Terokai Deepavali Muzium Kanak-Kanak Mosaic

ALEX DAUD BRIGGS | 6 November 2026

Kanak-kanak (dan ibu bapa!) menikmati sambutan Deepavali yang penuh warna-warni di Mosaic, sambil mengenali perayaan ini menerusi pelbagai aktiviti interaktif, seni kraf kreatif, muzik dan pengalaman budaya sepanjang minggu.

PUSAT bandar Kuala Lumpur merupakan ruang yang memperlihatkan bagaimana warisan dan kemodenan wujud seiringan. Di sebalik jalan-jalan bersejarah dan bangunan lama, pelbagai ruang kini diberi nafas baharu untuk generasi seterusnya, sekali gus menghidupkan semula peranan pusat bandar dengan pelbagai aktiviti dan pengalaman baharu. Antaranya ialah Muzium Sains, Seni dan Inovasi untuk Kanak-Kanak (Mosaic), sebuah ruang yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk belajar, bermain dan meneroka perkara baharu.

Minggu ini, pengalaman meneroka itu diserikan dengan percikan warna-warni apabila Mosaic meraikan Deepavali menerusi sebuah program yang memperkenalkan pengunjung cilik kepada tradisi dan kemeriahan Pesta Cahaya masyarakat Hindu. Walaupun perayaan ini cukup dikenali oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, setiap sambutan pasti menjadi pengalaman pertama bagi seseorang. Bagi anggota masyarakat yang paling muda, program selama seminggu ini membuka ruang untuk mereka mengenali dan memahami Deepavali menerusi pengalaman kebudayaan yang selamat, interaktif dan menyeronokkan.

Daripada aktiviti seni dan kraf serta hidangan snek tradisional hinggalah persembahan pentas oleh bakat muda yang sedang meningkat naik, program “Colours of Diwali” anjuran Mosaic menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dinikmati oleh kanak-kanak bersama ibu bapa mereka. (Untuk makluman, orang dewasa hanya dibenarkan memasuki Mosaic jika ditemani oleh kanak-kanak!)


“Keseluruhan program sepanjang minggu, dari 1 hingga 7 November, dirangka berteraskan aktiviti permainan bertemakan Deepavali yang diinspirasikan daripada warna-warni rangoli,” kata Pengarah Mosaic, Fiza Zin (Gambar diatas).

“Selaras dengan konsep kami yang menggalakkan permainan secara bebas serta memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka kreativiti masing-masing, kami telah menyediakan beberapa stesen aktiviti yang diinspirasikan daripada elemen-elemen yang membentuk sambutan Deepavali. Antaranya termasuk aktiviti seni kraf, sesi bercerita serta persembahan muzik klasik India oleh bakat muda, Varuneaswaran Yomarakuro (Varun), yang turut akan memperkenalkan seni bela diri tradisional India, Silambam.”

Sebaik melangkah masuk ke tingkat dua bangunan Mosaic yang mempunyai empat tingkat, para pengunjung disambut dengan ruangan seni yang dihias indah, dikenali sebagai atelier, serta ruang bengkel yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengasah kreativiti mereka sepanjang minggu berlangsungnya program tersebut.

Di ruang atelier, beberapa stesen aktiviti telah disediakan, termasuk satu stesen yang membolehkan kanak-kanak menghasilkan rangoli, iaitu corak hiasan rumit yang dihasilkan menggunakan beras berwarna-warni dalam pelbagai rona, disusun dengan teliti untuk membentuk karya seni yang indah. Anda mungkin pernah melihat hasil seni seumpama ini dipamerkan di pusat beli-belah tempatan dan kawasan awam lain, namun di sini, kanak-kanak berpeluang untuk mencuba sendiri pengalaman menghasilkannya.


Kanak-kanak mengasah kreativiti sambil meneroka, membentuk dan bermain dengan tanah liat serta beras menerusi aktiviti interaktif.

Selain itu, terdapat juga stesen aktiviti tanah liat yang lazimnya digunakan untuk menghasilkan pelita tradisional diya sempena perayaan Deepavali. Namun begitu, apabila kanak-kanak diberi peluang bermain dengan tanah liat, hasil kreativiti mereka bukan sekadar terhad kepada pelita. Beberapa bentuk dinosaur dan kucing turut kelihatan seolah-olah berkeliaran di tengah-tengah lautan cahaya.

Menjelang awal petang pada 1 November, ketika WarisanKL.my tiba di lokasi, suasana sambutan mula menjadi lebih meriah. Para pengunjung berkumpul di hadapan sebuah pentas kecil untuk menyaksikan persembahan Varun, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang sedang mendalami seni muzik biola Carnatic serta seni pertahanan diri Silambam. Walaupun masih muda, Varun tampil dengan tenang, bertutur dalam suara yang jelas dan penuh bertenaga. Dengan penuh keyakinan dan rasa bangga terhadap warisan budayanya, dia berkongsi serta mempersembahkan dua cabang seni tersebut kepada para pengunjung. Kanak-kanak yang lebih kecil dalam kalangan penonton pula kelihatan terpukau menyaksikan persembahannya.

Varun telah mempelajari seni permainan biola Carnatic, iaitu gaya muzik klasik India, selama lebih setahun. Ketika ditanya tentang perkara yang paling digemarinya dalam bermain alat muzik tersebut, dia menjawab: “Apa yang paling saya suka ialah muzik itu sendiri, serta cara kami menikmati permainan biola mengikut gaya tersendiri.”

Dia juga mengakui bahawa dirinya agak gementar ketika membuat persembahan. Namun, sebaik sahaja melangkah ke pentas, perasaan itu bertukar menjadi lebih selesa apabila mula berinteraksi dengan para penonton. “Rasanya seperti, baiklah tak apa, saya akan teruskan. Saya tahu bagaimana untuk melakukannya!”

Varuneaswaran Yomarakuro mempersembahkan beberapa gerakan Silambam yang menarik, sambil mengajak para penonton turut serta mencuba seni bela diri tradisional ini.

Ketika ditanya tentang perkara yang paling digemarinya sempena Deepavali, Varun yang ketika itu sedang perlahan-lahan membiarkan pasir mengalir di celah-celah jarinya ke atas corak rangoli, memberikan jawapan ringkas dengan penuh yakin: Makanan.

Sememangnya, pelbagai juadah dan manisan yang dikongsi sepanjang sambutan Deepavali menjadikan perayaan ini satu pengalaman yang sukar dilupakan. Perkara itu turut difahami oleh pihak Mosaic yang menyediakan aneka snek di tingkat tiga. Hidangan bufet tersebut merangkumi teh chai, murukku, nanas kering dan pelbagai lagi, sekali gus menawarkan suasana minum petang yang santai untuk kanak-kanak dan ibu bapa selepas sesi bermain yang cukup aktif.  

Tidak dinafikan, program ini tidak menyentuh secara mendalam aspek keagamaan Deepavali yang lebih kompleks. Namun, itu bukanlah tujuan utamanya. Sebaliknya, program ini disasarkan khusus kepada kanak-kanak prasekolah berusia antara tiga hingga tujuh tahun, dengan matlamat menyemai rasa ingin tahu mereka terhadap kepelbagaian budaya yang membentuk masyarakat Malaysia.

Fatin, seorang ahli geologi yang membawa kedua-dua anaknya ke acara tersebut, berkata mereka sangat seronok menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Fatin turut menyifatkan usaha meraikan pelbagai perayaan berbeza sebagai sesuatu yang amat baik.

“Saya rasa mereka sangat seronok dengan setiap aktiviti, lebih-lebih lagi pada usia sebegini. Banyak perkara yang dapat mereka lakukan. Aktiviti menghasilkan kraf tanah liat, tarian, pengenalan kepada alat muzik biola sebentar tadi, semuanya sangat menyeronokkan buat mereka. Mereka berpeluang meraikan pelbagai perayaan daripada budaya dan kaum yang berbeza. Saya rasa sangat menarik apabila mereka didedahkan kepada kepelbagaian budaya seperti ini sejak usia muda.”    

Menurut Fiza, pihak Mosaic berharap dapat meneruskan penganjuran program yang berteraskan pelbagai perayaan sepanjang tahun. Mosaic sebelum ini telah menganjurkan program sempena Hari Raya pada awal tahun, manakala pelbagai aktiviti Krismas sedang dirancang untuk beberapa bulan akan datang, diikuti sambutan Tahun Baharu Cina pada 2027. Pihak Mosaic juga berhasrat untuk menganjurkan aktiviti bagi keempat-empat perayaan utama ini setiap tahun.

Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, peluang untuk kanak-kanak meneroka dan mempelajari amalan budaya yang berbeza menerusi ruang permainan yang selamat dan interaktif amatlah penting. Pengalaman sebegini bukan sahaja dapat memupuk rasa ingin tahu, malah membantu mereka memahami serta menghargai kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat sekeliling.

Sekiranya anda sedang mencari aktiviti untuk mengisi masa lapang bersama anak kecil, kunjungan ke Mosaic mungkin menjadi pilihan yang tepat, bukan sahaja untuk menghiburkan mereka, malah memberikan peluang untuk belajar dan menimba pengalaman baharu pada masa yang sama.


MoSAIC | Museum of Arts Science & Innovation for Children
Alamat:
Level 5, Yayasan Ubaidi, 10, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur
Telefon: 016-225 0731

Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2