Ann Marie Chandy | 11 Julai 2025
“Nama ‘Antara’ ini mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan ruang yang tenang dan kesejahteraan di tengah- tengah kesibukan kehidupan moden sehari-hari,” kata pengarahnya, Rubini Vijayasuriar. “Di ambil dari perkataan melayu yang membawa maksud ‘di tengah- tengah’ atau ‘dari kalangan’, ia menggambarkan keseimbangan yang sempurna dan keharmonian yang kami ingin berikan dalam setiap urutan dan pengalaman yang kami tawarkan.”
Di sinilah, di dalam bangunan Persatuan Perdagangan Getah Selangor dan Pahang, kesejahteraan dan warisan bertaut rapat. Dari saat anda melihat tingkap bulat dan tiang bendera di fasad bangunan, kemudian menaiki tangga sempit dan menyedari adanya jeriji tingkap vintaj, anda tahu bahawa ini bukan spa biasa. Malah, sinki gaya tradisional dan pintu logam asal juga membangkitkan pesona nostalgia.
Bagi Rubini, inilah visi yang ingin direalisasikannya. “Inspirasi kami lahir daripada penghargaan yang mendalam terhadap warisan Kuala Lumpur yang kaya, terutamanya permata seni bina yang terdapat di sepanjang Jalan Tun H.S. Lee,” jelasnya. “Jalan ini, yang dahulunya dikenali sebagai High Street, merupakan antara jalan komersial tertua dan paling penting di bandar ini.
“Saya percaya kesejahteraan sebenar bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga berkaitan dengan hubungan emosi terhadap tempat dan budaya. Kami mahu para tetamu kami merasai pengalaman seolah-olah kembali ke masa lalu, dan menikmati ketenangan yang melengkapi perjalanan kesejahteraan mereka. Ia bukan sekadar tentang mencari bangunan — ia adalah tentang mencari naratif dan semangat yang selari dengan visi kami untuk menawarkan pengalaman kesejahteraan yang benar-benar berjiwa Malaysia.”
Bangunan Persatuan Perdagangan Getah telah didirikan pada tahun 1953 dan masih berkhidmat kepada komuniti hingga ke hari ini, dengan penyewa seperti Klinik Pergigian Kheng dan kopitiam yang digemari ramai, Lai Foong, di tingkat bawah. Terdapat juga rancangan untuk membangunkan sebuah galeri di tingkat empat bagi mempersembahkan sejarah persatuan ini serta menganjurkan aktiviti komuniti – sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada kawasan Warisan Segi Tiga yang masih hidup dan aktif.
Mengimbangi pemuliharaan warisan dengan keperluan keselesaan spa moden bukanlah tugas yang mudah, tetapi ia merupakan satu cabaran yang dinikmatinya. “Ia satu keseimbangan yang halus tetapi sangat memuaskan,” kata Rubini. “Pendekatan kami adalah untuk menghormati dan menyerlahkan ciri-ciri asal bangunan ini sambil menggabungkan elemen moden dengan halus.”
Elemen struktur seperti tingkap, pintu dan lubang pengudaraan asal telah dipulihara dengan penuh teliti, manakala jubin mozek menambah sentuhan autentik era tersebut. Penggunaan bahan semula jadi, dinding bertekstur dan palet warna neutral yang lembut memberikan rasa yang mesra serta yang melengkapi dengan usia bangunan ini. Bilik-bilik spa dilengkapi dengan kemudahan moden yang seimbang — kawalan suhu, katil empuk dan sistem paip yang cekap — tanpa mengganggu pesona sejarah yang ada.
“Pencahayaan dianggap seperti satu bentuk seni,” kata Rubini. “Kami mereka pencahayaan ini untuk menyerlahkan butiran seni bina yang ada secara terperinci, mencipta suasana spa yang menenangkan, dan serasi dengan aliran cahaya semula jadi rumah kedai ini. Hiasannya sengaja dibuat bersifat minimalis tetapi mewah, bagi membolehkan keunikan bangunan ini menyerlah dengan sendirinya.”
Hasilnya kami mendapat suasana yang terasa halus tetapi tidak berlebihan, selesa namun tetap berkarakter — latar yang sempurna untuk senarai rawatan Antara yang dikurasi dengan penuh teliti.
Antara rawatan yang paling menarik ialah Urutan Malaysia, urutan khas yang menjadi signature di spa ini. Terapi unik ini menggabungkan elemen urutan tradisional Melayu dan teknik urutan masyarakat pribumi, bersama rendaman kaki herba Malaysia, pernafasan Qi Gong dari China, urutan kepala India dan refleksologi — semuanya diiringi muzik terapi Malaysia dan dihias dengan elemen batik, herba aromatik dan rempah ratus tempatan. Seperti yang digambarkan oleh Rubini, ia adalah “pengalaman kesejahteraan holistik Malaysia yang sebenar.”
Antara Signature Massage pula menggabungkan teknik urutan yang menenangkan dengan balutan herba hangat untuk meredakan ketegangan, memberikan rasa segar dan tenang buat para tetamu.
Bagi mereka yang ingin menyegarkan kulit, Antara menawarkan pilihan lulur tradisional. Lulur Rempah menggunakan halia, kunyit dan akar wangi (vetiver) untuk merangsang peredaran darah dan menyerlahkan seri semula jadi kulit. Lulur Bunga Raya pula menggabungkan kelopak bunga raya dan mawar bersama beras kisar untuk kulit yang cerah dan berseri. Peminat kopi mungkin akan memilih Lulur Kopi, yang mengandungi serbuk kopi bersama ginseng dan daun cassia untuk hasil lulur yang menyegarkan.
Rawatan rambut dan wajah turut melengkapi senarai perkhidmatan spa ini, menjadikan pengalaman penjagaan diri di sini benar-benar menyeluruh.
Jadi, apakah harapan Rubini dari para pengunjung yang meluangkan masa di Antara?
“Harapan saya adalah agar para pengunjung pulang bukan sahaja dengan tubuh yang segar semula, tetapi juga dengan jiwa yang terisi dan rasa keterhubungan yang mendalam dengan tradisi Malaysia,” katanya. “Bagi pelancong, kunjungan ini sepatutnya lebih daripada sekadar lawatan ke spa — ia merupakan satu pengalaman yang berkesan dan mendalam terhadap warisan Malaysia. Mereka dapat pengalaman menikmati amalan kesejahteraan tradisional Malaysia dalam suasana yang autentik, serta menghargai budaya kita dengan lebih mendalam, melepasi tarikan pelancongan yang biasa.
“Bagi warga tempatan pula, saya berharap ia dapat membangkitkan semula rasa bangga terhadap sejarah dan seni penyembuhan tradisional kita yang dikongsi bersama. Akhirnya, kami mahu semua pengunjung membawa pulang ketenangan, kefahaman yang lebih mendalam tentang tradisi kesejahteraan Malaysia, serta kenangan yang abadi tentang pengalaman unik yang hanya boleh ditemui di sini — di mana sejarah dan kesejahteraan bertaut menjadi satu.”
Bangunan ini sendiri sebenarnya penuh dengan cerita. Jalan Tun H.S. Lee merupakan nadi perdagangan yang penting pada zaman awal Kuala Lumpur, dan dibina semula menggunakan bata dan jubin selepas kebakaran dan banjir besar pada tahun 1880-an. Rumah kedai seperti ini selalunya direka untuk kegunaan bercampur: perniagaan di tingkat bawah, keluarga tinggal di tingkat atas.
“Seni binanya mencerminkan gabungan pengaruh tempatan dan kolonial,” jelas Rubini. “Ia sering menampilkan gaya Straits Eclectic dengan fasad yang rumit, laluan kaki lima yang dikenali sebagai five-foot way, dan lubang pengudaraan dalaman untuk membantu pengaliran udara dalam cuaca tropika yang panas.
“Bangunan kami ini pastinya pernah menyaksikan urus niaga yang sibuk — seperti perdagangan bijih timah, getah, dan barangan lain yang menjadi tunjang ekonomi Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Ia tegap berdiri menyaksikan transformasi bandar ini daripada sebuah pekan perlombongan kepada ibu kota yang pesat membangun, menjadi saksi kepada generasi demi generasi keluarga dan perniagaan. Setiap bata dan kayunya menyimpan kisah mereka yang pernah hidup dan bekerja di sini.”
Rubini akui bahawa memulihkan bangunan warisan seperti ini datang dengan kos yang tinggi dan pelbagai cabaran. Namun, Antara Spa & Wellness bernasib baik kerana berjaya mendapatkan sokongan daripada Think City, menerusi Program Geran Kreative Kuala Lumpur yang menyokong usaha pemuliharaan dan penggunaan semula bangunan warisan di pusat bandar.
“Kami sangat bertuah kerana menerima geran daripada Think City,” kata Rubini. “Ia memberikan sokongan kewangan yang amat penting dalam proses memulihkan bangunan warisan agar memenuhi piawaian moden sambil mengekalkan keasliannya melibatkan kos yang besar, daripada mendapatkan nasihat pakar pemuliharaan hingga ke pencarian bahan binaan yang sesuai serta tukang yang mahir.
“Selain dana, Think City juga turut memberikan panduan dan menghubungkan kami dengan sumber yang betul dan cara terbaik untuk menjalankan projek ini. Perkongsian ini membolehkan kami melaksanakan proses pemulihan dengan rasa hormat dan bangga terhadap nilai sejarah bangunan ini. Ia memastikan bahawa Antara Spa & Wellness bukan sekadar sebuah perniagaan, tetapi juga penyumbang kepada usaha berterusan dalam memelihara warisan Kuala Lumpur yang tidak ternilai.”
Pelanggan Antara sering berkongsi pengalaman nostalgia yang mereka rasa sebaik sahaja mereka menaiki lif atau menaiki tangga, mereka memerhati jeriji tingkap, dan menikmati susun atur bilik yang elegan.
Namun apabila mereka melangkah keluar, yang tinggal bukan sekadar haruman menyegarkan daripada minyak pati atau rasa otot yang lega — tetapi satu perasaan yang mengenali tradisi Malaysia: sebuah warisan yang masih hidup dan bernafas di tengah-tengah Kuala Lumpur, dihidupkan semula dengan cara moden yang bermanfaat buat semua.
Kata Rubini: “Kesejahteraan bukan hanya tentang rawatan – ia juga tentang kembali mengenali diri dan persekitaran anda. Kami berharap di sini, dalam rumah kedai lama yang indah ini, para pengunjung menemui kedua-duanya.”
Level 2 & 3, 138, Jalan Tun H S Lee, City Centre, 50050 Kuala Lumpur
Bagaimana nak ke sana?
Naik LRT atau MRT ke Stesen Pasar Seni dan ia terletak hanya lima minit berjalan kaki dari situ.
Untuk maklumat lanjut tentang cara memohon Program Geran Kreatif KL, layari thinkcity.com.my/warisanklgrants.
Discover more stories