Pusat Bandar KL: Pemangkin Bagi Bab Pelancongan
Malaysia Baharu

23 Ogos 2025

Kehadiran pelancong sedang meningkat! Malaysia menyasarkan 16% KDNK datang daripada pelancong - satu matlamat besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang
disokong oleh Perdana Menteri. Adakah kita bersedia untuk mencapai sasaran ini?

Menjelang tahun 2026, Malaysia menyasarkan sumbangan pelancongan sebanyak 16% daripada KDNK – satu matlamat berani yang ditegaskan semula oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Namun di pusat bersejarah Kuala Lumpur, rancangan itu sudah mula terbentuk. Dari Jalan Raja ke Jalan Petaling, masa lalu dan masa depan bersatu – mencipta pengalaman pelancongan yang hidup, menyeronokkan, berakar di tempatnya dan dibina untuk bertahan.

Pusat Bandar KL bukan sekadar persinggahan dalam lawatan anda. Ia adalah nadi kota – tempat warisan bertemu inovasi, budaya menjana ekonomi dan Ekonomi Oren – industri kreatif dan budaya Malaysia – menggerakkan bukan sahaja Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi juga jati diri, kebanggaan dan pertumbuhan inklusif.

Pusat Bandar Sebagai Galeri Bernyawa

Jika anda berjalan di sepanjang Jalan Tun HS Lee, anda akan menemui deretan rumah kedai sebelum perang yang kini menjadi galeri indie, kopitiam yang melimpah ke kaki lima, dan mercu tanda seperti Tokong Sin Sze Si Ya yang beraroma dupa – tempat di mana kenangan dan kehidupan moden bertemu.

Perubahan ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Sebahagian besar tenaga kreatif Pusat Bandar KL telah lama wujud sebelum Warisan KL, sebuah Inisiatif pemulihan bandar berasaskan budaya yang kini tampil untuk untuk membinanya semula. Kini, di bawah RMK-13, usaha-usaha ini sedang diintegrasikan ke dalam strategi nasional yang lebih luas untuk mentransformasi bandar melalui budaya, kreativiti dan pelancongan berasaskan pengalaman dan Pusat Bandar KL menerajui usaha ini.

Di Pasar Seni, yang dulunya pasar basah yang kini menjadi hab kreatif, pengunjung boleh menelusuri hasil kraftangan, menonton persembahan budaya, atau membeli cenderamata buatan tangan. Tidak jauh dari situ, terdapat GMBB, anda boleh menyertai bengkel wayang kulit atau meneliti buku-buku tempatan. Berdekatan, REXKL pula yang dahulunya pawagam, kini berdenyut dengan muzik langsung dan makanan artisanal. Untuk pengalaman yang luar biasa, kunjungi +n oleh UR-MU, sebuah muzium seni kontemporari yang terletak di dalam bangunan Art Deco era 1950-an, di mana seni, seni bina dan rasa ingin tahu bersatu.

Kita juga dapat lihat Jalan Petaling telah menjalani penambahbaikan yang kelihatan lebih sejuk di mata. Bayangkan lorong mural, galeri pop-up, teater jalanan dan kafe nostalgia yang tersembunyi di sebalik tingkap kayu berjalur. Tidak jauh dari situ, Menara 118 yang menjulang tinggi membawa sentuhan moden yang berani kepada langit kota, berdiri megah di sebelah Stadium Merdeka, yang dibina tepat pada masanya untuk pengisytiharan kemerdekaan Malaysia pada Ogos 31, 1957. Satu pertembungan yang luar biasa, antara cita-cita Malaysia dan warisan kebangsaannya.

Inilah pelancongan yang berjiwa, bukan sekadar untuk lensa kamera, tetapi untuk jiwa yang menghargainya.

Warisan KL: Apabila Dasar Turun ke Jalan

Warisan KL – diterajui dan dilancarkan oleh Dato' Seri Anwar bin Ibrahim – ialah satu usaha nasional yang menyatukan agensi persekutuan dan negeri, GLIC, GLC, rakan sektor swasta serta komuniti di seluruh Malaysia untuk membentuk Kuala Lumpur sebagai mercu tanda warisan, budaya dan kreativiti negara. Usaha ini memberi tumpuan kepada pemulihan dan pengaktifan semula koridor warisan utama – bermula dengan Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Carcosa Seri Negara dan Bangunan Sultan Abdul Samad. Khazanah Nasional turut memainkan peranan penting melalui pembangunan berimpak tinggi dan kerjasama strategik awam-swasta – sekaligus membuka potensi kawasan ini.

Senyuman jelas terpancar semasa Lawatan Delegasi Menteri bersama Warisan KL yang telah diadakan baru-baru ini (di KTMB), bersama rakan kerjasama dan pemegang taruh termasuk (dari kiri) Datuk Bandar KL, Dato' Seri Maimunah Mohd Sharif (berbaju kuning), Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dan Pengarah Urusan Khazanah, Dato' Amirul Feisal Wan Zahir.  (Gambar lanjut di bawah.)

Tapi Warisan KL bukan sekadar memulihara bangunan. Ia tentang menghidupkan semula cerita, hubungan, dan rasa kebersamaan bagi semua yang melintasi jalan-jalan ini. Ini adalah tentang penceritaan, menyulam sejarah KL yang kaya ke dalam masa kini yang terus berkembang, sambil mewujudkan peluang pekerjaan, ruang awam yang inklusif dan ekonomi kreatif yang rancak. Ia adalah perancangan nasional yang berjiwa kejiranan, di mana dasar bertemu placemaking, dan budaya menjadi pemangkin perubahan.

Sebagai sebahagian daripada 10 projek utama Warisan KL, Pusat Bandar KL sedang melalui transformasi yang terancang, menggabungkan warisan dengan kreativiti dan kelestarian. Tapak-tapak penting sedang dipulihkan, manakala inisiatif baharu – seperti Rangkaian Penghubung Hijau dan zon khusus fesyen serta tekstil – meningkatkan keterhubungan, kebolehlaluan pejalan kaki dan kemeriahan budaya.

Mercu tanda yang terbiar kini diberi nafas baharu melalui kandungan yang dikurasi dan program yang memfokuskan komuniti. Matlamatnya: mengembalikan Pusat Bandar KL sebagai ibu kota budaya Malaysia, dan membuktikan bahawa pemuliharaan warisan boleh menjadi pemacu pertumbuhan bandar yang mampan.

Pertumbuhan ini disokong oleh Motac, DBKL, Think City, serta pelbagai kerjasama awam-swasta. Geran warisan, pembiayaan kreatif, platform digital dan penambahbaikan infrastruktur memastikan Pusat Bandar KL kekal relevan, mudah diakses dan mesra – untuk penduduk tempatan mahupun pelancong.

Perjalanan Budaya yang Lancar Menanti Kita

Ketika Malaysia merangka semula landskap pelancongannya, Pusat Bandar KL menawarkan pratonton yang mengujakan tentang apa yang bakal hadir. Bayangkan anda berjalan di sepanjang koridor hijau yang teduh di teras warisan kota – untuk melawat bangunan kolonial yang dipulihkan, ruang kreatif, pasar komuniti yang sibuk dan rumah ibadat berusia puluhan tahun – semuanya dihubungkan melalui laluan pejalan kaki yang mesra, pengangkutan awam yang cekap dan sistem panduan yang terancang.

Bayangkan pelawat benar-benar dapat menyelami pengalaman di Pusat Bandar KL – mendengar ritma kotanya, menikmati citarasa tempatan, menyerap warnanya yang meriah, dan merasai sejarahnya di setiap sudut. Ia bukan sekadar lawatan, tetapi satu pengalaman yang bernyawa. Setiap jalan, mural dan pertemuan dengan penggiat seni membawa naratif yang begitu mendalam dan jelas melambangkan Malaysia.

Dalam bab baharu pelancongan ini, Pusat Bandar KL bukan sekadar destinasi. Ia adalah pintu ke masa lalu, masa kini dan masa depan Malaysia.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2