Memelihara Warisan Melayu Klasik dalam Era Moden

TUN HIZAMI | 1 Februari 2026

Tok Dalang Muhammad Dain Othman menunjukkan cara persembahan wayang kulit kepada para peminat seni ini semasa sesi percubaan Fusion Wayang Kulit. – Foto: Tun Hizami

DI sebalik kamar gelap, hanya cahaya menembusi layar putih. Irama serunai, gendang dan gong bergema, disertai suara tok dalang yang memandu naratif, menghidupkan bayang-bayang patung watak yang kaku. Seterusnya menjadi hiburan para penonton. Itulah nyawa seni wayang kulit, yang bermula di Malaysia sekitar abad ke-15 dengan pengaruh dari India, China, Thailand dan Indonesia.

Hari ini, warisan klasik ini sering dilihat semakin pudar. Sebagai respons, usaha untuk memastikan seni ini terus hidup diteruskan – termasuk penganjuran kelas percubaan percuma oleh Fusion Wayang Kulit di GMBB, sebuah pusat komuniti kreatif di Kuala Lumpur. Fusion Wayang Kulit ialah sebuah kolektif pemenang anugerah yang berusaha menghidupkan semula seni wayang kulit Malaysia dengan menggabungkan penceritaan tradisional bersama elemen budaya pop dan sains fiksyen.

Antara peserta termuda yang mengikuti kelas percubaan ini ialah Ayril Faayadh Mohd Fuaad, berusia 12 tahun. Kongsi Ayril, “minat terhadap wayang kulit mula timbul selepas menonton persembahan seni tersebut di Aswara pada tahun 2023”.  

Pada mulanya, dia berasa takut apabila melihat ukiran patung-patung watak yang diperbuat daripada kulit lembu itu. Akan tetapi selepas mencubanya sendiri, perasaan itu perlahan-lahan pudar dan dia mula merasakan warisan Melayu tradisional ini dekat di hatinya.

Ayril Faayadh Mohd Fuaad, 12 tahun (tengah), gembira kerana minatnya terhadap wayang kulit mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan sekolahnya.

Seri Rama, seorang raja di kerajaan mitos Seusia Mendarapura menjadi watak kegemarannya, dan kini, selain mengasah bakat sebagai tok dalang, dia juga melukis serta menghasilkan patung-patung karakter sendiri untuk persembahan.

Dia turut berasa bertuah kerana minatnya terhadap seni wayang kulit mendapat sokongan penuh daripada keluarganya dan rakan-rakan sekolah.    

Lain pula kisah wanita berusia 28 tahun, Gwen Lyne, yang mengakui telah mengenali seni wayang kulit sejak kecil, tetapi keinginan untuk mencubanya hanya timbul tahun lalu selepas menyaksikan persembahan oleh The Wayang Women, sebuah kumpulan wanita antarabangsa.   

Setelah mengikuti kelas percubaan percuma ini, dia menyedari bahawa kemahiran pendengaran dan koordinasi tangan amat penting kerana gerakan patung-patung watak perlu selari dengan alunan muzik tradisional.
Menurut Gwen, kelas ini telah memupuk minatnya untuk mendalami seni wayang kulit dan berhasrat untuk terus menyertai kelas mereka yang akan dijalankan pada bulan Februari nanti.

Tintoy Chuo di booth Sony semasa acara Cos-Mic tahun lalu, di mana patung wayang kulit yang dihasilkan untuk PlayStation Studios Asia dan Sony Pictures Malaysia dipamerkan . – Foto: FB

Dalami Wayang Kulit bersama Wayang Kulit di Fusion Wayang Kulit

Menurut pengasas Fusion Wayang Kulit, Tintoy Chuo, kelas rasmi mereka akan dijalankan dua kali sebulan, iaitu pada minggu kedua dan keempat, selama tiga jam setiap sesi. Program ini menawarkan lapan peringkat pembelajaran, terbuka untuk peserta berusia 15 tahun dan ke atas, dengan yuran bermula RM300.

“Hasrat untuk menganjurkan kelas wayang kulit telah timbul sejak tahun lalu, saya bersyukur kerana akhirnya mendapat sokongan tajaan daripada Yayasan Hasanah, sebuah yayasan yang memacu impak di bawah Khazanah Nasional, serta Arts for All Seasons (ArtsFAS), yang membolehkan kelas ini dijalankan secara teratur dan berstruktur,” tambah Tintoy.   

Selain menganjur kelas ini, Tintoy juga mempunyai pengalaman kukuh dalam seni wayang kulit, khususnya dalam menghasilkan patung-patung watak moden, termasuk karakter daripada dunia Star Wars seperti Darth Vader, Imperial Stormtrooper dan Princess Leia.

Wira yang sama, bayang yang berbeza: Adiwira tampil dalam bentuk baharu melalui patung wayang kulit moden Fusion Wayang Kulit.

Walaupun bakat melukisnya telah terserlah sejak usia empat tahun, Tintoy hanya diperkenalkan kepada seni wayang kulit pada tahun 2012, ketika menghadiri pameran seni “Designers Weekend” di Publika Shopping Gallery.

Detik itu menjadi titik permulaan perjalanannya untuk mendalami warisan wayang kulit, dan melalui pengenalannya bersama Tok Dalang Muhammad Dain Othman (aka Pak Dain), mereka mula mengembangkan seni warisan itu kepada masyarakat.

Pak Dain merupakan seorang pengamal wayang kulit mahir dari Kelantan yang berkongsi ilmunya di Kuala Lumpur.

Kenali Pak Dain

Pak Dain merupakan pengamal Wayang Kulit Kelantan tradisional generasi ke-13 dan juga tenaga pengajar utama bagi program di Fusion Wayang Kulit.  

Kata Pak Dain, pembelajaran terbahagi kepada tiga tahap, bermula dengan teori yang merangkumi pemahaman sejarah seni wayang kulit, pengenalan kepada watak-watak patung, serta penghayatan terhadap muzik tradisional.   
  
Pada tahap kedua pula, peserta mengikuti demonstrasi yang memberi tumpuan kepada pemahaman dialog dan jalan cerita, termasuk teknik penyusunan naratif dalam persembahan wayang kulit.   

Manakala, di tahap terakhir pula menumpukan pada praktikal, di mana peserta diberi peluang mengendalikan persembahan secara penuh, menggabungkan teori dan teknik yang telah dipelajari untuk pengalaman sebenar sebagai Tok Dalang.   

“Tiada istilah terlambat untuk menguasai ilmu wayang kulit,” Kata Tok Dain. Meskipun berasal dari Kampung Morak di Tumpat, Kelantan, tanah kelahiran wayang kulit di Malaysia, dia hanya menguasai ilmu itu pada usia 30 tahun.   

Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam seni wayang kulit sejak 1990-an, Pak Dain telah menyaksikan evolusi persembahan daripada bentuk tradisional kepada adaptasi fusion, termasuk pengenalan watak-watak kontemporari, muzik moden seperti EDM, serta elemen hiburan yang lebih dekat dengan generasi muda.
Malah, selari dengan teknologi baharu, Pak Dain turut mengaplikasikan Artificial Intelligence (AI) dalam persembahan, contohnya menggunakan suara digital bagi suatu watak tertentu.   

Selain mengekalkan penggunaan dialek Kelantan, dia juga memperkayakan persembahan dengan Bahasa Melayu kontemporari dan Bahasa Inggeris, bagi menarik penonton daripada pelbagai latar belakang.

Katanya lagi, “Tiada halangan untuk memodenkan seni ini selagi lima prinsip utamanya iaitu cerita, muzik, watak, ciri fizikal, dan perkembangan, tetap dihormati”. 

Biarpun ada yang berpendapat seni wayang kulit semakin dilupakan, pengalaman Pak Dain membuat persembahan di peringkat antarabangsa, termasuk di Jerman, Austria, Thailand, Jepun, dan terbaharu Taiwan, membuktikan bahawa seni ini masih relevan dan diminati penonton global.    

Lebih membanggakan, dia bersama rakannya Tintoy juga pernah bekerjasama dengan Sony Pictures Malaysia untuk menghasilkan patung wayang kulit bagi watak Venom pada tahun 2024.   

Dengan berlangsungnya Visit Malaysia 2026, Pak Dain berharap kerajaan dan para penggiat seni dapat merebut peluang ini untuk mempromosikan wayang kulit dengan lebih meluas.   

Dia menekankan bahawa inisiatif ini bukan sahaja dapat memastikan seni tradisional terus dihargai, dipelajari, dan diwarisi oleh generasi baharu, malah turut berpotensi menarik minat pelancong terhadap warisan budaya tempatan.

Fusion Wayang Kulit 
Lokasi: GM-3-29 (Aras 3), GMBB KL, No. 2, Jalan Robertson, 50150 Kuala Lumpur, Malaysia
Waktu Operasi Galeri: 11 pagi – 8 malam, setiap hari
Aktiviti: Latihan Tok Dalang Wayang Kulit, bengkel pembuatan patung dan lawatan berpandu
Hubungi: [email protected]

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2