Mengapa Cetakan Masih Penting

ANN MARIE CHANDY | 24 November 2025

LIMA tahun yang lalu, Pesta Buku Seni Kuala Lumpur (KLABF) bermula dengan sebuah eksperimen oleh anak seni, seebuah perhimpunan golongan kreatif yang percaya bahawa cetakan masih penting dalam dunia yang sedang pesat menuju ke arah digital. Hari ini, eksperimen tersebut telah berkembang menjadi salah satu sambutan seni, reka bentuk dan penerbitan bebas yang paling dinanti-nantikan di rantau ini.

Pada 28-30 Nov ini, pesta ini kembali ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) di Kampung Attap, KL dengan edisi terbesar mereka setakat ini, menampilkan lebih 125 pempamer tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara, dan program tiga hari yang padat dengan pameran, bengkel, tayangan, pameran khas dan kolaborasi.  

Pengasas dan pengarah kreatif KLABF, Driv Loo, berkata, “Tahun lepas, seiring dengan edisi 2024, kami telah menjadi tuan rumah buat Pameran Tokyo TDC dan menjemput Kazunari Hattori, seorang idola reka bentuk peribadi saya. Ia merupakan satu pencapaian besar dan menjadikan impian kami satu kenyataan.

“Kami berharap untuk terus menggunakan seni buku sebagai saluran kreatif untuk mencetuskan lebih banyak kesedaran, dialog, dan penghargaan bagi komuniti seni dan reka bentuk di Malaysia.”

Berakar dalam budaya yang diterajui artis

Diasaskan pada tahun 2021, KLABF dibina atas satu aspirasi yang ringkas tetapi amat bermakna, iaitu untuk mengangkat mereka yang membuat penerbitan sendiri dan bahan cetak sebagai satu bentuk ekspresi artistik. Apa yang bermula sebagai ruang untuk pembuat majalah pendek dan ilustrator tempatan kini telah berkembang menjadi satu pertemuan menarik antara pereka, jurugambar, penerbit kecil, penulis dan penggiat seni cetak dari seluruh rantau.

Tahun ini, pesta buku itu menjanjikan pelbagai perspektif, daripada penerbit indie di Tokyo dan Bangkok, kepada kolektif risograf dari Australia, hinggalah studio cetak eksperimen dari Indonesia dan China. Para pengunjung boleh menjangkakan penerbitan edisi terhad, buku seni, poster, cetakan, objek buatan tangan dan banyak lagi, semuanya di bawah satu bumbung.  

Kata Loo, “Sebagai pereka grafik selama berdekad-dekad, cetakan sentiasa menjadi asasnya, akar kepada segala inspirasi yang kita rasa terikat secara emosi. Saya percaya para artis dan pencipta lain juga merasakannya. Ia kekal relevan kerana manusia masih mencari sesuatu yang bersifat nyata. Apabila segala-galanya bersifat sementara di skrin, masih ada nilai pada sesuatu yang boleh disentuh, dirasa dan dipegang.”

Pengasas KLABF, Driv Loo: 'Matlamat kami adalah untuk membangunkan ekologi kreatif yang berdaya tahan dan mampan.'

Ekosistem Kreatif yang Semakin Berkembang

KLABF 2025 bersifat kolaboratif secara sengaja dan ambisius. Programnya merangkumi pameran bahan cetak bersama RJ Paper dan 00123 Books; projeksi pemetaan cahaya oleh Filamen; tayangan filem yang dikurasi bersama Freedom Film Network, Karafuru Visuals, Rumah Kosong dan Borneo Komrad; serta fotobooth Polaroid oleh Zontiga.

Salah satu tumpuan utama ialah pameran reka bentuk grafik daripada penerima 2025 Japan Graphic Designers Association Inc (JAGDA) New Designer Award , Tetsuro Jozaki, Sarene Chan dan Hirokazu Matsuda yang mempamerkan karya pemenang anugerah yang menggabungkan elemen tradisional Jepun dengan sentuhan kontemporari merangkumi poster, arca, pembungkusan dan penjenamaan.    

“Apabila pesta ini berkembang, kami terus bertanya: bagaimana kami boleh memperluas makna sebuah pesta buku seni? Bagi kami, ia berkembangan secara organiki, apa yang bermula dalam penerbitan boleh berkembang menjadi pelbagai medium lain, dan begitu juga sebaliknya,” jelas Loo. “Sebuah buku foto boleh menjadi sebuah fotobooth; helaian boleh menjadi pameran; idea boleh melahirkan tayangan, perbincangan atau instalasi interaktif. Kami melihat perkembangan ini sebagai ‘bacaan lanjut’, kesinambungan kandungan yang melangkaui halaman bercetak.”

Mengangkat Reka Bentuk melalui Koleksi

Bagi para pengumpul, pesta tahun ini memperkenalkan rangkaian barangan edisi terhad KLABF 2025 yang dihasilkan dengan kerjasama Ana Tomy, bersama 22 kulit buku nota eksklusif oleh Mossery yang diilhamkan daripada karya para peserta pameran. Keluaran khas ini telah menjadi antara tarikan yang sangat dinantikan oleh pengunjung tetap, meluaskan lagi identiti pesta ini melangkaui tiga hari penganjurannya.   

Loo berkata, “Ana Tomy dan Mossery ialah jenama tempatan yang dihormati dan menekankan kualiti, pertukangan dan kreativiti. Kerjasama dengan mereka merupakan satu penghormatan kerana kami berkongsi komitmen yang sama dalam menyokong industri kreatif.” Tambahnya lagi, “Kerjasama seperti ini mengukuhkan platform dan memberi peluang kepada kami serta para artis yang terlibat untuk mengembangkan capaian karya mereka kepada pengunjung yang lebih luas.”

Ruang Pertukaran, Perbualan dan Komuniti

Lebih daripada sekadar sebuah ruang jual beli, KLABF telah berkembang menjadi titik pertemuan tahunan untuk para penggiat kreatif dari seluruh Malaysia dan rantau ini. Pelajar datang untuk bertemu idola pereka mereka; pengumpul memburu permata cetakan edisi terhad; penerbit menemui bakal kolaborator; dan artis muda mendapat inspirasi apabila melihat rakan seangkatan mereka cuba menembusi melalui medium cetak.
Selaras dengan semangat meraikan ulang tahun kelimanya, program yang diperluas tahun ini merangkumi syarahan, bengkel, persidangan, pameran, tayangan filem dan persembahan khas yang bertujuan membina ruang yang benar-benar inklusif yang mana idea dapat mengalir dengan bebas.

“Saya harap orang ramai meninggalkan pesta ini dengan rasa lebih terinspirasi, sama ada melalui penemuan artis baharu, berhubung dengan seseorang yang berkongsi minat yang sama, atau sekadar merasa terdorong untuk berkarya. Lebih daripada itu, saya berharap pesta ini kekal sebagai ruang di mana semua orang berkomunikasi, saling menyokong, dan merasa tenaga oleh komuniti di sekeliling mereka.”   

Apabila KLABF memasuki tahun kelima, momentumnya mencerminkan sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di Kuala Lumpur: kelaparan yang semakin meningkat terhadap penerbitan bebas, pertukaran kreatif dan inisiatif yang diterajui artis. Pesta ini mungkin hanya berlangsung selama tiga hari, tetapi kesannya terhadap kerjaya, kolaborasi dan ekosistem reka bentuk yang lebih luas berterusan jauh selepas itu. 

Loo berkata, “Harapan saya ialah KLABF terus berkembang sebagai platform dan inkubator untuk penerbitan bebas, kreativiti dan ekosistem seni yang lebih luas di Malaysia. Saya juga berharap lebih ramai akan menjadi lebih ingin tahu tentang seni dan reka bentuk, lebih banyak bakat berasa ada ruang untuk suara mereka.     

"Akhirnya, matlamat kami adalah untuk membangunkan ekologi kreatif yang berdaya tahan dan mampan, di mana para pencipta menghasilkan karya yang bermakna, dan orang ramai pula aktif menyokong serta menghargai penerbitan tersebut.”

KLABF 2025 disokong oleh Program Geran Komuniti Merdeka 118 Kitaran 3 oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB).
KLABF Secara Ringkas  

Tarikh: 28–30 Nov 2025
Lokasi: Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
Masa:
• Jumaat: 2 ptg – 9mlm
• Sabtu & Ahad: 12ptg – 8mlm
Kemasukan: RM25 pembelian awal / RM30 kemasukan general/ Percuma buat kanak-kanak di bawa 12 tahun

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook KLABF.


Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2