Di Dalam Badan Warisan Malaysia

Ann Marie Chandy | 27 Oktober 2025

Dahulunya sebuah banglo kolonial yang dibina pada tahun 1925, No. 2 Jalan Stonor telah dipulihkan oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1995 dan diubah suai menjadi Pusat Warisan yang hidup – di mana sejarah terus menginspirasi perbualan baru hingga ke hari ini. – Foto: Ann Marie Chandy

LANGKAH keluar dari kesibukan jalanan Segitiga Emas (golden triangle) Kuala Lumpur dan anda pastinya anda akan berada di dunia yang berbeza. Bersebelahan fasad kolonial yang tenang di No. 2 Jalan Stonor terletaknya sebuah rumah yang seolah-olah telah mengembara merentasi ruang dan masa, dalam pelbagai aspek.

Inilah Rumah Penghulu Abu Seman, sebuah rumah tradisional Melayu yang dahulunya berdiri megah di kampung kecil, Kampung Sungai Kechil, Kedah. Rumah yang dimiliki Penghulu Abu Seman, seorang ketua kampung yang disegani, dan kediamannya melambangkan kepimpinan, kekeluargaan serta kehalusan seni pertukangan pada tahun 1930-an. Beberapa dekad kemudian, apabila bangunan ini telah rapuh dan diancam untuk dirobohkan, Badan Warisan Malaysia (BWM) tampil untuk memberinya kehidupan kedua, dengan membongkar dan memindahkan rumah ini satu demi satu kayu, sebelum disusun semula di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Pada Mei 1996, Rumah Penghulu Abu Seman telah dibongkar dan dipindahkan ke lokasinya yang kini di Jalan Stonor.

Sebuah Kapung di Tengah-Tengah Bandar
Apabila anda menghampiri, harum serai dan bunga kantan menyapa dari taman, taman herbanya boleh dimakan tumbuh dalam kelompok yang tersusun rapi. Pepatung berterbangan di atas kolam kecil, dan jika bernasib baik, anda mungkin terlihat kilauan hijau, ama-rama Rajah Brooke yang singgah di oasis yang tidak disangka ini.

Di dalamnya, rumah ini terbuka seperti sebuah kisah yang disampaikan mengikut bab. Balai (serambi) dahulunya berfungsi sebagai ruang pertemuan awam, dan pada zaman itu ia turut dijadikan mahkamah kampung. Di kawasan tengah pula merupakan ruang di mana kaum wanita menjalankan kerja-kerja harian, manakala ibu ialah bahagian utama rumah yang digunakan untuk majlis rasmi dan menerima tetamu.

Serambi rumah ini menghadap ke taman hijau subur dan kolam yang tenang – sudut damai di mana masa seolah-olah bergerak perlahan.

Setiap elemen mempunyai makna tersendiri. Lengkung rendah di pintu masuk balai memaksa pengunjung menundukkan kepala sedikit, satu gerak halus yang melambangkan rendah diri dan rasa hormat. Pintu utama rumah ini berputar pada paksi tengah, bukan pada engsel, satu rekaan tradisional yang bijak yang membantu melancarkan pengaliran udara serta mengurangkan bahang panas. Tangga kecil berhampiran dapur pula dibina khas untuk wanita, yang setiap hari berulang-alik antara taman dan dapur bagi menjalankan kerja harian mereka. 

Tiada sebatang paku pun digunakan dalam pembinaan rumah ini, yang ada hanya sambungan kayu dan pasak yang rumit, menandakan kehalusan seni pertukangan tukang kayu Melayu. Di tengah-tengah struktur berdiri tiang seri, tiang utama yang dianggap suci. Di antara tiang kayu dan batu asas di bawahnya tersimpan dua keping syiling. Satu dari Kedah, dan satu lagi dari tahun rumah ini dipasang semula di Kuala Lumpur pada tahun 1996. Kedua-duanya melambangkan kesinambungan – semangat sebuah rumah yang dilahirkan semula.  

“Apabila saya melangkah ke dalam Rumah Penghulu Abu Seman, apa yang benar-benar menyentuh hati saya ialah secara senyap mereka mempunyai kekuatan untuk yang membina rumah seperti ini,” kata Lim Wei-Ling, Presiden Majlis Badan Warisan Malaysia 2025. “Setiap bahagian rumah ini direka dan dihasilkan dengan penuh ketelitian, perhatian dan pertimbangan, dan ini mengingatkan saya bahawa warisan kita tidak terbina melalui detik-detik besar yang gemilang, tetapi melalui kehidupan seharian mereka yang bekerja dengan tangan dan hati.

“Bagi saya, rumah ini juga melambangkan perpaduan, bagaimana masyarakat dahulu hidup dalam keharmonian, saling membantu dan menyokong antara satu sama lain sebagai sebuah komuniti.”

Tidak semua yang terdapat di alam rumah ini adalah asli, namun setiap satunya menceritakan kisah tentang kenangan dan tempat.

Dari Sebuah Rumah ke Satu Gerakan

Proses untuk menyelamatkan Rumah Penghulu Abu Seman hanyalah sebahagian daripada kisah yang jauh lebih besar, sebuah kisah yang menyaksikan BWM muncul sebagai penjaga jiwa seni bina negara.

Ditubuhkan pada tahun 1983 oleh tokoh-tokoh budaya terkemuka termasuk Allahyarham Tan Sri Dato’ Harun M. Hashim, Allahyarham Tan Sri Mubin Sheppard, Allahyarham Ar. Chen Voon Fee dan Prof. Dr. Ar. Jimmy Cheok-Siang Lim, BWM menjadi pertubuhan bukan kerajaan pertama di Malaysia yang berdedikasi terhadap pemuliharaan warisan. Falsafah mereka mudah tetapi mendalam, untuk memastikan apa yang kita warisi daripada masa lalu terus memperkayakan masa depan. 

BWM telah memainkan peranan penting di sebalik beberapa projek pemuliharaan paling bersejarah negara, daripada Stadium Merdeka, tempat kemerdekaan diisytiharkan, kepada Suffolk House di Pulau Pinang, dan Bangunan Sulaiman di Kuala Lumpur. Usaha advokasi organisasi ini juga telah membuka jalan kepada penggubalan Akta Warisan Kebangsaan 2005, yang buat pertama kalinya mengiktiraf warisan budaya dan binaan Malaysia secara rasmi.

Kata Lim, “Pemuliharaan warisan itu penting kerana ia mengingatkan siapa diri kita dan dari mana asal kita. Dalam sebuah negara seperti Malaysia yang sentiasa berkembang, warisan menjadi sauh yang menambat identiti kita, membantu kita memahami asal-usul dan jati diri.”

Tambahnya hal ini adalah lebih bermakna buat generasi muda, “Dalam dunia yang semakin pantas, di mana trend dan teknologi membentuk begitu banyak aspek kehidupan seharian, warisan menawarkan rasa kesinambungan dan kepunyaan. Ia mengingatkan kita bahawa kita adalah sebahagian daripada kisah yang lebih besar, yang melangkaui masa dan pengalaman kita sendiri.”

Lim menzahirkan pemikiran ini dengan begitu indah, “Pemuliharaan warisan bukan tentang membekukan masa lalu, sebaliknya ia berkembang bersama kita. Cerita, muzik, seni bina dan amalan budaya pada hari ini akan menjadi warisan untuk hari esok. Sebab itulah penting untuk golongan muda untuk turut sama terlibat, agar mereka melihat diri mereka tercermin dalam apa yang sedang dipelihara. Hanya dengan itu warisan dapat terus hidup, bukan sebagai sesuatu yang lama, tetapi sebagai sesuatu yang terus membimbing dan menginspirasikan masa depan kita.”
Pembelajaran Tidak Pernah Berakhir

Di Jalan Stonor, warisan bukan sekadar untuk dipamerkan, tetapi ia perlu dikongsi bersama. Program latihan pemandu sukarelawan mengalu-alukan mereka yang ingin mempelajari seni bercerita, mempersiapkan diri untuk memimpin lawatan berpandu yang menghidupkan sejarah di hadapan para pengunjung. Terdapat juga pelbagai aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak daripada jelajah mengenal herba hinggalah bengkel melukis dan kraf tangan yang memperkenalkan prinsip reka bentuk tradisional.

Bagi para penyelidik, Pusat Sumber Chen Voon Fee merupakan khazanah ilmu yang amat berharga. Menempatkan lebih 30 tahun bahan lukisan, foto dan dokumentasi, ia merupakan arkib paling komprehensif di Malaysia yang didedikasikan kepada seni bina dan pemuliharaan. Disokong oleh Tabung Amanah Kebajikan Chen Voon Fee, pusat ini dibuka kepada orang ramai melalui temu janji terlebih dahulu, dan berfungsi sebagai bilik darjah yang hidup untuk pelajar serta golongan profesional.

Apabila dunia semakin pantas bergerak, Presiden BWM Lim Wei-Ling melihat warisan sebagai sauh kita – mengingatkan siapa diri kita. – Foto: weiling-gallery.com

Walaupun Kuala Lumpur terus membangun menuju langit, BWM tetap berusaha menyediakan ruang untuk kisah-kisah yang membentuk identiti bandar ini. Pada bulan November ini, organisasi tersebut akan menganjurkan acara “Traditional Malay House Showcase: Culture and Nature in Harmony” (Nov 1–15), yang menampilkan pameran dan sesi perkongsian oleh pakar warisan Omar Ariff dan Leon Leong. Acara ini meraikan bagaimana seni bina tradisional Melayu telah mengamalkan kelestarian jauh sebelum ia menjadi istilah popular global melalui penyejukan semula jadi, reka bentuk adaptif, serta hubungan harmoni dengan alam sekitar. 

Lim, yang juga pengasas dan pengarah Wei-Ling Gallery dan Wei-Ling Contemporary, juga mendapat pengiktirafan secara meluas atas sumbangannya terhadap pembangunan seni kontemporari Malaysia berkata bahawa perjalanannya dalam dunia seni moden telah mengajarnya bahawa seni, pada asasnya, ialah cerminan pengalaman manusia yang diterjemahkan kepada emosi, pemikiran dan cerita.  

“Seni tumbuh daripada cara kita melihat dan merasai dunia di sekeliling kita, dan di Malaysia, pengalaman itu dipengaruhi oleh kepelbagaian kita. Pelbagai budaya, bahasa dan tradisi berpadu untuk menghasilkan ungkapan seni yang kaya dan unik kepada negara kita. 

“Kepelbagaian yang sama ini juga yanng membentuk asas warisan kita. Bagi saya, seni dan warisan ibarat dua sisi mata wang yang sama, kedua-duanya menceritakan siapa kita, dari mana asal kita, dan bagaimana kita saling berkait antara satu sama lain. Warisan berfungsi sebagai memori yang hidup, ia mengingatkan kita tentang sejarah kita, tetapi juga mengilhamkan langkah kita untuk ke hadapan.” 

Lim berkata bahawa terdapat banyak persamaan antara kerjanya di BWM dan pengalamannya dalam dunia seni. “Di galeri, saya bekerjasama rapat dengan para seniman untuk membayangkan perspektif baharu, manakala di Badan Warisan, saya menumpukan pada usaha memelihara kisah dan tempat yang membentuk jati diri kita. Dalam kedua-dua bidang ini, matlamatnya sama iaitu untuk mencipta makna, membina hubungan, dan mengekalkan semangat yang mendefinisikan kita sebagai sebuah komuniti.” 

Dia menutup dengan satu renungan yang mendalam, “Ingatlah, kisah-kisah yang kita ceritakan hari ini melalui seni kontemporari yang akan menjadi sebahagian daripada cerita warisan masa depan.”
Warisan Hidup di Hati Kuala Lumpur
Apabila anda berada berhampiran Pavilion atau Stesen MRT Conlay, luangkan sedikit masa ke Jalan Stonor. Langkah ke dalam teduhan sejuk Rumah Penghulu Abu Seman, dan cuba untuk dengar. Anda mungkin dapat menangkap kicauan burung bersatu dengan deru kota, bunyi lantai kayu yang berkeriut di bawah tapak kaki, atau mungkin bisikan masa lalu yang masih bermain disekelilingnya.

Di sini, di sebuah rumah kayu yang dikelilingi menara kaca, warisan bukanlah sesuatu yang dibekukan dalam masa. Ia bernafas, berkembang, dan menyambut pengunjung baharu setiap hari, hasil dedikasi dan usaha berterusan Badan Warisan Malaysia.  

Kadang-kala tindakan paling kehadapan untuk sebuah bandar yang sedang pesat berkembang adalah untuk mengingati sejarahnya.

Lawat Rumah Penghulu Abu Seman
No. 2 Jalan Stonor, Kuala Lumpur
Lawatan berpandu: Selasa - Sabtu, 11pg & 3mlm
www.badanwarisan.org.my

Dan siapa kata anda tidak boleh memuaskan selera minda dan citarasa tradisi pada masa yang sama? Terdapat dua pilihan makan tengah hari di sini: kafe pop-up Silarasa yang menyajikan hidangan klasik Indonesia dan Malaysia; serta Open House, yang terletak bersebelahan dalam kawasan yang sama, menampilkan masakan warisan Malaysia dengan resipi-resipi lama yang hampir dilupakan.

Sorotan Warisan: 5 Perkara untuk Diperhatikan Semasa Anda di Rumah Penghulu

1. Pintu Utama Berputar
Pintu tanpa engsel yang berputar pada paksi tengah, gabungan kejuruteraan tradisional dan reka bentuk pengudaraan yang bijak.
2. Ritual Tiang Seri
Dua keping syiling tertanam di bawah tiang utama, satu dari Kedah, satu lagi dari Kuala Lumpur yang melambangkan masa lalu dan masa kini rumah ini. Walaupun anda tidak dapat melihat syiling itu, menarik untuk mengetahui tentang ritual di sebaliknya.
3. Kejutan di Kolong
Lihat ke ruang kosong (kolong) di bawah rumah dan anda akan menemui sebuah perahu sumbangan, penghormatan kepada asal usul utara rumah ini dan peranan penting laluan air dalam kehidupan masyarakat Melayu.
4. Taman Beraroma
Taman herba di sekeliling rumah menampilkan bunga kantan, serai dan pandan, tumbuhan yang digunakan untuk memasak, perubatan tradisional, dan mengharumkan kain.
5. Kolam yang Menarik Rama-Rama
Kolam kecil ini menjadi tarikan untuk rama-rama Rajah Brooke, pepatung, malah burung berhijrah menjadikannya kantung biodiversiti di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2