Perdagangan Bunga di Jalan Tun H.S. Lee

SOFIA SHAMSUNAHAR | 13 Febuari 2026

Berakar daripada tradisi kuil, dibentuk oleh generasi demi generasi perdagangan, dan diperkukuh oleh tangan-tangan setia yang kembali saban tahun, Jalan Tun H.S. Lee ialah tempat di mana kuntuman bunga membawa sejarah. – Foto: Johnny Adams

DI sebuah hab sepanjang jalan warisan Tun H.S. Lee, deretan kedai bunga hidup mekar dan terus berkembang sejak sekian lama. Kehadiran para peniaga bunga di sini bukanlah satu kebetulan. Jalan ini menempatkan beberapa buah kuil, termasuklah Kuil Sri Maha Mariamman, sebuah kuil Hindu yang dikelilingi gerai-gerai yang menjual kalungan bunga melur, marigold dan kekwa. Tidak jauh dari situ terletak Kuil Guan Di Kuala Lumpur. Jauh ke depan pula, anda juga boleh menemui Kuil Sin Sze Si Ya, antara kuil Tao tertua di Kuala Lumpur yang diasaskan pada tahun 1864 oleh Kapitan Yap Ah Loy.

Jarak yang dekat dengan rumah ibadat inilah yang membentuk identiti bunga di sepanjang jalan ini.
Sejak berdekad lamanya, bunga di sini bukan sekadar hiasan, ia menjadi persembahan, dianyam untuk doa, ritual dan perayaan. Hubungan erat antara kuil, acara budaya dan perayaan telah mewujudkan satu ekosistem perdagangan yang semula jadi. Pembekal, pemborong dan pelanggan tertarik ke kawasan ini, dan lama-kelamaan, kepercayaan serta kemudahan mengukuhkan lagi perniagaan tersebut.   
   
Hari ini, walaupun bunga masih dibeli untuk tujuan keagamaan, majlis perkahwinan dan sambutan yang besar, hubungan masyarakat bandar dengan seni bunga telah berkembang. Sejambak bunga kini menjadi simbol permohonan maaf, penjagaan diri, ulang tahun dan juga luahan yang spontan. Pada setiap Februari pula, rentak jalan ini kembali rancak dengan tempahan Hari Valentine, satu lapisan moden yang ditambah kepada tradisi yang telah lama wujud.
Wajah Baharu di Kawasan Ini

Salah satu penambahan baharu di koridor bersejarah ini ialah Dayang Ros Cafe & Flower Boutique, yang terletak hanya beberapa langkah dari Petaling Street. Ia merupakan satu penghormatan kepada sejarah Jalan Petaling sebagai pusat perdagangan hasil kraf, kedai ini berhasrat untuk meneruskan legasi kawasan tersebut melalui bunga tradisional Malaysia.

“Sememangnya sejak dahulu lagi, Chinatown merupakan sebuah hab perdagangan, terutamanya bagi bunga dan barangan segar. Banyak kedai bunga bermula di sini kerana hubungannya yang kuat dengan kuil, acara kebudayaan dan perayaan di mana bunga memainkan peranan penting. Selama bertahun-tahun, pembekal, pemborong dan pelanggan secara semula jadi kekal di kawasan ini. Apa yang mengekalkan kedai-kedai bunga di sini ialah tradisi, kemudahan, serta kepercayaan jangka masa panjang yang terjalin dengan pelanggan,” kongsi Zulaikha Zulkifli, pengurus Dayang Ros.
   
Nama itu sendiri membawa makna yang anggun, Dayang merujuk kepada golongan bangsawan atau wanita muda dalam konteks tradisi Melayu, manakala Ros bermaksud bunga mawar. Sentuhan kehalusan ini turut dizahirkan melalui barang jualannya, walaupun kedai ini mengekalkan harga yang mampu milik dengan menjual bunga pada kadar borong. Pelanggan boleh memilih sendiri tangkai bunga untuk menyusun jambak bunga mereka mengikut citarasa, atau memilih daripada gubahan yang telah siap sedia.

Zulaikha turut memerhati bagaimana pelanggan telah berubah dari semasa ke semasa.

“Dulu, kebanyakan orang membeli bunga untuk tujuan keagamaan, perkahwinan atau acara yang besar. Kini, bunga juga menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan ekspresi diri. Pelanggan membeli bunga untuk hiasan rumah, penjagaan diri, permohonan maaf, atau sekadar untuk menceriakan hari seseorang.”   

Walaupun terletak di lokasi warisan yang strategik, Dayang Ros masih dianggap jenama yang baharu, yang kini telah menghampiri tahun ketiga operasinya. Jenama ini berkembang secara berperingkat dan telah membuka dua cawangan, dengan tumpuan untuk mengukuhkan asas perniagaan, meningkatkan kualiti dan perkhidmatan, serta membina jenama secara perlahan.   

Selain bunga, kedai ini juga mengendalikan sebuah kafe yang menawarkan set makan tengah hari pada harga berpatutan dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang. Sebuah persimpangan antara jalan perdagangan lama dan gaya hidup kontemporari.   

Munurut Zulaikha, minggu Hari Valentine kekal sebagai musim paling sibuk. Dengan jumlah tempahan yang tinggi, waktu kerja yang lebih panjang serta permintaan saat akhir. Namun di luar kesibukan Februari, pelanggan tetap mereka kebanyakannya terdiri daripada penduduk sekitar, pekerja pejabat, keluarga dan pelanggan setia yang kembali untuk sambutan hari lahir, ulang tahun, perayaan dan juga majlis keagamaan.
Perubahan Trend

Di seberang jalan terletak Floralife Central, yang telah beroperasi selama tujuh tahun, dengan ibu pejabatnya di Menjalara, Kepong.

Bagi Joan Carolinecia Masliu, ketua juruwang dan wakil khidmat pelanggan, reputasi jalan ini telah lama dikenali.

“Sejak dahulu lagi Chinatown terkenal sebagai tempat untuk membeli bunga segar dan aksesori bagi majlis perkahwinan dan pertunangan,” katanya.

Dengan kehadiran Kuil Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak berdekatan, hubungan antara bunga dan kepercayaan masih jelas kelihatan.  

“Kedai bunga mempunyai hubungan yang kuat dengan kuil untuk tujuan sembahyang,” jelas Joan.  

Jika dahulu sambutan besar dan upacara keagamaan mendominasi pembelian, Joan turut menyatakan bahawa tingkah laku pelanggan kini telah berubah. “Sekarang, bunga juga telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Pelanggan biasanya membeli bunga untuk ulang tahun perkahwinan, hari lahir, Hari Valentine, Hari Wanita, Hari Bapa, Hari Ibu, persahabatan atau majlis graduasi.”

Perluasan ini turut tercermin dalam kategori yang ditawarkan oleh Floralife Central, daripada “Permohonan maaf” kepada “Simpati” dan “Semoga cepat sembuh” yang menandakan bagaimana bunga telah menjadi lebih daripada sekadar ritual, dan lebih kepada ekspresi harian.

Kemunculan platform digital juga telah mengubah landskap perniagaan.
   
“Media sosial juga membawa perubahan yang baik kerana pelanggan boleh membuat tempahan bunga dari jauh dan penghantaran ke luar kawasan. Pelanggan juga boleh membuat permintaan khas, mereka lebih peka terhadap trend dan mahukan gubahan yang moden,” kongsi Joan.   

Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, kedai ini menyediakan tempahan dalam talian serta penghantaran pada hari yang sama, sebuah penambahan kontemporari buat perdagangan yang berakar daripada tradisi.
Lebih Ramai, Lebih Meria

Jalan Tun H.S. Lee menempatkan beberapa lagi kedai bunga yang telah lama menapak dan menyumbang kepada identiti jalan ini.

Weng Hoa, yang dinamakan sempena terjemahan Cina bagi “Bunga terang”, menawarkan perkhidmatan penghantaran bunga di sekitar Kuala Lumpur. New Flower Market pula memposisikan diri mereka sebagai “pusat lengkap untuk semua keperluan bunga anda”. Lee Wah, yang ditubuhkan pada tahun 2000, menggambarkan dirinya sebagai “nama yang dipercayai dalam industri bunga di Malaysia”, melayan pelanggan yang datang ke kedai serta dalam talian, dengan pelbagai pilihan jambangan bunga pada julat harga yang berbeza.
  
Antara nama yang lebih baharu ialah Kayan Tropika. Bermula sebagai pembekal tanaman khusus untuk klien korporat, jenama ini berkembang pada tahun 2023 dengan membuka gerai runcit pop-up yang menawarkan bunga segar kepada orang awam. Anda boleh menemuinya betul-betul di luar Central Market.

Koleksi bermusim sering diberikan nama yang berunsur evocative seperti Cupid’s Call, Love Language, Colour Crush dan Euphoria, mencerminkan bagaimana bunga telah merangkul ekspresi kontemporari di samping tradisi yang telah lama wujud. Hari ini, gubahan bunga di sepanjang jalan ini merangkumi jambakan sederhana bermula dari RM48 hingga rekaan yang lebih mewah mencecah RM1,800, memenuhi keperluan ringkas mahupun permintaan yang besar.

Hari Valentine mungkin membawa gelombang tahunan bunga mawar dan sejambak bunga berbalut reben, namun perdagangan bunga di jalan ini mempunyai akar yang lebih mendalam. Di sinilah, bunga terus bergerak antara kepercayaan dan ulang tahun, antara ritual dan romantik untuk meneruskan satu tradisi yang terjalin dalam fabrik warisan Kuala Lumpur.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2