Kisah di Bawah Tapak Kaki Kita

ANN MARIE CHANDY | 29 April 2026

Para peserta dalam lawatan berjalan kaki oleh Kaki Jelajah Warisan meneroka jalan-jalan di Kuala Lumpur, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap lawatan berpandu yang menyingkap sejarah berlapis serta kisah harian kota ini. – Daripada arkib foto Facebook Kaki Jelajah Warisan

IA bermula seperti banyak kisah Kuala Lumpur, di Dataran Merdeka – sebuah ruang penuh memori di mana bandar ini pernah mengisytiharkan kemerdekaannya, dan kini menjadi tempat orang berkumpul sebelum bergerak ke arah masing-masing. Namun kini semakin ramai memilih untuk berjalan kaki.

Bukan sekadar untuk sampai ke destinasi, tetapi untuk memahami.    

Dari hamparan luas Dataran Merdeka, laluan ke arah utara membuka jalan ke jalinan bandar yang semakin padat – menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, melintasi Jalan Tun Perak, dan memasuki lorong-lorong berlapis di Jalan H.S. Lee. Di sini, bandar terasa semakin sempit dan rapat. Laluan pejalan kaki menjadi lebih kecil, trafik semakin menghimpit, dan deretan kedai bersenandung dengan aktiviti perniagaan. Di jalan-jalan inilah, di bawah bahang yang memancar dari permukaan jalan dan laungan azan bergema dari jauh, lawatan berjalan kaki kembali menemukan kepentingannya.    

“Lawatan berjalan kaki semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan,” kata Tajuddin Idrus, 57, atau lebih dikenali sebagai Taj dalam kalangan tetamunya. “Minat dalam kalangan penduduk tempatan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh media sosial dan pendedahan yang lebih meluas terhadap aktiviti berkaitan warisan di seluruh Kuala Lumpur.”    

Seorang pemandu pelancong berlesen dan individu di sebalik KL On Foot, Tajuddin mula mengendalikan lawatan berjalan kaki pada tahun 2016, terutamanya untuk pelawat dari Eropah. Ketika itu, penduduk tempatan kurang berminat untuk meluangkan masa berjalan kaki selama berjam-jam di bawah cuaca tropika. Namun, rasa ingin tahu kini telah mengubah persepsi tersebut.    

“Penduduk tempatan kini ada perasaan semakin ingin tahu tentang lawatan kami dan sanggup berjalan di bawah terik matahari selama dua jam!” katanya. “Selepas mencubanya, mereka biasanya akan kembali untuk menyertai lagi, atau mencuba lawatan berjalan kaki yang lain.”    

Bagi Tajuddin, tarikannya cukup sederhana. “Saya suka berjalan dan pada masa yang sama saya seorang yang bangun awal,” katanya. “Berjalan pada waktu pagi menarik kerana cuacanya lebih nyaman dan sudah tentu ia juga satu bentuk senaman percuma.”   

Namun, apa yang membuatkan orang kembali bukanlah senaman, tetapi cerita-ceritanya.


Tajuddin Idrus mengetuai sekumpulan pelawat dalam lawatan berjalan kaki di Kuala Lumpur, seiring minat yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong untuk meneroka warisan kota ini dengan berjalan kaki.

Sepanjang laluan ini, sejarah tidak hadir secara lantang. Ia wujud dalam serpihan – papan tanda yang semakin pudar, kedai yang tidak bertukar tangan selama berdekad, dan ritma perdagangan yang bertahan merentas generasi.

Menurut Tajuddin, manusialah yang menyatukan bandar ini. “Manusia. Penduduk tempatan dan juga pendatang. Gaya hidup dan perniagaan mereka,” katanya. “Aktiviti harian mereka dan bagaimana orang mencari rezeki secara jujur.”        

Dia merujuk kepada perniagaan lama seperti P. Lal Store dan P.H. Hendry sebagai simbol kesinambungan, perniagaan yang terus bertahan dalam diam di tengah arus pembangunan semula.     

Namun hari ini, lawatan berjalan kaki bukan lagi sekadar melihat ke masa lalu. Ia juga tentang memerhati masa kini, kadangkala dengan rasa yang kurang selesa.     

Kumpulan seperti Kerja Jalan sedang mentakrif semula makna berjalan di bandar. Ditubuhkan pada tahun 2019 oleh perancang bandar Yasmin Lane dan aktivis urbanisme Awatif Ghapar, inisiatif ini menggabungkan penceritaan dengan pengumpulan data di peringkat jalanan. Melalui aktiviti berjalan, peserta diajak melihat lebih daripada sekadar fasad, tetapu juga untuk menyedari lubang jalan, laluan yang tidak mesra akses, dan sampah yang tidak dikutip.    

Kerja Jalan menampilkan kota dari sudut yang lebih dekat melalui lawatan berjalan kaki yang juga berfungsi sebagai pemerhatian di peringkat jalanan, mengajak peserta – termasuk kanak-kanak – untuk peka terhadap perincian harian seperti aksesibiliti, penyelenggaraan dan reka bentuk bandar di sekitar mercu tanda seperti Tirai Air di Dataran Merdeka. – Foto: Facebook Kerja Jalan

“Kami memilih untuk berjalan kaki bagi meningkatkan kesedaran tentang jalan dan bandar yang lebih selamat serta inklusif,” kata Awatif. “Ia satu proses kolaboratif.”

Peserta mendokumentasikan pemerhatian mereka, menjadikan pengalaman sebenar sebagai satu bentuk audit yang tidak formal. Pendekatan ini memang sengaja dijalankan begitu. “Kami bukan pemandu pelancong,” kata Yasmin. 
“Tetapi seperti orang lain, kami semua adalah pakar tentang bandar ini dengan cara kami sendiri.”
Kerja Jalan merangkumi setiap bahagian dalam bandar ini. Ini termasuk aspek yang kurang ‘cantik’ seperti laluan pejalan kaki yang retak, jalan sempit, dan realiti yang mungkin dielakkan oleh lawatan konvensional.       

Dengan itu, Kerja Jalan mentafsir semula aktiviti berjalan sebagai penglibatan sivik.

“Setiap orang berkongsi pengalaman unik mereka tentang bandar ini,” tambah Awatif. “Seseorang yang berjalan ke tempat kerja setiap hari mungkin akan lebih peka terhadap lubang jalan, manakala ibu bapa mungkin memberi perhatian kepada kekurangan kawasan permainan atau laluan yang mesra stroller.”

Keterangkuman ini merupakan sebahagian daripada perubahan yang lebih besar dalam cara orang berinteraksi dengan Kuala Lumpur. Lawatan berjalan kaki menawarkan alternatif kepada pengalaman yang terlalu tersusun dan cetek. Ia mengajak kepada cara melihat yang lebih perlahan dan lebih ‘dekat’, satu pendekatan yang mengiktiraf kedua-dua warisan dan perubahan.

Bagi pemandu seperti Tajuddin, mengimbangi naratif ini adalah sebahagian daripada kemahiran mereka.
“Untuk membantu orang memahami perubahan yang berlaku sepanjang beberapa tahun ini, saya akan menggunakan gambar lama semasa lawatan,” jelasnya. “Contohnya, kedai lama Sin Seng Nam di Market Square. Dahulu ia merupakan kedai kopi Hainan yang terkenal dalam kalangan generasi lama. Kini, ia telah berubah menjadi kafe pencuci mulut moden dengan lebih ramai pelanggan Gen Z.”

Kontra seperti ini dapat dilihat di seluruh bandar. Fasad era kolonial berdiri bersebelahan dengan pembangunan baharu, perniagaan tradisional menyesuaikan diri atau semakin pupus, ruang yang dikenali diberi nafas baharu untuk audien yang berbeza.

Dorongan untuk melihat bandar dengan lebih dekat ini bukanlah sesuatu yang baharu. Inisiatif yang telah lama berjalan juga memainkan peranan dalam membentuk cara kisah-kisah Kuala Lumpur dikongsi. Ditubuhkan pada tahun 2012, Kaki Jelajah Warisan telah mengendalikan lebih daripada seratus lawatan berpandu di sekitar pusat bandar lama, meneroka pelbagai tema daripada “Good Eats in Petaling Street” hingga “The Founding Story of Kuala Lumpur.”

Bagi pengasasnya, Cheng Fui Lien, matlamat mereka adalah untuk sentiasa menonjolkan kepelbagaian agama, budaya dan sejarah di kawasan tersebut dengan cara yang inklusif dan bermakna. “Menariknya, ramai peserta kami sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur sendiri,” katanya. “Apa yang menarik minat mereka bukanlah ‘mercu tanda utama’, tetapi perincian kecil yang mereka lalui selama bertahun-tahun tanpa mereka sedari.”

Penemuan semula ini sering menjentik peserta apabila masuk ke ruang ibadat bersama di kawasan bandar - kuil, masjid dan gurdwara yang dilalui setiap hari, tetapi jarang dimasuki. “Satu pengalaman yang sangat berkesan bagi ramai ialah apabila melawat sebuah gurdwara… keterbukaan, rasa kesaksamaan, serta amalan berkongsi makanan tanpa mengira latar belakang sering meninggalkan kesan yang mendalam,” tambahnya.

Bagi Cheng, minat yang diperbaharui ini mencerminkan perubahan yang lebih besar. “Sebahagian daripada sikap ini datang daripada kesedaran yang semakin meningkat bahawa jika kita hidup hanya dalam dunia maklumat atas talian sahaja tidak mencukupi,” jelasnya. “Orang ramai mula mencari sesuatu yang lebih berpijak di bumi yang nyata.”    

Lawatan oleh Kaki Jelajah Warisan, All About Thaipusam Festival, menawarkan pengalaman berjalan kaki selama tiga jam yang bermula di Batu Caves, membimbing peserta menyusuri suasana malam menjelang perayaan untuk memahami dengan lebih mendalam ritual, atmosfera dan kepentingan budayanya dalam masyarakat majmuk Malaysia. – Foto: Facebook Kaki Jelajah Warisan


Walaupun internet menawarkan kemudahan, katanya, ia juga boleh tersasar daripada melalui pengalaman sebenar. “Pemahaman seperti ini tidak dapat dicapai sepenuhnya melalui pembacaan semata-mata. Ia memerlukan kehadiran, melihat dengan mata sendiri, merasai ruang, dan kadangkala turut serta.”

Ini merujuk kepada pengalaman seperti menyaksikan Thaipusam secara langsung, di mana skala, pengabdian dan suasananya tidak dapat diterjemahkan melalui skrin sebagai contoh kepada kekayaan budaya yang dapat kita rasai dengan kehadiran fizikal. Dalam erti kata lain, jelajah warisan bukan sekadar tentang mempelajari sejarah, tetapi tentang menghubungkan semula diri dengan tempat dan budaya secara lebih nyata.

Kuala Lumpur sedang berubah dengan cepat. Namun apabila berjalan kaki, bandar ini bergerak pada kadar yang berbeza, sesuatu yang sukar dirumuskan. Bunyi pintu besi ditutup, bau colok dari kuil yang berterbangan di udara, aliran perbualan dalam pelbagai bahasa, bersama seorang tukang tilik di tepi jalan, pembuat kunci tradisional di meja kecilnya, dan penjual teh di gerai sementara yang berbual mesra dengan pelanggan tetap, semua ini bukan pengalaman yang boleh difahami dalam sekelip mata.
Ia memerlukan masa. Dan perhatian.

Mungkin itulah sebabnya lawatan berjalan kaki semakin mendapat tempat hari ini. Dalam sebuah bandar yang sentiasa bergerak, ia memberi ruang untuk memperlahankan langkah. Untuk melihat. Untuk mendengar.
Seperti yang dikatakan oleh Tajuddin, “Bertemu orang, jadual yang fleksibel dan bercakap tanpa skrip” adalah perkara yang paling dia nikmati tentang pekerjaannya.

Pada asasnya, ia adalah cara tanpa skrip untuk mengenali bandar ini, selangkah demi selangkah.

Foto: Kerja Jalan FB

KL On Foot
klonfoot.com
[email protected]
019-330 3167

Kaki Jelajah Warisan
[email protected]
016-277 0025

Free Walk Kuala Lumpur Unscripted
freewalkkualalumpurunscripted.com
019-6992 668

Kerja Jalan
www.facebook.com/KerjaJalan
www.instagram.com/kerjajalan

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2