Menyulam warisan, dalam setiap jahitan

SITI HAWA | 7 Ogos 2026

Lim Yu Yin dari Ang Eng berkongsi bagaimana butik artisan ini terus memelihara seni pembuatan kebaya Nyonya tradisional agar warisan berharga ini dapat diteruskan kepada generasi akan datang.

SEMPENA Bulan Kebangsaan, Ang Eng mengingatkan kita bahawa warisan yang dipelihara dalam negara ini bukan sahaja terletak pada bangunan dan monumen bersejarah, malah ia turut hidup melalui tradisi yang dipelihara serta diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.

Ditubuhkan pada tahun 1955, iaitu dua tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, ruang menjahit milik keluarga ini telah menyaksikan perjalanan Malaysia sambil mempertahankan seni halus jahitan tangan kebaya Nyonya.

Bagi Lim Yu Lin, setiap kebaya Nyonya merupakan kanvas yang menampilkan hasil pertukangan tangan yang diwarisi merentasi tiga generasi.

Lim mengusahakan Ang Eng, sebuah butik yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan terkenal dengan kebaya Nyonya buatan tangan yang dihasilkan dengan sulaman serta perincian yang amat halus. Dalam bahasa Hokkien, ang bermaksud merah, warna yang melambangkan tuah dalam budaya masyarakat Cina, manakala eng bermaksud bangau, simbol yang membawa makna kemajuan, kejayaan dan terus terbang tinggi.

Walaupun butik utama Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang, ia kini turut membuka sebuah cawangan baharu di Kuala Lumpur City Gallery, yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad.

Dikenali sebagai BikuBiku by Ang Eng, ruang ini mengambil namanya daripada istilah biku, yang digunakan oleh tukang jahit bagi merujuk kepada kemasan beralun ringkas pada bahagian tepi kebaya Nyonya. Seiring dengan namanya, BikuBiku merupakan versi Ang Eng yang lebih ringkas, namun masih mengekalkan keanggunan serta identiti jenama yang tersendiri.

Semangat yang sama turut terpancar pada Lim, 56, yang merupakan generasi ketiga meneruskan perusahaan pembuatan kebaya keluarga yang diasaskan oleh neneknya, Lim Wah Choon.


Ang Eng di sebuah pameran perdagangan di Teluk Wanjah, Alor Setar pada tahun 1955. Bawah: Madam Lim Wah Choon (ketiga dari kiri) bersama kumpulan perintis tukang jahit kebaya Ang Eng pada tahun 1958. – Foto: Lim Yu Lin.


Walaupun bukan berketurunan Peranakan, mendiang Puan Lim mempunyai ramai rakan Nyonya yang mendorong minatnya terhadap seni pembuatan kebaya. Galakan itu akhirnya membawa kepada penubuhan Ang Eng di tingkat atas kedai menjual makanan laut kering milik suaminya di Pekan Cina, Alor Setar, Kedah.

"Selama lebih 70 tahun, pembuatan kebaya menjadi tradisi keluarga kami. Sebab itu saya menganggap ini sebagai tanggungjawab saya untuk memastikan warisan ini terus hidup dengan memperkenalkan seni pertukangan serta kemahiran halus yang diperlukan untuk menghasilkan sehelai kebaya Nyonya.

"Saya rasa tiada lokasi yang lebih sesuai daripada Bangunan Sultan Abdul Samad kerana ramai pengunjung, sama ada rakyat tempatan mahupun pelancong antarabangsa, datang ke sini," kata Lim. Dalam temu bual ini, Lim turut mengambil peluang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengenakan kebaya hasil rekaannya sendiri yang menampilkan Wira dan Manja, maskot beruang matahari bagi kempen tersebut.

Meniti Arus Zaman

Sebagai seorang yang sentiasa memperjuangkan warisan kebaya, Lim turut menyumbang kepada pencalonan bersama melibatkan Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand yang membawa kepada pengiktirafan kebaya dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada tahun 2025.

"Jabatan Warisan Negara meminta saya membuat beberapa rekaan kebaya bagi menyokong pencalonan bersama tersebut. Daripada situ lahirnya koleksi eksklusif kebaya UNESCO yang diinspirasikan oleh simbol ikonik setiap negara, sebelum disatukan dalam sebuah rekaan terakhir yang melambangkan perpaduan kelima-lima negara," kongsinya.

Pada tahun 2024, Lim turut berkunjung ke Asunción, Paraguay untuk memperagakan hasil rekaan kebayanya sebagai sebahagian daripada proses pencalonan UNESCO.

"Ramai yang terpesona melihat hasil sulamannya. Ada yang menyangka ia dihasilkan menggunakan mesin. Tetapi sebenarnya semuanya dibuat secara manual," jelas Lim.

Kebaya keluaran Ang Eng hanya dihasilkan oleh kumpulan penjahit yang kecil, terdiri daripada 10 orang artisan mahir. Kebanyakannya diperbuat daripada kain Swiss voile, fabrik yang lembut, ringan dan mempunyai pengudaraan yang baik, sekali gus sesuai dengan iklim tropika Malaysia. Fabrik ini juga terkenal kerana ketahanannya.

"Secara purata, kami mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan sehelai kebaya. Proses yang paling memakan masa ialah menghasilkan sulaman kerawang, kerana ia memerlukan ketelitian dan kemahiran tangan yang sangat tinggi, bergantung pada rekaannya. Sebab itu kami hanya mampu menghasilkan sekitar lapan hingga 10 helai kebaya setiap bulan," kata Lim, yang menguruskan butik itu bersama suaminya, Lim Chung Hau.

Yu Lin bersama ibunya, Ong Geok Lean, generasi kedua Ang Eng. – Foto: Lim Yu Lin.

Terkenal dengan penghasilan kebaya yang kekal indah merentasi peredaran zaman, tidak hairanlah mengapa ramai pelanggan Ang Eng kembali mendapatkan busana hasil buatan tangannya.

"Mereka melihat kebaya sebagai pusaka keluarga, sebahagian daripada warisan yang boleh dipakai berulang kali sepanjang hayat sebelum diwariskan pula kepada generasi seterusnya.

"Setiap kali pelanggan kembali ke butik bersama anak atau cucu perempuan mereka, ia sentiasa menyentuh hati saya. Ada juga yang akhirnya menjadi sahabat rapat kami," kongsi Lim.

Pada tahun 2024, sebagai penghargaan terhadap legasi keluarganya, Lim menerbitkan The Journey of Ang Eng, sebuah buku yang memaparkan koleksi kebaya Ang Eng sambil merakam sejarah serta perjalanan jenama tersebut sejak penubuhannya.

Serasi Sepadan

Bagi Lim, dalam dunia yang semakin cenderung kepada fesyen yang pantas kerana faktor harga dan kemudahan, cabaran hari ini adalah mencari keseimbangan antara mengekalkan cara tradisional menghasilkan kebaya Nyonya dengan memperbaharui jenama agar terus relevan serta menarik minat generasi muda.

"Dahulu, kebaya dipakai setiap hari oleh wanita Peranakan. Kini, ia hanya dikenakan pada majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan atau sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

Lim tidak mahu kebaya hanya menjadi bahan pameran di muzium atau sekadar dipakai ketika musim perayaan. Sebaliknya, beliau mahu lebih ramai orang merasai sendiri pengalaman mengenakan kebaya. Hasrat itulah yang melahirkan program "Sewa Kebaya" oleh BikuBiku by Ang Eng.

Melalui program "Sewa Kebaya", pengunjung boleh memilih daripada pelbagai koleksi kebaya Nyonya dalam aneka warna, memadankannya dengan aksesori seperti kerongsang tiga serangkai, serta mendapatkan perkhidmatan dandanan rambut dan solekan. Pengalaman ini seakan-akan menyewa hanbok di Korea Selatan atau kimono di Jepun.

"Ini merupakan satu langkah besar buat kami kerana ini merupakan kali pertama kami menawarkan perkhidmatan seperti ini. Kami ingin menggalakkan lebih ramai golongan muda, termasuk mereka yang mungkin kurang mengenali kebaya, mencubanya dan jatuh cinta dengan warisan ini," kata Lim.

Dengan bayaran RM100, pengunjung boleh menyewa kebaya Ang Eng selama sehingga tiga jam (masa yang lebih daripada mencukupi untuk merakam kenangan bergambar di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad). Bagi mereka yang mahukan lebih masa, kebaya ini juga boleh disewa sehingga 24 jam dengan bayaran RM200.

Pembantu butik turut bersedia membantu pelanggan memilih padanan kebaya dan kain batik yang sesuai, selain memastikan pakaian tersebut dipakai dengan kemas dan selesa.

Jika ada yang beranggapan kebaya Nyonya hanya sesuai dipakai oleh mereka yang bertubuh kecil dan langsing, Lim segera menepis tanggapan itu.

"Saya percaya setiap orang berhak merasai pengalaman memakai kebaya Ang Eng. Sebab itulah koleksi kebaya sewaan kami ditawarkan sehingga saiz 5XL," katanya.

Bukan wanita sahaja yang diberi perhatian. BikuBiku by Ang Eng turut menyediakan Baju Melayu untuk disewa, selain versi pakaian yang lebih kecil untuk kanak-kanak.

Selain perkhidmatan sewaan kebaya, BikuBiku by Ang Eng turut mengadakan demonstrasi secara langsung, memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri ketelitian, kesabaran dan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan sehelai kebaya Nyonya tradisional.

Duduk di hadapan mesin jahit antik yang digerakkan menggunakan pedal kaki, ibu saudara Lim, Ong Yak Bee, tekun menyulam salah satu corak yang dilakar tangan. Walaupun dikelilingi pengunjung yang ingin melihat dengan lebih dekat, namun dia tidak kekok dan terus bekerja dengan penuh teliti tanpa rasa terganggu.

Bagi Lim, beliau gembira melihat kebaya diberi nafas baharu menerusi pelbagai rekaan moden. Namun, beliau percaya tanggungjawab utamanya adalah untuk terus mempertahankan kaedah pembuatan kebaya secara buatan tangan yang diwariskan oleh neneknya.

"Dulu bukan mudah untuk seorang wanita memulakan perniagaannya sendiri. Nenek saya belajar semuanya sendiri. Keberaniannya benar-benar mengagumkan dan membuktikan betapa dalamnya rasa cinta beliau terhadap kebaya. Sebab itu saya mahu memastikan semangat dan warisan itu terus hidup serta diwarisi oleh generasi akan datang," kata Lim.

Hari ini, menerusi kediaman baharunya di Bangunan Sultan Abdul Samad, antara mercu tanda paling ikonik yang melambangkan identiti dan sejarah negara, Ang Eng terus menghubungkan warisan silam dengan kehidupan masa kini. Melalui demonstrasi secara langsung, program sewaan kebaya dan penceritaan tentang sejarah serta seni pembuatannya, butik ini memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih menghargai kehalusan pertukangan di sebalik salah satu busana tradisional paling ikonik di Malaysia. Pada masa yang sama, ia turut mencerminkan aspirasi Warisan KL untuk meraikan insan, tempat dan tradisi hidup yang membentuk jiwa serta identiti unik Kuala Lumpur.

Ketika Malaysia sekali lagi menyambut Hari Kebangsaan pada bulan ini, usaha Lim mengingatkan kita bahawa memelihara warisan bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi memastikan tradisi terus dipakai, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.



Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2