Memelihara Warisan Songkok di Era Moden

Tun Hizami Hashim | 20 Mac 2026

Di Patimah & Anak-Anak, setiap jahitan membawa cerita – Zulfadli Rusdi meneruskan legasi pembuatan songkok tiga generasi, di mana tradisi dipakai dengan penuh kebanggaan.

SETIAP kali musim perayaan, khususnya Hari Raya Aidilfitri, para lelaki sering dilihat lengkap berbaju Melayu dan bersongkok. Walaupun ianya sebahagian daripada pakaian tradisional, penutup kepala ini bukan sekadar aksesori, ia melambangkan identiti, adat, dan tradisi yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Nusantara sejak zaman-berzaman.

Hari ini, ketika Kuala Lumpur terus berkembang, usaha seperti Warisan KL menekankan kepentingan memastikan tradisi-tradisi ini kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Is kekal bukan sekadar simbol kepada masa lalu, tetapi sebagai amalan hidup yang terus dipelihara oleh komuniti dan para penggiat kraf.

Sejarah songkok dapat dijejaki seawal abad ke-19 dan dipercayai dipengaruhi oleh tarbus Turki Uthmaniyah yang dibawa oleh pedagang India Muslim dan Arab. Istilah songkok pula dipercayai berasal daripada pakaian adat Bugis, Songko’ Recca, yang diperbuat daripada gentian sabut atau pokok palma. Seiring dengan masa, songkok telah berevolusi menjadi simbol budaya yang bukan sahaja dipakai semasa perayaan, tetapi juga dalam majlis rasmi istana serta upacara keagamaan di masjid.

Legasi Patimah & Anak-anak

Di Malaysia, syarikat Patimah & Anak-Anak, yang terletak di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur adalah antara kedai yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan tradisi ini. Mereka mencerminkan warisan yang hidup yang pastinya Warisan KL sentiasa berusaha untuk menyokong.
Menurut pengurus syarikatnya, Zulfadli Rusdi, kedai ini adalah perniagaan keluarga sejak tahun 1971 dan kini diurus oleh generasi ketiga.

Di Patimah & Anak-Anak di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, tradisi bukan sekadar dipelihara – ia dihidupi setiap hari, satu cerminan warisan yang tenang namun berterusan, yang terus diperjuangkan oleh Warisan KL.

“Patimah ialah nama nenek saya. Kedai kami memang dari dahulu lagi beroperasi di sini. Pada ketika itu, kawasan ini adalah kawasan setinggan. Selepas ayah saya mengambil alih pada tahun 1976, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah membangunkan kawasan ini.” jelasnya mengimbas sejarah perniagaan keluarganya.

Zulfadli, yang memiliki kelulusan dalam teknologi percetakan mula menguruskan kedai ini pada tahun 2013, selepas menamatkan kerjaya sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta.

Tradisi & Inovasi

Keunikan songkok Patimah & Anak-Anak terletak pada pembuatannya secara tradisional, daripada versi biasa sehingga premium dengan harga antara RM19 hingga RM100.
 
“Perbezaan utama antara songkok biasa dan premium ialah jenis kain dan struktur bahagian dalamnya. Songkok premium dibuat dengan lebih teliti dan menggunakan baldu berkualiti tinggi,” kata Zulfadli.
      
Selain itu, kedai ini turut menerima tempahan songkok rekaan khas, pelanggan juga berpeluang menyesuaikan bentuk, ketinggian dan saiz, mengikut citarasa masing-masing.

“Kebiasaannya, mereka yang menempah songkok lebih menitikberatkan rekaan. Ada yang mahukan permukaan atas songkok yang rata, ada yang menekankan ketinggian tertentu, dan ada juga yang memilih kain khusus. Dengan setiap tempahan sebegini, kami dapat mengekalkan kualiti tinggi dan nilai seni tradisional dalam setiap rekaan,” jelasnya.

Dalam pelbagai hal, keseimbangan antara tradisi dan penyesuaian ini mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam bandar ini, di mana warisan bukan sesuatu yang statik, tetapi terus berkembang seiring dengan cita rasa kontemporari sambil mengekalkan intipati budayanya.
         
Pada masa ini, proses pembuatan songkok dikendalikan oleh bapa saudaranya di kilang yang terletak di Kampung Pandan dan Gombak, dengan anggaran tenaga kerja seramai lima orang.
Pelanggan Setia

Majoriti pelanggan kedai songkok yang diuruskan oleh Zulfadli adalah pelanggan tetap, termasuk generasi yang datang secara turun-temurun. Ini membuktikan kraf tradisional masih kekal relevan selagi ia berakarkan komuniti.

“Ada pelanggan yang dahulu datang bersama ayah mereka semasa kecil, dan kini mereka telah berkahwin dan membawa pula anak sendiri. Itu memberikan kepuasan besar kerana kami kerana dapat mengekalkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan,” tambah Zulfadli.
   
Selain itu, kedai ini turut menerima tempahan secara tender daripada pelanggan korporat dan agensi kerajaan, termasuk Polis Diraja Malaysia.

“Bagi agensi kerajaan, songkok biasanya ditempah untuk majlis rasmi, upacara protokol, atau acara korporat. Ini memberi cabaran kepada kami kerana setiap rekaan bukan sahaja perlu menepati citarasa, tetapi juga memenuhi standard kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan,” jelasnya.

Malah, kedai ini juga menerima pelanggan daripada kalangan VIP, termasuk ahli politik Khairi Jamaluddin, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pengeluar songkok berkualiti tinggi dengan nilai seni tersendiri.

Keunikan dan kepelbagaian rekaan songkok di kedai ini turut menarik minat pelanggan daripada pelbagai kaum, termasuk komuniti India dan Cina, khususnya bagi mereka yang memerlukan songkok untuk majlis perkahwinan atau upacara khas. Ini menyerlahkan bagaimana objek warisan mampu melangkaui sempadan budaya dalam sebuah bandar moden yang pelbagai.
   
“Saya berasa gembira apabila dapat membantu pelanggan bukan Melayu memilih songkok yang sesuai. Ada kalanya mereka keliru antara kopiah dan songkok. Jadi di sinilah kami memainkan peranan, memberi panduan serta nasihat supaya mereka membuat pilihan yang tepat,” ujarnya lagi.
Perubahan Keutamaan

Setiap perniagaan pasti mempunyai cabaran tersendiri, dan bagi Zulfadli, perniagaan songkok tidak terkecuali. Cabaran terbesar yang dihadapi adalah pakaian tradisional ini semakin dipinggirkan oleh generasi muda, yang kini lebih cenderung kepada fesyen moden.

Oleh itu, bagi mengatasi cabaran ini, Zulfadli bersama pasukannya mengambil pendekatan strategik dengan mengikuti perkembangan trend fesyen semasa melalui katalog dan media sosial.

“Hasil kajian kami menunjukkan generasi Z kini lebih gemar songkok dengan permukaan atas yang rata berbanding rekaan mahkota tradisional. Jadi kami mengubah beberapa elemen rekaan tanpa menjejaskan identiti tradisi songkok. Pendekatan ini memberi kesan positif kepada perniagaan kami sejak dua tahun lalu,” jelas Zulfadli mengenai inovasi rekaan yang diterapkan di kedainya.

Usaha sebegini mencerminkan penekanan yang lebih meluas dalam Warisan KL menunjukkan warisan terus kekal, ia perlu sentiasa relevan, mudah diakses dan responsif terhadap perubahan gaya hidup.
       
Selain itu, kehadiran pandemik COVID-19 pada tahun 2020 juga menjadi titik tolak bagi mereka untuk menyesuaikan strategi perniagaan dengan realiti baharu, termasuk memperluaskan penjualan melalui platform dalam talian.

“Kami sedar bahawa pelanggan kini lebih cenderung membeli secara digital, dan kami memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan rekaan songkok kami. Walaupun penjualan secara maya semakin popular, ramai pelanggan kami masih lebih gemar datang ke kedai untuk mencuba dan membeli songkok sendiri,” jelasnya lagi.
       
Sudah menjadi kebiasaan setiap tahun, apabila tiba musim perayaan kedai Zulfadli tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelanggan.
 
Menurut Zulfadli, walaupun ada pelanggan yang berpendapat harga songkok semakin meningkat, kenaikan itu disebabkan oleh kos bahan mentah dan upah pekerja.
        
“Musim perayaan adalah waktu paling penting bagi perniagaan kami. Biasanya, dua minggu menjelang Hari Raya merupakan tempoh paling sibuk. Dahulu, songkok dijual sekitar RM10, tetapi harga terpaksa dinaikkan. Walau bagaimanapun, kami masih mengekalkan tradisi tawar-menawar dengan pelanggan, selain dapat menambahkan suasana yang meriah,” katanya.
Warisan Masa Hadapan

Melihat ke hadapan, Zulfadli berhasrat untuk mengembangkan perniagaan bukan hanya kepada songkok, tetapi juga pakaian tradisional lain seperti baju Melayu dan baju kurung.

Kini, beliau turut mula mendidik kedua-dua anaknya mengenai selok-belok perniagaan, dan membimbing mereka memahami setiap peringkat proses pembuatan songkok bagi memastikan legasi keluarga dapat diteruskan.
  
Dalam pelbagai sudut, perniagaan seperti Patimah & Anak-Anak menggambarkan apa yang ingin dipelihara oleh Warisan KL, ia bukan sahaja bentuk warisan budaya, tetapi juga mata pencarian, kemahiran dan komuniti yang memberi makna kepadanya.

Pendekatan ini memastikan warisan tidak terhad kepada kenangan semata-mata, tetapi terus dihayati, dipakai dan diwariskan, sekali gus membentuk identiti Kuala Lumpur untuk generasi akan datang.

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2