Amirul Zain | 10 Jun 2025
Anda akan jumpa Secawan, yang terletak dalam Pasar Seni, di sebelah Pasar Besar – sebuah konsep kedai runcit bercampur pasar artisan, di mana tradisi dan trend bertemu. Baru sahaja beroperasi selama dua tahun, kafe kecil ini sudah mula mencipta nama kerana kedainya yang memiliki kuih yang setara dengan kecantikan hiasan.
Walaupun nasi lemak mereka cukup digemari, tumpuan sebenar di sini ialah kuih-muihnya — Dengan air tangan mereka yang telah diolah dengan penuh teliti. Antara yang paling laris termasuk seri muka yang lembut berkrim, kuih tai tai berwarna biru lembut, dan lepat pisang harum berintikan pisang yang ranum. Resipi berasaskan warisan lama, namun disesuaikan agar rasa dan teksturnya kekal konsisten dan seimbang.
Ainul, seorang staf muda yang baru dipindahkan dari kaunter pembayaran ke bahagian kafe, kelihatan berseri-seri apabila bercakap tentang kuih. “Pelancong selalunya teruja tengok warna kuih – mereka ingat semua tu pewarna tiruan,” katanya sambil ketawa. “Tapi kami guna pewarna semula jadi saja, dari bunga telang sehingga ke pandan.”
Walaupun suasana di sini moden dan kontemporari, mereka tetap memberikan layanan mesra di sebalik kaunter. Setiap kuih disediakan segar pada waktu pagi dan selalunya habis terjual menjelang petang — bukti permintaan yang semakin meningkat terhadap kuih tempatan yang bukan sahaja penuh nostalgia, tetapi juga “Instagram-able”. Ruang makannya ringkas namun selesa, dengan gabungan motif jubin tradisional dan rekaan industri moden — sesuai untuk singgah berehat sebentar sambil menjenguk kedai-kedai di Pasar Seni.
Nyonya Colours, NU Sentral, segalanya tampak kemas dan teratur — daripada layanan, susun atur sehinggalah ke kuih-muihnya. Namun di sebalik semua itu, kemesraan dan ketulusan mereka membuatkan kita terasa dekat. Rangkaian kedai yang sudah lama bertapak ini telah berjaya menambat hati ramai rakyat Malaysia, menyajikan kuih yang bukan sahaja sedap, tetapi juga boleh dipercayai dari segi kualiti dan rasa.
Cawangan di NU Sentral telah beroperasi selama lebih 12 tahun, dan Dwi pula, seorang penyelia kedai yang lembut tutur katanya, telah bersama mereka selama sembilan tahun. “Dah lama sebenarnya,” katanya, “tapi rasa macam bukan kerja. Kawan sekerja — malah pelanggan tetap — semua dah macam keluarga.”
Walaupun ada yang mungkin menganggap rangkaian seperti ini terlalu komersial, Nyonya Colours mengambil serius soal kualiti. Kuih mereka dihasilkan dalam dapur pusat di Damansara, menggunakan resipi serantau dari seluruh Nusantara — merangkumi Malaysia, Singapura, hingga ke selatan Thailand. Setiap cawangan menerima penghantaran segar tiga kali sehari (8 pagi, 10 pagi, 3 petang), memastikan kuih yang anda nikmati pada waktu minum petang sentiasa segar.
Berbeza dengan sesetengah gerai di mana tekstur atau tahap kemanisan kuih tidak konsisten antara satu loyang dengan loyang yang lain, Nyonya Colours menawarkan konsistensi itu. Sama ada anda teringin kuih bingka yang kenyal, kuih lapis yang berkilat, atau cucur udang yang rangup — semuanya ada di sini, persis seperti yang anda ingat.
Kuih bukan hanya sekadar pencuci mulut — ia adalah ringkasan budaya. Setiap satunya menyimpan kenangan, ketelitian dan identiti dalam saiz kecil. Sama ada dikukus dalam buluh di tepi jalan, dihidang di kafe moden, atau disusun kemas di kedai berantai — kuih kekal sebagai satu nikmat harian. Sesuatu untuk dikongsi, sesuatu untuk dirindui, dan sesuatu yang mengingatkan kita bahawa dalam hiruk-pikuk kota, masih ada ruang untuk kita berhenti sejenak.
Jadi, jika anda berada di tengah-tengah Kuala Lumpur dan terasa ingin sesuatu yang manis namun menenangkan — lupakan kek cawan. Pilihlah kuih-muih sebagai penggantinya.
Discover more stories