Penghormatan Moden Buat Harimau Kain

DOMINIQUE TEOH | 5 Februari 2026

Dengan kedatangan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir, Kwai Chai Hong sekali lagi menyinari kota dengan sebuah instalasi baharu yang penuh warna. Melangkah ke Lorong Panggung, anda akan dibawa menyelami lautan tanglung, dikelilingi 12 Penjaga Zodiak yang sedia menyambut anda.   

Tema tahun ini, Guardians of Legacy, mengambil inspirasi daripada Harimau Kain, mainan buatan tangan yang diberikan kepada kanak-kanak sebagai pelindung. Konsep yang diilhamkan oleh pengasas bersama Kwai Chai Hong, Javier Chor ini memberi penghargaan secara halus dalam meluahkan keprihatinan dan perasaan sayang.    
   
“Apabila saya pulang ke kampung halaman, ibu saya selalunya akan masakkan sup kegemaran saya dan meletakkannya di atas meja tanpa berkata apa-apa. Dalam diam, Itulah kasih sayang seorang ibu,” kongsi Chor.

Pengasas bersama Kwai Chai Hong, Zeen Chang turut berkongsi rasa yang sama, “Dalam budaya Asia, kita jarang meluahkan rasa kasih sayang secara terbuka. Ia tidak dramatik. Jadi kami rasa menarik untuk menghidupkan semula Harimau Kain, kerana apa yang kelihatan sekadar mainan kepada seorang kanak-kanak, sebenarnya mempunyai makna yang lebih mendalam.”


Javier Chor, artis dan Pengasas Bersama Kwai Chai Hong.

Harimau Kain merupakan sebahagian daripada tradisi rakyat yang telah wujud sejak ribuan tahun dahulu. Lazimnya mainan ini disediakan oleh Ibu bapa, datuk serta nenek, hasil buatan tangan mereka sendiri dengan menjahit motif-motif yang mempunyai simbolik dan keberkatan tersendiri. Ikan melambangkan rezeki berlebihan, labu yang dijahit pula sebagai mata pula melambangkan anak yang membesar dengan sempurna.     
Setiap motif dijahit dengan penuh makna dan kasih sayang. Ia juga sebagai tanda restu, simbol kasih sayang secara halus, sebuah simbol cinta yang dizahirkan dengan perbuatan dan bukan dengan kata semata-mata.   

“Semakin saya mendalami setiap motif, semakin saya terinspirasi. Kerana ia bukan sekadar bunga. Ia membawa makna kepada ibu bapa yang ingin melindungi anak mereka,” kata Chor. “Saya percaya setiap orang mempunyai penjaga tersembunyi dalam diri mereka. Sebab itulah saya mahu mengembangkan konsep Harimau Kain ini pada setiap tanda Zodiak.”

Harimau kain adalah mainan buatan tangan tradisional Masyarakat Cina, biasanya dijahit daripada fabrik dan diisi dengan kapas. Dengan warna-warna terang serta mata, kepala dan mulut yang besar, ia lebih daripada sekadar objek mainan. Harimau kain dipercayai mampu melindungi kanak-kanak, menghalau roh jahat, dan membawa tuah.
Pelindung Tersembunyi

Guardians of Legacy menampilkan 12 arca bercetak 3D yang menggabungkan tradisi dan teknologi, selari dengan gaya unik Kwai Chai Hong. Setiap arca melambangkan keberkatan, daripada keberanian dan kesetiaan sehinggalah keharmonian dan kemakmuran. Jangan risau, setiap arca disertakan dengan penerangan, supaya anda boleh memahami simbol-simbol yang membentuk makna setiap penjaga.    

Bunga plum, lengkungan awan serta cicak, Chor telah menghabiskan masa selama setengah tahun untuk mengkaji pelbagai motif yang dikaitkan dengan Harimau Kain. Namun cabaran yang lebih besar adalah untuk mencari bahan yang sesuai untuk merealisasikan ideanya.     
   
“Saya tahu yang saya mahu menghasilkan Harimau Kain, tetapi saya juga tahu saya tidak boleh menggunakan kain sebagai bahan kerana ia dipamerkan di luar dan akan terkena hujan,” jelasnya.    

Chor menemui jawapannya melalui teknologi cetakan 3D. Bukan sahaja bahannya tahan cuaca, malah ia juga mempunyai sifat lut sinar yang membolehkannya menerangi arca dari dalam. Inilah yang memberikan para penjaga pantulan cahaya yang bersinar seakan-akan magis.     

“Jika diperhatikan dengan teliti, anda akan nampak Javier cuba meniru tekstur kain,” jelas Chang. “Ia dicetak seperti fabrik dan kemudian dicat secara manual. Jadi setiap yang anda lihat direka khas buat semua penjaga untuk menyerupai versi Harimau Kain.”     

Hasilnya benar-benar mengagumkan, jadi kunjungilah Kwai Chai Hong dan lihat sendiri keberkatan yang disediakan oleh penjaga peribadi anda.
Kasih Sayang Merentasi Generasi

Guardians of Legacy mengisahkan tentang cinta merentas generasi. Ia mengajak kita untuk merenung kembali siapa ‘penjaga’ dalam kehidupan kita sendiri, sambil mengingatkan bahawa suatu hari nanti, kita akan membesar dan menjadi penjaga buat orang yang tersayang. Seperti kata Chor, Yang dilindungi akan menjadi pelindung.

“Fokus kami tertumpu kepada warisan Cina,” kata Chor. “Kami cuba untuk tidak menjadikannya terlalu serius atau membosankan. Kami mahu menjadikannya lebih menyeronokkan dan mudah difahami supaya orang  ramai dapat menghayati makna di sebalik setiap instalasi ini. Itu sentiasa menjadi niat kami.”   
  
“Jiwa Kwai Chai Hong bermula dengan penceritaan,” tambah Chang. “Ia bukan tentang menyampaikan fakta, tetapi menghidupkan semula kisah kehidupan terhadulu. Walaupun hari ini kita mungkin tidak lagi menzahirkan kasih sayang dalam bentuk Harimau Kain, kita masih melakukannya dengan cara yang berbeza.”

Pengasas Bersama Kwai Chai Hong, Zeen Chang.

Guardians of Legacy meraikan keindahan perkara-perkara yang tersembunyi, dan hasilnya benar-benar memukau. Haiwan Zodiak berskala besar, tanglung bercahaya menerangi langit memberikan sebuah pameran yang mengagumkan, dengan mesej yang cukup sederhana.  

“Saya mahu menggalakkan semua orang untuk menghargai dan menyayangi orang yang menyayangi mereka,” kongsi Chor. “Itulah mesej yang saya ingin sampaikan dan saya berharap para pengunjung akan menerima mesej itu, kemudian membawanya kepada orang yang menyayangi mereka, dan seterusnya.”

Guardians of Legacy dibuka kepada orang ramai pada setiap hari dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam sehingga 8 Mac 2026. Para pengunjung diingatkan supaya menjaga dan menghormati instalasi yang dipamerkan.

Selain itu, Blessings Parade turut diadakan bagi membawa semangat pelindung dan kasih sayang ke jalanan, sambil menjemput orang ramai menerima keberkatan untuk mendapat tuah, kesihatan dan kegembiraan. Perarakan ini akan bermula dari pintu masuk Kwai Chai Hong pada jam 11 pagi, Sabtu, 7 Feb.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2