Akses Pemetaan

ELLFIAN RAHIM | 29 December 2025

MENAVIGASI di Kuala Lumpur sememangnya mencabar dalam apa jua keadaan. Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), perjalanan harian di bandar ini, daripada menggunakan pengangkutan awam hinggalah memasuki kedai, galeri atau ruang acara sering kali melibatkan halangan tambahan yang tidak disedari oleh kebanyakan orang. Lif yang rosak, ketiadaan tanjakan dan laluan pejalan kaki yang tidak rata bukan sekadar kesulitan kecil, sebaliknya, ia menentukan sama ada seseorang itu mampu untuk menjalani kehidupan sepenuhnya dalam bandar.

Seiring dengan Kuala Lumpur yang sedang meneruskan usaha penjanaan semula bandar dan pembentukan identiti tempat (placemaking), aspek aksesibiliti kini menjadi ukuran penting tahap keterangkuman sebenar sesebuah bandar. Di sinilah peranan IncluCity, sebuah aplikasi digital yang dibangunkan secara tempatan. Direka untuk mengumpul maklumat aksesibiliti melalui orang ramai pada waktu sebenar, platform ini membantu golongan OKU menavigasi bandar dengan lebih berdikari, di samping menyediakan pandangan praktikal kepada perancang bandar, perniagaan dan orang awam tentang aspek penambahbaikan yang diperlukan.
  
Orang awam turut memainkan peranan penting dengan melaporkan halangan khusus seperti lif yang tidak berfungsi, ketiadaan tanjakan atau laluan pejalan kaki yang terhalang melalui platform khusus seperti aplikasi digital pada peranti mudah alih masing-masing. Usaha ini menyumbang ke arah pembentukan peta cabaran aksesibiliti yang lebih menyeluruh, dinamik dan sentiasa dikemas kini.  

Dilancarkan pada September 2023, IncluCity mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa sebuah bandar warisan juga mesti bersifat boleh didiami dan inklusif, bukan sekadar dipelihara dari segi struktur fizikal, tetapi dialami secara saksama oleh semua lapisan masyarakat yang melaluinya.  

Armani Shahrin mengetuai pasukan yang mengasaskan dan melancarkan aplikasi digital IncluCity pada September 2023. Sebelum ini dia yang juga industri profesional dalam bidang acara ini juga turut mengabdikan dirinya dalam penubuhan NakSeni, sebuah perusahaan sosial yang memperkasa serta mengangkat martabat artis OKU di Malaysia.  

Armani juga telah mencurahkan masa dan tenaganya untuk menubuhkan serta mengendalikan WE&I ArtFest, sebuah festival seni tahunan Malaysia yang dianjurkan sempena Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya (IDPWD) pada bulan Disember. Sejak 2018, festival ini meraikan dan memperkasa komuniti OKU dengan mempamerkan kepelbagaian bakat seni mereka melalui pameran, bengkel, persembahan dan bazar, dengan matlamat meningkatkan keterangkuman, kebebasan serta kesedaran awam.

“NakSeni menjadi sangat aktif sewaktu tempoh pandemik, terutamanya untuk adik saya sendiri, Izzati, dan rakan-rakannya yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU),” jelas Armani. “Inisiatif seperti ini amat diperlukan apabila rutin harian dan peluang mereka terhenti secara mendadak akibat pandemik. Apa yang bermula sebagai usaha kecil untuk membantu artis OKU menjana pendapatan melalui seni, dengan pantas berkembang menjadi sebuah komuniti yang berteraskan kepercayaan,” katanya.

“Seiring pertumbuhan NakSeni, kami berulang kali berdepan dengan halangan yang hampir sama. Walaupun peluang wujud, ruang yang disediakan sering kali tidak mesra akses. Akibatnya, hampir setiap pameran atau acara memerlukan penyelesaian alternatif, usaha penyelesaian masalah yang intensif serta pelbagai bentuk kompromi,” tambahnya.
  
Menurut Armani, kesedaran inilah yang menjadi pencetus kepada kelahiran IncluCity, apabila pengalamannya melalui NakSeni mengajarnya bahawa pemerkasaan bermula dengan akses.  

“Justeru, IncluCity bukanlah satu perubahan hala tuju… sebaliknya ia merupakan kesinambungan. Jika NakSeni meraikan keupayaan, IncluCity pula mentransformasikan persekitaran di sekelilingnya,” ujar Armani.

Armani Shahrin bersama adiknya, Izzati. Tempoh pandemik menjadi titik perubahan penting bagi NakSeni, yang berkembang daripada usaha menyokong Izzati dan rakan-rakannya, kesemuanya golongan orang kurang upaya (OKU) apabila rutin kehidupan seharian terhenti secara mendadak.

“Sebagai sebuah platform, IncluCity mula dibangunkan sekitar tahun 2022, hasil daripada pengalaman langsung selama bertahun-tahun melalui WE&I ArtFest serta kerja-kerja komuniti yang berkaitan. Hari ini, platform ini telah berkembang menjadi sebuah aplikasi berfungsi dengan pangkalan data yang pesat berkembang. Aplikasi IncluCity membolehkan pengguna meneroka lokasi yang telah dipetakan, menyumbang pemerhatian, serta mengakses sumber rujukan yang dikurasi. Kandungan pula dibangunkan melalui sumbangan komuniti, kerja lapangan dan kolaborasi. Kami melihat potensi besar untuk memperluaskan ciri-ciri ini melalui kerjasama strategik yang lebih mendalam, sekali gus memperkayakan platform ini dari semasa ke semasa.”

Melalui aplikasi ini, pengguna dapat memperoleh maklumat terkini dan disahkan mengenai tahap keselamatan serta aksesibiliti sesebuah lokasi, sekali gus memudahkan pergerakan bebas dan yakin di dalam bandar. IncluCity turut menyediakan penarafan aksesibiliti bagi setiap lokasi yang disenaraikan. Sistem penarafan ini membantu perniagaan memahami dengan lebih jelas keperluan komuniti OKU serta langkah-langkah penambahbaikan yang boleh diambil. Selain senarai perniagaan dan rakan kongsi mesra OKU, aplikasi ini turut menyediakan pautan kepada artikel pendidikan dan alat sokongan untuk pengguna.  
  
Namun begitu, sehingga kini IncluCity masih beroperasi sebagai sebuah permulaan (startup) peringkat awal yang berskala kecil. Pasukan teras yang kecil menguruskan strategi, pembangunan produk dan penglibatan komuniti, dengan sokongan sukarelawan OKU, penguji, artis dan rakan kolaborasi. Menurut Armani, struktur yang ringkas ini memastikan pasukan kekal berpijak di bumi nyata. “Ini penting ketika Kuala Lumpur melaksanakan inisiatif seperti Warisan KL, sebuah usaha penjanaan semula bandar oleh Kerajaan untuk menghidupkan semula kawasan pusat bandar bersejarah. IncluCity dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan yang lebih besar dalam membentuk bandar yang berteraskan manusia, dengan menyumbangkan maklumat aksesibiliti yang praktikal di lokasi yang paling memerlukan.”

Walau bagaimanapun, Armani mengakui bahawa membangunkan sebuah platform aksesibiliti berasaskan maklumat awam mempunyai cabaran tersendiri, terutamanya kerana aksesibiliti sangat bergantung kepada konteks. “Apa yang berfungsi untuk seseorang mungkin masih menjadi halangan kepada individu lain. Adakah kita menilai aksesibiliti sesebuah lokasi dari perspektif pengguna kerusi roda atau individu cacat penglihatan? Bagaimana pula jika seseorang itu mempunyai pelbagai ketidakupayaan atau bersifat neurodivergen?”


Armani mendedahkan bahawa pasukannya telah mempelajari melalui rakan audit aksesibiliti bahawa meskipun piawaian asas bagi keperluan aksesibiliti telah tersedia, pelaksanaannya masih belum konsisten. “Namun, cabaran-cabaran ini mengesahkan keperluan terhadap IncluCity dan mengukuhkan pendekatan kami dengan setiap penambahbaikan yang dilaksanakan,” jelasnya.

Menjelang tahun 2026, Armani menyasarkan untuk mengembangkan gerakan IncluCity menjadi sebahagian daripada infrastruktur bandar harian. “Kami berhasrat untuk memperkukuh kualiti data, meningkatkan kebolehgunaan serta memperluaskan kerjasama bagi menormalkan keterangkuman golongan OKU dalam masyarakat. Kami percaya, apabila usaha ini berjaya dilaksanakan, kita bukan sahaja mempersiapkan bandar untuk keperluan masa kini, malah untuk diri kita pada masa hadapan. Visi kami adalah untuk menjadikan maklumat aksesibiliti sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan harian, seterusnya menyumbang kepada pembentukan bandar yang bukan sekadar lebih pintar, tetapi lebih berperikemanusiaan,” katanya.
  
Aplikasi IncluCity boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2