Pembinaan Masjid Negara merupakan satu usaha bersama di peringkat kebangsaan, dengan sumbangan bukan sahaja daripada kerajaan, malah daripada orang ramai yang turut menyumbang kepada tabung pembinaannya. Apabila siap pada tahun 1965, Masjid Negara merupakan masjid terbesar di Malaysia dan antara bangunan masjid terbesar di Asia Tenggara. Direka sebagai lambang sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan, seni bina modennya mencerminkan aspirasi, identiti dan perpaduan Malaysia.
- Lambang Kemerdekaan: Mesyuarat Ketua-Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Mac 1958 telah mencadangkan agar masjid ini dinamakan sempena Bapa Kemerdekaan Negara. Namun, cadangan itu ditolak oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj sendiri, sebaliknya beliau mencadangkan supaya ianya dinamakan Masjid Negara sebagai lambang kesyukuran atas kemerdekaan Tanah Melayu.
- Pembukaan Rasmi: Hampir 10,000 orang menghadir majlis perasmian Masjid Negara, yang berlangsung pada hari Jumaat. Turut hadir ialah Raja-Raja Melayu ketika itu, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein dan beberapa orang kenamaan yang lain.
- Lokasi strategik: Keretapi merupakan sistem pengangkutan utama untuk ke Kuala Lumpur pada ketika itu. Justeru itu pemilihan lokasi yang strategik ini telah dipilih oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj bagi memudahkan akses orang ramai dengan melalui Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Masjid Negara pada
asalnya dibina di atas tapak seluas 13 ekar. Kerja-kerja penyediaan tapak bermula pada Disember 1960, dan pada 27 September 1961, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj telah merasmikan upacara penetapan kiblat.
- Bumbung Berbentuk Payung: Berbeza daripada kubah masjid tradisional, masjid ini menampilkan bumbung berbentuk payung dengan 16 lipatan runcing. Fakta menarik: Walaupun berwarna biru firus hari ini, bumbungnya berwarna putih ketika pertama kali dibina!
- Dewan Solat: Pada awalnya dewan solat Masjid Negara hanya boleh menampung seramai 3000 jemaah. Selepas kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dilaksanakan, Masjid Negara kini boleh memuatkan lebih 15,000 jemaah dalam satu masa.
- Mihrab: Keseniann Mihrab Masjid Negara merupakan inspirasi dari senibina Maghribi dan Andalusia, yang menampilkan kehalusan seni hiasan yang mengingatkan kepada keindahan Istana Alhambra di Granada, Sepanyol.
- Ukiran Ayat Al-Quran dan Motif Khat: Keindahan seni islam terserlah melalui struktur dan permukaan di seluruh ruang Masjid Negara. Ayat-ayat suci Al-Quran dapat dilihat pada ukiran dinding dan siling dewan solat utama, manakala kaligrafi dan motif geometri yang menghiasi jubin berwarna biru dan hijau mencerminkan kehalusan seni khat serta motif hiasan Islam.
- Sentuhan Seni Bina Melayu: Skrin panel bercorak menggantikan dinding siling di dalam dewan solat bagi membolehkan pencahayaan semula jadi dan pengudaraan baik, inspirasi dari rumah kampung tradisional Melayu. Skrin panel berserta tangga dan tiang masjid membawa identiti seni bina Melayu ke dalam reka bentuk masjid.
- Menara Masjid: Menara setinggi 73 meter di tengah landskap bandar Kuala Lumpur merupakan salah satu ciri paling ikonik Masjid Negara. Menara ini melambangkan kehadiran dan perkembangan Islam di ibu negara. Pada ketika ianya siap dibina, menara ini merupakan yang tertinggi di Kuala Lumpur.
- Keindahan Landskap: Masjid Negara dikelilingi taman yang dipelihara rapi, mewujudkan landskap yang menggabungkan keindahan seni bina, unsur kerohanian dan nilai estetika dalam satu persekitaran yang harmoni.
- Air Pancut: Elemen air yang terdapat di sekitar kawasan masjid dan ruang legar atas bukan sahaja menambah keindahan persekitaran, malah mempunyai nilai simbolik yang penting. Dalam tradisi Islam, air melambangkan kesucian, kehidupan dan pembaharuan rohani, di samping membantu mewujudkan suasana yang lebih nyaman dan tenang untuk para jemaah serta pengunjung.
Selepas berdekad pembinaannya, Masjid Negara terus berdiri megah sebagai simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti negara. Laungan azan masih berkumandang setiap hari, mengajak umat Islam menunaikan lima waktu solat sebagaimana yang telah berlangsung sejak beberapa dekad lalu. Walaupun fungsi utamanya sebagai pusat ibadah tidak pernah berubah, Masjid Negara turut mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari seluruh dunia yang ingin mengenali dan menghargai antara mercu tanda keagamaan serta seni bina paling signifikan di Malaysia.
Pengunjung yang ingin melawat Masjid Negara disarankan untuk mematuhi kod pakaian yang ditetapkan dengan berpakaian sopan dan menutup aurat. Akses ke kawasan tertentu adalah terhad ketika waktu solat, manakala lawatan berpandu disediakan pada waktu-waktu lawatan yang telah ditetapkan.
Berikut adalah waktu lawatan
Isnin hingga Khamis, Sabtu & Ahad:
- Sesi pertama: 9.00 pagi - 12.30 tengah hari
- Sesi kedua: 3.00 petang - 4.00 petang
Jumaat:
- Sesi pertama: 3.00 petang - 4.00 petang
- Sesi kedua: 5.30 petang - 6.30 petang
Key Strategies
The new face of Kuala Lumpur
A city shaped by history and growth — explore Kuala Lumpur’s story in our booklet.
Jangan lepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik berdekatan
Shaping the Future of KL














