ELLFIAN RAHIM | 21 August 2025
Check-In Merdeka @ Pasar Seni (Ogos 29 – Sept 1)
Pasar Seni membawakan sambutan yang pasti menggamit memori orang ramai. Kali ini dengan fokus kepada jualan runcit yang diserikan dengan elemen budaya dan tema pelancongan. Daripada wayang kulit yang memukau, tarian tradisional yang anggun, hinggalah aktiviti interaktif seperti melukis batik, seni inai dan muzium seni 3D, pasti ada sesuatu untuk pecinta swafoto dan penggemar budaya. Dan ya, pilihan makanan jalanan pun pastinya memikat. Tak rugi kalau anda datang!
Truly Malaysian Pop-Up Market @ REXKL (Ogos 29–31)
Beli-belah, cuci mata dan hayati suasana Merdeka bersama jenama tempatan, makanan enak dan tenaga perayaan yang meriah di REXKL.
The Sky Race @ Merdeka 118 (Ogos 30)
Bukan semua sambutan Merdeka berlangsung ruangan tanah, ada juga sambutan setinggi 503 meter di udara. Perlumbaan tangga pertama seumpamanya di Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia, adalah peluang anda untuk mencipta kejayaan (dan mungkin juga untuk mencari pasal sendiri!). Tawan 2,845 anak tangga merentasi 118 tingkat dan anda akan sampai ke satu aras yang biasanya tidak dibuka kepada orang awam. Ganjarannya? Pemandangan panorama KL yang memukau. Hanya beberapa jam sebelum ulang tahun negara. Sama ada anda atlet elit atau sekadar mahu melunaskan impian anda, ini adalah gabungan cabaran dan perayaan yang cukup mendebarkan. Daftar di sini: https://theskyrace.com.
Bonus istimewa daripada pasukan Merdeka 118: Mereka juga telah ‘menaikkan volume’ sambutan Merdeka! Layari senarai main Spotify mereka – koleksi lagu terpilih yang diinspirasikan oleh rentak kita bersama, legenda tempatan, semangat kebanggaan harian dan perpaduan abadi. Inilah runut bunyi yang mencerminkan nadi kisah, budaya dan komuniti Malaysia – sempurna untuk menyemarakkan semangat Merdeka di mana sahaja anda berada.
Sentuhan Rempah x Ayayu Workshops (Ogos 30)
Raikan Hari Kebangsaan dengan pagi yang penuh kemeriahan, kreativiti dan suasana positif! Sentuhan Rempah, dengan gandingan Ayayu Workshops dalam sesi melukis batik secara interaktif – di mana anda boleh bersantai dengan lilin dan pewarna, serta menghidupkan budaya Malaysia.
Luangkan masa di Tong Shin Terrace, nikmati minuman, hidangan brunch yang lazat, dan biarkan kehangatan lilin batik mencungkil kreativiti anda. Sesi ini berharga RM90 seorang dan sesuai untuk semua, sama ada anda sudah berpengalaman dalam seni ini atau baru ingin mencuba sempena sambutan Merdeka ini. Pakaian tradisional digalakkan atau sewaan Kebaya dan Baju Batik disediakan. Cuma sediakan inner hitam atau putih untuk memudahkan pertukaran. Banyak detik menarik untuk dikongsikan di Instagram! Tempat amat terhad, jadi daftar segera di +6011-56403307 (The Rempah Table).
Pasar Malaya @ Badan Warisan Malaysia (Ogos 30–31 & Sept 20)
Pasar seni dan kraf ini hadir dengan sentuhan warisan Malaysia di atas pinggan. Ya, anda akan temui barangan buatan tangan yang cantik, tetapi juga dapat menikmati hidangan ikonik seperti nasi lemak, roti canai dan laksa – serta juadah istimewa dari pelbagai negeri seperti burasak, mi kolok dan nasi ambeng. Hidupkan kembali kenangan zaman kanak-kanak dengan bermain gasing, congkak atau batu seremban, kemudian bergaya dalam busana klasik Old Malaya atau pakaian tradisional sambil menikmati set DJ Irama dan Lagu yang membawakan lagu-lagu nostalgia Malaysia sehingga ke larut malam.
Made in KL @ Semua House (Ogos 30 – Sept 1)
Semua House yang kini berwajah baharu, terletak berhampiran Jalan Masjid India, sedia dengan rasa bangga menyajikan anda produk tempatan. Dianjurkan oleh KL Alternative Book Fest, acara sulung ini memberi tumpuan buat segala barangan buatan Malaysia – daripada buku dan kraf sehinggalah makanan yang pasti menggoda selera. Anggap sahaja ini sebagai surat cinta buat kreativiti KL, mungkin anda akan pulang dengan beg buatan tangan dan rasa jatuh cinta semula pada bandar anda sendiri.
Keretapi Sarong (Sept 13)
Separa flash mob, dan sebahagian lagi gerakan budaya, Keretapi Sarong telah mengubah perjalanan kereta api menjadi perarakan fesyen sejak 2012. Para peserta menaiki tren LRT, MRT dan KLIA Transit dengan sarong dan pakaian tradisional, lalu berkumpul di lokasi ikonik sekitar bandar dalam gelombang warna-warni yang meriah. Tahun ini, bertemakan Serumpun, selari dengan Pengerusi Asean Malaysia 2025. “Ia peluang unik untuk kita renungkan hubungan serantau,” kata Shamsul Bahrin Zainuzzaman, pengasas bersama Locco. Nantikan koordinasi di pelbagai lokasi, persembahan budaya dan seperti biasa, semangat rakyat Malaysia yang bersatu, bersarung dan tersenyum lebar.
Festival Budaya Malaysia (FBM 2025) @ Taman Tasik Titiwangsa (Sept 12–16)
Buat julung kalinya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mempersembahkan Festival Budaya Malaysia 2025. Lebih 300,000 pengunjung dijangka menyertai 68 segmen aktiviti seni dan budaya dalam perayaan meriah yang meraikan kreativiti serta warisan Malaysia!
Antara tarikan utama: Permainan bertaraf antarabangsa, pertandingan peringkat kebangsaan, reruai interaktif dan pameran, persembahan Gala Gendang Malaysia, pertunjukan budaya pelbagai kaum, serta persembahan artis tempatan terkenal. Sorotan istimewa tahun ini: Kumpulan Wayang Kulit dari Malaysia, Thailand dan Indonesia akan bergabung dalam satu persembahan kolaboratif yang unik. Dipersembahkan di tiga pentas berbeza, semua persembahan ini akan dijalin dalam satu naratif – konsep yang pertama kali dipersembahkan.
Sama ada anda berlumba menawan 118 tingkat, membeli-belah di pasar yang meriah, melukis batik sendiri, menari dengan pakaian tradisional, atau menikmati persembahan budaya dari seluruh rantau ini, sambutan Hari Kebangsaan di Pusat Bandar KL membuktikan bahawa semangat patriotisme boleh diraikan dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna. tanda kalendar anda, ajak rakan-rakan, dan mari kita meriahkan bandar dengan semangat Merdeka!
Discover more stories