Seduhan Tradisi

JACQUELINE PEREIRA | 6 Mac 2026

Dalam kita cuba untuk melarikan diri daripada kesibukan Petaling Street, dengan peluh di bawah terik mentari dan dinding mural yang seolah-olah ada di mana-mana mengekori kita. Melangkah masuk ke Kean Guan Tea Merchants terasa seperti sebuah kelegaan yang menyenangkan.

Detik waktu seakan membeku. Bahang panas pula mula reda. Malah debu kelihatan seakan menghilang. bekas teh lama mengingatkan kita kepada zaman silam. Daun teh berusia 30 tahun terbaring tenang di dalam bekas timah, menanti kita untuk menikmatinya. Sebuah bakul lama berbalut guni seakan membawa kita kembali ke memori pelombong bijih timah yang mendambakan rasa seakan berada di rumah.

Daun Lama Masih Bernafas

Koh Kian Chuan, pemilik generasi ketiga kedai teh ini, membancuh satu periuk teh putih. Masa seakan terlerai perlahan ketika perbualan mengalir tanpa tergesa-gesa, perbualan tentang jenis-jenis teh, tentang susur galur keluarga dan legasi yang dipikulnya dalam diam, serta tentang makna mengekalkan sebuah rumah teh yang moden namun tetap berakar pada memori.   

Apabila Koh meninggalkan kerjaya korporatnya selepas 12 tahun untuk menyertai perniagaan keluarga, dia langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang teh. Malah dia juga bukan seorang peminum teh tegar. Apa yang Koh tahu, dia hanya memikul sebuah legadi yang telah bermula sejak tahun 1945 apabila arwah datuknya membuka kedai ini bersama beberapa rakan kongsi yang lain. Datuknya, yang mempunyai pelbagai kepentingan perniagaan di bandar, berasal dari Anxi, Fujian, sebuah daerah yang terkenal di China kerana menghasilkan teh oolong berkualiti tinggi.  

Beberapa catatan menyatakan bahawa teh tiba di Tanah Melayu seawal abad ke-15, dibawa oleh pedagang dan perantau Cina bersama tradisi teh mereka. Pada suatu ketika dahulu di Kean Guan Tea Merchants, orang ramai berkumpul untuk berbual, berehat dan menikmati kebersamaan. “Mereka duduk mengelilingi seperiuk teh, direndam dalam rasa tempat asal mereka yang telah ditinggalkan,” jelas Koh, “untuk berbual, bertukar maklumat dan mendapatkan berita.” Dia percaya teh adalah medium yang menyatukan manusia, sama seperti minuman teh tarik Malaysia.

Perjalanan Koh dalam dunia teh bermula dengan fikiran yang terbuka. Dia menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia menaiki van, mengiringi jurujual untuk menghantar teh ke restoran-restoran. Stok perlu sentiasa ada bagi memenuhi tempahan harian. Proses ini mengajarnya tentang banyak perkara. Bermula dengan bangun awal pagi, hinggalah mengutip bayaran pada lewat hari, selaras dengan amalan perusahaan kecil masyarakat Cina. Dia mengimbau minatnya bertemu pelbagai jenis pelanggan dengan ragam dan sikap yang berbeza.
Jenis-Jenis Teh

Walaupun telah 13 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, Koh masih terus belajar tentang teh daripada mereka yang lebih arif daripadanya. “Saya selalu berkongsi pada orang ramai, hanya ada enam jenis teh, lima warna dan satu oolong.” Ia merangkumi teh hijau, teh kuning, teh putih, teh gelap (teh yang ditapai selepas pengoksidaan), teh hitam (teroksida sepenuhnya) dan teh oolong.   

Pada awalnya, kedai ini hanya menjual oolong yang diimport dari kampung halaman datuknya. Oolong juga antara teh paling terkenal dan mahal. Dia turut berkongsi, ini kerana proses separa pengoksidaan yang halus dan teknik “mengunci” rasa yang teliti. Selain dari China, kini mereka turut mengimport teh hitam dari Indonesia, India dan Afrika.

Pilihan teh di kedai ini selalunya akan ditapis. Di atas rak tersusun kemas tin-tin berisi teh batu vintaj yang telah disimpan lebih 30 tahun. Ini ialah Yancha, teh oolong yang dihasilkan di celah tebing batu pasir dan tanah kaya mineral di Pergunungan Wuyi, Fujian, kawasan yang telah berabad mengusahakan penanaman teh. Dalam kalangan pengumpul teh vintaj, ia amat dihargai, malah ramai yang menyimpan koleksi sendiri dengan teliti.

Teh mampat, yang membantu mengekalkan rasa, popular sebagai hadiah dan ada dalam kalangan penggemar yang sanggup meluangkan masa untuk biarkan daun untuk bernafas sebelum dibancuh. Turut dipamerkan ialah bakul-bakul lama yang pernah digunakan untuk mengangkut 50kg teh Liu Pao bagi pelombong sewaktu awal kota ini. Kedai ini juga menjual jenama teh buatan sendiri. Diadun, dipanggang dan dibungkus untuk pasaran runcit. Ini termasuk oolong panggang istimewa mereka, Li Shui Kwei dan Chian Li Siang. Sempena ulang tahun ke-80, mereka menghasilkan set hadiah edisi khas yang mengandungi dua gred teh oolong bagi berkongsi kisah perjalanan mereka.

Teh tidak dinilai berdasarkan gred semata-mata, aroma dan rasa halus yang meninggalkan rasa selepas diminum turut diberi perhatian. Intuisi memainkan peranan dalam seni adunan, pastinya ia sama penting dengan ukuran yang tepat. “Saya dan ayah sangat serius dalam menjaga jenama teh kami,” kata Koh. “Kami berusaha mengekalkan rasa dan kualiti bagi meneruskan apa yang telah dimulakan oleh datuk saya.”
Meneruskan Legasi Teh

Walaupun Koh merasai tekanan untuk mempertahankan legasi keluarga, dia memberi tumpuan kepada penyesuaian perniagaan, mendidik rakyat Malaysia tentang teh serta mempromosikan seni untuk menghargainya. “Saya perlu menjadikan teh lebih menarik, supaya orang ramai sedar akan sejarahnya, nilai seninya dan bagaimana ia berkembang.”  

Walaupun kekal setia pada akar tradisi, Kean Guan Tea Merchants beroperasi terutamanya sebagai perniagaan borong dan pengedaran. Namun sebagai sebahagian daripada pengalaman berkumpul sambil minum teh, pengunjung dijemput duduk dan menikmati bancuhan segar sambil memilih jenis teh untuk dibeli.  
     
Ulasan dalam talian yang positif memuji perkongsian ilmu serta kualiti teh yang ditawarkan. Koh juga bekerjasama dengan Jane Rai, penggerak di sebalik program warisan berjalan kaki Kuala Lumpur. Hasilnya, dia melihat peningkatan minat terhadap teh tradisional dan budaya minum teh.
     
Koh menekankan kepentingan memelihara seni bagi minum teh, sambil menambah bahawa memahami “akar budaya kita” adalah sesuatu yang amat penting. “Seperti di rumah teh yang terdahulu, kita mesti mampu duduk dan memberi tumpuan sepenuhnya pada secawan teh itu.”
     
Kean Guan Tea Merchants embodies both flexibility and continuity, whether in how long you brew the leaves or in the choice of leaves themselves. Its quiet insistence that some things should not move at the speed of trend cycles is reassuring. Like tea, it rewards those willing to slow down long enough to truly taste it.
     
Kean Guan Tea Merchants melambangkan keseimbangan antara kelenturan dan kesinambungan, sama ada dalam tempoh merendam daun teh atau dalam pemilihan jenisnya. Kadang-kala penting juga untuk sesetengah perkara tidak bergerak sepantas kitaran trend, memberikan kita sebuah ketenangan. Seperti teh itu sendiri, ia memberi ganjaran kepada mereka yang sanggup memperlahankan langkah untuk benar-benar menikmatinya.
Di sini, di tengah-tengah Kuala Lumpur, masa silam tidak sekadar tinggal sebagai kenangan. Di kedai ini, ia dituang, dihirup, dan terus dihidupkan dalam setiap cawan yang menenangkan.

Kean Guan Tea Merchants,
160, Jalan Petaling,
Pusat Bandar Kuala Lumpur,
50000 Kuala Lumpur.

https://www.instagram.com/kgtea/
https://www.facebook.com/kgtea.my

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2