Keakraban Komuniti Membina Ekonomi Setempat

WAN NOR ALIA WAN ALI | 29 April 2026

JALAN Tuanku Abdul Rahman atau suatu ketika dahulu dipanggil Jalan Batu Road, di sini lah bermulanya memori pertama penulis dalam langkah membeli belah. Pada setiap hujung minggu, dipimpin oleh keluarga, membelek helaian pakaian di sepanjang deretan Jalan TAR, menyumbang kepada ekonomi jualan makanan dan minuman di lorong belakang yang menjadi laluan pasar hujung minggu. Sejak dari dulu lagi memang kawasan ini tak pernah lengang.
 
Setelah hampir 20 tahun, penulis masih menjadi antara pengunjung setia kawasan ini. Sejarah suatu tempat memainkan peranan dalam demografi, struktur ekonomi serta pembentukan komuniti setempatnya.      

Jadi apa yang menjadikan Jalan TAR kawasan yang masih kekal aktif dengan perniagaan dan masih dihujani ramai pengunjung, dari penduduk setempat, luar bandar serta pelancong dari luar negara?     

Sambil kami berjalan di kaki lima sekitar kawasan itu, meneliti setiap lorong dan jualan satu persatu, langkah kami membawa kepada Capital Cafe, sebuah warung kopitiam yang telah beroperasi lebih 70 tahun.    

Selangkah ke dalam kopitiam ini membawa rasa nostalgia. Menurut generasi kedua pengurusan kopitiam keluarga, Capital Cafe, Lin Boi Eng, 64 atau mesra dengan panggilan ‘Lady Boss’ oleh komuniti setempat yang datang minum di sini, “Dulukan susah, jadi saya mula tolong ibu bapa sejak umur 20an, jadi sudah sangkut dan saya teruskan perniagaan dengan abang saya sampai sekarang”.

   

Lin Boi Eng berkongsi cara membuat air dan roti bakar yang masih sama dari generasi pertama, bagi mengekalkan rasa yang sama buat semua pelanggan.

Kata Lin, tarikan utama kawasan ini tertumpu kepada kedai untuk membeli belah di sebelah kiri dan kanan serta sekitar kawasan tersebut. Sokongan pelanggan dari generasi ke generasi yang masih singgah ke warungnya membolehkan mereka kekal hingga ke hari ini.
 
Walaupun Lin merendah diri dan merasakan masakannya biasa, tetapi rasa air tangan dari Capital Cafe ada magisnya tersendiri, roti bakar yang dihidang bersahaja terasa begitu enak, setiap suapan menyingkap rasa roti marjerin dengan lapisan kaya, terasa nostalgia, seakan suapan roti bakar sewaktu kecil dulu. Kadang-kadang apabila tertangkap rasa itu, air mata seakan bergenang kegembiraan. Rasa yang ringkas, namun memberi seribu satu makna buat mereka yang menjamu selera di sini.

Mencari rezeki bersama di bawah satu bumbung, keakraban keluarga mencipta komuniti bersama. Generasi kedua, dari kiri, Khadar Moydeen (Gerai rojak) dan Lin Boi Eng (Capital Cafe), serta generasi ketiga Nasi Padang Asril, Zahin Ikwan.

Lebih menarik lagi kafe di Jalan TAR ini beroperasi dengan kenalan keluarganya sejak dahulu lagi. Di hadapan kedai ini, anda akan disambut terlebih dahulu dengan Rojak dari Khadar Moydeen dan Nasi Padang Asril pula di sebelah kiri warung, Kedua-dua pemilik gerai ini merupakan generasi kedua yang mengambil alih perniagaan gerai makanan dalam Capital Cafe daripada keluarga mereka.
 
Hati tersenyum melihat suasana muhibah dan keakraban ini. Bukan sahaja komuniti yang di bina dari penduduk setempat serta pelanggan, malah komuniti ini juga datang dari kesepakatan persahabatan yang berniaga di bawah satu bumbung yang sama.      

“Pada tahun 1962, setelah enam tahun Capital Cafe beroperasi, ayah saya mula berpindah dan berniaga di samping pemilik kopitiam ini,” Kata Haji Asril Abdul Wahab, pemilik Nasi Padang Asril yang kini berusia 68 tahun.
“Seiring zaman berlalu, harga makanan pun berubah mengikut peredaran waktu. Dulu sebungkus nasi campur ayah saya hanya RM1.50, sekarang harga makanan telah meningkat, itu antara perbezaan ketara yang dapat kita lihat.”    

Walaupun begitu, sewaktu kami berada di sana, kafe ini masih dipenuhi pelanggan yang datang untuk menikmati santapan pagi di sini. Peningkatan ini tidak menghairankan juga kerana faktor ekonomi dan kitaran waktu, harga pasaran perlu seiring dengan faktor ekonomi semasa.   

Kalau dah jalan di kawasan ini, tidak sah juga kalau anda tidak mencari tekstil. Jalan TAR sememangnya terkenal dengan jualan kain dan pakaian terutamanya sewaktu musim perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali.

Antara pengunjung Jalan TAR, Azree Azhar, 38 and isteri, Yana Ghazali, 31 serta seisi keluarga, masih memilih untuk membeli belah di Jalan TAR.

Jika anda berjalan di lorong belakang Capital Cafe, laluan ini boleh membawa anda ke Jalan Masjid India. Kawasan yang terbina hasil kekuatan komuniti Muslim dari India Selatan sejak awal tahun 60an yang menjadikan kawasan ini terkenal dengan jualan barang kemas dan tekstil bagi masyarakat India.   

Jika anda lalu di kawasan ini pada hari jumaat, Khutbah Jumaat dalam bahasa Tamil boleh kedengaran dari lorong berdekatan. Waktu itu anda dapat lihat kebanyakan kedai disekitarnya ditutup sementara, bagi menumpukan pada solat Jumaat.

Di persimpangan berhampiran Masjid India, terletaknya projek rumah pangsa pegangan bebas, antara yang terawal di Kuala Lumpur. Kedudukan Selangor Mansion dan Malayan Mansion ini mengapit Balai Polis Komuniti Masjid India. Kawasan ini kelihatan hidup dan ceria hasil Penambahbaikan daripada majlis perbandaran setempat, DBKL.

Selangor Mansion and Malayan Mansion yang mana kedudukannya mengapit Balai Polis Komuniti Masjid India.

Di bahagian bawahnya, tersusun kedai jualan pakaian yang khusus buat masyarakat India. Mahathevan Thangammal, 58, seorang pekerja yang sudah lebih 26 tahun menjaga butik Ajuntha Textile (beroperasi sejak 1984), menjadikannya sebahagian daripada komuniti dan ekosistem jualan di kawasan ini.

“Dulunya kedai ini hanya menempatkan barangan di kedai yang sangat kecil, kini kami telah mengambil alih 5 lot kedai di sini yang menumpukan barangan jualan seperti kain sari, baju Punjabi, kurta, selimut, perkakas rumah serta peralatan sembahyang yang berwarna perak,” kata Mahathevan.       

Menurut Mahathevan, perubahan yang dilihat bukan hanya dari segi kawasan, kita boleh lihat polar perubahan pelanggan juga. “Dulu perniagaan lebih tertumpu kepada pembelian dilakukan secara bersemuka, sekarang banyak juga ruangan lain yang digunakan sebagai tempat membeli belah.” kongsinya sambil berkongsi laman Instagram mereka.

Mahathevan Thangammal, 58, menunjukkan kain untuk pengantin yang terdapat di butik Ajuntha Textile. Bawah: Pengurus Kedai Chinna Muthu bergambar di depan kedai mereka.

Apa yang seronok tentang membeli belah termasuk di Jalan TAR ialah, pelanggan dapat memegang, merasa sentuhan material kain sebelum dibeli. Kemudian ruang untuk mencuba juga disediakan, Melihat kepelbagaian reka bentuk baju dan warna yang disusun pada rak, pasti mencuri perhatian pelanggan. Hakikatnya tidak salah, peralihan selera pelanggan sudah tentu bertukar mengikut peredaran zaman juga. Perniagaan yang baru, hanya dapat menambah kemeriahan bidang perniagaan, tetapi bagi mereka yang hidup dalam komuniti, Kedai seperti Ajuntha Textile tetap menjadi pilihan kerana kesetiaan sejak generasi ke generasi.

Rasa kesinambungan itu tidak terhad kepada tekstil sahaja. Tidak jauh dari situ, di laluan Jalan Tun Perak terletaknya P.H. Hendry, sebuah kedai barang kemas dan barangan antik yang ditubuhkan pada tahun 1902. Kini ia di bawah jagaan Suren Hendry, penjaga generasi ketiga perniagaan keluarga yang meneruskan legasinya. Ramah dan mudah didekati, beliau berkongsi kisah di sebalik perniagaan tersebut.

Kedai Barangan Kemas P.H. Hendry yang terletak di Jalan Tun Perak, terletak betul-betul bertentangan dengan Bangunan Panggung Bandaraya DBKL.

“Datuk moyang kami merupakan pedagang dari Ceylon (Kini Sri Langka) dan dia berdagang pelbagai barangan dari Ceylon: sutera, batu permata dan banyak lagi, tetapi kerja utama keluarganya adalah sebagai tukang barangan kemas,” kongsi Suren.

Tambahnya, “Moyang saya akhirnya berdagang ke Malaya, tetapi menariknya dia membuka kedai kek, Ceylon Bakery. Minat untuk membuka kedai barangan perhiasan hanya datang selepas Datuk saya memutuskan untuk berniaga barangan kemas”.   

Kedudukan kedai mereka jauh daripada kedai-kedai barangan kemas yang lain, namun kewujudannya terkandung penuh sejarah dan memori. Dulunya lokasi mereka terletak betul-betul di permulaan Jalan Batu Road dan juga berhampiran pusat kerajaan yang kini Dataran Merdeka. Pada abad ke 20, kedai mereka berkembang dengan tambahan barangan kemas berunsur permata, ukiran, pembuatan jam dan perdagangan baru permata, trofi sukan dan perak sterling.

Suren Hendry di dalam kedai barangan kemas mereka sekarang. Bawah:  Bersama pewaris P.H. Hendry merentasi dua generasi: Suren bersama ayahnya, Dato’ P. G. D. Hendry JP, di hadapan kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Suren berkongsi “P.H. Hendry pernah suatu ketika menjadi tukang emas diraja buat Negeri Sembilan dan Selangor pada tahun 1929 dan Sultan Kelantan pada tahun 1948”. Tambahnya lagi, “Banyak juga bangsawan menjadi antara pelanggan kami pada suatu ketika dahulu termasuk Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama), Sir Edward Gent (Gabenor Malayan Union yang pertama) dan banyak tokoh antarabangsa lain,” katanya.

Sama seperti Ajuntha Textile yang telah menempatkan kedai mereka di tengah kota dari generasi ke generasi, Suren berpendapat memang penting untuk beralih ke dunia digital, tetapi dia percaya ada benda yang sukar untuk diganti.

“Untuk melihat sendiri barangan kemas adalah lebih baik daripada membeli dalam talian. Kita menjual barang kemas, yang mana nilainya tinggi, kita patut teliti dulu sebelum membelinya”.

From left: Sketch of the original P.H. Hendry shop located at Batu Road (now Jalan TAR), a building that has since been demolished; Emblem of Tuanku Abdul Rahman, the first Yang di-Pertuan Agong of Malaya, produced by the family after independence; P.H. Hendry was involved in the creation of the Diamond Fringe Tiara for the Sultanah of Negri Sembilan, Tuanku Kurshiah, the first Permaisuri of independent Malaya.

Perubahan masa memang mendukung pelbagai perubahan bersama: harga barangan dan bayaran tukang, semua berubah seiring waktu. Dulunya pelanggan mahupun reka bentuk yang rumit dan terperinci, sekarang mereka mahukan sesuatu yang ringkas.
 
Apa yang pasti kedai seperti P.H. Hendry, Ajuntha Textile dan Capital Cafe, masing-masing telah lama menghiasi deretan perniagaan yang terdapat di jalan ini dan masih mempunyai komuniti yang datang ke kedai mereka sehingga ke hari ini.       

Mengekalkan perusahaan ini bukan sahaja sesuatu yang sentimental buat mereka, tetapi juga untuk komuniti dan pelanggan yang setia untuk kembali kepada mereka. Dengan mengekalkan perusahaan ini juga, kita semua dapat hidup di masa lampau dengan merenung kisah mereka, hidup di zaman sekarang di mana mereka masih dapat bersaing walaupun tumbuhnya perniagaan baharu seperti cendawan dan pastinya bergerak bersama komuniti yang ada bersama mereka sepanjang zaman.

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2