Komuniti Lost Prints menghidupkan semula seni cetakan

GOH CHEE KIAN | 6 Mei 2025

Terletak di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Panggong, Kuala Lumpur, ruang seni kontemporari Lostgens’ sedang memulakan sesuatu yang baharu, dengan mengangkat semula seni cetakan lama seperti letterpress.

Apabila anda menaiki tangga, anda boleh lihat perubahannya – jika dahulu dinding-dindingnya dipenuhi poster pameran seni yang lepas, kini ia menampilkan pengumuman bengkel letterpress dan acara pembuatan kertas oleh komuniti The Lost Prints.

Ruang yang tersusun rapi yang kini menjadi hab untuk seni cetakan ini telah diwujudkan oleh seniman Yeoh Lian Heng, 46, yang telah menghabiskan masa selama lima tahun bagi menyelamatkan mesin-mesin letterpress lama, membaiki dan memulihkannya supaya dapat berfungsi semula.

Usahanya mencerminkan dedikasi dalam diam, dia nekad dalam memelihara tradisi bengkel cetakan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.

Yeoh, pengasas Lostgens’ dan penggerak utama The Lost Prints, mula menempuh jalan ini selepas mengetahui tentang penutupan San Sang Press, sebuah bengkel cetakan di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1937.
“Saya sebenarnya tak tahu pun macam mana nak buka studio letterpress. Tapi saya tahu saya tak boleh biarkan mesin-mesin ini – dan segala nilai disebalik mesin lama ini – dibuang begitu sahaja.”

Yeoh, founder of Lostgens
Apabila pandemik memaksa kedai tersebut menutup operasinya pada pertengahan tahun 2020, Yeoh tahu dia perlu bertindak – bukan sahaja untuk menyelamatkan mesin dan stok kedai itu, tetapi juga untuk mengekalkan cara kerja yang lebih perlahan, berasaskan sentuhan tangan.

Dia masih ingat saat diberitahu bahawa mesin-mesin letterpress itu akan dijual sebagai besi buruk. “Saya sebenarnya tak tahu pun macam mana nak buka studio letterpress,” kata Yeoh sambil tersenyum. “Tapi saya tahu saya tak boleh biarkan mesin-mesin ini – dan segala nilai disebalik mesin lama ini – dibuang begitu sahaja.”

Cabaran semasa tempoh awal perintah berkurung di Kuala Lumpur menjadikan misi menyelamat itu lebih sukar. “Terdapat pelbagai sekatan pergerakan ketika itu,” kata Yeoh. “Bayangkan, bagaimana untuk mengosongkan sebuah bengkel cetakan dalam keadaan sebegitu.”

Dengan pergerakan yang sangat terhad, dia terpaksa mengangkut peralatan lama itu ke rumah terlebih dahulu, sedikit demi sedikit. Di sana, dia mengambil masa untuk mengkaji mesin-mesin tersebut, membaiki apa yang mampu, dan memikirkan bagaimana suatu hari nanti ada ruang yang sesuai untuk diletakkan ke dalam ruang galeri Lostgens.

“Adalah penting untuk menyelamatkan manual lama, kerana ia memberi panduan penting dalam membaiki dan mengendalikan mesin-mesin ini,” katanya.

Menyelamatkan San Sang Press hanyalah permulaan. Sejak dari itu, Yeoh telah menjejak lebih banyak mesin cetak dari Segamat, Johor dan Jinjang, Selangor – menyelongkar kedai-kedai dan gudang-gudang yang menyimpan peralatan cetakan telah lama yang dibiarkan berhabuk.

Bagi Yeoh, penubuhan Lost Prints ibarat menyusun kepingan puzzle. Memulihkan mesin-mesin dan belajar cara menggunakannya adalah satu cabaran, tetapi apa yang penting adalah di penghujungnya ia membuahkan hasil. “Mesin-mesin ini, masing-masing mempunyai kisah tersendiri, ini adalah nadi kepada Lost Prints, tempat di mana pengunjung boleh menikmati sendiri proses cetakan secara manual,” kata Yeoh.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Yeoh telah menerima bantuan daripada bekas pensyarah seni yang telah bersara, Yuen Kheng Seng (juga dikenali sebagai Sky), yang membantu membaik pulih mesin-mesin, merancang program letterpress, serta mengukir blok abjad kayu untuk menambah inventori.

“Studio cetakan ini bukan muncul dalam sekelip mata – ia memerlukan banyak perancangan dan usaha untuk merealisasikannya. Pengalaman Yuen dalam bidang ini sangat membantu, bukan sahaja dari segi pengetahuan teknikal, tetapi juga pandangan yang bernas sepanjang proses,” kata Yeoh.
Pada peringkat awal, Lost Prints bermula dengan beberapa acara cetakan di festival seni, bazar pada musim perayaan dan pameran, namun kini ia sudah mempunyai ruang yang tersendiri.

Bagi Yeoh dan pasukan kecilnya, bengkel-bengkel di Lost Prints – yang kini menjadi aktiviti tetap – adalah tempat di mana keajaiban sebenar berlaku. Peserta bukan sekadar datang dan terus mencetak – mereka dibimbing melalui keseluruhan proses, daripada idea hingga ke hasil produknya.

“Bengkel akan dimulakan dengan sesi bertukar idea dan lakaran reka bentuk. Kemudian, peserta akan memilih blok yang sesuai, belajar tentang susunan huruf, penggunaan dakwat, dan cara mengunci mesin, sebelum akhirnya mencetak hasil produk mereka,” kata Yeoh.

Memang amat mengagumkan, melihat mesin-mesin ini dan kaedah lama dihidupkan semula. Yeoh turut berkongsi kebanyakan peserta – yang selalunya terdiri daripada pelajar atau pengunjung yang datang secara spontan – tidak mempunyai pengalaman dalam seni cetakan. Ia sesuatu yang benar-benar baharu bagi mereka. Namun, melihat mereka menyelami proses ini sangat memuaskan.

“Ia adalah satu proses yang sangat teratur,” jelas Yeoh. “Anda bukan sekadar menekan butang ‘cetak’; tetapi anda membina sesuatu dari mula, satu langkah demi satu langkah.”

“Seronok melihat orang menyelongkar laci untuk mencari blok abjad dan peralatan lain. Ia seperti pencarian harta karun, dan pada masa yang sama, satu projek seni,” tambahnya.
Daya tarikan Lost Prints terletak pada keupayaannya menghubungkan semula manusia dengan dunia pembuatan secara fizikal. Dalam era yang dikuasai teknologi digital, ia merupakan peluang yang jarang untuk kita terlibat dengan medium yang memerlukan kesabaran, fokus dan usaha secara manual.

Yeoh sering melihat bagaimana peserta perlahan-lahan melepaskan gangguan pada dunia digital mereka. “Mula-mula, mereka akan periksa telefon setiap lima minit,” katanya sambil ketawa. “Tapi tidak lama kemudian, mereka hanyut sepenuhnya dalam kerja letterpress. Seronok melihat mereka kembali berhubung dengan dunia sekeliling, walaupun hanya untuk beberapa jam.”

Bengkel di The Lost Prints memerlukan masa. Yeoh mengesyorkan untuk mengambil sesi selama 2 hingga 3 jam untuk mereka yang baru, kerana ia membolehkan mereka benar-benar mendalami seni ini. “Sesi yang lebih panjang memberi peluang kepada peserta untuk mencari rentak mereka dan betul-betul menyelami prosesnya,” katanya.

Setiap sesi dikekalkan dalam skala kecil – tidak lebih daripada 15 peserta – supaya perhatian sepenuhnya dapat diberikan kepada setiap peserta. “Kami cuba pastikan ia mudah dikendalikan,” kata Yeoh. “Seorang fasilitator untuk lima peserta membolehkan lebih banyak bimbingan diberikan.”

Sama ada anda seorang yang baru berjinak atau sudah mempunyai sedikit pengalaman, siri bengkel ini direka untuk mudah diakses oleh semua.

Apa yang membezakan Lost Prints ialah pendekatannya yang santai dan kreatif terhadap tradisi cetakan, sambil menggalakkan ekspresi diri. Blok-blok yang dulunya digunakan untuk carta ujian mata, tiket bas, kad jemputan kahwin, dan ramalan horoskop – yang dalunya mempunyai berfungsi tersendiri – kini diberi nafas baharu untuk kegunaan seni.
“Ia bukan sekadar untuk meniru semula,” kata Yeoh. “Ia tentang menggunakan elemen tersebut sebagai titik permulaan untuk mencipta sesuatu yang benar-benar baharu, sesuatu yang mencerminkan visi peribadi anda.”

Peserta digalakkan untuk mengeksperimen, menggabungkan elemen lama dan baharu dengan cara yang tidak dijangka. Matlamat Yeoh adalah untuk membantu orang ramai menyedari bahawa seni cetakan bukan sekadar satu kemahiran atau pekerjaan tradisional – ia adalah satu bentuk seni kontemporari yang penuh dengan kemungkinan. Kata Yeoh: “Ramai yang terkejut dengan apa yang mereka boleh hasilkan apabila diberi kebebasan untuk meneroka.”
Bagaimana untuk ke sana
Anda boleh berhubung dengan komuniti The Lost Prints di 8C, Jalan Panggong, Kuala Lumpur. Hubungi di talian in 018-578 4652 untuk maklumat lanjut. Hab seni cetakan ini boleh diakses dari Stesen LRT dan MRT Pasar Seni, dan hanya beberapa langkah dari Kwai Chai Hong.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2