Central Market
Nadi Kuala Lumpur: Legasi Berkekalan Pasar Seni
Sesetengah tempat di Kuala Lumpur menyimpan kisah yang diceritakan secara senyap
melalui bangunan dan ruangnya. Antara lokasi itu termasuklah Pasar Seni Kuala Lumpur, sebuah mercu tanda yang tidak pernah benar-benar berhenti bergerak. Daripada permulaannya sebagai kawasan perdagangan berlumpur hingga peranannya hari ini sebagai hab budaya, ia kekal sebagai salah satu ruang paling dikenali di bandar ini, yang dibentuk oleh memori dan juga pembaharuan.
01
Warisan Sejarah
Gambar daripada sekeping poskad yang memaparkan pasar pertama yang dibina sekitar tahun 1888 di Medan Pasar, sepanjang Leboh Pasar Besar (Grand Market Street). Bangunan pasar yang diperbuat daripada kayu ini mengalami kerosakan teruk dalam salah satu kebakaran besar di Kuala Lumpur. Bangunan pasar baharu yang diperbuat daripada konkrit kemudiannya dibina pada tahun 1936 di belakang deretan rumah kedai dalam foto tersebut, di Foch Avenue dan Jalan Hang Kasturi. Dalam foto itu, rotunda di bahagian hadapan menandakan lokasi anggaran Menara Jam Medan Pasar. – Foto: Wikimedia Commons
Kisahnya bermula pada tahun 1888, apabila Yap Ah Loy, Kapitan Cina Kuala Lumpur pada ketika itu (ketua masyarakat Cina), menubuhkan sebuah pasar basah sederhana untuk memenuhi keperluan penempatan pelombong bijih timah dan pedagang yang semakin berkembang. Terletak berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, lokasi ini dengan cepat menjadi nadi penting dalam kehidupan komersial awal bandar ini. Apa yang bermula sebagai pasar terbuka kemudiannya berkembang menjadi rangkaian struktur kayu dan batu bata, mencerminkan pertumbuhan Kuala Lumpur yang semakin pesat.

Bangunan berkonsepkan Art Deco yang berdiri hari ini dibina pada tahun 1937, dengan garisan bersih, bentuk geometri dan ciri-ciri praktikal. – Foto: Arkib Negara Malaysia: No. Akses 2006/0049618
Menjelang awal abad ke-20, Pasar Seni Kuala Lumpur telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian di bandar ini. Namun, kelangsungannya jauh daripada terjamin. Pada tahun 1980-an, pembangunan bandar yang pesat meletakkan bangunan ini dalam risiko untuk diroboh, dengan rancangan menggantikannya dengan sebuah kompleks komersial. Apa yang berlaku selepas itu menjadi titik perubahan dalam gerakan warisan Kuala Lumpur. Usaha advokasi oleh Malaysian Heritage Society telah membawa kepada pemeliharaannya, memastikan bangunan tersebut tidak dihapuskan atas nama kemajuan.

Detik penentangan ini meletakkan asas bagi salah satu contoh awal adaptif penggunaan semula di Malaysia. Pada tahun 1986, selepas kerja pengubahsuaian besar, Pasar Seni Kuala Lumpur dibuka semula bukan sebagai pasar basah, tetapi sebagai pusat kebudayaan yang menandakan peralihan daripada perdagangan harian kepada meraikan seni, kraf dan tradisi Malaysia.
Sebelum lebih dikenali sebagai Pasar Seni, ia pernah dikenali sebagai Pasar Budaya pada tahun 1980-an. – Foto: Wikimedia Commons
02
Kepentingan Seni Bina
Bangunan yang berdiri pada hari ini bermula dari tahun 1937, apabila arkitek TY Lim mereka sebuah struktur baharu untuk menampung pertambahan penduduk bandar. Direalisasikan dalam gaya Art Deco, bangunan ini memperkenalkan bahasa seni bina yang lebih kekal dan moden di tapak tersebut. Rangka konkrit bertetulang dan penggunaan kaca tahan haba merupakan inovasi praktikal untuk iklim tropika, manakala garis bersih dan bentuk geometri mencerminkan kepekaan reka bentuk yang terdapat pada era tersebut.

Antara cirinya yang paling dikenali ialah fasad berwarna biru lembut, sebuah identiti yang kekal merentasi masa, meskipun telah melalui pelbagai perubahan sepanjang empat dekad. Lebih daripada sekadar penanda estetik, bangunan ini melambangkan detik apabila Kuala Lumpur mula memperkemaskan watak bandarnya, beralih daripada struktur yang bersifat sementara kepada seni bina sivik yang lebih terancang.
03
Pasar Seni Pada Hari Ini
Hari ini, Pasar Seni terus berkembang di bawah pengurusan Kha Seng Group, yang mengambil alih tapak ini pada tahun 2004. Penambahan seperti Annexe dan Kasturi Walk telah memperluas kawasan tersebut, memperkenalkan ruang baharu untuk seni, ruangan runcit dan aktiviti di bahagian laluan jalannya, sambil mengekalkan semangat pasar asal.

Di dalamnya, lebih daripada 300 gerai menawarkan pelbagai hasil kraf Malaysia, daripada tekstil batik dan songket hingga ke ukiran kayu serta cenderamata buatan tangan. Art Lane pula memberi gambaran lebih dekat terhadap proses kreatif, di mana pengunjung boleh melihat artis berkarya atau turut serta dalam bengkel mereka. Di tingkat atas, medan selera berkonsep warisan menghimpunkan hidangan tempatan seperti satay dan laksa, menawarkan cita rasa kepelbagaian kulinari bandar ini.

Inisiatif terkini menunjukkan tumpuan baharu terhadap penglibatan komuniti. Konsep seperti Pasar Besar, Makers Hall dan Makan Hall mentafsir semula pasar tradisional untuk kegunaan kontemporari, menggalakkan orang tempatan kembali bukan sekadar sebagai pengunjung tetapi sebagai peserta dalam ruang ini. Program berkala daripada pasar hujung minggu seperti Pasar Gadis dan Pesta Muda Mudi hingga festival buku seperti KL Alternative Bookfest serta bazar perayaan bagi memastikan Pasar Seni Kuala Lumpur kekal aktif dan relevan.

Dalam sebuah bandar yang terus berubah dan berkembang, Pasar Seni Kuala Lumpur kekal bertahan, bukan dengan pengekalan bentuknya, tetapi melalui keupayaannya untuk menyesuaikan diri. Ia terus menjadi ruang pertemuan antara perdagangan, budaya dan memori yang menghimpunkan serpihan masa lalu Kuala Lumpur sambil memberi ruang kepada realiti masa kini.

Hari ini, Pasar Seni Kuala Lumpur kekal sebagai destinasi yang wajib dikunjungi bagi sesiapa yang ingin menyaksikan transformasi Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar yang lebih mesra pejalan kaki dan selesa didiami, sambil kekal berakar kukuh pada asal-usulnya sejak abad ke-19.

Key Strategies

KLCCD’s Strategic Master Plan outlines seven core strategies to transform downtown KL into a thriving cultural district.

The new face of Kuala Lumpur

A city shaped by history and growth — explore Kuala Lumpur’s story in our booklet.

Jangan lepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik berdekatan

Shaping the Future of KL

Warisan KL aims to redefine Kuala Lumpur as one of Asia’s premier creative and cultural destinations – a city where history, creativity, and modernity come together to create a dynamic and inclusive urban experience.
Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2