Playback and Preview: Acara Yang
Membentuk Bandar

2 Disember 2025

NOVEMBER sekali lagi membuktikan bahawa KL memang tidak pernah hambar – TEDxKL mencetuskan idea, UR-MU membina suasana, dan KLABF 2025 pula menjadikan Kampung Attap seperti taman permainan pencinta cetakan. Downtown KL terus mengatasi diri bulan demi bulan, dan jika anda masih belum menjadi sebahagian daripada kekreatifan yang meriah ini, inilah masanya untuk turut serta. 

Diadakan pada 28-30 Nov di Dewan Perhimpunan China KL & Selangor, Kampung Attap, Art Book Fair 2025 benar-benar menyeronokkan. Sebuah perayaan yang cukup meriah buat buku seni, penerbitan bebas, poster dan segala bentuk bahan bercetak. Sempena ulang tahun kelimanya, KLABF 2025 menampilkan 106 reruai yang menghimpunkan artis dan penggiat seni dari seluruh dunia.  
 
WarisanKL.my berpeluang berbual dengan artis Gu Yangfan (@luckkyf, foto dibawah) dari China dan Jessica HaeJeon Lee dari Korea Selatan. Gu berkongsi bagaimana ilustrasi dan watak arca mini beliau, Sadbunny, mengembara ke seluruh dunia bersamanya, sekali gus mengilhamkan travelog bergaya tabloid. Buku mini dan karya Lee yang menawan juga tidak kurang menariknya.

Kami berpeluang untuk singgah di Centaur Games dan perfect hole x Munkao, di mana kami dapat berbual bersama Aaron Lim dan Munkao. Lim (@ehrowhonlime) ialah pembuat permainan meja dan pendidik yang dikenali melalui permainan berasaskan naratif seperti An Altogether Different River dan Spectres of Brocken. Munkao (@Munkao) pula sedang membangunkan Kala Mandala, sebuah imaginasi semula bergenre fantasi berpusatkan Asia Tenggara, menjauhkan diri daripada tradisi Eropah dan sebaliknya mengambil inspirasi daripada sejarah serantau yang dikongsi. Memang cukup menarik.

Di Zontiga, kami menerima penerangan ringkas tentang sistem zon dalam fotografi hitam putih bersama Lau Wen Huat yang membuatkan kami ingin mengetahui lebih lanjut tentang Ansel Adams, Fred Archer dan Zon Ketiga – dimana tekstur dan butirannya boleh dilihat! Zontiga ialah sebuah hab kreatif yang menawarkan perkhidmatan untuk proses filem, imbasan, cetakan giclée serta fotobuku dan barangan buatan tempatan. Ia juga menganjurkan pameran, bual bicara, bengkel dan banyak lagi. Dan ya, kami pulang dengan satu polaroid comel pada hari itu!

Kami juga bertemu pereka grafik daripada Jepun, Tetsuro Jozaki, Sarene Chan dan Hirokazu Matsuda (foto diatas), sambil menikmati karya mereka merentasi pelbagai medium.

Tidak perlu berkongsi banyak, pelbagai benda untuk diterokai. Kami berharap anda berpeluang untuk menikmatinya sama seperti kami. Tahniah buat Driv Loo dan pasukan kerana menghasilkan satu lagi KLABF yang hebat! – Ann Marie Chandy

Seni, Muzik dan Senja di Bandar

Penulis Warisankl.my juga berkesempatan untuk menyertai aktiviti bulanan +n by UR-MU yang merupakan salah satu daripada tiga galeri UR-MU di KL. Jika anda tidak tahu apakah UR-MU, UR-MU adalah singkatan bagi Urban Museum ini menjadi rumah buat hasil karya kontemporari yang menempatkan koleksi seni peribadi mahupun karya artis tempatan serta serantau.

Buat aktiviti pada bulan November, +n by UR-MU turut menyajikan aktiviti lain seusai tamat lawatan berpandu. Still Live Vol. 03 mengajak kami untuk melukis sambil diiringi barisan pengkarya muzik yang menambat jiwa. Dengan alunan muzik dan suara lunak Judos, D’Pujanggas dan Eloise Lau cukup memberikan kami sepetang yang cukup istimewa, sambil kami semua cuba untuk menyerlahkan bakat dalam seni halus.

Uniknya suasana di galeri yang terletak di berhampiran Petaling Street ini, jika anda intai ke bawah di waktu senja sebegini, laluan utamanya masih riuh, meriah dengan suasana kota, bunyi kenderaan dan hon di jalan seakan berlawan-lawan nak memecut senja, namun apabila kami fokus dengan aktiviti dalam galeri ini, suasana dan bunyi itu seakan sebati dalam landskap ini. Hairan akan rasa ini, tetapi perasaan senja yang menarik, berbeza dengan suasana galeri lain yang patut anda cuba.

Jika anda berminat untuk menyertai aktiviti seperti ini, jangan lupa untuk ikuti mereka di @ur-mu dan @plusnbyurmu dah ketahui apa yang menarik serta aktiviti yang akan datang untuk anda ikuti. – Wan Nor Alia Wan Ali

Berkongsi pengalaman, gaya TEDx

Pada 15 Nov, TEDxKL menghimpunkan gabungan inovator, pemimpin dan pencerita untuk sehari yang penuh dengan perkongsian idea. Dengan tema tahun ini, “Confluence: The Art of Coming Together”, acara tersebut meraikan persimpangan kreativiti, penuh jiwa dan kemajuan kolektif.

Bertempat di REXKL, hab yang disayangi oleh komuniti dan budaya, ruang ini yang penuh sejarah di Pusat Bandar Kuala Lumpur membuatkan perbualan tentang ketabahan, imaginasi dan kerjasama lebih makna.
Pentas ini menampilkan barisan individu daripada Malaysia yang penuh inspirasi. Antaranya termasuklah Chang Song Ji, pembuat biola wanita pertama Malaysia yang meraih anugerah antarabangsa; Selina Chong, seorang doktor-usahawan yang berusaha merapatkan jurang dalam penjagaan kesihatan; Dr Shaliza Manmohan, yang perjalanan hidupnya selepas kehilangan anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Zayla, membentuk tujuan baharu; serta Peter “Mr Money” Yong, salah seorang pendidik kewangan peribadi terkemuka di Malaysia.  

Salah satu perkara paling menyentuh hati kami ialah ucapan daripada Chong yang mengingatkan kita bahawa kegagalan adalah sesuatu yang universal dan tidak dapat dielakkan, namun ia bukan titik penamat, tetapi sebahagian penting daripada perjalanan manusia. Dengan belajar, menyesuaikan diri dan menerima detik-detik sukar ini, kita menguatkan ketahanan dan berkembang dengan niat.

Setiap panel membawa perspektif tersendiri mengenai tujuan, kepakaran dan pengalaman yang membentuk mereka, dengan harapan dapat menginspirasikan rakyat Malaysia agar mengambil tindakan, berkarya dengan berani dan memainkan peranan dalam membina masa depan yang lebih baik. – Annabeth Lee

Jadi, seterusnya?

Kami teruja untuk The Sound Collective’s Turn Up & Sing di RXP, REXKL pada hari Sabtu ini (6 Dis), dari 4 petang hingga 7 malam. Selepas menghadiri sesi tahun lepas, kami pasti yang anda pasti akan merasai pengalaman yang menyeronokkan.

Untuk edisi kali ini, konduktor Sarah Imran akan mengajak anda semua untuk menyanyi bersama secara harmoni lagu What It Sounds Like x Golden, sebuah gabungan lagu daripada kumpulan K-pop fiksyen HUNTR/X dalam KPop Demon Hunters. 

Kata Sarah: “Sertai kami dalam membina ‘Honmoon’ kami sendiri, tempat di mana kita jatuh tetapi tetap indah, berani tanpa batas. Kita akan menulis ‘lagu yang tidak pernah kita dapat tulis’ bersama-sama, sehingga kini.”  

Bagi yang belum mengenali, The Sound Collective mengurus ruang yang membolehkan orang ramai berkumpul dalam ritma dan harmoni. Kepercayaannya mudah: membuat muzik bersama komuniti adalah satu keperluan asas manusia. Misinya? Untuk memupuk persekitaran yang selamat dan penuh kegembiraan untuk tujuan itu, sesuatu yang kita semua perlukan, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. 

Sejak dilancarkan pada Januari 2024, The Sound Collective telah mengadakan 12 sesi Turn Up & Sing, bekerjasama dengan lokasi seperti Rumah Tangsi, The Godown, House of Bricks, Union Skatepark, SkyArk Event Spaces dan The Hall. Pilihan lagu sebelum ini termasuk This Is Me, Defying Gravity, Titanium, Bring Me to Life, Belaian Jiwa dan Pure Imagination. Mereka juga pernah berkolaborasi dengan Pot Amir (Innuendo), beatboxer dari Beatnation, pemain dram bertaraf dunia dan ramai lagi.
 
Percayalah, memang sangat menyeronokkan. Daftar, panaskan pita suara anda, dan bawa semangat “Hunter” paling kuat untuk edisi kali ini!

Kami juga teruja tentang Museum of Mini Exchanges, sebuah pasar kecil bersaiz poket dengan kelainan menarik: semuanya dikurasi oleh komuniti.

Diadakan di Kedai Fizikal @anaabu.co (No. 13, Jalan Sin Chew Kee), acara ini mengajak sesiapa sahaja untuk membawa satu objek kecil, seperti poskad, buku kecil terbitan sendiri, rantai kunci, pelekat atau apa-apa kenangan kecil dan meletakkannya di atas “Swapping Exhibit Mat” masing-masing. Dari jam 4.30 petang hingga 7 malam, para pengunjung akan menjelajah “muzium mini” yang menawan ini, meneroka kisah orang lain melalui barang-barang kecil yang mereka tinggalkan, sambil menukar satu objek dengan yang lain. Ia ringkas, menyeluruh dan tanpa diduga menyentuh hati, sebuah memori lembut yang menunjukkan bahawa objek paling kecil pun dapat menghubungkan.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2