Tanda Zaman

DOMINIQUE TEOH | 7 Oktober 2025

Papan tanda di kedai-kedai Jalan Petaling menyampaikan lebih daripada apa yang tertulis. Daripada inskripsi kaligrafi hinggalah ke tipografi moden, setiap perincian menceritakan sesuatu tentang masyarakat, zaman dan tempat asalnya.

Tiada siapa yang memahami hal ini dengan lebih baik selain Huruf, sebuah kolektif reka bentuk dan tipografi yang memperkaya wacana tipografi Malaysia melalui penyelidikan, bengkel dan penerbitan.

Bagi warga Huruf, papan tanda bukan sekadar alat penyampai maklumat. Ia adalah pintu masuk kepada warisan Malaysia yang berlapis yang menjadi satu titik pertemuan antara reka bentuk, budaya dan sejarah.
Inilah fokus utama dalam City Walk With Huruf, sebuah lawatan berjalan kaki di sekitar kawasan Jalan Petaling yang berlangsung pada Sept 27 lalu.

“Saya rasa lawatan ini penting supaya kita lebih peka terhadap estetika harian yang ada di sekeliling kita,” kongsi Tan Zi Hao, ahli Huruf dan Pensyarah Kanan di Program Seni Visual, Universiti Malaya.

“Dengan meneroka sejarah papan tanda, kita mula memberi perhatian kepada bagaimana sistem tulisan dan tipografi memainkan peranan dalam membentuk lanskap linguistik kita,” tambahnya.

City Walk With Huruf merupakan acara pertama dalam siri program yang dianjurkan oleh makmal material dan idea, matlab, di bawah “matfest”. Berlangsung dari September hingga Disember, matfest mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengan bahan melalui bengkel imersif dan kolaborasi yang menggalakkan penerokaan kreatif.

Tan Sueh Li dan Tan Zi Hao, antara fasilitator semasa City Walk With Huruf.
Persaingan Antara Kaum dan Identiti 'Cina'

“‘Chinatown’ dahulunya merupakan istilah yang kontroversial,” kata Zi Hao kepada kumpulan peserta yang berkumpul di luar Dewan Warisan Keturunan Chan She Shu Yuen pada pagi Sabtu yang mendung.

Identiti “Cina” sebenarnya bukan satu entiti yang monolitk (teguh), tetapi satu kategori yang diwujudkan oleh pihak penjajah British untuk tujuan pentadbiran. Persaingan dan perbezaan antara komuniti Cina sendiri adalah perkara biasa dalam Tanah Melayu zaman kolonial. 

Identiti komuniti ini turut menjadi cerminan pada papan tanda kedai di Kuala Lumpur. Oleh kerana nama-nama Cina perlu dirumikan dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Melayu, ejaannya sering menunjukkan sebutan dalam dialek tertentu, sama ada Kantonis, Hokkien, atau Hakka. Contohnya, Kean Guan Tea Merchants merupakan transliterasi kepada perkataan Cina 建源mengikut sebutan Hokkien, iaitu “Kean Guan”. 

Anda boleh lihat nama dalam bahasa Cina dan Inggeris tergantung di atas pintu masuk rumah teh terkenal ini, tulisan Cina dipaparkan dalam kaligrafi yang indah, manakala nama Inggeris diletakkan di bahagian bawahnya. 

Tan Sueh Li, yang mengasaskan Huruf pada tahun 2017, menjelaskan bahawa papan tanda kayu seperti ini merupakan sesuatu yang biasa dalam kalangan migran awal pada waktu dahulu. Pada mulanya, mereka akan mengukir tempat asal mereka pada papan tersebut, namun lama-kelamaan, amalan ini berkembang menjadi paparan nama kedai pula.

Papan kayu yang tergantung di atas pintu masuk Kean Guan Tea Merchants dihasilkan oleh Huang Shi Qing (黄实卿), seorang tukang yang terkenal dan mahir dalam seni kaligrafi, ukiran dan pembuatan papan tanda.

Hubungan Global

Pertukaran artistik ini tidak terhad kepada negara China dan Tanah Melayu sahaja. Jika anda perhatikan tipografi dan bahan yang digunakan pada papan tanda ini, anda akan dapati bahawa tukang-tukang di Kuala Lumpur bukan sahaja menyedari kewujudan gerakan seni global, malah turut menyesuaikannya dengan cita rasa dan fungsi reka bentuk tempatan.

Studio Foto Pak Tai memberikan contoh yang sangat indah, dengan tulisan Cina pada papan tandan yang dipersembahkan dalam gaya meishuzi (美术字) atau “huruf seni”. Berbeza dengan skrip tradisional yang dilukis atau ditulis, jenis huruf ini dibina dengan menggabungkan bentuk geometri, mengambil inspirasi daripada gerakan Bauhaus dari Eropah.

Semangat modenisme ini berasal dari Eropah, tetapi akhirnya sampai ke Jepun, Shanghai, dan seterusnya ke Tanah Melayu, di mana ia menjadi popular pada tahun 1960-an dan 70-an.

Papan tanda di Studio Foto Pak Tai adalah baharu, namun masih mengekalkan reka bentuk asalnya, dengan nama dalam tulisan Cina dipersembahkan dalam gaya modenis meishuzi (美术字).


Begitu juga, penggunaan plaster Shanghai boleh ditemui di seluruh bandar. Gaya yang berasal daripada gerakan Art Deco Eropah, bahan ini mengalami perubahan yang lebih meriah apabila tiba di Asia, di mana tukang tempatan menggunakan campuran batu yang diwarnakan dengan pelbagai warna. Hasilnya menjadi plaster bertompok yang lebih berwarna-warni berbanding versi asal dari Eropah.

Plaster Shanghai sebenarnya tidak berasal dari Shanghai. Istilah 'Shanghai' hanya digunakan sebagai istilah umum untuk merujuk kepada gabungan elemen timur dan barat.

Kepelbagaian Bahasa

Rakyat Malaysia tidak asing dengan kepelbagaian bahasa; dan apabila melibatkan papan tanda, kepelbagaian linguistik ini dipamerkan sepenuhnya.

“Anda mungkin melihat lebih banyak bahasa Melayu pada papan tanda di Kuala Lumpur berbanding di bandar seperti di Pulau Pinang, yang mana kombinasi bahasa Inggeris dan Cina tetap menjadi dominan,” kata pereka huruf Fam Kai-Cong dari Huruf. 

Jika landskap berbilang bahasa ini membawa kepada suasana yang inklusif, maka ia juga akan membuka peluang kepada pilihan terjemahan, yang mana maklumat tertentu boleh diketengahkan atau disembunyikan untuk pelbagai tujuan. 

Contohnya seperti kedai pajak gadai zaman kolonial yang menggunakan skrip khas untuk menyembunyikan nilai barang, membolehkan mereka memanipulasi harga barang. Akhirnya, protes terhadap amalan ini meletus di beberapa bahagian Semenanjung, dan pihak British bertindak balas dengan mengeluarkan perintah supaya tiket pajak gadai menggunakan pelbagai bahasa.

Papan tanda berbilang bahasa adalah ciri biasa di Kuala Lumpur, terutama dalam kalangan perniagaan yang berkhidmat untuk pelanggan mereka yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Ketegangan dan Ikatan

Jika anda berjalan di sekitar Jalan Petaling, bukan sesuatu yang pelik untuk melihat teks Melayu yang terletak dengan janggal di antara tulisan Cina dan Inggeris. Ada yang ditambah sebagai sambungan baru pada papan tanda lama, manakala ada pula yang dilukis tangan bersebelahan dengan ukiran plaster kekal.

Penambahan ini sering kali terjadi dari tindak balas kepada peraturan iklan pada tahun 1982 yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu pada semua papan tanda. Isu bahasa sudah lama menjadikan papan tanda sebagai tumpuan ketegangan etnik. Namun, sering kali ketegangan ini masih berpunca daripada rasa was-was apabila sukar untuk memahami maksud pada papan tanda tersebut. 

Ramai peniaga enggan menanggalkan papan tanda lama mereka kerana dipercayai tindakan itu akan mendatangkan nasib malang. Oleh itu, tulisan Melayu ditambah pada papan tanda sedia ada apabila peniaga cuba mengimbangi undang-undang dengan kepercayaan mereka. Ada juga yang memasukkan tulisan Jawi sebagai tanda kesetiaan kepada negeri dan kesanggupan mereka untuk berasimilasi.

Kedai Perubatan Kien Fatt memaparkan papan tanda Jawi pada bahagian hadapan bangunannya.

“Penting untuk kita mengetahui bahawa terdapat sejarah di sebalik bidang visual ini,” kongsi Zi Hao. “Memahami apa yang berlaku sebelum kita membolehkan kita lebih peka terhadap sejarah yang sedang berlaku di hadapan kita. Kawasan ini di Kuala Lumpur sentiasa menjadi sebahagian daripada perubahan sejarah. Dahulu, ia berkait dengan perlombongan bijih timah, perdagangan dan urus niaga antara pendatang Cina. Kini, ia menjadi tapak pelancongan dan migrasi.”

Walaupun tidak disengajakan, dasar seperti peraturan tahun 1982 juga mempengaruhi tipografi pada papan tanda di Jalan Petaling. 

Pereka huruf dan grafik, Louie Lee turut menerangkan, “Apa yang kami perhatikan ialah skrip Latin di kawasan ini biasanya dipadatkan. Bahasa Melayu mempunyai baris terpanjang, manakala tulisan Cina paling pendek, jadi bahasa Inggeris dan Melayu dalam skrip Latin perlu dipadatkan supaya dapat diletakkan dengan kemas bersama tulisan Cina."

Papan tanda dalam bahasa Melayu yang dilukis dengan tangan di sebelah relief plaster Cina. Banyak relief seperti ini masih kekal di hadapan rumah kedai, walaupun perniagaan di situ sudah lama ditutup.

Medium ini adalah Mesej

Ada papan tanda yang menunjukkan arah tuju, tetapi setiap papan tanda juga menceritakan dari mana kita datang. Jika diamati dengan teliti, anda akan dapat menangkap bayangan sejarah, linguistik, iklim dan budaya yang tersirat di sebaliknya.

Ia ibarat sebuah Batu Rosetta, yang mana pada masa yang sama, apabila kita dapat mengetahui cara mentafsir, ia boleh mendedahkan kepada banyak perkara tentang masyarakat yang menghasilkannya. Jadi, jika anda berada di sekitar Jalan Petaling, luangkan sedikit masa untuk berhenti dan perhatikan papan tandanya.

City Walk With Huruf merupakan sebahagian daripada matfest, satu siri acara yang mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengan bahan melalui bengkel imersif dan kolaborasi kreatif. matfest berlangsung dari September hingga Disember 2025 dan dianjurkan oleh matlab, sebuah makmal bahan eksperimental yang lahir daripada studio seni bina POW Ideas. Ikuti matlab di Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini tentang acara-acara matfest yang akan datang.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2