Nak Buat Batik? Di KL pun ada!

Wan Nor Alia Wan Ali | 23 Jun 2025

Nur Danisya, Dania dan Siti Hajar menunjukkan hasil seni mereka daripada tiga teknik utama yang diajar di Ainna Artwork. – Foto: Wan Nor Alia Wan Ali
ANDA rasa batik hanya digunakan untuk acara rasmi atau menjadi pakaian untuk percutian di Pantai Timur? Sekarang sudah dipelbagaikan! Betul-betul di tengah-tengah Kuala Lumpur, kraf berusia berabad lamanya ini diberi sentuhan baharu – dan ia lebih mudah diakses (dan sesuai untuk Instagram) berbanding sebelum ini. Sama ada anda seorang yang berjiwa kreatif mencari ketenangan atau sekadar mengisi masa sementara menunggu latte anda siap ketika bersiar-siar di bandar, mewarna batik ialah aktiviti seni warisan yang anda tidak tahu anda perlukan. Daripada studio tersembunyi di Pasar Seni hingga sesi praktikal di pusat mencanting seperti Jadi Batek dan Kompleks Kraf, KL kini rancak dengan lokasi di mana tradisi bertemu ekspresi peribadi.

Dan ya – anda boleh mencuba sendiri tanpa perlu meninggalkan bandar (atau memerlukan latar belakang pantai!). Mari selami dunia batik moden yang berwarna-warni di KL, dengan satu sapuan berus pada satu masa.
Ainna Artwork

Terletak betul-betul di tengah Ibu Kota Kuala Lumpur, saya nak cuba mewarna batik di Ainna Artwork, Pasar Seni. Setibanya saya di pintu masuk utama Pasar Seni, saya terus berjalan hingga ke pintu belakang. Betul-betul bertentangan dengan pintu itu, terletaknya kedai dan juga bengkel Ainna Artworkl. Pada hari biasa (Rabu), jam 11.30 pagi, sudah kelihatan ramai pengunjung sedang mewarna batik. Teruja! Di sapa mesra oleh kemeriahan lukisan dan warna batik yang tergantung di dinding dan kemudian oleh mereka yang bertugas di sana pada waktu itu.

Kiri: Pelanggan mewarna berlatar belakangkan hasil batik.
Kanan: Pembantu kedai yang mesra mengajar pelanggan.
“Walaupun tiada ruang mencanting di sini, tetapi kami menawarkan khidmat tersebut jika terdapat jemputan,” jelas Nor Syuhada (Hada), pembantu kedai yang sudah tiga tahun bekerja di situ. Sempat kami berbual sebelum memulakan aktiviti. Hada yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam dunia kewangan, memilih seni sebagai kerjayanya sekarang kerana rasa tertarik dengan warisan yang kita miliki. Menurutnya seni juga memberikan ketenangan dalam dirinya.

Kedai in telah beroperasi sejak tahun 2011, yang dulunya lebih mengetengahkan mencanting dan menjual hasil kerja mereka sendiri. Sewaktu pasca pandemik pada tahun 2020, mereka bangkit dengan aktiviti seperti mewarna batik bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk singgah ke kedai mereka.

“Oleh kerana lokasi yang strategik, ramai pelanggan yang lalu lalang sambil membeli belah di Pasar Seni akan singgah ke sini. Sementara tunggu membeli-belah terdapat aktiviti untuk anak-anak berhibur. Seawal umur dua tahun sehingga ke pelbagai lapisan umur, semua sesuai untuk turut sama mewarna di sini,” kata Hada.

Antara RM15-RM30 anda boleh memilih saiz kain mengikut cita rasa sendiri. Di sini, semua cantingan batik dilukis sendiri dengan pelbagai corak. Memandangkan saya nak meluangkan berjalan di Pasar Seni juga, saya memilih rangka batik yang paling kecil kerana lebih mudah, cepat dan boleh disimpan di dalam bag sahaja seusai siap.

Naim, pembantu kedai yang lain pula kemudian datang menjelaskan tentang peralatan yang akan digunakan, serta tiga prinsip utama dalam mewarna batik yang mudah untuk difahami – direct colour, gradient dan mixed colour.

Apabila taklimat ringkas tamat, maka bermulalah sesi mewarna untuk saya. Jika anda mahukan warna selain dari warna utama, jangan risau, mereka ada tampal rujukan warna untuk anda cuba sendiri. Jika tak berjaya? Jangan risau, hanya panggil pembantu kedai dan mereka sedia membantu.
Hidupan laut menjadi pilihan penulis untuk mewarna batik di sini.
Aktiviti yang menenangkan minda sebegini boleh dilakukan seorang diri, sama ada pada hujung minggu atau sewaktu ada masa terluang. Meluangkan masa seorang diri sambil melakukan aktiviti semestinya dapat mengurangkan tekanan atau hilangkan rasa penat bekerja. Tapi bagi saya lebih seronok berdua atau berkumpulan. Jadi saya mengajak Hada mewarna bersama. Sambil berborak, sambil mewarna, dapatlah sedikit- sebanyak mencuri ilmu Hada.

Kadang- kadang mood peramah tu datang bila berjalan atau buat aktiviti seorang diri. Sempat saya berbual dengan adik- adik lepasan SPM, Nur Danisya, Dania dan Siti Hajar. “Memang kami nak luangkan masa bersama- sama dan masing-masing suka seni, jadi nak cuba batik, memang terus datang ke sini. Walaupun tak berapa mahir tapi memang seronok. Dapat belajar teknik yang unik dan nak buat pun senang,” kongsi Hajar.
Bagi anda yang ingin mencuba, kedai ini dibuka setiap hari, seawal jam 10.30 pagi sehingga 7.00 malam. Untuk maklumat lanjut anda juga boleh ikuti mereka di sini.
Bear It
Cynthia Chuah di dalam kedainya, Bear It.
Tak puas dengan satu tempat, terdapat juga Bear It yang diusahakan oleh Cynthia Chuah, 29, sebuah kedai yang menawarkan pelbagai aktiviti seni di Pasar Seni yang baru sahaja setahun beroperasi. “Sebenarnya saya suka meluangkan masa bersama kanak-kanak, dan saya suka menghasilkan barang- barang yang cantik, jadi dari situ tercetusnya idea untuk membuka kedai ini,” kata Chuah.
Tambah Chuah, “Bagi mengekalkan konsistensi produk, kami menyediakan batik cetak untuk semua pelanggan, tetapi kami ada juga mengeluarkan batik berbentuk wau pada musim raya yang lalu, dan produk ini telah disambung sehingga ke hari ini kerana mendapat sambutan yang menggalakkan”.

Bear it dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi mereka di sini.

Bukan itu sahaja, terdapat juga lokasi lain di sekitar Kuala Lumpur yang boleh anda cuba:
Kompleks Kraf Kuala Lumpur
Sebuah bangunan berbentuk rumah kampung di Jalan Conlay Kuala Lumpur. Kompleks Kraf Kuala Lumpur ini menawarkan pelbagai aktiviti seni untuk semua lapisan masyarakat. Pastinya seronok dan menenangkan. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang mereka atau terus pergi ke sana kerana kompleks ini dibuka setiap hari.
Jadi Batek
Terletak di jalan Imbi, Jadi Batek merupakan salah satu pusat batik yang besar di Kuala Lumpur, yang mana pelanggan bukan sahaja dapat membeli kain batik di sini, malah meluangkan masa mencanting dan mewarna batik sendiri. Pelbagai produk boleh anda lukis sendiri antaranya bingkai biasa, bag, t.shirt, selendang dan kain pario. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang mereka di sini.
Batik bukan sekadar kain lepas yang sering dipakai ibu bapa kita. Kini, batik ada di mana-mana – dijahit pada busana moden, diubah menjadi aksesori bergaya, malah dibingkaikan sebagai hasil seni. Ia telah menjadi sesuatu yang dibanggakan untuk dipakai dan dihasilkan, bukan hanya untuk majlis istimewa tetapi sebagai ekspresi identiti harian. Dengan menghubungkan semula diri kita dengan tradisi sebegini, kita bukan sahaja memastikan ia terus hidup – malah kita memastikan ia berkembang bersama kita, dibawa dengan bangga ke masa hadapan.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2