Kuil yang Menyinar di Hati Kota

SOFIA SHAMSUNAHAR | 19 Oktober 2025

INGIN merasai kemeriahan sambutan Deepavali yang bakal tiba? Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee, pusat bandar Kuala Lumpur mungkin destinasi yang tepat untuk anda.

Terselit di antara bangunan-bangunan di Chinatown, kuil ini terletak di kawasan menarik yang mencerminkan jiwa pelbagai budaya Malaysia – dengan Tokong Guan Di di hujung jalan, kafe hipster berhampiran, dan Pasar Seni yang sentiasa sibuk hanya beberapa langkah sahaja jauhnya.

Ditubuhkan pada tahun 1873, Sri Maha Mariamman merupakan kuil Hindu tertua di Malaysia, dan mungkin juga sebab mengapa Deepavali mula disambut di kuil-kuil seluruh negara.

Menurut setiausaha kuil, Sethu Pathy Cumarasamy, pendatang India yang datang ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang getah, pembinaan landasan kereta api, dan Jabatan Kerja Raya, akan berkumpul di sini untuk sembahyang sempena Deepavali.

“Kuil Sri Maha Mariamman dianggap sebagai ‘ibu’ kepada semua kuil di negara ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 1873, kami menjadi perintis dalam sambutan Deepavali di kuil,” kata Cumarasamy.

Menara gopuram Kuil Sri Maha Mariamman yang menjulang tinggi (di tengah), gaya binaan India Selatan ini menampilkan ukiran dewa-dewi dan figura mitos yang rumit merentasi lima tingkatnya. Bahagian dalam kuil pula mengagumkan dengan mural berwarna-warni, lukisan dinding (fresko), dan perincian hiasan yang menghidupkan mitologi Hindu.

Persiapan Menyambut Perayaan Cahaya

Dua minggu sebelum Deepavali, kuil ini akan mula menjalani transformasinya. Lampu hiasan dipasang, sebuah ritual penting memandangkan Deepavali sememangnya dikenali sebagai perayaan cahaya.

Dalam beberapa hari menjelang sambutan, puja khas (upacara sembahyang) diadakan sebagai penghormatan kepada perayaan ini. Ia berlangsung di luar waktu sembahyang harian biasa, disertai dengan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan hiasan kuil sebagai persediaan untuk hari istimewa tersebut. 

Sehari sebelum perayaan, sebatang pokok pisang yang lengkap dengan buahnya akan diikat di pintu masuk kuil, adat yang akan dilakukan dalam semua acara Hindu kerana dianggap membawa tuah. 

“Pokok pisang melambangkan pertumbuhan generasi kita,” jelas Cumarasamy. Dalam kuil pula, para pendeta dan penganut akan bersiap sedia untuk abishegam, iaitu sebuah upacara di mana patung-patung dewa akan dimandikan dengan air, susu, jus tebu dan juga persembahan harum, sebuah ritual yang menyucikan ruang dan menyegarkan semangat.

Valli, 76, akan duduk di luar kuil setiap hari, tangannya cekap menyusun bunga melur , kekwa dan orkid untuk dijadikan kalung harum. Dia memulakan kerja seawal jam 10 pagi, bagi menghasilkan kira-kira 10 beg setiap hari, kehadiran menyerikan suasana di sisi anak saudaranya, di tengah-tengah kesibukan kuil dan penganutnya di situ.

Tradisi Bertemu Kota Moden

Jika anda berdiri di luar kuil dan mendongak ke atas, anda akan melihat gopuram setinggi 22.9 meter dengan lima tingkat yang mengagumkan, dihiasi lebih daripada 200 ukiran dan dewa-dewi berwarna-warni yang menjulang ke langit. Dari sudut-sudut tertentu, ia kelihatan seolah-olah dibingkai oleh Merdeka 118, pencakar langit setinggi 678.9 meter yang menjadi simbol kemajuan dan kemasyhuran Malaysia, sambil memerhati kawasan bersejarah di tengah bandar.

Perbezaan ini amat ketara, yang lama dan suci berdampingan dengan yang baru dan bercita-cita tinggi. Ini menimbulkan persoalan: Mampukah Kuil Sri Maha Mariamman terus relevan dalam arus pemodenan kota raya?

“Dari segi ritual, tiada perubahan. Kami masih mengamalkan cara yang sama seperti seratus tahun dahulu. Tetapi apabila jumlah penganut bertambah, kami perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan zaman,” kata Cumarasamy. 

Penyesuaian ini boleh dilihat dalam perubahan kecil tetapi penuh makna. Jika dahulu lampu minyak tanah menerangi kuil, kini ia disinari lampu elektrik berwarna-warni. Para penganut juga mencerminkan perubahan zaman, pakaian mereka kini dipengaruhi oleh fesyen moden. 

“Dulu mereka akan pakai sari dan chudithar. Sekarang ada pelbagai jenis dan warna. Filem pun banyak mempengaruhi gaya yang mereka pilih,” tambah Cumarasamy.

Alami keindahan kuil

Walaupun terdapat sentuhan moden, jiwa tradisi dan sejarah kuil ini kekal utuh. Upacara harian abishegam dan puja, yang selalunya disertai dengan mantra dalam bahasa Sanskrit, masih diteruskan seperti yang diamalkan sejak turun-temurun.

Bunyi berirama alat muzik nadaswaram (alat tiupan bereed ganda) dan thavil (gendang tong) memenuhi ruang udara, mewujudkan suasana yang meditatif dan penuh kekuatan. Salah seorang pendeta kuil menjelaskan bahawa mantra-mantra inilah yang membawa ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam kuil. 

Vengadesan, seorang pemain nadaswaram yang telah membuat persembahan di pelbagai kuil selama bertahun-tahun, berkongsi bahawa dia telah menghafal ribuan lagu pujaan yang digunakan dalam upacara harian, dan bagaimana setiap raga (melodi) mempunyai makna yang tersendiri serta membantu menghubungkan jiwa dengan kepercayaan para penganut.

Pemusik kuil mengisi ruang dengan irama suci, dentuman dalam thavil (kanan) dan tiupan nyaring nadaswaram membimbing para penganut dalam sembahyang dan perayaan.

Melawat Semasa Deepavali

Alami sendiri tempat yang menjadi perintis sambutan Deepavali di kuil-kuil Kuala Lumpur sempena perayaan kali ini. Hadirlah dengan pakaian baru – satu tradisi perayaan yang melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.

Dianggarkan sekitar 3,000 penganut akan hadir untuk sembahyang sempena perayaan ini. Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran, pihak kuil mengupah tambahan anggota keselamatan serta mengalu-alukan sukarelawan untuk membantu menguruskan orang ramai.

Semua, tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan, dialu-alukan untuk berkunjung di sini, asalkan anda menanggalkan kasut dan menutup bahu sebelum masuk.

“Kami mengalu-alukan semua orang. Kami ingin menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan etnik. Kami harap pelancong menghormati sensitiviti agama di tempat ini,” kata Cumarasamy.

Walaupun pencakar langit terus muncul di sekelilingnya, Kuil Sri Maha Mariamman kekal sebagai satu tempat suci yang bercahaya, lokasi di mana ritual berusia berabad lamanya masih terus diamalkan di tengah-tengah kota yang sedang pesat berubah. Bagi sesiapa yang ingin merasai semangat sebenar Deepavali, kuil bersejarah ini bukan sekadar memberi gambaran tentang kepercayaan, tetapi juga satu hubungan yang hidup dengan warisan Kuala Lumpur yang berterusan.

Kuil Sri Maha Mariamman
Alamat: 163, Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur (perjalanan yang singkat dari Pasar Seni MRT/LRT dan Pasar Seni)
Dibuka pada: Setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 8.30 malam (terdapat jadual bagi Pooja, Abishegam dan pemujaan Thirukkapu). Nota: Fotografi dibenarkan untuk kawasan tertentu sahaja, tetapi anda dinasihatkan untuk meminta izin sebelum mengambil gambar ritual dan waktu sembahyang.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2