Trash Weaving di Pusat Bandar KL

SOFIA SHAMSUNAHAR | 26 Ogos 2025

Antara peminat seni di Sustain;ed di Segitiga Warisan KL menukarkan plastik terbuang kepada seni anyaman pada sesi bengkel ‘Trash Weaving’ yang lalu.

PADA satu hari Sabtu di pertengahan bulan Ogos, sekumpulan peminat seni telah berkumpul di Pusat Bandar Kuala Lumpur bagi menghadiri sebuah bengkel yang menggabungkan kreativiti dengan kesedaran alam sekitar. Dikelilingi oleh alat tenunan, gunting, serta himpunan beg plastik dan fabrik berwarna-warni yang dikitar semula, para peserta mengambil bahagian dalam bengkel “Trash Weaving di Pusat Bandar KL”. Sesi ini diadakan di sebuah ruang kreatif yang terletak di dalam kawasan presint Segitiga Warisan yang mengelilingi Pasar Seni, sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah budaya dan perdagangan di bandar ini. Bengkel ini dikendalikan oleh Kelsey M. Wagner, dengan sokongan daripada Think City, Sustained, dan Warin Lab yang berpangkalan di Bangkok.

Wagner, merupakan seorang artis tekstil, ahli antropologi, kurator dan juga aktivis alam sekitar yang berbangsa Amerika dan telah menetap di Thailand, telah berkunjung ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang, di mana pamerannya yang bertajuk Threads of Change sedang berlangsung di George Town. Pameran ini menandakan pelancaran Warin Lab Nomad, sebuah platform yang direka untuk mencetuskan dialog alam sekitar yang dipacu oleh seni merentasi Asia dan seterusnya.

Sementara pemasangan berskala besar di Pulau Pinang menampilkan hasil tenunan setinggi 13m yang diperbuat sepenuhnya daripada bahan kitar semula, bengkel Trash Weaving terbarunya di Jalan Hang Kasturi membawa mesej yang sama dalam suasana yang lebih intim. Sesi tersebut mengajak para peserta untuk menilai semula bahan-bahan yang sering kita buang. Sebagai ganti kepada bahan tenunan konvensional, Wagner memperkenalkan plastik terpakai yang dikumpul melalui aktiviti pembersihan alam sekitar, sumbangan daripada keluarga dan rakan-rakan, yang ada yang datang dari Amerika Syarikat, serta fabrik terpakai yang diperoleh dari tempat seperti Little India di Pulau Pinang.

Pembersihan alam sekitar, Wagner berkata, kesannya bukan hanya sekadar meninggalkan alam dengan keadaan yang lebih baik, tetapi juga memberi inspirasi kepada amalan yang lebih mampan dalam kehidupan seharian.

"Saya telah mengumpul bahan kitar semula untuk anyaman saya daripada rakan sekerja, rakan-rakan dan ahli keluarga, yang membolehkan kami berbincang tentang tabiat pengguna dan bagaimana ia menyumbang kepada pencemaran," kata Wagner. "Namun, apa yang paling bermakna bagi saya adalah mengetuai aktiviti pembersihan alam sekitar bersama pelajar universiti, di mana kami mengumpul sampah dan mencipta karya seni daripada objek yang kami temui."

Jelasnya, pembersihan ini bukan sekadar meninggalkan kawasan semula jadi dalam keadaan yang lebih baik, tetapi juga untuk mengumpul maklumat melalui audit plastik, mendedahkan kelemahan dalam infrastruktur kitar semula, dan memberi inspirasi kepada amalan yang lebih mampan dalam kehidupan seharian.

"Dengan pameran ini, harapan saya agar orang ramai dapat melihat secara jelas tentang skala pencemaran plastik melalui anyaman saya," sambung Wagner, "tetapi sebagai seorang artis yang terlibat dalam isu sosial, penganjuran aktiviti pembersihan alam sekitar dan bengkel anyaman menggunakan bahan buangan seperti ini adalah penting. Aktiviti ini menyatukan orang ramai, mengajar kemahiran tekstil dan menunjukkan betapa pentingnya untuk mengurangkan, guna semula dan kitar semula. Setiap orang boleh menjadi aktivis alam sekitar dan menggunakan kreativiti mereka untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik!"

Dalam bengkel tersebut, Wagner membimbing sekumpulan peserta untuk menukarkan bahan buangan menjadi fabrik anyaman dan mencipta alas serta hiasan dinding. Peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira dewasa muda, keluarga, sehingga pemilik perniagaan kecil. Selepas penerangan awal tentang peringkat-peringkat anyaman dan suasana perbualan yang rancak, bilik tersebut bertukar menjadi tenang dan mereka akan fokus. Setiap pilihan warna dan bahan mencerminkan keperibadian pembuatnya, menjadikan tikar yang ringkas sebagai kanvas ekspresi diri.

Sesi ini turut mengangkat warisan kraftangan yang telah lama wujud dan kepekaan masyarakat Malaysia. Sejak turun-temurun, komuniti tempatan telah memanfaatkan semula bahan semula jadi dan lebihan – daripada tikar mengkuang hinggalah bakul rotan – yang menggabungkan unsur praktikal dengan nilai seni. Amalan kontemporari Wagner dalam menganyam plastik terbuang menjadi hasil yang berfungsi dan estetik cerminan moden terhadap tradisi ini, menyatukan kesedaran alam sekitar dengan kesinambungan budaya.

Sustain;ed yang juga rakan lokasi bengkel ini, membawa misi yang seiring dengan mereka. Berperanan sebagai platform untuk mendidik, memperkasakan dan memperjuangkan kemampanan serta impak sosial, Sustain;ed menganjurkan bengkel yang menggabungkan naratif alam sekitar dan budaya – daripada pengitaran plastik dan terapi seni nenek moyang kita, hinggalah tayangan filem seperti yang terbaru, meraikan ikon Malaysia, Jit Murad.

Sustain;ed sendiri merupakan kerjasama antara dua entiti. Earth Heir memperjuangkan artisan, penukang dan jenama yang membawa perubahan positif melalui produk yang mampan dan tanggungjawab sosial. Sea Monkey pula menumpukan kepada inovasi, membina mesin kitar semula dan melengkapkan komuniti terpinggir dengan kemahiran serta peralatan untuk memanfaatkan semula bahan secara kreatif. Inisiatif-inisiatif ini disalurkan terus ke bengkel seperti Trash Weaving, di mana peserta boleh mengaplikasikan idea-idea ini secara praktikal dan melihat konsep kemampanan dihidupkan melalui kreativiti sentuhan tangan.

"Saya belajar bagaimana untuk bekerja dengan bahan pakai buangan yang luar biasa, tetapi dengan cara yang bermakna – menganyamnya menjadi sesuatu yang bernilai dan bukannya dibuang begitu sahaja," kata Yan Ng, peserta bengkel dan pengasas syarikat fesyen teknologi Lily & Lou. "Ia mengingatkan saya kepada amalan saya sendiri: bagaimana kekangan boleh mencetuskan inovasi, dan bagaimana menilai semula apa yang sudah kita miliki boleh membuka peluang kreatif yang baharu."

Ng (kiri) berkata bengkel ini mengingatkannya bahawa limitasi boleh memberi inspirasi buat inovasi.

Sementara itu, pengunjung pameran Threads of Change di Pulau Pinang boleh merasai pengalaman melihat hasil anyaman Wagner yang digantung dan beralun di sekitar ruang pameran. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti fabrik halus dan rumit; namun apabila dilihat dengan lebih dekat, cebisan-cebisan sampah – bungkusan makanan, beg beras, baju hujan pakai buang – mula kelihatan, yang telah diubah menjadi karya indah melalui ketelitian dan kemahiran. Ini mencerminkan banyak inisiatif tempatan yang menggabungkan kreativiti dengan penjagaan alam sekitar: tindakan kecil, apabila digabungkan, mampu mencipta impak yang berkekalan.

Bengkel seperti Trash Weaving juga mengingatkan kita bahawa pembelajaran dan penglibatan dalam amalan yang berinspirasikan warisan boleh memberikan kesan berpanjangan. Peserta bukan sahaja membawa pulang kemahiran baharu, tetapi juga kesedaran yang diperbaharui tentang jejak alam sekitar mereka – yang boleh mempengaruhi pilihan harian dan memberi inspirasi kepada orang lain. Dengan cara ini, kraftangan kontemporari, penglibatan komuniti dan kemampanan bergabung – meneruskan tradisi budaya yang menekankan kreativiti, keprihatinan dan kerjasama yang menjadi asas masyarakat Malaysia.

Pelawat ke ‘Threads of Change’ di Pulau Pinang boleh menyaksikan instalasi anyaman Wagner yang terapung di sekeliling ruang pameran. Instalasi ini dipamerkan sehingga Ogos 31di Bangunan U.A.B., Gat Lebuh China, George Town. Waktu lawatan: 10 pagi – 7 malam.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2