Menghidupkan Semula Alam Semulajadi di KL

Ann Marie Chandy | 28 Julai 2025

Taman Tugu menawarkan ketenangan sambil menjenguk ke dalam warisan hutan hujan simpan di Malaysia. Sebuah muzium hidup di mana warga kota dan juga pencinta alam boleh berhubung semula dengan alam. Foto: Friends of Taman Tugu
SECARA realitinya, pusat bandar mungkin kelihatan seperti satu jaringan jalan raya yang padat dengan pusat membeli-belah, bangunan pencakar langit dan deretan kedai. Tetapi jika diamati dengan lebih dekat, anda akan melihat tanda-tanda kehidupan yang semakin subur: sebuah taman hutan yang dihidupkan semula daripada sisa pembangunan terbengkalai, sebuah ladang yang berkembang pesat di dalam kawasan bersejarah, dan sebuah pusat pembelajaran alam semula jadi yang tersembunyi di dalam taman botani yang lebih lama usianya daripada bandar itu sendiri.

Sempena Hari Pemuliharaan Alam Semula Jadi Sedunia pada Julai 28, oase hijau di bandar kita mengingatkan bahawa pemuliharaan bukan sekadar usaha menyelamatkan hutan hujan yang jauh – ia boleh dan mesti berlaku di dalam kota kita sendiri. Ruang hijau bandar bukan sekadar mencantikkan persekitaran; ia menyejukkan jalan, menyokong biodiversiti, meningkatkan kesejahteraan mental dan menghubungkan semula warga kota dengan alam semula jadi.

Di Pusat Bandar Kuala Lumpur, kebangkitan hijau yang tenang ini sedang dibentuk oleh individu-individu yang berjiwa besar , organisasi yang digerakkan oleh komuniti, serta kefahaman yang semakin mendalam bahawa alam semula jadi dan kemajuan boleh dan seharusnya berjalan seiring. Daripada kebun komuniti Sayur in the City, ke bengkel interaktif di Pusat Pembelajaran Hutan, hinggalah ke denai kanopi Taman Tugu, inisiatif-inisiatif ini menunjukkan bahawa walaupun di jantung KL, masih ada ruang untuk sesuatu yang hidup dan berkembang.
Pengembaraan dalam Pembelajaran di Hutan
Terletak di dalam kawasan hijau seluas 91 hektar di Taman Botani Perdana, Pusat Pembelajaran Hutan (Forest Learning Centre - FLC) menawarkan penduduk kota, peluang untuk mengenali biodiversiti hutan Malaysia secara lebih dekat dan interaktif. Diusahakan oleh Forest House Sdn. Bhd, sebuah syarikat landskap dan pemuliharaan tempatan – dengan sokongan daripada Think City, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pengurusan taman tersebut, pusat ini berperanan sebagai cabang pendidikan dalam kerja-kerja pemuliharaan Forest House.

“Tujuan utama kami adalah untuk mewujudkan sebuah pusat pendidikan kecil yang mana orang ramai boleh datang belajar tentang hutan Malaysia – bukan hanya tumbuhan, tetapi juga hidupan liar bandar dan ekosistem yang menyokongnya,” kata Syuhada Sapno dari Forest House.

Program di FLC merangkumi pameran bertemakan alam semula jadi, bengkel mesra keluarga, serta lawatan selama 1.5 jam yang memperkenalkan pelawat kepada pokok-pokok tempatan, buah-buahan dan herba yang kurang dikenali – dengan aktiviti yang direka untuk menarik minat pelbagai lapisan umur.

Sebagai contoh, program “Ulam on My Mind” bulan lalu mengajak peserta menikmati pagi penuh deria dengan merasa, belajar dan mencipta menggunakan ulam tempatan, sambil meneroka manfaatnya untuk kesihatan otak dan usus.

“Kami menjadikan maklumat lebih mudah difahami dan menyeronokkan,” tambah Syuhada. “Anda tidak perlu latar belakang dalam ekologi untuk menghargai dan menikmati apa yang ada di sini – sesiapa sahaja boleh datang dan merasai keindahan alam ini.” Jika anda berminat, nantikan siri ceramah dan lawatan bertemakan sejarah alam semula jadi yang akan datang, hasil kerjasama bersama Sunda Shelves pada 17 Ogos ini!
Syuhada Sapno memegang buah ‘Monkey Pot’ (Sapucaia) sambil meyakinkan kami bahawa FLC menyampaikan maklumat dengan cara yang mudah difahami dan menyeronokkan! – Foto: Ann Marie Chandy
Pusat ini juga menampilkan pameran interaktif, sudut barangan cenderamata bertemakan botani dan juga stesen cop yang popular bagi para penggemar, dengan pelbagai reka bentuk flora dan fauna yang menarik. Dibuka setiap hari (mengikut temujanji), FLC terus menarik minat penduduk tempatan, pelajar dan juga pelancong antarabangsa yang ingin melihat warisan semula jadi Malaysia dengan perspektif baru. “Malaysia lebih daripada sekadar durian! Pelancong teruja untuk mengetahui tentang pokok-pokok seperti Barringtonia dan kulim, serta pelbagai herba yang kami miliki,” kata Syuhada.
  • The Forest Learning Centre di Taman Botanika kini dibuka setiap hari (mengikut temu janji)
  • Isnin - Jumaat 11pgi–3ptg | Sabtu – Ahad: 10pg–4ptg. Masuk adalah percuma.
  • IG: @theforesthouseflc
Revolusi Hijau Sunyi Taman Tugu
Di antara Menara Kuala Lumpur, Menara 118 dan Bangunan Parlimen terletak sebuah kawasan seluas 26 hektar: Taman Tugu, sebuah hutan bandar yang dihidupkan semula dan terasa seperti dunia berbeza berbanding kesibukan kota.

“Taman Tugu seperti melangkah ke dalam hutan rahsia di sebalik kesibukan bandar,” kata Anwar Sauqie, Pengurus Pengumpulan Dana, Pengaktifan dan Komunikasi untuk inisiatif ini. Dahulunya tanah ini dirancang untuk pembangunan komersial, tetapi sebaliknya ia telah diambil semula dan diubah menjadi salah satu hadiah awam paling berharga di KL: sebuah paru-paru hijau yang semakin subur setiap tahun.

Lebih 5,000 pokok mewakili lebih daripada 230 spesies asli telah ditanam, termasuk pokok-pokok gergasi yang terancam seperti Tembusu, Jelutong dan Pulai. “Anda boleh jumpa pokok-pokok di sini yang biasanya anda perlu pergi ke Taman Negara untuk melihatnya,” kata Anwar. “Ia adalah sebuah muzium hidup warisan hutan hujan Malaysia.” Hidupan liar juga semakin hidup, dengan monyet kera, burung dan fauna tempatan semakin kerap kelihatan di celah-celah kanopi yang semakin lebat.
“Ia lebih daripada sekadar taman awam – ia adalah sebuah ekosistem yang berkembang maju,” jelasnya. “Taman Tugu berfungsi sebagai ruang hijau dan habitat bagi hidupan liar, penapis semula jadi bagi udara bandar, serta koridor untuk pergerakan spesis. Dengan melindungi ruang ini, kita memastikan masa depan KL bukan hanya dipenuhi pencakar langit, tetapi juga tupai, burung, kulat dan pokok-pokok.”

Tapak ini masih menyimpan jejak masa lalunya: pokok kelapa sawit era kolonial dan sisa-sisa kuarters kerajaan yang telah dirobohkan kekal di situ, perlahan-lahan diserang oleh keintiman alam semula jadi.

Selain daripada pemuliharaan, Taman Tugu menggalakkan penglibatan awam melalui program hujung minggu percuma seperti Penyerahan Pokok, Pendidikan Alam Semula Jadi, Zumba Rimba dan Aerodance, yang sering dijalankan dengan kerjasama rakan komuniti. Anwar berkata: “Cabaran terbesar kami ialah menjadikan orang ramai melihat ruang hijau bukan sekadar tempat untuk dilawati, tetapi tempat untuk dilindungi.”
  • Taman Tugu terletak di 94-1, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
  • Dibuka setiap hari dari jam 7 pg hingga 6:30 ptg (kemasukan terakhir pada: 5:45ptg.
  • IG: @friendsoftamantugu 
Program The Sayur In The City ladang bandar dibuka untuk orang awam dengan lawatan taman bulanan, bengkel dan sesi penanaman, semuanya direka agar mesra pemula dan sesuai untuk keluarga. – Foto: Ann Marie Chandy
Makan Sayuran di KL
Di sebalik bangunan YWCA di Jalan Hang Jebat, di bawah bayang-bayang pembangunan yang sedang berlangsung, sebuah oasis hijau yang tenang sedang berkembang. Selama tujuh tahun lalu, tapak yang tidak disangka ini telah berkembang menjadi mungkin satu-satunya ladang bandar yang berfungsi di Pusat Bandar KL – hasil visi dan ketekunan Eats, Shoots & Roots, sebuah perusahaan sosial tempatan yang memperjuangkan ketahanan makanan.

“Apabila kami mula tiba di sini pada tahun 2017, tanah penuh dengan serpihan yang terbiar. Tapak itu telah digali untuk projek MRT,” kenang Shao-Lyn Low, pengasas bersama dan Pengarah Rekabentuk. “Pada mulanya tiada apa yang tumbuh dengan baik. Kami mempunyai bajet yang kecil dan melakukan kebanyakan kerja sendiri, dengan bantuan kawan-kawan dan alat pinjaman. Tetapi kami teruskan usaha. Tanah semakin baik, begitu juga dengan taman.”

Ladang ini bermula sebagai kerjasama dengan Think City, yang menyediakan pembiayaan awal untuk mengenal pasti tapak berpotensi. YWCA ternyata menjadi padanan sempurna – bukan sahaja kerana ruangnya, tetapi juga kerana sekolah vokasional kulinari dan bakerinya. “Kami mahu membina sebuah taman bersama komuniti yang boleh menjaga taman itu – dan semuanya berjalan lancar,” kata Low.

Inisiatif ini akhirnya berkembang menjadi kempen yang lebih besar dinamakan “Sayur in the City”, bertujuan mempromosikan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan yang sesuai ditanam dalam iklim tropika rendah di KL – seperti terung, cili, herba seperti selasih dan pudina, markisa, limau nipis, kacang sayur dan bunga telang.
Kini ladang ini dibuka kepada orang awam dan Eats, Shoots & Roots menganjurkan lawatan taman bulanan, bengkel dan sesi penanaman – semuanya direka untuk mesra untuk mereka yang baru berjinak dan sesuai untuk seisi keluarga. “Kami dapat lihat perubahan yang ketara dalam jenis pengunjung yang datang,” kata Low. “Dulu kebanyakannya peminat pertanian bandar – sekarang kami menerima keluarga, kumpulan sekolah, malah pasukan korporat yang ingin kembali berhubung dengan alam semula jadi.”

Namun, memelihara ruang hijau di KL bukanlah sesuatu yang terjamin. “Pembangunan di sekitar kami sangat pesat. Banyak pokok hujan besar di kawasan ini telah ditebang. Kami bernasib baik masih ada salah satu yang tinggal,” kata Low, sambil berkongsi bagaimana Arkitek-Urbanis dan Pencetus Komuniti Kreatif Joanne Mun serta YWCA berjuang untuk memastikan pokok itu terus hidup.

Dengan sokongan baharu daripada Dana Perusahaan Sosial Yayasan Hasanah, serta perancangan YWCA untuk membuka taman awam, lebih banyak aktiviti komuniti secara kolaboratif sedang dirancang.

“Saya mula menceburi bidang ini 13 tahun lalu semasa krisis jerebu,” tambah Low. “Krisis itu menyedarkan saya bahawa banyak masalah bandar berpunca daripada perbuatan manusia – dan itu bermakna kita juga boleh menyelesaikannya. Itulah sebabnya kami teruskan usaha ini. Setiap ruang hijau, walaupun kecil, tetap penting.”
  • Sayur in the City @ YWCA Kuala Lumpur terletak di 12, Jalan Hang Jebat, City Centre, 50150 Kuala Lumpur.
  • IG: @sayurinthecity

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2