Salah satu tarikan utama festival semestinya Festival KL Genta: Gendang dan Tarian. Pengalaman yang wajib disaksikan ini menampilkan kepelbagaian tarian dan irama dari enam negara ASEAN dan empat negeri di Malaysia, mempamerkan keindahan keharmonian silang budaya yang unik dan menghiburkan. Fiesta Makanan Halal ASEAN turut disajikan buat anda, yang mana ia menghimpunkan pelbagai hidangan halal dari seluruh rantau ASEAN. Negara jiran seperti Indonesia, Kemboja dan Thailand juga akan mengambil bahagian, manakala juadah tempatan pula diwakili oleh hotel-hotel ternama negara.
Pada tahun 2023, hampir 150,000 pengunjung hadir sewaktu edisi sulung festival taman ini. Tahun ini, Datuk Seri Maimunah berharap agar lebih 250,000 orang akan turut serta! “Akan ada juga lokasi satelit. Kami ingin menghubungkan bahagian lain bandar dengan Taman Titiwangsa,” kata Maimunah, merujuk kepada Taman Perpaduan ASEAN, yang kini dibuka di Raintree Plaza, TRX sehingga 26 Oktober. Sebagai sebahagian daripada Koridor KLPF2025, Pameran Bandar Mekar, kawasan beli-belah dan kewangan ikonik TRX menampilkan gabungan landskap, budaya dan perpaduan yang unik.
Pihak DBKL dan semua penganjur berharap agar KLPF2025 dapat membantu warga kota menghargai ruang hijau bandar dengan lebih mendalam. Menurut Daniel Lim, “Ruang hijau bukan sekadar memberi manfaat alam sekitar seperti menyejukkan bandar, memperbaiki kualiti udara, mengurangkan banjir dan menyokong biodiversiti. Ia juga membina daya tahan sosial dengan memupuk kesejahteraan, keharmonian masyarakat dan rasa kekitaan. Apabila kehijauan disepadukan dalam struktur bandar, ia menjadi penghubung berterusan, bukan sahaja untuk manusia, tetapi juga hidupan liar, sekali gus meningkatkan kebolehlaluan, keterhubungan dan kualiti hidup. Akhirnya, sebuah bandar yang mampan dan berdaya tahan menjadi bandar yang boleh didiami dan disayangi.”
KLPF2025 dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari. Kemasukan adalah percuma.