Bagi Lee, yang akan menyanyikan
The Olive Tree, persiapan untuk karya yang begitu sarat dengan nostalgia memerlukan perhatian yang teliti. “Jika anda ada masa untuk mendengar versi asal lagu ini, pasti anda akan dapati lagu ini sarat dengan emosi. Sama ada melalui lirik, cara ia dinyanyikan mahupun bagaimana muziknya dimainkan,” katanya.
Lee dikenali di peringkat tempatan sebagai “Queen of Shanghai Jazz”, dan telah lebih dua dekad mempersembahkan muzik yang menggabungkan pop Mandarin awal dari era 1920-an hingga 1950-an dengan unsur American songbook. Beliau sering berkolaborasi dengan pemain piano terkenal Tay Cher Siang serta WVC Malaysian Jazz Ensemble, dan pernah membuat persembahan di pelbagai tempat dalam bandar ini.
Bagi beliau, keterujaan sebenar terletak alunan lagu Mandarin klasik yang dikenali ramai, yang kemudiannya diolah semula untuk pentas dewan konsert. “Jenny Chin telah membuat susunan baharu sepenuhnya untuk lagu ini, dan bagi saya ia kedengaran sangat indah,” katanya. “Tambahan pula lagu ini sangat terkenal ketika ia mula diterbitkan dahulu, dan saya yakin penonton akan dibawa kembali ke suatu masa yang berbeza, masa yang terasa jauh dari realiti.”
Sementara itu, penyanyi pop Izen Kong membawa latar belakang muzik yang versatil merangkumi opera, jazz, R&B dan teater muzikal. Penyanyi berusia 30 tahun itu pernah muncul dalam francais pertandingan nyanyian antarabangsa The Voice, selain kerap membuat persembahan di venue Kuala Lumpur seperti Bobo KL dan Alexis Bistro. Beliau juga bukanlah figura asing di pentas DFP.
“Sebenarnya tahun lepas saya terlibat dalam All That Jazz bersama MPO… jadi boleh dikatakan saya agak kerap juga muncul di sini,” kata Kong sambil ketawa. Untuk konsert kali ini, beliau menantikan peluang menyanyikan lagu Solace, yang asalnya dipopularkan oleh legenda Cantopop Jacky Cheung.
Kedua-dua penyanyi itu turut teruja untuk kembali membuat persembahan di DFP, sebuah ruang yang memberikan pengalaman yang sangat berbeza berbanding bar atau lounge muzik untuk bermain secara langsung, tempat ramai penghibur memulakan kerjaya mereka. “DFP ialah dewan yang formal dan berprestij dengan polisi ketat tidak membenarkan penonton masuk lewat,” kata Lee.
Kong menambah bahawa menyanyi bersama sebuah orkestra penuh memerlukan tahap persediaan yang jauh berbeza. “Menyanyi dengan orkestra besar memerlukan teknik vokal khusus, persiapan muzik yang mendalam dan dalam banyak keadaan penggunaan sistem penguat suara bagi memastikan vokal dapat didengar mengatasi keseluruhan ensemble,” jelasnya.