KL Menghimpunkan Suara Asia Tenggara Bagi Kreativiti Bandar

DANIAL ISHAK | 23 November 2025

PADA 15 Nov yang lalu, The Mayor’s Courtyard yang terletak di sebelah Rumah Tangsi, Kuala Lumpur telah menjadi tuan rumah kepada dialog serantau. Dirasmikan oleh Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dialog ini telah menghimpunkan pemimpin budaya, pembuat dasar, dan pemain industri dari Asia Tenggara untuk membincangkan bagaimana kreativiti dan reka bentuk dapat membentuk masa depan bandar.

Dianjurkan oleh Think City dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, acara ini menandakan pemulihan Perjanjian Persefahaman Rangkaian Bandar Kreatif Asia Tenggara (SEACCN), mengukuhkan lagi komitmen serantau untuk bersama memajukan pembangunan bandar.

Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, merasmikan acara pada 15 Nov yang menghimpunkan pemimpin budaya, pembuat dasar dan penggiat industri.

Dianjurkan sejurus Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif Unesco, perhimpunan ini mencerminkan peranan penting Malaysia pada tahun 2025 sebagai Pengerusi ASEAN. KL kini menjadi tumpuan para penceramah mahupun pengkaji kerana mereka dapat menerokai sendiri makna pengiktirafan ini secara praktikal dan bagaimana bandar-bandar di Asia Tenggara boleh berkongsi jalan penyelesaian, cabaran dan peluang merentasi sempadan.

KL secara rasminya diiktiraf sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif Unesco pada Hari Bandar Sedunia 2025, menyertai bandar-bandar global lain seperti La Spezia, Riyadh dan Daugavpils. Pengiktirafan ini mengesahkan ciri kreatif KL yang telah lama wujud, di mana reka bentuknya sebati dalam kehidupan seharian, daripada bangunan warisan dan kraf tradisional kepada budaya digital, fesyen, budaya makanan dan ruang yang diterajui komuniti. Kekuatan bandar KL terletak pada rakyat dan pengalaman hidup mereka, yang dicerminkan melalui adaptasi guna semula, pembuat tempatan dan ekosistem kolaboratif dalam bidang kreatif yang disokong oleh institusi seperti PAM dan MRM, di samping pereka dan jenama bebas. Sebagai daripada rangkaian global UCCN dan berhubung dengan ibu kota kreatif serantau seperti Bandung, Kuching dan Ipoh, KL melangkah ke persada dunia dengan pengiktirafan dan tanggungjawab: untuk menghormati akar budayanya sambil membentuk sebuah bandar masa depan yang dikuasakan oleh kreativiti.  

Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City, turut menyifatkan pembaharuan ini sebagai satu langkah penting untuk kerjasama serantau. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata, “Pembaharuan ini tiba pada masa yang tepat. Bandar-bandar di seluruh rantau ini sedang menemui semula kekuatan budaya dan kreativiti, bukan sahaja sebagai aset tidak ketara, tetapi sebagai pemacu strategik untuk penjanaan semula, identiti dan daya tahan.”

Dato’ Hamdan Abdul Majeed menggariskan kepentingan perkongsian serantau, ketika Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukannya sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif.

Kesinambungan Melangkaui Kitaran Politik

Dialog yang dikendalikan oleh ahli sejarah sosial Neil Khor, mengukuhkan semangat serantau dengan ayatnya yang berbunyi jenaka tetapi memberi makna yang mendalam, bahawa negara-negara Asia Tenggara adalah SEA-blings (adik-beradik SEA), iaitu sepupu yang saling belajar dan menyokong antara satu sama lain.

Ahli panel pertama yang berucap, pendidik dan penyelidik reka bentuk dari Indonesia, Dwinita Larasati, membincangkan keperluan untuk struktur jangka panjang yang menyokong pembangunan kreatif walaupun kerajaan silih berganti. Beliau menjelaskan bahawa Indonesia mempelajari perkara ini atas dasar keperluan. 

Larasati berkata, “Kami sedar sejak awal lagi bahawa idea-idea yang baik tidak akan bertahan jika ia terlalu bergantung pada penggal politik. Jadi, ahli akademik dan komuniti kreatif bekerjasama untuk merangka sebuah manuskrip akademik yang akhirnya menjadi asas kepada Rang Undang-Undang Ekonomi Kreatif. Ia adalah satu usaha dari bawah ke atas (bottom-up) yang memberikan program kami perlindungan undang-undang dan kesinambungan.”    

Tambahnya, asas ini telah mencipta ruang untuk Indonesia bereksperimen dengan pendekatan baharu tanpa perlu menunggu birokrasi untuk bertindak. 

Larasati berkata, “Kami memulakan bengkel tindakan reka bentuk tahunan di mana pegawai perbandaran, pelajar, pereka dan kumpulan komuniti akan duduk bersama untuk membangunkan prototaip. Apabila sesuatu cadangan sampai kepada kerajaan, idea itu sudah pun mempunyai ujian di dunia nyata. Ini membantu dasar untuk dilaksanakan dengan lebih cepat.”  

Mesej beliau jelas. Bandar-bandar kreatif memerlukan akar yang mampu bertahan dalam ketidaktentuan, dan akar tersebut sering datang daripada kerjasama sivik, akademik dan komuniti.

Dari kiri ke kanan: Montinee Yongvikul, Dwinita Larasati, Neil Khor, Paolo Mercado dan Izan Satrina berkongsi pandangan mengenai pembangunan bandar kreatif, menyentuh dasar kebudayaan, penglibatan komuniti dan keterangkuman.

Kreativiti Bermula dengan Kejiranan

Panel seterusnya, Montinee Yongvikul dari Pusat Kreatif dan Reka Bentuk (TCDC) Thailand, memberi penekanan tentang bagaimana bandar-bandar boleh mengukuhkan identiti kreatif dengan menerapkan budaya harian komuniti mereka. Beliau menjelaskan bahawa pendekatan Thailand adalah berasaskan pengiktirafan nilai pengalaman hidup.  

Menurut Yongvikul, “Kami menempatkan ibu pejabat kami di sebuah daerah kebudayaan lama kerana kreativiti sudah sedia wujud di sana. Ia tumbuh daripada jenaka, ritual harian dan perkongsian cerita. Tugas kami adalah untuk membantu orang ramai melihat aset-aset budaya tersebut sebagai sesuatu yang boleh mereka gunakan  untuk mencipta produk atau perkhidmatan baharu.”    

Tambahnya, program mereka telah melangkaui peranan badan itu sebagai sebuah pusat reka bentuk.  

“Kami mengaktifkan jalan-jalan dan kawasan awam supaya komuniti boleh menuntutnya sebagai ruang kreatif. Apabila orang ramai menyedari bahawa budaya mereka sendiri mempunyai nilai, keyakinan diri mereka meningkat. Itulah sebabnya kami memperluaskan pusat-pusat TCDC ke seluruh wilayah. Kami mahu komuniti luar bandar dan wilayah mempunyai akses kepada alatan dan peluang yang sama seperti di Bangkok.”   

Pendekatan ini menekankan bahawa kreativiti bukan sahaja soal industri, tetapi juga penguatan identiti, jenaka dan warisan yang sudah sedia ada dalam komuniti.

Pertumbuhan Kreatif Perlu Bersifat Inklusif

Dari Filipina, Paolo Mercado menekankan pentingnya inklusiviti dan pengiktirafan yang sewajarnya untuk para pekerja kreatif. Beliau menjelaskan bahawa sebelum undang-undang Industri Kreatif diluluskan, Filipina mempunyai suasana kreatif yang rancak tetapi kekurangan pengiktirafan rasmi terhadap sektornya.

Mercado berkata: “Selama bertahun-tahun, sektor ini aktif tetapi tidak kelihatan di atas kertas. Kami tidak mempunyai agensi yang memantau dan tiada strategi yang jelas. Undang-undang Industri Kreatif mengubah perkara itu. Kini kami dapat mengira pekerja kami, memahami keperluan mereka dan merancang dengan lebih baik.”   

Pemetaan sektor tersebut mendedahkan jurang yang memerlukan perhatian segera.  

Mercado turut berkongsi, “Ramai pekerja kreatif tidak berdaftar, jadi mereka tidak pernah dikira. Inklusiviti bermula dengan mengetahui siapa pekerja anda. Setelah kami melakukannya, kami dapat mereka bentuk program yang meningkatkan keseluruhan ekosistem, bukan hanya pemain industri yang di hadapan sahaja.”
Penekanannya mengenai pengiraan dan menghargai tenaga kerja mencerminkan kebimbangan serantau yang lebih luas. penyumbang kepada industri kreatif tidak boleh diabaikan atau dibayar rendah, terutamanya apabila mereka membentuk karakter budaya sesebuah bandar.

Wakil-wakil dari bandar yang mengambil bahagian menandatangani komitmen mereka terhadap Rangkaian Bandar Kreatif Asia Tenggara (SEACCN) semasa majlis pembaharuan MoU.

Pentadbiran, Bayaran yang Adil dan Penyelarasan Serantau

Mewakili Malaysia, Izan Satrina Mohd Salehuddin, Pengarah Kanan Think City telah berkongsi pandangan tentang struktur pentadbiran yang diperlukan untuk menyokong para pekerja kreatif secara mampan. Beliau menegaskan bahawa ekosistem kreatif memerlukan kestabilan, pembiayaan yang konsisten dan perlindungan yang jelas untuk pengamal sektor tersebut.  

Kata Izan, “Sistem sokongan untuk sektor budaya dan kreatif mesti bertahan melangkaui kitaran politik. Tenaga dari bawah di Asia Tenggara sangat kuat, tetapi masih memerlukan struktur yang stabil bagi memastikan pekerja kreatif menerima upah yang adil. Mereka inilah yang menghidupkan dan memberikan warna kepada sesebuah bandar.”   

Beliau turut menekankan tanggungjawab Malaysia di bawah rangka kerja ASEAN.  

Tambah Izan, “Kini kita mempunyai visi dan keutamaan bersama di peringkat ASEAN. Cabara seterusnya adalah untuk menterjemahkan kepada tindakan yang bersepadu. Kemajuan KL perlu dihubungkan dengan bandar-bandar Asia Tenggara lain supaya kita dapat belajar dan membina bersama. Tambahnya lagi “Sebuah strategi mesti disusuli dengan pelan tindakan yang jelas. Hanya dengan itu barulah sumber, rakan kongsi dan pelaksana dapat bekerja dengan berkesan.”

Sebuah Bandar Kreatif Perlukan Rasa Seperti Berada Di Rumah

Salah seorang peserta dialog, arkitek Adela Askandar, memberikan perspektif yang membumi mengenai status baharu KL sebagai bandar Unesco. Beliau bersetuju dengan optimisme yang disuarakan tetapi menekankan bahawa kreativiti mesti melengkapi kehidupan harian.

Adela berkongsi “Saya teruja dengan segala kemungkinan ini, tetapi kita tidak boleh lupa apa yang menjadikan sebuah bandar selesa didiami, kedai runcit, dobi layan diri, pengangkutan awam, pengurup wang dan sebagainya. Laluan pejalanan kaki, kemudahan harian dan keselesaan itu penting. Kreativiti seharusnya memperkayakan rutin harian, bukan mengatasinya.”   

Beliau menambah bahawa pengukuran nilai reka bentuk akan menjadi penting pada masa hadapan.
Katanya lagi, “Reka bentuk yang baik mempunyai nilai. Harta intelek adalah salah satu cara paling jelas untuk mengukurnya. Jika kita melibatkan pereka yang baik, manfaatnya akan terserlah pada kualiti, identiti dan kekuatan ekonomi buat jangka masa yang panjang.”  

Akhir sekali sesi dialog ini menunjukkan bahawa bandar-bandar Asia Tenggara berkongsi aspirasi dan cabaran yang serupa, dan mereka menjadi lebih kuat apabila saling belajar sebagai SEA-blings, membentuk masa depan kreatif yang saling terhubung, praktikal dan berakar pada rakyatnya.

Terlepas acara tersebut? Tonton rakaman penuh FB Live Shaping Creative Cities in Southeast Asia – A Regional Dialogue & MoU Renewal Ceremony di laman Facebook Think City.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2