Runut Bunyi Sebuah Kota yang Sentiasa Bergerak

SOFIA SHAMSUNAHAR | 30 March 2026

Fauzil Amin Ahmad, dan kolaboratornya Norazli Mohd Dzali, masih memilih pentas terbuka – membuat persembahan jalanan di seluruh kota, di mana setiap malam membawa wajah baharu, rentak baharu dan kebebasan yang paling dihargainya. – Foto: MUAMMAR ANSARI

DI sekitar jalan Kuala Lumpur, muzik sering menemui anda sebelum anda mencarinya. Sebuah melodi di tengah-tengah langkah anda, suara yang bertahan cukup lama untuk mengubah suasana hari anda.

Di seluruh kota, detik-detik ini terungkap di ruang transit dan ruang peralihan, di sepanjang platform LRT, di bawah laluan berbumbung, dan di koridor terbuka tempat seperti Pasar Seni. Ia juga muncul dalam saat yang lebih tenang dan tidak dirancang, ketika anda sekadar berjalan atau mencuci mata, langkah anda pasti akan terhenti dek alunan penyanyi jalanan yang merdu hanya beberapa langkah di hadapan, dengan kod QR di sisinya yang memanggil anda untuk berhenti sejenak, dengar, dan mungkin memberikan sedikit tanda penghargaan.
         
Dalam sebuah kota di mana jalan-jalan warisan dan ruang awam dihidupkan semula dan dinikmati dengan cara baharu, pengamen dan pemuzik jalanan menjadi sebahagian daripada ritma hidupnya, mengakar pengalaman harian dalam sesuatu yang dikongsi, spontan dan bernyawa.
       
Di sinilah pengamen Fauzil Amin Ahmad menemukan pentasnya.
        
Dia mengimbau detik permulaan minatnya terhadap muzik apabila melihat abang dan rakan-rakannya bermain alat muzik. Didorong rasa ingin tahu, dia meminta untuk turut serta, mengikuti satu kelas muzik, dan selebihnya belajar sendiri. Apa yang bermula dengan mengikut jejak langkah abangnya berkembang menjadi sesuatu yang lebih mendalam dan berkekalan.
 
Muzik kemudiannya menjadi kerjaya sepenuh masa, dengan persembahan yang kerap di pelbagai acara, sehingga pandemik menghentikan segalanya. Apabila perhimpunan tidak lagi dibenarkan, dia menyesuaikan diri, beralih daripada pentas formal kepada pentas terbuka: jalanan.
 
Sehingga kini, pada usia 42 tahun, dia masih memilih untuk mengamen. Format ini menawarkan sesuatu yang dia amat hargai, satu kebebasan. Hampir setiap malam bermula sekitar jam 8.30 malam, dia boleh ditemui di sekitar kota, dari kaki lima Bukit Bintang dan Changkat hingga ke Central Market, malah di pusat beli-belah seperti MyTown di Cheras. Setiap malam membawa gabungan kolaborator yang berbeza, dengan Fauzil membuat persembahan bersama pemuzik yang silih berganti.
 
Ada kegembiraan dalam ketidakpastian itu. “Penonton saya terdiri daripada orang rawak yang mencintai muzik. Bila mereka berhenti, mendengar dan menyanyi bersama, saya rasa gembira lah, kebahagiaan yang sederhana dan jujur,” kongsi Fauzil spontan.
 
Namun, pasti ada cabaran buat pemuzik jalanan. Ada malam-malam yang sunyi kerana penonton kurang memberi respons atau “manis”, kongsi Fauzil, selain harus menempuhi cabaran praktikal seperti hujan. “Bila hujan, saya tak dapat walau satu sen pun,” katanya, sambil menjelaskan bagaimana penonton berteduh sedangkan muzik terus bergema tanpa mereka.
 
Apa yang lebih mencabar lagi apabila seni ini disalah tafsir. Ada kalanya permintaan sumbangan selepas persembahan dipandang dengan prejudis. Ada kalanya dia dilihat sebagai pengemis, bukannya pemuzik. Namun, dia cepat menambah bahawa itu hanyalah sebahagian kecil. Bagi Fauzil, mengamen tetap berakar pada minat dan keperluan, demi muzik, dan untuk mencari rezeki.
 
Kisah Ahmad hanyalah satu benang dalam hamparan yang jauh lebih luas.

Bagi Edwin Nathaniel, Naib Pengerusi Musicians for Musicians Malaysia, landskap muzik jalanan Kuala Lumpur mempunyai kepelbagaian yang sama seperti kota itu sendiri.

“Anda boleh mendengar segalanya daripada rock, indie, jazz dan blues hingga ke penyanyi-penulis lagu akustik, elektronik dan pop. Ia adalah ruang di mana muzik tradisional kadangkala bertemu dengan bunyi kontemporari dalam persembahan langsung dan gig gabungan. Muzik langsung ada di mana-mana, di pub dan bar, ruang santai atas bumbung, ruang bawah tanah dan bebas, serta platform rasmi dan kebudayaan. Konsert antarabangsa dan festival juga meriah di merata tempat,” jelasnya.

Melalui MFM, inisiatif seperti konsert amal dan kolaborasi dengan agensi kerajaan setidaknya dapat membantu dalam menyokong pemuzik yang memerlukan, sambil membuka peluang untuk berkembang dalam industri.


Muhammad Ruzaini Rahmidi dan Mayuji Ahmad Azmi, atau dikenali sebagai Mr Puppetz, gemar mempersembahkan lagu-lagu malar segar yang mengalun santai dan mudah memikat penonton.

Di sepanjang Jalan Petaling, berhampiran Jalan Sultan, orang yang lalu-lalang mungkin terserempak dengan Mr Puppetz. Dahulunya sebuah kumpulan lima anggota, mereka membina pengikut setia dengan mempersembahkan lagu-lagu Inggeris dan rock Melayu buat santapan orang ramai, yang ada kalanya boleh mencecah lebih seratus orang, mendengar korus yang bergema di sepanjang kaki lima. 

Kini, selepas lapan tahun, kumpulan ini lebih kerap tampil sebagai duo dengan Muhammad Ruzaini Rahmidi, 31, bermain gitar akustik, manakala vokalnya pula, bersama Mayuji Ahmad Azmi, 38 meneruskan persembahan malam mereka di Jalan Petaling dari jam 8 malam hingga tengah malam. Repertoir mereka cenderung kepada lagu-lagu sepanjang zaman, melodi yang dikenali merentasi generasi, dengan aspirasi seperti yang dinyatakan oleh Muhammad Ruzaini, “untuk meningkatkan industri muzik Malaysia agar setanding dengan negara luar.”

Sentimen yang sama turut terserlah dalam usaha Stylo Buskers. Bagi Norazli Mohd Dzali, menghidupkan kembali lagu-lagu lama merupakan sebuah penghargaan dan pemeliharaan dalam menghormati artis yang pernah membawa muzik Malaysia ke khalayak yang lebih luas. 

Di luar jalanan, kumpulannya juga membuat persembahan di majlis perkahwinan dan acara rasmi, ini termasuklah persembahan untuk Tengku Permaisuri Selangor, suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan baginya.

Pelbagai pemuzik di bawah panji Klasik Buskers bergilir-gilir menghiburkan penonton di lokasi seperti Medan Selera Tanglin di Tasik Perdana.

Selain itu, Medan Selera Tanglin, Tasik Perdana, Zainurin Baharuddin, 60, dengan kumpulannya yang diberi nama “Klasik Buskers” membawakan lagu-lagu klasik Melayu dengan penuh penghayatan. 

Bak katanya, “dengan sepenuh jiwa dan raga”. Dedikasi yang mereka tonjolkan telah membawanya ke pentas antarabangsa, termasuk persembahan di Dubai World Islamic Performance 2013, dan kini dia berharap dapat membimbing pemuzik muda untuk meneruskan tradisi tersebut.

Secara keseluruhannya, buat para penggiat ini, sama ada di kaki lima yang sibuk atau di sudut yang lebih tenang secara tidak langsung telah membentuk sebahagian daripada landskap bunyi yang lebih luas dan sentiasa berkembang. Di jalan-jalan warisan Kuala Lumpur, di mana masa lalu terus membentuk masa kini, muzik tidak hanya terhad kepada dewan konsert atau pentas yang dikurasi. Ia hidup di ruang terbuka, dibawa oleh mereka yang sanggup bermain, dan mereka yang sudi berhenti untuk mendengar.
    
Berjalanlah menyusuri kota ini, dan anda pasti akan mendengarnya. Sebuah korus cerita, setiap satunya dibentuk oleh pengalaman, ketahanan dan kecintaan bersama terhadap muzik, menjadikan detik-detik harian lebih bermakna.

Buskers ini, sama ada di laluan pejalan kaki yang sibuk mahupun di sudut-sudut yang lebih tenang, membentuk landskap bunyi kota yang dikongsi dan sentiasa berkembang.


Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2