WAN NOR ALIA WAN ALI | 12 Januari 2026
Di segenap penjuru ibu kota, para artis, usahawan dan pengamal budaya bekerja keras dan konsisten bagi mengaktifkan kejiranan, membina ekosistem dan mewujudkan ruang yang dekat dengan warga kota serta pelawat. Ketika 2026 bermula, suara-suara ini menawarkan potret Kuala Lumpur yang berpijak di bumi nyata, sebagai kanvas dan juga sebagai rumah.
Tidak lengkap sesebuah kitaran kreatif tanpa seniman yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai tapak kerja mereka. Bagi Jun Ong, artis instalasi cahaya dan pengasas bersama Matlab, tahun 2025 menandakan satu titik perubahan yang penting.
“2025 merupakan tahun yang sangat bermakna dan transformatif buat kami. Pencapaian terbesar sudah tentu pelancaran Matlab, sebuah pusat sumber bahan di Kuala Lumpur yang diasaskan melalui kolektif POW Ideas,” kongsi Ong.
Direalisasikan dengan sokongan geran Think City, Matlab diwujudkan sebagai platform terbuka untuk arkitek, pereka, artis dan pelajar berkongsi pengetahuan serta meneroka kemungkinan baharu dalam penggunaan bahan. Lebih daripada sekadar ruang fizikal, Jun melihat perubahan yang lebih besar sedang berlaku dalam landskap industri kreatif bandar.
“Terdapat peralihan daripada tumpuan kepada estetika semata-mata kepada perbincangan yang lebih mendalam tentang proses, bahan, kelestarian dan konteks tempatan,” jelasnya. “Banyak inisiatif kecil dan bebas muncul, ruang alternatif, pameran eksperimental dan kolaborasi rentas disiplin yang menunjukkan ekosistem kreatif kini lebih berlapis dan berakar. Pendekatan hari ini juga terasa lebih reflektif dan berpandangan jauh berbanding tahun-tahun sebelumnya.”
Apabila berbicara tentang menghabiskan masa di kota, Jun cenderung kepada ruang-ruang yang membenarkan idea berkembang secara organik. “Kami gemar ke galeri kecil, studio rakan-rakan, sesi artist talk, open studio, atau sekadar berjalan kaki di kawasan lama KL seperti Chow Kit dan Jalan TAR. Aktiviti berskala intim selalunya membuka perbualan yang lebih jujur dan bermakna,” katanya. “Tahun lalu kami juga menjalankan satu walking tour bersama HURUF untuk mengkaji papan tanda lama di sekitar KL dari sudut bahan dan rekaan.”
Menjelang tahun-tahun mendatang, Jun berharap sokongan terhadap seni dan budaya dapat dilakukan secara konsisten dan jangka panjang, bukan sekadar melalui acara atau projek sementara, tetapi menerusi pembangunan ruang, perkongsian ilmu dan pemupukan bakat. “Kami juga berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mendokumentasi dan arkibkan budaya serta warisan dalam konteks kontemporari. Sokongan organisasi seperti Think City amat penting untuk membina ekosistem yang berdaya tahan, inklusif dan relevan.”
Discover more stories