Rebab, Irama dan Pembaharuan

ZAIDI AZMI | 30 September 2025

Pasukan Baizam Generation sedia menghiburkan anda dengan ‘Sentuhan Warisan Pantai Timur’, sebuah perjalanan penuh magis yang menggabungkan kisah dan muzik dari Pantai Timur.

SEBAIK sahaja lampu dimalapkan, nada daripada rebab pun mula kedengaran di udara, bunyi yang mentah dan rapuh, seperti angin yang menyapu permukaan laut. Tidak lama kemudian, bunyi gesekan tali dan tiupan kayu pula menyusul, membaluti suara purba dengan keagungan orkestra.

Beginilah permulaan Sentuhan Warisan Pantai Timur, sebuah konsert yang menjanjikan bukan sekadar muzik, tetapi sebuah penceritaan. Dibawakan oleh Orkestra Kuala Lumpur dengan kerjasama Baizam Generation, mereka ingin mengundang para penonton untuk mengikuti sebuah perjalanan magis merentas Pantai Timur.

Pada Okt 4 dan 5  nanti, Auditorium DBKL akan menjadi wadah penceritaan ini, apabila seorang Raja mengembara melalui Pahang, Kelantan dan Terengganu. Menariknya penceritaannya bukan dipacu oleh pengacara rasmi, tetapi oleh Tok Dalang dan Pak Yong.

Di sini, naratif tidak akan disampaikan di sebalik podium, tetapi akan dinyanyikan, dilagukan dan dipersembahkan sebagaimana ia diwarisi turun-temurun sejak berabad lamanya.

“Kami tidak mahu seseorang itu hanya mengumumkan persembahan seterusnya,” jelas Zamzuriah Zahari dari Baizam, yang juga merupakan penyusun repertoir, penggiat seni yang sentiasa mendapat permintaan, serta pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pensyarah tari itu menjelaskan: “Setiap pemain dalam kisah ini adalah pencerita. Perjalanan Sang Raja hanyalah bingkainya, tetapi penonton akan merasai seolah-olah mereka turut sama mengembara. Mereka akan menemui setiap tradisi sepanjang perjalanan itu.”

Adiguru Makyong Zamzuriah Zahari berperanan sebagai Pak Yong dan juga selaku komposer dan penulis lirik dalam Konsert Sentuhan Warisan Pantai Timur.

Setiap persinggahan dalam perjalanan Raja akan diiringi dengan bunyi tertentu.

Di Kelantan, para penonton akan menyelami alunan Dikir Barat yang disusun semula untuk halwa telinga yang sesuai untuk pendengar zaman kini lengkap dengan suntikan irama hip hop yang menakjubkan.

Masuk Terengganu pula mereka akan membawakan Saba, satu persembahan yang menghantui rasa menerusi pertandingan tarian berunsur keramat yang pernah menjadi amalan masyarakat Hulu Terengganu pada zaman dahulu. Kemudian di Pahang, akan bergema Tarian Piring Diraja, dengan dentingan porselin yang menyentuh jiwa, menghidupkan kembali kehalusan warisan istana.

Namun, persembahan-persembahan ini bukanlah sekadar pameran di muzium yang kaku.

Ia bakal dihidupkan menerusi tafsiran, terjemahan semula dan adakalanya diubah rupa, demi menyuntik nafas baharu dalam jasad tradisi kita. Tok Dalang, yang lazimnya menguasai tirai bayang wayang kulit, akan menjadi pembimbing perjalanan; manakala Pak Yong pula tampil sebagai penyampai kisah. Apabila digabungkan, ia dapat menghapus batas antara konsert dan pementasan drama.

Persembahan yang menggabungkan Wayang Kulit dan Makyong ini akan menampilkan bakat muda, Kamarul Baiquni,10, dan Kamarul Baihaqi,15, serta Adiguru Wayang Kulit, Baisah Hussin.

Kamarul Baiquni bersama adiknya, Kamarul Bairon yang berusia 8 tahun, kedua-duanya murid Sekolah Kebangsaan Taman Universiti.

Buat pemain muzik, perjalanan ini akan lebih mencabar sepertimana ia memberi inspirasi.

“Apa yang paling sukar adalah untuk memastikan nadanya sepadan,” jelas Baisah Hussine, salah seorang pemain rebab, Tok Dalang, dan pengarah segmen tradisional. “Rebab adalah alat muzik yang kekal dalam satu nada, jadi kami perlu bekerjasama dengan orkestra secara teliti. Ia bukan sekadar perlu mencari bunyi yang betul, tetapi temponya juga berbeza,” kata Baisah lagi.

Untuk mengharmonikan kedua-duanya, satu pihak perlu mengalah, tanpa menghapuskan bunyi yang lain. Bagi Baisah, di situlah letaknya cabaran dan keindahan konsert yang bakal mereka diadakan ini.

Perlanggaran tradisi ini sudah tentu mencetuskan geseran, tetapi dari geseran itu juga akan lahir percikan.
Pemuzik orkestra dari Orkestra Kuala Lumpur DBKL, yang dilatih dalam suasana tradisi muzik klasik Barat, akan belajar untuk melepaskan pegangan mereka terhadap masa yang ketat dan teratur.

Sementara itu pula, pemuzik tradisional daripada kumpulan Baizam Generation, yang terbiasa dengan improvisasi dan penyampaian secara lisan, akan menyesuaikan diri dengan skor muzik bertulis orkestra. Risiko ini, Baisah akui, mungkin akan membuat para puris tidak senang hati.

Kata Baisah: “Sesetengah orang mungkin berkata kami mencemarkan keaslian seni tradisional Melayu. Tapi bagi ramai penonton lain, ini mungkin kali pertama mereka merasainya. Dan kalau ia mampu membangkitkan rasa ingin tahu, jika ia membawa mereka untuk mencari yang asli, bukankah itu sesuatu yang berharga?”

Bagi Isabella Pek, Ketua Muzik DBKL, ketidakpastian itu sendiri adalah sebahagian daripada tarikannya.

“Sesetengah pemuzik ragu-ragu sama ada gabungan ini akan berhasil. Mereka waswas dan sejujurnya, kami sendiri pun tidak tahu jika ia akan berjaya,” katanya sambil tersenyum. “Tapi keraguan inilah yang menjadikan projek ini menarik. Mungkin kita sedang menemui satu panduan baharu, satu cara baru untuk mendengar warisan kita.”

Bagi Pek, orkestra bukanlah kuasa yang mendominasi, tetapi medium terjemahan. Apabila sesuatu alat muzik tidak mampu "merantau", sama ada kerana keunikan kualitinya, skala atau ritmanya bercanggah dengan orkestra Barat, maka orkestra akan menyesuaikan diri, menyerap dan mentafsirkan semula. Dengan cara ini, katanya, tradisi tidak terhapus, tetapi dicorak semula.

Bagi Zamzuriah, harapannya lebih besar, mencipta hubungan. Dia mahu para penonton merasakan bahawa warisan ini milik mereka juga.

Orkestra Kuala Lumpur… sedia menghadapi sebarang cabaran dengan senyuman!

“Jika penonton di KL boleh menerima warisan Pantai Timur, mungkin pada masa akan datang kita akan bawakan seni dari utara atau selatan pula. Warisan Malaysia begitu luas. Mengapa tidak kita biarkan orang jatuh cinta semula kepadanya?”

Hasilnya, Sentuhan Warisan Pantai Timur akan diberi penghormatan dan eksperimen, pemeliharaan dan pembaharuan. Ia tentang mendengar tradisi, bukan mengenalnya sebagai artifak yang lapuk, tetapi sebagai bahasa hidup yang mampu melahirkan ekspresi baru.

Seperti yang diungkapkan oleh Pek: “Kami tidak pasti apa yang akan dibawa pulang oleh penonton. Tetapi mungkin itu yang menjadi intipati. Jika mereka pulang dengan rasa ingin tahu, terharu, atau bahkan sedikit terganggu, bermakna kami telah melakukan sesuatu dengan betul.”

Sentuhan Warisan Pantai Timur akan dipentaskan pada Okt 4 (8.30 malam) dan Okt 5 (3 petang) di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma, tetapi sila tempah tempat anda di sini.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2