Di Mana Tradisi Menemui Ritmanya

SOFIA SHAMSUNAHAR | 30 March 2026

Di seluruh Kuala Lumpur, bunyi menjadi memori – bergema melalui kuil, dewan konsert dan ruang yang dipulihara. Dalam landskap bunyi yang hidup dan sentiasa berkembang ini, Kombo Budaya DBKL menemui suaranya. –  Foto: MUAMMAR ANSARI

ADA sesuatu yang memikat apabila menyaksikan Kombo Budaya DBKL beraksi, namun untuk memahami mengapa muzik mereka begitu menyentuh jiwa, kita perlu berhenti sejenak, dan dengar kota yang menjadi latar mereka.

Dalam menelusuri kota Kuala Lumpur, sebenarnya bunyi membawa memori. Ia beralun di kawasan kuil melalui alunan nadaswaram dan tabla, bergema di dewan konsert dengan irama halus erhu dan pipa, serta menyusup ke lorong-lorong yang dipulihkan seperti Kwai Chai Hong, di mana masa lalu dan masa kini bertemu dalam cara yang tenang dan tidak dijangka. 
           
Dalam sebuah kota yang bangunan warisannya dipulihara dengan penuh teliti dan dihidupkan semula untuk kegunaan awam, orang ramai sekali lagi berpeluang merasai pengalaman berada di ruang seperti Bangunan Sultan Abdul Samad. 
        
Bunyi-bunyi ini membentuk sebahagian daripada arkib hidup yang terus berkembang namun tetap mengingati asal-usulnya. Dalam landskap bunyi yang berlapis inilah yang membuatkan Kombo Budaya DBKL menemukan suara mereka.

Apabila tidak berada di hadapan penonton, anggotanya kelihatan bergelak tawa, bertukar cerita dan secara spontan mengalunkan melodi menggunakan gambus (alat muzik bertali berbentuk seperti buah pir yang berasal dari Timur Tengah) dan akordion, dengan harmoni yang terjalin secara semula jadi. 
     
Jelas sekali: mereka mencintai muzik, dan mereka menikmati kebersamaan dalam berkarya.
       
Kombo Budaya DBKL, yang turut dikenali secara komersial sebagai “Attap Band”, yang merujuk kepada studio dan pejabatnya di Kampung Attap beroperasi di bawah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Seperti Kuala Lumpur itu sendiri, di mana bangunan warisan berdiri seiring dengan menara kaca dan keluli. Bunyi kumpulan muzik ini, telah menyuntik gabungan tradisi dan kontemporari.

Ia dapat didengari melalui padanan instrumen mereka. Alat muzik gamelan memukau dengan gemanya seakan kedengaran berlapis yang dikenali sebagai ombak, digandingkan dengan hembusan akordion yang beralun naik turun dalam lenggok penyedap halwa telinga dan mendayu. Elemen ini turut terserlah dalam komposisi mereka, apabila rentak tradisional Melayu bertemu dengan susunan moden gitar, gitar bes dan papan kekunci.   
       
Ensembel yang terdiri daripada 13 anggota ini mempersembahkan pelbagai jenis instrumen: gitar bes, gitar, dua papan kekunci, caklempong (set gong kecil daripada gangsa), biola, akordion, gambus, seruling buluh, perkusi Melayu dan Barat, saksofon serta dram. Sebuah susunan yang kadangkala menyerupai sebuah orkestra Melayu berskala kecil berbanding kumpulan muzik konvensional.

“Malaysia merupakan sebuah negara berbilang budaya, dan bunyi muzik kami mencerminkan kepelbagaian itu. Kami mengambil inspirasi daripada melodi tradisional Melayu, tekstur instrumental Cina dan pengaruh ritma India. Ada kalanya kami mentafsir semula lagu rakyat tradisional dalam susunan moden. Muzik kami meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, yang merupakan teras kepada warisan Malaysia,” kongsi Tengku Mohd Zainuddin Tg Dalam, ketua kumpulan tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 1972 ketika Kuala Lumpur dianugerahkan status bandar raya, DBKL telah lama memainkan peranan dalam membentuk landskap budaya kota ini. 
        
Bahagian muzik dan kebudayaannya, yang ditubuhkan pada tahun 1988, terus menyokong penggiat seni tempatan, menganjurkan konsert awam serta mempromosikan warisan Malaysia melalui festival dan persembahan, mandat yang diteruskan oleh Kombo Budaya DBKL.
       
“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan muzik yang terasa moden namun tetap berakar pada identiti Malaysia, sesuatu yang dapat menyentuh hati generasi muda dan juga golongan yang lebih berusia,” tambah Tengku.

Kumpulan ini kerap membuat persembahan di majlis rasmi datuk bandar, acara kerajaan dan korporat, namun kehadiran mereka melangkaui ruang formal. Mereka turut tampil di festival kebudayaan, acara awam dan ruang seni di seluruh kota. Daripada dewan komuniti hingga ke pentas terbuka sekitar Dataran Merdeka, mereka membawa muzik kepada orang ramai yang mungkin menemuinya secara kebetulan mahupun dirancang.

Antara sorotan utama mereka termasuklah konsert berskala besar seperti Festival Gendang dan Tarian Kuala Lumpur, selain persembahan pelbagai budaya dan kolaborasi yang menghubungkan artis tradisional dan kontemporari. Namun, persembahan mereka tidak terhad kepada Malaysia sahaja.

'Jika tradisi tidak ditafsir semula, ia berisiko hilang ditelan keheningan,' kata Tengku Mohd Zainuddin Tg Dalam – mengingatkan bahawa warisan bertahan bukan sekadar dipelihara, tetapi juga dimainkan semula.

“Salah satu persembahan antarabangsa yang paling bermakna buat kami ialah di Uzbekistan, apabila kami dijemput ke sebuah festival kebudayaan serantau. Penontonnya datang daripada pelbagai latar, dan amat bermakna melihat masyarakat daripada latar belakang berbeza menghargai bunyi tradisional Malaysia yang digabungkan dengan muzik moden,” imbas Tengku.

Dalam era yang dibentuk dengan pemodenan pesat dan pengaruh global, usaha seperti ini menjadi semakin penting. Warisan Malaysia yang berlapis berisiko pudar jika tidak dipelihara, namun muzik menawarkan satu cara untuk terus menghidupkannya, bukan sebagai sesuatu yang statik, tetapi sebagai sesuatu yang sentiasa berkembang.
   
“Persembahan di peringkat tempatan membantu memelihara dan mengembangkan identiti budaya kita. Jika pemuzik tidak terus mentafsir semula elemen tradisional, ia mungkin akan perlahan-lahan lenyap. Dengan membuat persembahan di Malaysia, kami memastikan generasi muda didedahkan kepada warisan mereka sendiri dalam bentuk yang mereka nikmati dan fahami,” jelasnya.

Detik kegembiraan antara kumpulan muzik dan penerbit video semasa penggambaran ‘Kisah Warisan Kita’ di Lanai Seni – sebuah oasis bandar di sepanjang Jalan TAR, sebahagian daripada KL Green Connector yang menyatukan warisan, seni dan komuniti menjadi satu benang hidup yang berterusan.

Apabila melihat keserasian santai antara kumpulan ini di sebalik tabir dengan gurauan halus, improvisasi spontan dan rentak yang dikongsi bersama, jelaslah mengapa muzik mereka begitu mudah menyentuh hati ramai.

“Malaysia mempunyai komuniti muzik yang sangat terbuka dan saling menyokong. Penonton di sini menghargai kedua-dua gaya tradisional dan moden. Persembahan di Kuala Lumpur khususnya membolehkan kami berhubung dengan khalayak yang pelbagai, penduduk tempatan, pelancong dan juga pendengar antarabangsa,” kata Tengku.
        
Akhirnya, Kombo Budaya DBKL mengingatkan kita bahawa tradisi tidak pernah kaku. Dalam Episod 1 Kisah Warisan Kita: Sounds of the City, persembahan mereka terhadap lagu Pantun Budi, yang dipopularkan oleh S. M. Salim, sekadar memberi ruang kepada sebuah lagu lama untuk didengari semula, dalam waktu dan suasana yang berbeza.

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2