CHIN JIAN WEI | 11 September 2025
KWAI Chai Hong kini dikenali kerana instalasi seninya yang menggabungkan seni moden dengan elemen tradisional, ini termasuk Instalasi terbaru mereka. Selalunya akan jatuh pada tarikh yang sama dengan cuti perayaan seperti Tahun Baru Cina, kali ini Moonlit Blossom kembali bersama perayaan Pesta Pertengahan Musim Luruh. Dikurasi oleh pengasas bersama Kwai Chai Hong, Javier Chor, Moonlit Blossom mengisahkan semula legenda rakyat Cina tentang Wu Gang, si penebang kayu yang dihukum tinggal di bulan dan dipaksa untuk menebang pokok osmanthus selama-lamanya. Namun usahanya sia-sia, kerana pokok itu akan sembuh setiap kali dipotong dengan kapaknya.
Kwai Chai Hong dihiasi dengan 100 bunga bertema, dengan 48 daripadanya tergantung di atas Jambatan Merah, jalan yang membawa pengunjung masuk ke lorong tersebut. Apabila pengunjung berjalan hingga ke hujung jambatan, mereka akan berada di bawah lantera bulan gergasi, yang pada satu sudut menggambarkan Wu Gang yang sedang menjalankan tugasnya yang tidak berpenghujung. Di sisi yang lain pulai, seperti dalam mitos, terdapat Chang’e dan Arnab Jed.
Zeen Chang, pengasas bersama Kwai Chai Hong berkata, “Tidak seperti Chang’e dan Arnab Jed yang merupakan wira, Wu Gang adalah seorang anti-wira. Dia menjadi contoh untuk kita semua agar terus berusaha dan kekal bersemangat.” Dalam mitos tersebut, penebang kayu Wu Gang pergi menghadap Maharaja Jed untuk mempelajari cara untuk kekali abadi. Namun, dia berhenti separuh jalan kerana kemalasannya. Sebagai hukuman, dia dihantar ke bulan dan diberitahu bahawa jika dia dapat menebang pokok osmanthus, dia akan memperoleh keabadian yang dia mahukan.
“Sewaktu Wu Gang menebang pokok itu, kelopak osmanthus gugur… sebab itulah anda sedang memijaknya sekarang. Anda sedang mengalami sendiri momen dia menebang pokok itu,” kata Chang sambil menunjukkan kelopak osmanthus yang dicetak di atas lantai. “Bunga osmanthus ini cepat layu; ia hanya mekar antara tiga hingga sepuluh hari sahaja, dan selepas itu anda perlu tunggu setahun penuh untuk melihatnya semula. Javier ingin mengabadikan instalasi ini. Wu Gang mengajar kita bahawa niat tanpa tindakan adalah sia-sia. Jika tiada usaha, maka tiadalah hasil.”
Wong Si Ying dan Chia Hong Yuan daripada studio penceritaan digital kreatif pemenang anugerah, Seeing Artelier, turut mencipta satu filter Augmented Reality (AR) di TikTok yang menggambarkan Wu Gang sedang menebang pokok, serta kelopak osmanthus yang gugur sewaktu dia berbuat demikian. Seperti projek Kwai Chai Hong yang lain, tradisi digabungkan dengan inovasi digital secara harmoni. Pengunjung akan terasa seolah-olah mereka berada betul-betul di sisi Wu Gang.
Kata Wong, “Bunga osmanthus hanya mekar untuk tempoh yang sangat singkat, jadi kami ingin mencipta satu filter di mana orang ramai boleh terus menikmati keindahannya. Javier memberi kami imej asal, dan kami membangunkan animasi serta menggabungkannya dengan teknologi AR. Kami mahu ia terasa lebih hidup, jadi kami tambah warna pada imej hitam putih asal, yang juga sesuai dengan imej di lentera yang anda lihat.”
“Ramai orang kata warisan hanyalah tentang tradisi dan benda lama,” sambung Wong. “Tapi bagi kami, ia adalah satu keberkatan kerana kita hidup dalam dunia digital sekarang. Kita boleh menghidupkan cerita rakyat yang biasanya disampaikan secara lisan atau melalui buku cerita. Anda boleh menyelami kisah itu dan benar-benar menghubungkannya. Kami berharap lebih ramai pencipta akan menggunakan AR dengan cara yang lebih bermakna.”
Drum Up JB, kumpulan persembahan gendang tradisional yang terkenal dari Johor Baru, membawakan persembahan yang mengagumkan semasa pelancaran instalasi ini pada akhir Ogos yang lalu. Mereka mengamalkan seni Gendang 24 Musim, iaitu satu persembahan gendang tradisional Malaysia yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia. Para pemain gendang dengan penuh bertenaga memalu gendang sambil menggabungkan elemen tarian dan pergerakan pantas.
Menurut Damien Leow, pengasas bersama Drum Up JB, Gendang 24 Musim merujuk kepada 24 terma suria dalam kalender lunisolar tradisional masyarakat Cina. “Ia adalah satu kalender pertanian kuno,” jelas Leow. “Setiap musim dibahagikan kepada enam tempoh. Ia membantu para petani mengetahui bila masa untuk menyemai benih dan bila untuk menuai. Idea di sebalik Festival Pertengahan Musim Luruh juga berkait rapat dengan perkara ini, dan gendang ini membantu kita meraikan tradisi tersebut.”
Leow turut menjelaskan bahawa bagi menyesuaikan dengan tema Wu Gang dan pokok osmanthus, koreografi pemain gendang turut mengandungi banyak gerakan seperti menebang, seolah-olah mereka "menyerang" gendang mereka. Ini juga menyerupai gerakan tradisional yang menggambarkan petani bekerja, iaitu asas kepada corak persembahan Gendang 24 Musim.
Berlainan daripada kepercayaan sesetengah pihak, Gendang 24 Musim bukan dibawa masuk secara terus dari Tanah Besar China, tetapi merupakan satu bentuk seni yang dibangunkan dengan pengaruh unik dari Malaysia. Pada tahun 1988, Tan Chai Puan dan mendiang Tan Hooi Song, masing-masing merupakan seorang penyair dan pemuzik, mencetuskan idea untuk menggabungkan gendang yang digunakan dalam Tarian Singa dengan 24 terma suria, serta menulis kaligrafi pada permukaan gendang untuk menandakan setiap istilah tersebut. Kata Leow, “Sejak itu, bentuk seni ini terus berkembang melalui sumbangan para pemain gendang yang berbeza. Kemahiran dari pelbagai budaya turut digabungkan, termasuk pengaruh irama Melayu dan India. Pelbagai instrumen turut digabungkan bersama gendang.”
Bermula dari Sept 12 hingga 14, Drum Up JB akan mengadakan persembahan di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan warisan budaya unik Malaysia ini secara langsung. Tiket boleh dibeli di laman web mereka: drumupjb.com.
Moonlit Blossom dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam, sehingga Okt 12, 2025.
Discover more stories