Sejarah Ringkas Rumah Tangsi

CHIN JIAN WEI | 5 Mei 2025

ANDA mungkin pernah dengar tentang Rumah Tangsi, sebuah bangunan kolonial berwarna kuning dan putih yang terletak berhampiran Dataran Merdeka. Rumah ini lazimnya digunakan sebagai ruang acara, menjadikan lokasi bagi bazar hujung minggu, majlis perkahwinan atau acara korporat.

Dalam satu sudut yang lain, ia dapat meneruskan tradisi yang dimulakan oleh pemilik asalnya – tokoh perniagaan terkenal, mendiang Loke Chow Kit – yang pernah menganjurkan majlis makan malam dan perhimpunan sosial mewah untuk keluarga, rakan-rakan, dan pegawai kolonial di bangunan yang dahulu dikenali sebagai Loke Hall. Malah, Loke telah menempah semua perkakas meja peribadinya dari Britain dengan lambang "Loke Hall" yang tertera padanya.
Dalam sebuah buku penyelidikan, The Legacy and Heritage of Loke Chow Kit, penulis Junn Ng dan Ch’ng Symn telah meneroka kehidupan dan sumbangan Loke, dengan menjadikan Loke Hall sebagai topik perbincangan utama. Artikel ini banyak merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh Ng dan Ch’ng dalam buku tersebut.

"Proses untuk mengenali landskap sejarah Kuala Lumpur sangat bermakna,” kata Ng mengenai pengalaman menjalankan penyelidikan untuk buku itu. Ng ialah seorang arkitek berdaftar dan pakar pemuliharaan yang terlibat dalam pelbagai kajian penilaian impak warisan serta pembangunan kapasiti warisan di seluruh Malaysia.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, dan nenek saya berasal daripada keluarga aristokrat lama Cheah. Sepanjang proses penyelidikan untuk buku ini, saya berasa amat bertuah kerana dapat menjalin hubungan dengan komuniti tempatan serta menemukan kisah-kisah tersembunyi yang berkaitan dengan sejarah perniagaan Chow Kit, keluarganya, dan tokoh-tokoh terkenal lain dalam sejarah Kuala Lumpur.”
Loke Chow Kit hidup antara tahun 1860 hingga 1918 dan merupakan seorang saudagar Cina kelahiran Selat. Walaupun berasal dari Asia, beliau berjaya menyesuaikan diri dalam kalangan bangsawan pada ketika itu, bergaul dengan kerabat diraja dan pegawai-pegawai British berpangkat tinggi.

Loke merupakan orang Cina pertama yang membina dan memiliki rumah agam sendiri dalam komuniti Kuala Lumpur pada awal abad ke-20 yang didominasi oleh golongan Eropah. Beliau dikenali sebagai seorang dermawan yang aktif; suatu ketika dahulu, akhbar Malay Weekly Mail menggambarkan beliau memiliki sifat "liberal dan pemurah yang berpandangan luas" serta menyatakan bahawa "tiada siapa yang meminta bantuan daripada Encik Chow Kit, akan pulang dengan hampa."

Loke Hall dibina ketika syarikat milik Loke, Chow Kit & Co, sedang berkembang pesat dan telah menjadi gedung am dan gedung serbaneka terkemuka di bandar ini. Loke mengambil keputusan untuk memindahkan keluarga serta pejabatnya ke pusat bandar, dan rumah tersebut dibina bagi tujuan itu. Rumah agam seluas 12,465 kaki persegi itu menghadap Kelab Selangor, Gereja England dan mercu tanda lain, ia dibina mengikut prinsip feng shui masyarakat Cina — membelakangkan bukit dan menghadap sungai — yang dipercayai membawa kesihatan dan kemakmuran.
Loke Hall dibina dengan reka bentuk eklektik (kaedah) Selat, yang menampilkan elemen neo-klasik dan Renaissance (zaman pembaharuan). Ia direka dengan tiga bahagian, di mana bahagian tengahnya lebih menonjol, dan membentuk sebuah serambi (anjung). Rumah agam ini mempunyai susun atur yang sangat simetri, dengan dua tangga yang sama dan sebuah halaman terbuka di bahagian tengah yang menjadi tumpuan utama dalam kediaman tersebut. Seperti vila aristokrat Cina pada zaman itu, laman ini dibina mengikut prinsip feng shui — membenarkan cahaya matahari terus masuk ke pusat rumah. Mengikut kepercayaan ini dapat mengumpulkan tenaga positif atau qi, yang akan membantu menarik kekayaan dan mengekalkan kesihatan.

“Pengunjung yang datang perlu mencari laman tengah yang unik ini,” kata Ng. “Jubin lantai hiasan jenis encaustic itu pula seusia bangunan ini sendiri — berasal dari tahun 1903! (Encaustic tiles ialah jubin seramik yang coraknya dihasilkan daripada campuran tanah liat berwarna, bukan daripada sapuan kilat).”

Ng turut berkongsi bahawa jika anda terlihat dinding berwarna biru, itu bermakna anda sedang berada di kawasan yang dahulunya merupakan ruang makan dan ruang keluarga Loke berkumpul.

Sebagai seorang arkitek, dia meminati hampir setiap sudut bangunan ini, terutamanya hiasan seni bina klasik pada bahagian luar bangunan yang menggabungkan unsur Barat dan Cina.

Siapa sebenarnya yang telah dilantik oleh Loke untuk mereka bentuk rumah agam ini pada tahun 1903, terdapat beberapa teori yang berbeza. Ada yang berpendapat bahawa, disebabkan kesetiaannya kepada Negeri-Negeri Selat, Loke mungkin telah mengupah seorang arkitek tempatan dari Negeri-Negeri Selat, atau WH Nicholas, seorang kenalan rapatnya. Tidak mustahil juga bahawa Loke telah mendapatkan khidmat firma seni bina terkemuka dari Singapura ketika itu, iaitu Swan & Maclaren.

Sejak dibina, rumah agam ini telah silih berganti dihuni penyewa. Apabila Loke memindahkan keluarganya ke Pulau Pinang pada tahun 1908, bangunan ini telah diubah suai menjadi Empire Hotel, bermulalah era penyewaan oleh pelbagai hotel. Semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu, rumah agam ini dirampas dan dijadikan Hotel Tentera Jepun. Selepas perang tamat, bangunan ini telah diambil semula oleh pihak British dan digunakan sebagai bangunan ibu pejabat untuk Briged Pengawal Kedua (Second Guards Brigade).

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Loke Hall dibuka semula sebagai Hotel Peninsula. Ia kembali hidup, menjadi tempat tumpuan popular dalam kalangan ahli politik dan organisasi bukan berasaskan keuntungan, selain turut menempatkan sebuah restoran Cina terkenal. Namun, menjelang tahun 1970-an, hotel ini tidak lagi mampu menjana keuntungan dan akhirnya ditutup.

Pada tahun berikutnya, bangunan ini mula terbiar dan rosak, malah pernah dicadangkan untuk dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan bangunan pencakar langit – walaupun pelan tersebut akhirnya tidak diteruskan.

Pada tahun 2012, Dewan Bandaraya telah mengambil alih bangunan ini, mengisytiharkannya sebagai bangunan warisan, menamakannya semula sebagai Rumah Tangsi (sempena nama jalan kawasan tersebut), dan memulakan usaha pemuliharaan rumah agam yang ketika itu sudah usang (tahun 2014). "Tangsi" ialah perkataan Melayu yang merujuk kepada berek, sebagai peringatan kepada sejarah kolonial kawasan ini, apabila jalan tersebut – dahulu dikenali sebagai Barrack Road – menempatkan berek dan bangunan persenjataan polis.

Usaha untuk mengembalikan rumah agam ini kepada keindahan asalnya dijalankan secara menyeluruh. Ukuran dan dimensi setiap bahagian bangunan direkodkan semula, dan bahan binaan tradisional yang diperolehi juga adalah sama atau tepat bagi menggantikan komponen asal.
Sepanjang perubahan yang telah dilalui oleh Loke Hall, bahan moden pernah digunakan untuk kerja-kerja pembaikan, namun penggunaannya telah menjejaskan sistem binaan asal bangunan dengan menghalang pengaliran udara semula jadi. Oleh itu, semasa usaha pemuliharaan dijalankan, penambahan yang tidak serasi seperti plat lantai keluli dan pendawaian elektrik tersembunyi telah dibuang. Cat akrilik yang memerangkap lembapan serta tumbuhan liar yang tumbuh melata juga telah dibersihkan, manakala masalah takungan air di beberapa bahagian bangunan turut diatasi.

Bumbung asal telah dibuka dengan berhati-hati; jubin yang masih dalam keadaan baik dibersihkan dan digunakan semula, manakala yang rosak digantikan dengan jubin yang diselamatkan dari sebuah bangunan sekolah tahun 1960-an. Laman terbuka di tingkat satu, yang telah ditutup selama beberapa dekad, dibuka semula dan dipulihkan kepada keadaan asal. Pemulihan ini juga memberi peluang untuk memperkenalkan semula lantai papan kayu, menggantikan plat lantai keluli yang telah berkarat sebelum ini.

“Cabaran terbesar ialah mengalihkan plat keluli yang sangat berat dan tebal, serta memulihkan semula lantai papan kayu – malah kami perlu melarasnya supaya selaras dengan tangga sedia ada. Sebelum itu, rasanya seperti berjalan di atas kapal!” kata Ng sambil tertawa.

Pelbagai lagi perubahan telah dilakukan pada bangunan ini, termasuk memulihkan semula tangga dan panel pagar yang telah hilang. Menjelang akhir proses pemulihan pada tahun 2017, Loke Hall telah dilahirkan semula sebagai Rumah Tangsi, menghidupkan kembali keindahan klasik rumah agam lama ini.

Kini di bawah pengurusan Seetizens Lab bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rumah Tangsi menikmati nafas baharu sebagai ruang acara yang khusus untuk penganjuran program seni dan budaya, dengan lebih 200 acara seumpamanya telah diadakan sejak kerja pemulihan selesai. Rumah Tangsi menjadi contoh yang baik dalam usaha pemeliharaan warisan negara, memastikan sebahagian daripada sejarah kita terus dihargai oleh generasi akan datang.

“Banyak bangunan di pelbagai pelosok negara yang patut dipulihkan seperti mana Loke Hall,” kata Ng. “Penting untuk kita memeliharanya agar bangunan-bangunan ini dapat menjadi bukti sejarah negara serta sumber inspirasi untuk generasi masa hadapan.”
Di mana lokasinya dan bagaimana untuk ke sana?
Rumah Tangsi terletak di No. 10, Jalan Tangsi, Taman Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan. Jika anda memandu, tempat letak kereta disediakan di parkir bawah tanah Dataran Merdeka, yang hanya terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari bangunan ini. Sebagai alternatif, anda boleh menaiki LRT dan turun di stesen Masjid Jamek, kemudian berjalan kaki selama lebih kurang sepuluh minit untuk sampai ke Rumah Tangsi.

Untuk maklumat tentang acara dan pengumuman terkini di Rumah Tangsi, ikuti laman Instagram mereka di @rumahtangsi.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2