Jelajah Warisan KL Menghidupkan Kembali Semangat Kebersamaan dan Warisan

18 Mac 2026

Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, bersama Tuan Shamshul Joehari, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, semasa sesi lawatan sekitar Stadium Merdeka bersempena Jelajah Warisan KL yang julung kali diadakan.

PERNAH suatu ketika dahulu, ruang Stadium Merdeka bergema dengan tenaga dan sorakan ribuan penonton. Situasi ini berlaku bukan sahaja untuk perlawanan bola sepak, tetapi juga bagi detik-detik penting yang membentuk negara seperti perlawanan Piala Merdeka, sambutan di peringkat kebangsaan dan momen kebanggaan untuk dikongsi bersama.

Di sinilah, pada 31 Ogos 1957, laungan bersejarah “Merdeka!” dilaungkan, menandakan kelahiran sebuah negara baharu dan mengukuhkan kedudukan Stadium Merdeka sebagai tonggak penting dalam identiti Malaysia. Beberapa dekad kemudian, stadium ini, yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, terus meninggalkan rasa yang mendalam.

Baru-baru ini, ketika rakyat Malaysia berhimpun di perkarangan yang penuh bersejarah untuk berbuka puasa, jawatankuasa kerja Warisan KL turun padang bagi siri pertama Jelajah Warisan KL, satu pendekatan untuk mendalami pemahaman tentang identiti Kuala Lumpur sambil mengetengahkan nilai-nilai Ekonomi MADANI, khususnya keterangkuman, kehormatan, kemakmuran bersama serta pemeliharaan naratif budaya Malaysia, di mana rasa perpaduan ini rasa seperti perasaan yang dekat dengan kita dan sentiasa diperbaharui.
       
Rakan-rakan, keluarga, pemimpin komuniti serta wakil organisasi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, jawatankuasa kerja Warisan KL dan Think City berjalan bersama dari presint moden sekitar Merdeka 118 menuju ke stadium bersejarah tempat kisah negara bermula.
        
Tatkala senja melabuhkan tirai, suasana itu terasa simbolik. Teres bersejarah stadium menghadap menara yang bercahaya, sementara laungan azan berkumandang di udara petang dan tren MRT kelihatan bergerak menelusuri ruang.
      
Seolah-olah masa lalu dan masa kini di Kuala Lumpur berkongsi ufuk yang sama.

Menikmati pemandangan dan juadah di Bazram Merdeka, ketika ratusan pengunjung menyusuri gerai-gerai di sekitar Stadium Merdeka – satu suasana meriah dengan gabungan aroma, warna dan perbualan yang mencerminkan semangat Ramadan di tengah-tengah kota.

Presint Berakar Sejarah

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, hubungan antara stadium bersejarah ini dan pencakar langit moden di sebelahnya sememangnya dirancang sejak awal.

“Apabila kami membangunkan Merdeka 118, tunjang dan jiwanya adalah Stadium Merdeka dan warisannya,” katanya. “Kami membina pembangunan ini berteraskan warisan, sambil memastikan komuniti sekitar turut mendapat manfaat.”
    
Beliau turut menekankan bagaimana stadium ini terus dihidupkan melalui pelbagai aktiviti, daripada program warisan kepada acara komuniti seperti majlis berbuka puasa dan Bazaar Ramadan Merdeka (BazRam).
     
“Anda boleh lihat orang ramai datang ke sini. Ada yang membawa makanan sendiri atau membeli di BazRam dan ada juga mereka berkelah bersama,” katanya. “Jarang kita lihat pembangunan ikonik bertaraf global seperti Merdeka 118 yang begitu dekat hubungannya dengan warisan.”
     
Menurut beliau, visi pembangunan ini adalah untuk mewujudkan sesuatu yang bukan sahaja bertaraf global, tetapi juga berakar dalam identiti Malaysia.
     
“Kita mungkin melihat pembangunan komersial yang kukuh di tempat lain, tetapi untuk membina presint global dan lestari di lokasi kelahiran Malaysia, ia merupakan sesuatu yang istimewa. Itulah kisah kita.”
Reka Bentuk Berinspirasikan Warisan

Hubungan dengan warisan ini turut diterapkan sejak awal lagi, termasuklah nama dan reka bentuk menara itu sendiri.

“Ia memang dirancang sejak awal dan dibangunkan berteraskan Stadium Merdeka,” kata Izwan. “Jika dilihat pada menara itu, reka bentuknya diinspirasikan daripada corak songket dan detik pengisytiharan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman.”
       
Beliau menambah bahawa pembangunan ini turut bertujuan mengetengahkan budaya Malaysia yang melangkaui aspek seni bina.
     
“Kami juga akan memposisikan pusat beli-belah ini dengan cara yang berbeza daripada yang pusat beli belah yang lain. Kami akan menampilkan warisan dan produk tempatan Malaysia di pentas global.”

Stadium itu sendiri turut menyimpan kenangan peribadi buat beliau. “Saya pernah bermain bola sepak banyak kali di Stadium Merdeka, malah pernah menjaringkan satu gol yang hebat di sini,” katanya sambil ketawa. “Saya juga pernah menghadiri konsert di sini… saya masih ingat Bon Jovi pada 2018!”

Kini, katanya, pengalaman bermain di padang itu memberikan perspektif yang berbeza. “Apabila saya bermain di sini dengan latar Merdeka 118, ia memang menakjubkan. Dan iya, saya masih main bola sepak!”

Ahli Jawatankuasa Kerja Warisan KL bersama rakan-rakan berkumpul untuk berbuka puasa di Stadium Merdeka sempena Jelajah Warisan KL — satu malam yang diwarnai perkongsian cerita dan semangat kebersamaan yang diperbaharui di salah satu mercu tanda bersejarah kota.

Stadium Yang Terus Hidup

Apabila jelajah warisan berakhir, para peserta bergerak ke padang stadium. Di sinilah suasana berubah menjadikan semangat berkumpul ini lebih akrab.
 
Para peserta berkumpul untuk berbuka puasa, memilih juadah dari gerai BazRam Merdeka sebelum kembali ke padang, di mana barisan pengunjung duduk bersama dalam suasana berkelah sementara menantikan azan. 
     
Keluarga, pemimpin komuniti, penduduk perumahan awam berhampiran, pelajar, penggiat warisan serta pengunjung berkongsi ruang yang sama. Ini termasuklah rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, termasuk migran dan pelancong yang ingin mengenali kisah kota ini. 

Bagi Izwan, detik seperti ini mencerminkan tujuan sebenar inisiatif tersebut.   

“Perjalanan dari Merdeka 118 ke Stadium Merdeka secara simbolik menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa depan Malaysia,” katanya. “Berbuka puasa bersama di sini mengingatkan kita bahawa tapak warisan bukan lagi sekadar monumen, tetapi ruang hidup untuk komuniti berkumpul.”
Menemui Semula Kota Bersama

Pemimpin komuniti yang hadir turut menyifatkan program ini sebagai bermakna dan membuka ruang pembelajaran.

Thay Peng Kee, setiausaha agung Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur di Kuil Kuan Yin Kuala Lumpur, berkata acara ini menghimpunkan masyarakat pelbagai latar dalam suasana yang penuh makna.
     
“Ini sangat bermakna dan memberi pengetahuan kepada kita semua, bukan hanya buat komuniti Muslim tetapi juga masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

“Suasananya sangat indah, di hadapan menara 118 dan di tempat bersejarah yang ramai antara kita membesar dengannya, khususnya ketika zaman Piala Merdeka pada tahun 1970-an dan 1980-an. Program seperti ini sangat inovatif dan sesuatu yang baharu untuk kita semua.”

Bagi Mohd Hilmi Abu Bakar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Malaysia, acara ini turut menekankan kepentingan mendekatkan generasi muda dengan warisan.

“Ibu pejabat kami terletak berhampiran di Jalan Hang Jebat sejak 1956,” katanya. “Pengakap, stadium, semuanya sebahagian daripada warisan bandar ini.”

Tambah beliau, “Penting untuk golongan muda memahami sejarah tempat-tempat ini supaya ia terus dihargai dan dipelihara. Aktiviti seperti ini mendekatkan mereka dengan warisan.”

Mohd Azmi Zakaria, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Sarawak, bersama isterinya Fatimah (kiri) serta ahli keluarga besar mereka berbuka puasa bersama di Stadium Merdeka.

Penduduk setempat turut menyambut baik peluang berkumpul di lokasi bersejarah ini. Mohd Azmi Zakaria, pengerusi persatuan penduduk PA Seri Sarawak, menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang bermakna.

“Kami bersyukur diberi peluang berbuka puasa di tempat bersejarah ini,” katanya. “Sangat indah apabila dapat melihat masyarakat pelbagai kaum bersama di sini. Inilah Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum.”

Isterinya, Fatimah, menambah ringkas: “Terima kasih kerana menjemput kami. Seluruh keluarga kami ada di sini malam ini dan kami amat bersyukur.”
Masa Depan Bersama Warisan Kuala Lumpur

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Warisan Kuala Lumpur, sebuah usaha nasional untuk menghidupkan semula teras bersejarah ibu kota dengan menghimpunkan agensi kerajaan, organisasi warisan, sektor swasta dan komuniti setempat.

Melalui pengalaman bersama di ruang-ruang ini, Izwan percaya masyarakat dapat menanam semula rasa pemilikan dan tanggungjawab terhadap bandar mereka.
   
“Program seperti ini mengingatkan kita bahawa kawasan ini bukan sekadar tempat untuk dilawati,” katanya. “Ia adalah ruang bersama milik bandar dan rakyatnya.”  

Tatkala malam berakhir dengan solat Maghrib di Masjid Al-Sultan Abdullah, cahaya Merdeka 118 terus berkilauan di langit kota.   

Di bawahnya, di tanah bersejarah yang pernah menyaksikan detik kemerdekaan, rakyat sekali lagi berhimpun, bukan untuk menyaksikan sejarah tercipta, tetapi untuk menyedari bahawa mereka sendiri adalah sebahagian daripadanya.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2