Kenangan dalam gulungan capati

Lynette Moey | 24 Julai 2025

Jika anda pernah berjalan di sekitar dua kawasan yang bersebelahan ini; Masjid India dan bazar Jalan Melayu, yang mana kedai dan khemah jualan yang hampir kesemuanya di bawah terik matahari, anda mungkin akan terpandang pada Jai Hind, sebuah restoran Punjabi klasik yang telah bertapak lebih dari setengah abad.

Masjid India itu sendiri merupakan salah satu kawasan tertua di Kuala Lumpur. Ia merupakan sebuah kawasan yang cukup meriah, sesak, dengan peninggalan sejarah dan semangat komuniti India tempatan.

Ada juga kumpulan pelancong yang menjadikan Jai Hind sebagai salah satu hentian rasmi dalam lawatan mereka. Ini membuktikan betapa hebatnya restoran kecil ini.
Generasi
Jai Hind merupakan sebuah restoran lama yang telah ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua. Dallip Singh, bapa kepada Bhoopender Singh yang kini mengendalikan Jai Hind, berasal dari Punjab. Setibanya ke Tanah Melayu, dia bekerja keras, menyimpan wang dengan harapan agar dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya.

Dallip pernah bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran India lain yang terletak tidak jauh dari situ. Apabila pemilik asal Jai Hind (yang sudah pun dikenali dengan nama itu ketika itu) ingin pulang ke India, Dallip mengambil peluang tersebut untuk membeli perniagaan tersebut pada tahun 1946 bersama tiga lagi rakan kongsi yang lain.

“Sepanjang tahun-tahun berikutnya, ayah saya membeli bahagian rakan kongsinya,” kongsi Bhoopender. “Dia menghantar saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia di Australia. Tapi bila saya pulang, masa itu tahun 1970-an, dan tiada pekerjaan untuk jurutera kimia. Jadi saya memilih untuk membantu di kedai. Saya sempat juga bekerja sebagai jurutera kimia, tapi cuma selama lima tahun. Lepas tu, saya kembali untuk menguruskan Jai Hind.”
Pemilik yang ramah, Bhoopender Singh, masih tinggal di rumah kedai di atas restoran di Jalan Melayu. Foto: Annabeth Lee
Jai Hind telah melalui pelbagai fasa kehidupan, suka dan duka sepanjang kedainya beroperasi. “Saya ambil alih pada tahun 1982 kerana pada waktu itu, perniagaan kurang baik,” kata Bhoopender. “Kami bekerja lebih keras, dan perniagaan mula pulih semula.”

Terletak berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di kawasan Masjid Jamek, Jai Hind memang tidak asing dengan masalah banjir yang sering melanda Kuala Lumpur pada era 1970-an, 80-an hingga ke 1990-an. Lama sebelum Terowong SMART dibina untuk pengaliran air ribut di pusat bandar. Musim hujan sering kali menjadi punca lantai restoran ini tenggelam dalam air keruh sedalam tiga kaki. Satu cabaran bermusim yang terpaksa dihadapi pemilik kedai ini.

Sehinggakan mereka terpaksa menutup kedai, mengeringkan air banjir, dan kemudian membukanya semula. Satu lagi masa yang sangat mencabar adalah semasa pandemik Covid-19. Mereka terpaksa menutup kedai, dan hanya boleh menerima tempahan untuk bungkus sahaja selama enam bulan berikutnya.

“Ia merupakan satu tempoh yang amat sukar,” akui Bhoopender.
Hidangan Punjabi dan Utara India yang Lazat
Selama beberapa dekad, Hai Hind telah menarik ramai pelanggan setia (termasuk penulis ini!), ramai yang masih mengingati keenakan daging kambing cincang (kameer) dan ras malai, sejenis pencuci mulut halus dari Utara India yang sukar untuk ditemui di Malaysia mahupun di Singapura.

Harga di Jai Hind masih kekal dan sangat berpatutan, sehingga ke hari ini. Satu hidangan untuk dua orang, Ini termasuk dua keping capati panas yang bulat, satu naan gebu, secawan teh masala, dua hidangan kambing cincang, satu peha ayam kari, dan satu pencuci mulut ras malai – dengan hanya RM25. Nilai sebegini sememangnya sukar untuk didapati di kebanyakan tempat makan di Kuala Lumpur pada masa kini.

Terdapat pelbagai pilihan hidangan ayam, kambing dan sayur-sayuran sebagai pilihan, sesuai untuk vegetarian mahupun mereka yang gemarkan daging. Apa yang membezakan makanan di Jai Hind daripada tempat lain adalah rasa autentiknya yang tidak diubah suai.
John Bhullar, 65 tahun, seorang pelanggan setia, telah mengunjungi Jai Hind selama bertahun-tahun. “Ini baru namanya makanan sebenar,” katanya. “Saya selalu minta mereka buatkan capati yang segar, dan bukan ambil dari timbunan yang dah siap. Teman wanita saya orang Cina, dan dia pun suka sangat dengan makanan di sini.”

Kaunter hadapan Jai Hind menampilkan pelbagai jenis manisan India tradisional seperti gulab jamun, ladoo dan pavlova . semuanya tersusun menarik dan menggoda selera.

“Setiap kali Deepavali, akan ada barisan panjang semata-mata untuk beli manisan,” kata John. “Manisan tu memang terkenal,” Bhoopender bersetuju. “Pernah satu ketika, kami membekalkan manisan itu kepada Malaysian Airline System.”
Dulu dan Sekarang
Bhoopender membesar bersama Jai Hind. Dia masih tinggal di rumah zaman kanak-kanaknya yang terletak di atas restoran itu sendiri, walaupun beliau sebenarnya mempunyai rumah di seksyen 14, Petaling Jaya. “Rumah tu kami sewakan. Saya lebih suka tinggal di sini.”

Pada beberapa tahun awal selepas peperangan, menu Jai Hind jauh lebih ringkas berbanding sekarang. “Pada masa itu cuma ada capati, dhal, nasi dan teh susu lembu,” tambahnya lagi, “Teh susu lembu itu masih lagi terkenal hingga ke hari ini!”
Kini perniagaan Jai Hind telah berkembang. Bermula dengan hanya satu lot kedai kecil suatu ketika dahulu, kini ia telah berkembang kepada tiga lot kedai, walaupun salah satu daripadanya digunakan sebagai dapur utama. Pelbagai pelanggan turut kemari, ini termasuk pelancong dan pekerja dari Utara India yang semakin ramai.

“Pekerja dari Utara India suka datang ke sini sebab makanannya mengingatkan mereka kepada kampung halaman,” jelas Bhoopender.

Namun, pemilik restoran ini tidak menafikan bahawa dia risau akan masa hadapan dan persoalan legasi keluarga selalu bermain difikiran. “Tiga anak saya tidak berminat, jadi saya mengharapkan untuk anak saudara saya ambil alih suatu hari nanti,” katanya pasrah.

Kita hanya mampu berharap untuk makanan enak dengan harga yang jujur seperti restoran lagenda di Masjid India ini akan terus kekal berkembang untuk generasi yang akan datang.
Restoran Jai Hind
15, Jalan Melayu, City Centre, 50100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Bagaimana untuk ke sana? Naik LRT ke Stesen Masjid Jamek dan jalan kaki menyusuri Jalan Melayu.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2