TEDxKL 2025 Raikan Semangat Kuala Lumpur

SOFIA SHAMSUNAHAR | 4 November 2025

Satu aura baharu dapat dirasai di tempat pertemuan (confluence ), titik di mana dua sungai bertemu dan airnya bersatu menjadi aliran yang lebih besar dan berkuasa. Begitulah semangat yang akan mengalir di TEDxKL tahun ini, yang akan kembali ke REXKL pada Nov 15 bertemakan “Confluence”.

Kembali dengan slogan mereka, “Di mana sebuah idea, insan dan kemungkinan mengalir menjadi satu arus perubahan yang berkuasa”, mencerminkan inti pati sebenar Kuala Lumpur. Kota ini lahir di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, satu simbolik kepada perhubungan, pertumbuhan dan transformasi. 

Dianjurkan dengan visi baharu untuk memperjuangkan idea-idea yang mampu mengubah dunia, TEDxKL 2025 sekali lagi akan menghimpunkan para inovator, penggerak perubahan dan pemimpin pemikiran dalam program yang berlangsung selama sehari yang padat dengan sesi perkongsian, bengkel dan jaringan. Semangat yang dibawakan dalam acara ini adalah kolaborasi, pertembungan kreatif yang menginspirasikan cara baharu untuk berfikir dan hidup.

Titik Pertemuan Warisan dan Inovasi

Hanya beberapa langkah dari titik pertemuan sebenar Kuala Lumpur, REXKL menjadi lokasi yang amat sesuai untuk acara ini. Dulunya dikenali sebagai Pawagam Rex, antara pawagam terawal di Malaysia yang dibina pada tahun 1947, bangunan ini kini bernafas semula sebagai hab kreatif dan komuniti. Sebuah transformasi, daripada menayangkan filem klasik layar perak, kepada ruang perbincangan pemikiran maju, melambangkan pertemuan antara yang lama dan yang baharu bagi membentuk identiti pusat bandar Kuala Lumpur hari ini.

“REXKL telah menjadi hab budaya dan kuasa penggerak bagi naratif baharu,” kata Melissa Tan, salah seorang penceramah tahun ini. “Bermula dengan niat asal untuk menyesuaikan pawagam Rex lama bagi kegunaan moden, bukan dirobohkan dan dibina semula. Mereka terus menghidupkan semangat itu dengan melibatkan komuniti dari akarnya dan anak-anak seni. Ia merupakan antara cara untuk menghargai asal usul kita, sambil impikan sesuatu yang lebih besar untuk bandar dan rakyat kita.” 

Tan, seorang pendukung kelestarian alam dan personaliti media, akan berkongsi tentang kelestarian dan kuasa tindakan kolektif. Ucapannya yang bertajuk “We Are Co-Creators” meneroka bagaimana setiap individu mampu membentuk masyarakat yang mereka impikan.

Pendokong alam sekitar dan personaliti media Melissa Tan akan tampil di pentas TEDxKL dengan perkongsian bertajuk 'We Are Co-Creators', yang meneroka bagaimana tindakan kolektif dapat membentuk masyarakat yang kita impikan.

“Inisiatif membawa kita jauh ke hadapan,” katanya. “Kecenderungan untuk bertindak itulah yang melahirkan perkara baharu dan indah dalam masyarakat yang telah terbiasa menjadi pengguna pasif. Sama seperti tema ‘Confluence’, tiada manusia yang hidup terasing. Perkara yang ingin kita lihat dalam masyarakat tidak lahir daripada tindakan individu semata-mata, tetapi melalui usaha bersama.”

Tan, yang juga bertugas sebagai Penyelaras Negara Fashion Revolution Malaysia, pernah bekerjasama dengan REXKL untuk menganjurkan Fashion Revolution Week 2022, di mana instalasi seninya bertajuk The Big Waste (foto dibawah) mendedahkan kesan sebenar sisa fesyen yang melangkaui tong derma pakaian.

Membentuk Identiti Malaysia

Seorang lagi panel yang turut diketengahkan ialah Chang Song Jie, pembuat biola tempatan yang memenangi pelbagai anugerah. Karyanya benar-benar mencerminkan semangat TEDxKL, menghubungkan warisan dengan inovasi.

“Pembuatan biola berasal dari Eropah,” katanya, “tetapi di Malaysia, saya membuat biola menggunakan kaedah klasik Itali dan menamakannya sempena juadah tempatan seperti Laksa, Rendang dan Asam. Bagi saya, inilah maksud ‘confluence’, titik di mana dua dunia bertemu untuk mencipta sesuatu yang benar-benar milik kita.”

Chang Song Jie, seorang pembuat biola yang memenangi anugerah, mencerminkan semangat TEDxKL – menghubungkan warisan dan inovasi.

Jelasnya, setiap biola adalah satu pengajaran tentang kesabaran dan penemuan. “Setiap kepingan kayu berbeza sifatnya. Sebagai pembuat biola, kami sentiasa belajar dan eksperimen, bagi menggabungkan warisan dan inovasi untuk mencari keseimbangan sempurna antara keindahan dan bunyi.”

Chang berharap kisahnya dapat menginspirasikan rakyat Malaysia untuk melihat seni sebagai sesuatu yang boleh berkembang di mana-mana sahaja. “Seni tidak mengenal sempadan. Jika sesuatu yang se-tua dan se-Eropah seperti pembuatan biola boleh bernafas semula di Malaysia, maka tiada batasan untuk apa yang boleh dicipta oleh rakyat Malaysia, sama ada dalam seni, muzik, atau apa jua bidang yang kita pilih.”

Sehari Bersama Idea-Idea yang Wajar Dikongsi


Antara panel lain yang bakal tampil termasuk Mariani “Bam” Ramli dari Gibbon Foundation, Dr. Daniel Mahazhir dari SingHealth Duke-NUS Global Health Institute, Dr. Selina Chew selaku pendukung kesihatan mental, Harleen Rai Kaur, pejuang ruang hijau bandar, serta pelawak Shamaine Othman, masing-masing menawarkan perspektif unik tentang perubahan, hubungan dan kreativiti.

Antara panel yang bakal anda dengar tahun ini di TEDxKL, (mengikut arah jam dari kiri): Pakar pemuliharaan hidupan liar Mariani ‘Bam’ Ramli, pendidik kewangan Peter 'Mr Money' Yong, pencerita Hannah Maran, usahawan sains Dr. Daniel Mahazhir, doktor dan usahawan Dr. Selina Chew, serta inovator teknologi pendidikan Fatien Atiqa Mohd Jamal. - Foto: TEDxKL


Bagi para hadirin, TEDxKL 2025 menjanjikan lebih daripada sekadar sesi perkongsian yang menginspirasikan. Ia merupakan peluang untuk menyertai komuniti pemikir dan penggerak terkemuka Malaysia, berhubung dengan rakan-rakan pencetus idea, serta mengambil bahagian dalam bengkel dan aktiviti yang direka untuk mencetuskan kolaborasi.

“Menghadiri TEDxKL,” kata Tan, “adalah satu deklarasi kepada diri sendiri untuk memimpin dengan minda terbuka terhadap idea baharu, dan menjadi sebahagian daripada kebangkitan semula.” 

Sertailah arus ini di TEDxKL 2025: Confluence, di mana warisan bertemu inovasi, kisah bertemu kemungkinan, dan Kuala Lumpur sendiri mengingatkan kita akan keajaiban yang tercipta apabila dunia bertemu dalam harmoni.

NOTA: Acara ini telah penuh setakat ini, tetapi jika anda ingin menyertai senarai menunggu untuk sesi ini, sila daftar di sini

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2