasan batu ini! Sebuah jam di pasar lama, suatu ketika dahulu menyerlah dari setiap sudut – Motif sinaran matahari adalah seperti Art Deco rahsia yang kenyit kepada mereka yang berhenti dan melihatnya.
Pawagam Odeon
Pawagam Odeon yang terletak di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi dibina dan direka oleh arkitek Coltman (ya, orang yang sama!) pada tahun 1936, dengan reka bentuk struktur oleh Steen Sehested. Bangunan ini merupakan contoh yang menonjol dalam seni bina Art Deco, menampilkan pylon menegak yang berani, mullion langsing (palang menegak di antara cermin tingkap), serta frieze mozek di atas pintu masuk yang menggambarkan unsur drama, komedi dan muzik. Nama pawagam ini ditulis dalam gaya tipografi Deco yang tersendiri, manakala tiang bendera dan “tulang rusuk” menegak berirama di bahagian sisi bangunan menambahkan bayangannya yang kemas dan bergaya. Semua elemen ini — garis yang kemas, perincian geometri dan susun atur dramatik — mencerminkan semangat moden dan teaterikal yang menjadi ciri khas Art Deco.
Drama, komidi, muzik – semua dalam sebuah mozek! Cari Odeon untuk tayangan sejak 1936. Anda tidak memerlukan tiket.
Bangunan Lee Rubber (Kini, Else Hotel)
Satu lagi bangunan yang pernah memegang gelaran “bangunan tertinggi di Kuala Lumpur” suatu ketika dahulu, Lee Rubber telah siap dibina pada tahun 1930 dan juga direka oleh arkitek Coltman — merupakan contoh awal gaya Art Deco yang mengagumkan di kota ini.

Terletak di penjuru Jalan Tun HS Lee dan Jalan Hang Lekir, bangunan ini menonjol dengan garis-garis yang kemas dan tegap, bumbung rata, serta sudut bangunan yang dipotong dramatik pada sudut tajam 45°. Bahagian luarnya, yang kini dicat semula, masih mengekalkan ciri-ciri utama: jalur menegak, nama asal dalam bahasa Inggeris dan Cina, serta tiang bendera di puncaknya. Sepanjang sejarahnya, bangunan ini pernah menjadi pejabat Syarikat Lee Rubber dan digunakan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kini, mercu tanda bersejarah ini telah dipulihara dengan indah dan diubah suai menjadi Else Hotel.

Hasil kerja pemulihan sensitif oleh pereka tempatan Studio Bikin dan Faizah Architect telah mengekalkan keaslian watak asal bangunan ini — daripada tiangnya yang kukuh hinggalah menara sudutnya yang berani — menjadikannya sajian visual istimewa buat sesiapa yang meminati warisan dan seni bina.
Bangunan Anglo-Oriental/ Wisma Ekran
Menjadi bayangan jirannya yang terkenal, Rumah Tangsi, bangunan Anglo-Oriental sememangkan Deco drama – dengan lengkungan, tiang bendera dan rentak kemegahannya. Pencuri tumpuan di KL sejak 1937. – Foto: Maria Tan
Dibina pada tahun 1937, Bangunan Anglo-Oriental merupakan satu lagi contoh memukau seni bina Art Deco di Kuala Lumpur. Terletak di penjuru Jalan Tangsi dan Jalan Parlimen, bangunan ini menyerlah dengan bentuk geometri yang teguh, garisan kemas dan perincian hiasan yang mendefinisikan gaya Deco.

Bangunan ini mempunyai tiga tingkat dan sebuah aras bawah tanah, dengan dua sayap tidak simetri dan pintu masuk di sudut melengkung yang diapit oleh pylon tinggi menyerupai menara. Kanopi konkrit menjulur keluar di atas pintu masuk, manakala alur hiasan mengelilingi bahagian atas dinding — kesan licin dan alur ini dihasilkan menggunakan plaster Shanghai, bahan yang sering digunakan dalam bangunan Deco di seluruh Asia. Satu ciri menarik ialah penggunaan pewter (logam timah tukul) pada pintu utama dan papan tanda — memberi penghormatan kepada pemilik asal bangunan ini, sebuah syarikat perlombongan. Walaupun dinamakan semula sebagai Wisma Ekran pada tahun 1990-an dan kini terbiar, ciri-ciri Art Deco bangunan ini masih menawan hati pencinta seni bina dan warisan bandar. Jadi, jika anda berjalan di sekitar KL, cuba perlahankan langkah, dongak ke atas dan hayati kota ini melalui tekstur, bayangnya serta bentuk yang pelbagai.

Apa yang paling menarik – kebanyakan lokasinya terletak berhampiran stesen LRT dan MRT seperti di Pasar Seni dan Masjid Jamek, jadi ia sungguh mudah untuk diakses serta mesra bajet!

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2