Central Market
Katedral St Mary: Mercu Tanda Warisan dan Keagamaan yang Terus Hidup
Terletak bersebelahan Dataran Merdeka dan bersempadan dengan Sungai Gombak di sebelah utara, Katedral St Mary di Jalan Raja merupakan salah satu mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur yang kekal hingga ke hari ini.

Katedral ini dibina pada penghujung abad ke-19 dan kekal sebagai gereja induk bagi Penganut Anglikan Malaysia Barat. Batu asas gereja di lokasi sekarang telah diletakkan pada 3 Februari 1894 oleh Residen British Selangor ketika itu, WH Treacher, dalam satu upacara yang dipimpin oleh Bishop GF Hose.

Seni bina Gothic Inggeris, tingkap kaca berwarna yang bersejarah, organ paip antik serta kelengkapan dalaman yang berusia lebih satu abad memberikan gambaran tentang sejarah Kuala Lumpur pada era kolonial. Pada masa yang sama, komuniti penganutnya yang masih aktif menjadikan bangunan bersejarah ini terus berfungsi sebagai pusat keagamaan sehingga ke hari ini.
01
Kepentingan Sejarah dan Warisan
Katedral St Mary merupakan sebahagian penting daripada landskap bersejarah di sekitar Dataran Merdeka, sebuah kawasan yang menjadi saksi kepada transformasi Kuala Lumpur daripada pusat pentadbiran kolonial kepada ibu negara sebuah negara yang merdeka. Selama lebih satu abad, katedral ini terus berdiri megah di tengah-tengah perubahan dan perkembangan bandar raya Kuala Lumpur.

Sejarah Awal: Gereja asal merupakan sebuah bangunan sederhana di Jalan Bluff yang hanya mampu menampung 95 orang. Seiring dengan pertambahan jemaah, keputusan dibuat pada tahun 1893 untuk membina gereja yang lebih besar di tapak baharu di Jalan Raja.

Rumah Ibadat Bersejarah: Mula digunakan pada penghujung abad ke-19 ketika era pemerintahan British di Tanah Melayu, Katedral St Mary telah menjadi rumah ibadat bagi pelbagai generasi penganut Kristian dan kekal aktif sebagai pusat keagamaan sehingga hari ini.

Mercu Tanda Warisan yang Terus Hidup: Katedral ini telah mengharungi pelbagai pergolakan pada awal abad ke-20 serta kejadian banjir yang berulang kali melanda kawasan sekitarnya. Namun begitu, ia terus berfungsi sebagai pusat ibadat yang menjadi tumpuan komuniti penganutnya yang semakin berkembang.

Warisan yang Kekal: Kedudukannya di sepanjang Jalan Raja menempatkan katedral ini dalam salah satu kawasan warisan paling penting di Kuala Lumpur, bersebelahan Dataran Merdeka serta mercu tanda bersejarah lain termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad dan Kelab Diraja Selangor.
02
Seni Bina Warisan
Dengan reka bentuk pelan lantai berbentuk salib yang tersendiri, Katedral St Mary mencerminkan pengaruh seni bina Gothic Inggeris Awal. Direka oleh arkitek British, AC Norman, bangunan ini menampilkan ciri-ciri seni bina Gothic yang ikonik, termasuk gerbang melengkung runcing dan tingkap kaca berwarna. Di bahagian dalam katedral, tiga tingkap kaca berwarna yang terletak di atas ruang altar utama memaparkan imej Jesus Christ, St John dan Virgin Mary, sekali gus menjadi antara elemen hiasan dalaman yang paling menonjol di katedral ini.

Bangunan bersejarah ini turut mengalami pelbagai perubahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan penyelenggaraan dan pemuliharaan yang teliti. Sepanjang tahun, usaha pemuliharaan telah merangkumi kerja-kerja membaik pulih rangka bumbung yang rosak akibat serangan anai-anai. Proses ini memerlukan penggunaan kayu daripada jenis yang sepadan serta kepakaran tukang kayu mahir bagi menghasilkan semula potongan dan teknik pertukangan asal yang bercirikan gaya Eropah.
03
Kisah Malaya Dari Tingkap
Tingkap kaca berwarna di Katedral St Mary bukan sekadar elemen hiasan seni bina, tetapi menyimpan kisah tentang individu, peristiwa dan komuniti yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarah negara.

Antara yang paling unik ialah Planter’s Window (Tingkap Peringatan Peladang) yang terletak di bahagian barat katedral. Tingkap ini dibina bagi memperingati para pengusaha ladang yang terkorban semasa zaman Darurat Tanah Melayu antara tahun 1948 hingga 1960. Reka bentuknya menggambarkan landskap pertanian pada era tersebut dengan menampilkan tanaman getah, teh, kelapa sawit dan kelapa, di samping imej pekerja ladang serta seorang pengusaha ladang berbangsa Scotland yang mengenakan pakaian tradisional kilt. Lambang negeri-negeri bekas Persekutuan Tanah Melayu turut diterap dalam reka bentuk tingkap ini.

Tingkap kaca berwarna di bahagian tengah katedral pula memaparkan imej Jesus Christ mempunyai kisah tersendiri yang berkait dengan sejarah peperangan. Menurut seorang penjaga gereja yang telah lama berkhidmat, tingkap asal tersebut telah ditanggalkan dan ditanam oleh seorang pengusaha ladang getah semasa Perang Dunia Kedua bagi melindunginya daripada kerosakan. Bagaimanapun, pengusaha ladang berkenaan kemudiannya pulang ke England dan tidak kembali ke Tanah Melayu. Sehingga kini, lokasi sebenar tingkap kaca berwarna yang asal itu masih tidak diketahui.

Bersama-sama plak peringatan yang terdapat di sekitar katedral, elemen-elemen bersejarah ini menjadikan Katedral St Mary sebagai khazanah yang menyimpan pelbagai kisah dan memori silam, sekali gus menghubungkan sejarah keagamaannya dengan naratif sejarah Tanah Melayu dan perkembangan bandar raya Kuala Lumpur secara keseluruhannya.
04
Katedral yang Menyimpan Seribu Kenangan
Di seluruh ruang Katedral St Mary, terdapat pelbagai plak logam peringatan yang mengabadikan individu dan peristiwa penting yang berkait rapat dengan sejarah katedral ini.

Antara tugu peringatan dan plak yang terdapat di dalam katedral ini ialah sebuah plak bagi mengenang 91 individu yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama, serta sebuah lagi yang memperingati lawatan Ratu Elizabeth II pada tahun 1998.
 
Sebuah plak lain pula didedikasikan kepada Dr. Ernest Aston Otho Travers, tokoh yang mengasaskan Pusat Kusta Sungai Buloh pada tahun 1930. Sumbangan beliau dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan di Tanah Melayu turut diabadikan menerusi nama Jalan Travers, yang dinamakan sempena beliau.

Malah, perincian kecil pada bangunan ini turut menjadi bukti usianya yang telah menjangkau lebih satu abad. Semasa kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan, beberapa lapisan cat putih pada dinding berhampiran ruang altar telah ditanggalkan, sekali gus mendedahkan corak fleur-de-lis yang samar di sebaliknya. Penemuan ini memperlihatkan kesan hiasan asal yang pernah menghiasi ruang dalaman katedral tersebut, namun tersembunyi di sebalik lapisan cat selama beberapa dekad.

Katedral ini melalui beberapa kerja pembesaran dan pengubahsuaian selama bertahun-tahun. Bahagian belakang gereja diperluas pada tahun 1958 bagi menempatkan Dewan Jubilee, diikuti pembinaan bangunan tambahan dua tingkat untuk kegunaan paroki dan pentadbiran pada tahun 1968. Kerja-kerja pengubahsuaian lanjut antara tahun 2006 hingga 2007 menyaksikan pembinaan Dewan Serbaguna, penambahan ruang pejabat dan bilik mesyuarat, serta penggabungan Dewan Jubilee ke bahagian belakang bangunan utama katedral. Pada tahun 2012, kerja-kerja penambahbaikan akustik turut dijalankan bagi mengurangkan bunyi bising dari luar.
05
Organ Paip yang Sarat dengan Sejarah
Antara khazanah bersejarah yang paling istimewa di Katedral St Mary ialah sebuah organ paip antik yang terletak di tingkat atas, di bahagian utara ruang utama katedral.

Organ tersebut tidak mempunyai label pengeluar, namun dipercayai secara meluas telah dihasilkan oleh Henry Willis, seorang pembina organ tersohor pada era Victoria yang turut menghasilkan organ di Katedral St Paul, London.

Organ tersebut pada asalnya dibeli oleh Frederic Duberly, Pemangku Residen Pahang, untuk kegunaan peribadinya pada tahun 1898 sebelum dipasang di Katedral St Mary pada tahun 1904.

Alat muzik bersejarah ini berjaya bertahan daripada banjir besar yang melanda pada tahun 1928, walaupun terpaksa dipindahkan ke lokasi lain di dalam katedral. Organ tersebut sekali lagi mengalami kerosakan teruk semasa Perang Dunia Kedua sebelum dibina semula sepenuhnya pada tahun 1951.
 
Pada awalnya, organ ini dimainkan menggunakan sistem pam udara yang dikendalikan secara manual, sebelum sistemnya dinaik taraf kepada kuasa elektrik.

Organ paip ini bukan sekadar sebuah alat muzik, malah merupakan antara artifak bersejarah yang masih terpelihara dan menjadi saksi kepada perjalanan sejarah awal Katedral St Mary.


06
Bangunan yang Dibentuk Oleh Peredaran Masa
Keunikan sejarah Katedral St Mary turut terserlah menerusi kelengkapan dalaman yang masih digunakan sehingga hari ini. Kebanyakan bangku kayu di dalam katedral ini dipercayai berasal dari tahun 1894 dan telah berjaya bertahan daripada beberapa kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut, termasuk ketika arus banjir begitu deras sehingga mampu mengangkat bangku-bangku berkenaan dari lantai.

Usaha memelihara bangunan bersejarah yang telah berusia lebih satu abad ini memerlukan kepakaran khusus serta penelitian yang tinggi. Kerja-kerja pemuliharaan melibatkan usaha mendapatkan sumber kayu yang sepadan dengan rangka asal bangunan, selain mencari tenaga mahir yang berupaya menghasilkan semula perincian seni bina tradisional Eropah menggunakan teknik pertukangan yang bersesuaian.

Usaha ini mencerminkan prinsip penting dalam pemuliharaan warisan, iaitu memelihara sesebuah bangunan bersejarah bukan sekadar mengekalkan rupa bentuk dan keindahan seni binanya, tetapi juga memahami serta menghargai bahan binaan, kemahiran pertukangan dan teknik pembinaan yang membentuk identiti serta keunikan bangunan tersebut.


07
Katedral St Mary Pada Masa Kini
Walaupun seni bina dan artifak bersejarah yang masih terpelihara menghubungkan Katedral St Mary dengan sejarah silam Kuala Lumpur, katedral ini kekal sebagai sebuah institusi keagamaan yang aktif dan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat setempat.

Komuniti jemaahnya masih berkumpul untuk menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, termasuk tradisi sambutan Krismas seperti nyanyian karol serta upacara tahunan Nine Lessons and Carols. Aktiviti seumpama ini memastikan katedral tersebut bukan sekadar dipelihara sebagai peninggalan seni bina bersejarah, malah terus menjadi sebahagian daripada kehidupan sosial dan kerohanian masyarakat bandar raya ini.

Berdiri megah seiring dengan bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Dataran Merdeka, Katedral St Mary melengkapkan kepelbagaian landskap warisan Kuala Lumpur dengan keunikan sejarah dan identiti yang tersendiri. Setiap dinding, tingkap kaca berwarna, organ paip dan kelengkapan dalamannya menyimpan kisah daripada pelbagai generasi, manakala peranannya yang berterusan sebagai tempat ibadat memastikan kisah-kisah tersebut kekal hidup sebagai sebahagian daripada warisan bandar raya ini.

Hakikatnya, Katedral St Mary bukan sekadar peninggalan seni bina Gothic Inggeris yang masih bertahan hingga ke hari ini. Ia merupakan sebuah mercu tanda yang dibentuk oleh kepercayaan, sejarah, konflik, bencana banjir, usaha pemuliharaan serta semangat komuniti. Kesemua elemen ini menjadikan Katedral St Mary sebahagian daripada khazanah warisan yang tidak ternilai dan terus mewarnai perjalanan sejarah Kuala Lumpur.

Key Strategies

KLCCD’s Strategic Master Plan outlines seven core strategies to transform downtown KL into a thriving cultural district.

The new face of Kuala Lumpur

A city shaped by history and growth — explore Kuala Lumpur’s story in our booklet.

Don’t miss these interesting sites nearby

Shaping the Future of KL

Warisan KL aims to redefine Kuala Lumpur as one of Asia’s premier creative and cultural destinations – a city where history, creativity, and modernity come together to create a dynamic and inclusive urban experience.

Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2