Muzium Tekstil Merdeka Dibuka di Presint Merdeka 118

24 Ogos 2026

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada majlis pelancaran Muzium Tekstil Merdeka di Look at 118, di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 21 Ogos. Mercu tanda budaya baharu di Merdeka 118 ini mengetengahkan kekayaan tradisi tekstil Alam Melayu dalam pengalaman muzium kontemporari, menghubungkan seni kraf, identiti, kenangan dan masa depan Kuala Lumpur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, telah merasmikan Muzium Tekstil Merdeka (MTM) pada 21 Ogos di Look at 118 yang terletak di Presint Merdeka 118, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memelihara dan menghayati kekayaan warisan tekstil Alam Melayu.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan harapan agar muzium ini menjadi wadah untuk masyarakat menimba ilmu, meneroka serta mendapatkan inspirasi.

“Saya berharap Muzium Tekstil Merdeka akan menjadi sebuah pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting untuk semua, serta menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang.
“Saya juga berharap anak-anak muda akan menghargai warisan dan budaya negara kita supaya tidak akan hilang begitu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda.

Titah tersebut menyentuh inti pati utama yang ingin diketengahkan oleh MTM. Selama bergenerasi, tekstil membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar warna dan corak. Teranyam dalam sarung, songket, baju kurung serta busana istiadat ialah kisah tentang identiti, ketukangan, kepercayaan, kedudukan dan tempat asal. Kini, sebahagian daripada kisah-kisah tersebut menemukan ruang baharu di Presint Merdeka 118.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan mencemar duli merasmikan majlis pembukaan tersebut. Turut hadir ialah Tan Sri Dr. Ungku Zeti Ungku Aziz, Pengerusi Pengasas dan Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor Asia School of Business; YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); Tan Sri Shamsul Azri, Ketua Setiausaha Negara; dan Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, bersama-sama ahli Lembaga Pengarah dan pihak Pengurusan PNB dan PNB Merdeka Ventures.

Terletak bersebelahan Stadium Merdeka yang bersejarah, di dalam bangunan Look at 118, muzium ini mengangkat tema “Alam Melayu dalam Jalinan Benang dan Cerita”. Ia bukan sekadar ruang untuk mengagumi keindahan tekstil, tetapi sebuah pengalaman yang mengajak pengunjung menyelami dunia di sebalik setiap helaian - daripada ketukangan dan simbolisme kepada spiritual, kesusasteraan, politik serta tradisi kehidupan seharian yang teranyam dalam pembuatannya dan cara ia dikenakan.

Ia merupakan satu penambahan yang cukup bermakna kepada kawasan yang menghimpunkan lapisan sejarah Malaysia dengan aspirasi negara untuk masa hadapan.

Pembukaan MTM mencerminkan aspirasi lebih luas Warisan KL – untuk memastikan warisan Kuala Lumpur terus dihayati dan relevan dalam kehidupan masyarakat serta perkembangan bandar masa kini. Kehadiran muzium ini di presint Merdeka 118 menambah satu lagi jalinan dalam kisah kota yang terus berkembang, di mana identiti sejarah, budaya kontemporari dan aspirasi Kuala Lumpur pada masa hadapan bertemu. Di sini, warisan bukan sekadar sesuatu yang ditinggalkan pada masa lalu; sebaliknya, ia menjadi sesuatu yang boleh dihayati, difahami dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Lebih Daripada Sekadar Koleksi

Di teras MTM ialah koleksi peribadi Allahyarhamah Puan Azah Aziz, seorang tokoh budaya yang mendedikasikan kehidupannya dalam membantu mendokumentasi dan memperkasa pengetahuan serta memperjuangkan tradisi tekstil dan warisan seni Malaysia.

Disumbangkan oleh keluarganya kepada PNB, koleksi ini merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas. Muzium ini turut mengambil inspirasi daripada karya penting beliau, Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat. Edisi bahasa Inggeris penerbitan tersebut telah dilancarkan pada tahun 2025 yang meneliti tekstil Melayu bukan sekadar sebagai pakaian, tetapi sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.

Legasi Azah Aziz memberikan MTM satu titik permulaan yang begitu peribadi dan bermakna. Namun, MTM dirangka bukan sekadar untuk memelihara legasi tersebut di sebalik pintu kaca, sebaliknya ia dapat mengangkat warisan ini untuk masa hadapan.

Pada awal tahun ini, sempena KL Festival, orang ramai berpeluang menyingkap gambaran awal tentang pendekatan yang mendasari muzium ini menerusi sesi perkongsian The Making of Merdeka Textile Museum, yang mengupas pendekatan kuratorial serta reka bentuk multisensori yang diterapkan dalam pengalaman muzium tersebut. 

Dalam satu wawancara terdahulu bersama WarisanKL.my, Dato' Ir. Ts (Dr) Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, menjelaskan bahawa muzium ini dirangka sebagai sebahagian daripada visi yang lebih luas untuk Presint Merdeka 118. “Kawasan Merdeka 118 sejak awal lagi dibayangkan sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar pembangunan komersial, ia merupakan sebuah ruang yang mempertemukan warisan, budaya dan masa depan Kuala Lumpur,” katanya.

Kini, MTM dibuka dan mengalu-alukan rakyat Malaysia serta pengunjung dari seluruh dunia untuk menyelami kisah, seni dan warisan yang kaya di sebalik tekstil Alam Melayu. Dalam fasa awal ini, muzium ini menerima kunjungan secara berkumpulan mengikut jadual yang ditetapkan dan belum dibuka untuk kunjungan secara terus (walk-in). 

Untuk maklumat lanjut mengenai waktu operasi, tempahan tiket dan pameran yang sedang berlangsung, layari merdekatextile.com atau ikuti MTM di media sosial melalui @MerdekaTextileMuseum.

Merdeka Textile Museum (MTM)
Alamat: Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur.
Waktu operasi: Selasa – Ahad,10pagi to 5petang (Tutup pad hari Isnin)


**Waktu Operasi Khas Hujung Minggu Merdeka: MTM akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 5 petang sepanjang hujung minggu Merdeka, termasuk pada 31 Ogos (Hari Kebangsaan).



Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2