Pencarian Cenderamata

NABILA AZMAN & WAN NOR ALIA | 4 Febuari 2026

KUALA LUMPUR sering dikenali dengan bangunan pencakar langit seperti Menara Merdeka 118, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan The Exchange 106 yang terlihatnya megah berdiri di ruang kota. Namun pembentukan karakter kota ini tidak terbatas di situ, ia juga datang dari tapak warisan seperti bangunan yang baru sahaja dibuka semula, Bangunan sultan Abdul Samad dan Seri Negara. Sebuah kota moden yang penuh dengan jejak warisan, warna, budaya, malah turut menjadi syurga makanan dan pusat membeli-belah buat para pelancong.
 
Apatah lagi apabila tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Pastikan lawatan anda dimulakan dengan merasai sendiri suasana di Kuala Lumpur. Sambil berjalan di kota anda sebenarnya boleh membawa secebis pengalaman tempatan pulang bersama anda. Daripada hasil kraftangan tradisional hingga ke barangan moden berciri Malaysia. Berikut adalah antara pilihan cenderamata bermakna yang boleh anda temui di sekitar Warisan KL.
Nadi Kreatif di Pasar Seni

Tak sah jika anda tidak memulakan perjalanan anda di Pasar Seni (Central Market), sebuah bangunan berjiwa seni yang telah lama menjadi nadi budaya Kuala Lumpur. Dari jauh, bangunan seni deko yang klasik ini menyerlahkan pesona warisan kolonial, namun denyut nadinya kekal segar, dipenuhi semangat generasi muda yang datang silih berganti.  

Terletak hanya beberapa langkah dari stesen LRT Pasar Seni, membolehkan tempat ini untuk mudah dijejaki sesiapa sahaja, baik pelancong yang baru tiba mahupun warga kota yang ingin melarikan diri seketika dari hiruk-pikuk metropolis. Suasananya sentiasa hidup, berwarna-warni seperti kanvas yang dilukis tanpa henti. Di setiap penjuru, ada cerita tersendiri.  
  
Ada pasangan yang tersenyum manja, tangan saling berpaut, memilih jambangan bunga segar yang harum dan memikat. Ada sekumpulan sahabat yang ketawa riang sambil menikmati ais krim tempatan, mengabadikan memori di hadapan mural-mural indah. Tidak kurang juga yang leka memerhati hasil tangan seni tempatan seperti ukiran, batik, lukisan dan barang-barang perhiasan, masing-masing membawa identiti Malaysia yang kaya dan unik.   

Di dalamnya anda akan temui Pasar Besar. Sebuah ruang yang dihiasi dengan pelbagai warna, aroma dan ragam jualan tempatan. Di sini, deretan barangan basah dan kering dipamerkan dengan kemas, seolah-olah satu pameran kehidupan harian yang kaya dengan tradisi dan cita rasa, aroma masakan dan snek tempatan. Terdapat pelbagai produk makanan di sini, mudah untuk dibawa pulang.

Antara produk makanan tempatan yang terdapat di Pasar Besar yang boleh anda cuba dan bawa pulang.

Seusai keluar dari Pasar Besar, langkah diteruskan menuju ke sebuah kedai yang kelihatan cukup meriah dengan kehadiran pengunjung dengan susunan barangan yang menarik. Paper Adventures by Loka Made, anda pasti tak akan terlepas, dan lebih sukar jika anda pergi tanpa membeli. Dari pelekat, poskad bercetak cantik hinggalah ke poskad 3D yang kreatif, setiap satu mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Lebih menarik lagi, terdapat juga sudut khas yang disediakan untuk anda menulis dan menghantar poskad anda, ritual mudah tetap semakin jarang kita temui.

Ditubuhkan pada tahun 2015 kerana rasa cinta yang mendalam terhadap budaya Malaysia berpaksikan falsafah penemuan. Setiap karya yang terhasil adalah sebuah pengembaraan, menelusuri akar tradisi dan menyulamnya dengan sentuhan kreatif yang segar.

Poskad antara cenderahati yang menjadi perhatian pelancong.

Di kedai berhampiran pula, terdapat Bathing Tapir yang menawarkan pelbagai cenderahati. Sebuah jenama yang berasaskan naturalisme, membawakan rangkaian produk penjagaan diri yang segar, dihasilkan daripada bahan semula jadi yang mesra alam, dan didorong oleh prinsip keseimbangan antara manusia dengan alam sekitar.

Antara lain yang boleh anda jumpa ialah produk penjagaan kulit yang dibalut dengan corak batik. Cantik, anggun dan lain dari barangan di luar. Antara cara untuk menawarkan pengunjung untuk membawa pulang warisan Malaysia untuk kegunaan harian anda.  

Alang-alang dah sampai Pasar Seni, anda juga boleh keluar ke Laluan Kasturi, dongak ke kawasan rumah kedai dan cari Sustained oleh The Sea Monkey Project & Earth Heir. Di sini mereka menawarkan pelbagai produk yang dibuat oleh anak tempatan, komuniti wanita pedalaman, orang asal, pelarian dan pelbagai komuniti lain dari pelbagai latar belakang. Sambil membeli cenderamata, dapatlah kita membantu komuniti ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.

Bukan sekadar membeli-belah, anda juga dapat membantu komuniti dalam Malaysia dengan setiap pembelian.

GMBB: Kreativiti, Seni dan Warisan Di Bawah Satu Bumbung

Terletak lebih kurang 2.5km dari Pasar Seni, lebih kurang 20 minit berjalan kaki (atau mungkin Grab di hari yang panas terik), GMBB menawarkan sesuatu yang berbeza yang boleh menjadi pelengkap pengalaman anda. Pusat beli belah komuniti kreatif ini mengumpulkan pengamal seni tempatan, pereka dan penukang semua di bawah satu bumbung.

Manoplus menawarkan pelbagai produk tempatan yang comel sesuai untuk dijadikan hadiah.

Sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam, Manoplus menarik perhatian kami. Sebuah kedai yang serba putih bersih, namun dihiasi dengan warna daripada pelbagai barangan yang rata-ratanya buatan tempatan. Dari buku panduan Malaysia dan poskad ke pin baju, pewangi sehingga ke tas tangan. Lebih seronok lagi apabila anda membeli-belah dan disapa oleh pembantu kedai yang tahu tentang produk mereka. Lama juga kami menghabiskan masa di kedai ini, membelek satu persatu barangan mereka yang comel dan sesuai bukan sahaja untuk cenderamata, tetapi juga untuk dijadikan hadiah.

Produk buatan tempatan kini tidak kurang hebatnya dengan barangan luar. Hasil tangan yang cantik dan bermutu tinggi, dibungkus dengan rapi dan menarik. Semua ini untuk memperingati pengunjung bahawa mereka membawa pulang secebis pengalaman Malaysia.

GMBB juga menempatkan Arteri di Tingkat 1, sebuah ruang yang telah dikurasi dan mengumpulkan produk daripada lebih 70 artisan yang ternama mahupun kecil-kecilan. Tenunan Sarawak oleh Tanoti dipamerkan bersama batu seremban bercorak batik, sebuah gambaran permainan tradisional kanak-kanak yang memukau, dan barang kemas moden yang menggabungkan motif bunga dan alam semula jadi

Antara barangan yang boleh anda jumpa di Arteri.

Jika anda mencari pilihan lain untuk batik, Di tingkat 3, GMBB menempatkan Batekita, yang membawakan produk batik dari lebih 40 pembuat dan jenama tempatan. Direka untuk kegunaan harian, menggabungkan elemen tradisi dan kehidupan moden supaya sesuai untuk dipadankan.

Batekita menawarkan pelbagai produk berunsur batik untuk kegunaan harian anda.

Jika anda ada masa yang lebih, luangkan sedikit untuk berjalan dalam GMBB. Selain kedai jualan, mereka juga menawarkan aktiviti dan kelas seni yang sentiasa ada untuk pengunjung. Menggunakan ruang yang sedia ada lebih dari sekadar pusat membeli belah.

Pasar Seni dan GMBB bukan lah satu-satunya lokasi untuk mencari cenderahati di Kuala Lumpur, tetapi ia dapat memberi anda lebih dari sekadar lokasi membeli belah. Ia adalah sebuah ruang yang dibentuk oleh masyarakat setempat, amalan dan memori, yang mana setiap satu berteraskan usaha, keprihatinan dan imaginasi pembuatnya.   
  
Jadi jika anda pulang dengan tangan yang penuh, anda sebenarnya membawa pulang pelbagai kisah. Kisah yang kecil, peringatan yang bermakna bahawa kota ini menunjukkan jiwanya melalui hasil tangan seperti ini.
Jangan berhenti di situ! Anda juga boleh mencari cenderamata di Bangunan Sultan Abdul Samad yang baru sahaja dibuka semula!

Pasar Seni
Lokasi: 12, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 10pagi - 10malam

GMBB
Lokasi: 2, Jalan Robertson, Bukit Bintang, 50150 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan KL.
Waktu Operasi: 11pagi - 8malam

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2