Merakam Kuala Lumpur

Nabila Azlan | 14 Julai 2025

Lorong yang memukau pandangan, bangunan pencakar langit dan lanskap moden, sat yang wajar dirakam jika anda di KL. - Foto: ANNICE LYN
Sama ada anda penduduk tempatan atau pelancong, Pusat Bandar Kuala Lumpur sentiasa ada sesuatu untuk anda terokai. Setiap kali melihat lorong yang menarik, bangunan yang megah berdiri tinggi dan lanskap moden yang mengagumkan, spontan anda akan mencapai telefon atau kamera dan “membekukan” saat fotogenik ini, untuk disimpan dalam kenangan digital.

Walaupun mudah untuk menghargai keindahan Kuala Lumpur, namun anda mungkin perlu berusaha sedikit untuk merakamkan keindahan kota yang sebenar. Ini membawa WarisanKL.com untuk menemubual lima jurugambar daripada pelbagai bidang - Annice Lyn, Muhammad Zairul Mohd Puad, Mohd Shahril Fawzy (Pojie), Jeffrey Lim Jew Chin dan Alia Soraya Feizal - masing-masing dengan misi untuk merakam dan mentafsir semula kota ini dengan cara mereka yang tersendiri.
Jurugambar dokumentari dan wartawan foto, POV Annice Lyn’s
“Saya sering tertarik kepada subjek dan saat yang berada di persimpangan antara identiti, budaya dan keadilan sosial – sama ada dalam dunia sukan, krisis kemanusiaan atau komuniti yang kurang mendapat perhatian.”

Annice Lyn
Sejak 2017, Annice Lyn (33) telah menggunakan fotografi sebagai bahasa visual untuk dokumentasi dan menekankan isu sosial, terutamanya buat mereka yang tidak dibela dan mendapat keadilan. Dikenali melalui karyanya bersama Getty Images, lensanya sama ada berada di barisan hadapan acara sukan antarabangsa atau dalam komuniti terpinggir, berpaksikan niatnya untuk menyampaikan maklumat, membangkitkan empati dan meningkatkan kesedaran melalui penceritaan.

Dilahirkan dan dibesarkan di KL, hatinya mula tersentuh apabila memikirkan betapa dirinya begitu sebati dengan kota ini. Dia akui, Ia datang daripada perkara-perkara kecil, daripada bau pasar pagi yang sering dikunjunginya bersama ibu dan neneknya semasa kecil, kepada rentak waktu puncak serta ruangan tenang kehidupan komuniti di celah-celah kesibukan bandar. Namun begitu, pandangannya terhadap KL berubah sebaik sahaja dia mengangkat kameranya.

“Apa yang membentuk pandangan awal saya terhadap bandar ini bukan sekadar langit atau mercu tandanya, tetapi juga rakyatnya; kisah harian yang terungkap di warung kopitiam, lorong-lorong dan kaki lima. Dua sudut KL yang cukup menarik: ia bergerak pantas dan sentiasa berubah, namun tetap berakar dengan warisan dan budaya. Lama-kelamaan, pusat bandar ini menjadi lebih daripada sekadar latar belakang – ia adalah subjek yang hidup dan bernafas dalam banyak kisah saya,” katanya.

Lokasi kegemaran Annice untuk merakam detik kota yang tak mungkin dilupakan:
“Saya suka Jambatan Pejalan Kaki Masjid Jamek, berjalan menyusuri River of Life. Pemandangan di situ, tempat warisan bandar dan latar langit moden bertemu, terutamanya pada waktu senja, menawarkan kontras yang unik, tenang namun penuh kekuatan. Ia adalah salah satu tempat yang mengingatkan kita bahawa KL sentiasa berdialog antara masa lalu dan masa depannya.

“Untuk sesi fotografi potret atau suasana kota, saya cadangkan pergi terokai kawasan Jalan Tun H.S. Lee, lorong-lorong belakang yang menarik di Petaling Street, atau kawasan sekitar LOKL Coffee Co, Timothy Café dan Light Capture Cafe. Kawasan ini mempunyai cahaya semula jadi yang cantik, dinding-dinding bertekstur dan rentak yang terasa intim dan sinematik, latar yang sempurna untuk merasai jiwa yang penuh lapisan di KL melalui lensa.”

Tips Annice:
1: Cahaya adalah segalanya – pelajari cara untuk menggunakannya, bukan melawannya.
Semua orang sukakan waktu emas (kira-kira sejam selepas matahari terbit atau sebelum matahari terbenam, apabila cahaya lembut, hangat dan menyanjung subjek), tetapi walaupun ketika cahaya tengah hari yang terik, anda masih boleh manfaatkannya: cari bayang-bayang, tekstur atau cahaya yang ditapis (melalui pokok atau tingkap). Jangan takut untuk bereksperimen – matahari boleh menjadi alat kreatif terbaik anda.

2: Gunakan pantulan dan bingkai semula jadi.
KL dipenuhi lopak air, tingkap kaca dan permukaan berkilat yang boleh menghasilkan pantulan yang menarik. Anda juga boleh gunakan pintu, lengkungan atau tumbuhan untuk membingkai subjek dan menambah dimensi. Kamera terbaik ialah yang ada di tangan anda – sama ada telefon, digicam atau DSLR – yang penting bukan apa yang anda guna, tapi bagaimana anda melihatnya.

Lihat KL dengan lebih lagi menerusi kehalusan mata Annice, dan hubungi beliau diInstagram.
Pencipta Kandungan dan blogger, POV Mohd Shahril Fawzy (Pojie)’s:
“Saya tak gemar mengarah subjek, saya lebih suka detik yang spontan dan suka merakam emosi.”

Pojie
Mohd Shahril Fawzy (33), yang lebih dikenali sebagai Pojie, memulakan perjalanan fotografinya sejak berumur 16 tahun, merakam gambar-gambar rawak menggunakan kamera kecil yang dipinjam daripada kakaknya. Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah, pencipta kandungan sepenuh masa ini – yang kini berpangkalan di Kuala Lumpur – menghasilkan foto dan video yang mampu membawa penonton “melancong” ke tempat-tempat ajaib dari keselesaan rumah sendiri. Dengan pengkhususan dalam gaya hidup dan pelancongan, Pojie telah diberi peluang untuk mengenali dan menghargai pelbagai negara – namun Malaysia tetap paling dekat di hatinya – melalui kerjaya yang diceburinya. Sentuhannya dekat dan selesa dalam menyampaikan pengalaman pelancongan telah menjadi identiti seni tersendiri buat dirinya.

Pojie secara jujurnya berkongsi bahawa keinginannya untuk benar-benar mengenali KL hanya timbul semasa pandemik COVID-19. Menerusi pelbagai tugasan, dia perlahan-lahan menyedari bahawa kota ini menawarkan lebih daripada sekadar Menara Berkembar Petronas dan Menara KL. Perjalanan yang tidak dirancang ini membawanya untuk merakam emosi sebenar yang wujud di sebalik hutan konkrit, dan menyelami lapisan warisan yang rumit dan tersirat di jalan-jalan bandar. “KL ialah gabungan menarik budaya, sejarah, manusia dan makanan yang penuh warna-warni,” katanya ringkas.

Lokasi rahsia Pojie untuk gambar kota yang menakjubkan: “Tempat letak kereta di kolam renang Stadium Chin Woo! Pemandangan dari atas sangat mengagumkan, terutamanya ketika matahari terbenam. Anda juga boleh lihat kereta api melintas – sangat menarik.”

Tips Pojie:
1: Fahami dari mana datangnya cahaya.
Cahaya membantu mencipta kedalaman dalam gambar anda dan mengelakkan subjek daripada kelihatan mendatar dan membosankan.

2: Jika boleh, sentiasa ambil gambar dalam format RAW.
Dengan cara ini, anda menyimpan data penuh imej, menjadikannya lebih fleksibel untuk disunting (dari segi warna, imbangan putih, kecerahan dan sebagainya).

3: Hidupkan garisan grid!
Ia membantu anda mendapatkan komposisi gambar yang baik dan juga memudahkan penempatan subjek secara kreatif dalam rakaman anda.

Selami dunia Pojie melalui lensanya di Instagram.
Artis Fotografi dan pekerja budaya, POV Jeffrey Lim’s
“Saya nak belajar seni fotografi di bilik gelap sebagai kesinambungan kepada warisan foto hitam putih, dan mendokumentasikan naratif masa kini.”

Jeffrey Lim

Seniman visual Jeffrey Lim Jew Chin (47) memulakan projek fotografi Kanta pada tahun 2012 dengan membina kamera kotak menggunakan bahan buangan dan terpakai, sebelum mula mengambil potret masyarakat bandar pada awal tahun 2014. Seorang yang gemar menyelami pelbagai projek seni sosial, portfolio Lim turut merangkumi kerja advokasinya dalam dunia basikal (“Projek Peta Berbasikal Kuala Lumpur”), inisiatif bandar (seperti laporan “Menambah Baik Jalan-Jalan di Pusat Bandar Kuala Lumpur”), serta usaha pendokumentasian warisan budaya. Kini, Lim sedang membangunkan Kanta.Studio sebagai studio potret yang menghasilkan foto cetakan perak secara manual, berpusatkan kamera studio antik yang telah dipulihkan – sebuah warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti studio tersebut.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Lim mengimbas kenangan awalnya: “Memori pertama saya tentang bandar ini umpama gulungan filem bergerak dari tingkap bas ketika ayah membawa saya berjalan. Kami akan singgah di kopitiam, kedai chapati dan pasar basah di sepanjang jalan yang penuh dengan kulit siput. Beberapa kisah paling saya hargai – yang kemudiannya mencetuskan keinginan mendalam untuk menyelami semula KL – datang daripada zaman remaja ayah sendiri: berjalan di atas landasan kereta api untuk ke High Street School … sekolah pertama yang dibina di Kuala Lumpur, yang sebahagiannya masih berdiri di hujung Jalan Tun HS Lee. Ayah juga pernah bekerja di kaunter depan Hotel Keretapi di Stesen KTM lama.”

Bagi Lim, Kuala Lumpur ialah “sebuah bandar yang terdiri daripada ‘bandar-bandar kecil’ – tenunan komuniti yang masing-masing dibentuk oleh perubahan masa. Ia cukup kecil untuk menyimpan rahsia dan kelompok mikro-etnik, namun cukup besar untuk memberi ruang kepada ramai untuk berkembang. Budaya bersilang, identiti bergabung, dan kepelbagaian membentuk kehidupan seharian kota ini.”

Cadangan Lim adalah untuk merakam kota dari perspektif berbeza:
“Ini bukan perkara yang mudah bagi saya, kerana saya lebih cenderung kepada subjek dokumentari sosial. Tetapi jika saya menggunakan kamera untuk tujuan dokumentasi, saya akan memberi tumpuan kepada corak sosial, amalan budaya, isu-isu masyarakat dan kajian tipologi. Anda boleh temui lorong-lorong dan laluan kaki lima yang memenuhi keperluan komuniti, membina sejarah dan naratif tersendiri.

Kita adalah sebuah kota yang namanya sendiri berakar daripada sungai. Sebagai seorang pencinta alam sekitar, saya akan menelusuri dan mengikut laluan sungai, kadangkala hingga ke puncanya, mendokumentasikan hubungan antara alam semula jadi dan binaan persekitaran. Menerusi kajian saya terhadap peta lama dan rujukan berkaitan sungai, saya telah memetakan aliran air yang terlupa atau tersembunyi, sambil mengumpul data sepanjang perjalanan.”

Tips Lim:
1: Tunggu saat ‘magic hour’.
Ia merujuk kepada waktu subuh dan senja – saat matahari terbit dan terbenam, apabila cahaya memancar dengan sinar yang begitu indah. Warna matahari pada waktu ini mencipta latar yang dramatik dan berwarna-warni untuk foto.

2: Cipta garis panduan, bagi mudah diikuti mata.
Menggubah foto anda dengan garis perspektif secara semula jadi akan menarik pandangan mata penonton merentasi bingkai gambar, mewujudkan kedalaman dan rasa pergerakan yang menghidupkan foto tersebut.

3: Percaya gerak hati anda.
Kita sering menganggap fotografi sebagai sesuatu yang sangat teknikal. Memang betul, aspek teknikal itu penting, tetapi keupayaan untuk mengikut gerak hati juga penting. Intuisi visual adalah sesuatu yang perlu kita latih dan belajar untuk percaya.

Ingin tahu projek terkini Lim? Lihat hasil karyanya dan hubunginya di Instagram.

Kreativiti pelbagai bidang, POV Alia Soraya Feizal’s
“Fotografi membantu saya mengenal pasti dan membentuk citarasa estetik saya. Ia menjadi sebahagian daripada cara saya melihat sesuatu, bagaimana saya memberi fokus dan membentuk apa yang benar-benar ingin saya lakukan.”

Alia Soraya Feizal

Baru berusia 29 tahun, Alia Soraya Feizal mula menceburi bidang fotografi ketika awal 20-an semata-mata kerana minatnya yang mendalam terhadap seni ini, terutamanya fotografi fesyen, yang dipelajarinya sebagai sebahagian daripada pengajian ijazahnya. Lama-kelamaan, karyanya berkembang kepada pelancaran Mulazine Magazine (di mana dia merupakan Ketua Editor majalah digital tersebut), dan kini dia juga mengajar subjek fesyen di Raffles College KL. Alia berkata, “Ia merupakan gabungan minat saya dan saya cukup bertuah kerana dapat melakukannya sepenuh masa, menggabungkan kerja fotografi dengan peranan sebagai pendidik.”

“Bagi saya, KL bukan sekadar sebuah kota. Ia terdiri daripada momen-momen kecil yang berlapis mengikut waktu. Terasa dekat, berselerak, penuh nostalgia – dan entah bagaimana, ia sentiasa berjaya menarik saya kembali,” ujar Alia tentang bagaimana dia mula diperkenalkan dengan bandar ini. “Ia bermula darii ibu bapa dan mak cik saya sebenarnya. Kami memang orang bandar. KL bukanlah tempat yang jauh atau asing, ia adalah tempat di mana kehidupan berlaku. Dulu, ibu sering bawa saya ke Petaling Street dan kawasan lain di bandar untuk cari kain. Sampai sekarang pun kami masih pergi ke kedai yang sama, Isetan di Lebuh Pudu. Pelik tapi cantik, bagaimana ada tempat yang kekal sama seperti kapsul masa. Dan ada juga kenangan kecil, seperti masa saya dan adik perempuan beli plak kayu di Pasar Seni dan hias nama kami dengan pen penanda neon. Masa tu, rasanya macam benda paling ‘cool’ di dunia.”

Pengalaman wajib Alia di kota – lengkap dengan tip:
1
: Untuk makanan, saya cadangkan singgah di Jalan Alor atau Cozy House di Great Eastern Mall. Kalau anda berada berdekatan Taman Tasik Perdana, cuba jalan kaki di sepanjang Jalan Tanglin – ia dipenuhi dengan bangunan era kolonial dan mempunyai suasana yang hampir sinematik, terutamanya pada pagi hujung minggu.

2: Jika anda minat fotografi atau sekadar mahu merasai rentak perlahan kota, bawa kamera filem dan jelajah sekitar Lorong Bellamy. Ia hanya beberapa minit dari Lake Club, dan terasa seolah-olah tempat itu telah dilupakan oleh masa – banglo lama, kehijauan yang rimbun dan elemen usang yang cukup untuk menjadikannya terasa ‘real’.

Lihat dunia melalui lensa Alia dan hubunginya di Instagram.

Jurugambar/ Pencipta Kandungan, POV Muhammad Zairul Mohd Puad’s
“Saya gemar menangkap detik dengan teliti yang orang sering terlepas pandang setiap hari. Matlamat saya adalah untuk tunjukkan kecantikan pada benda biasa dan menceritakan dari sudut yang unik.”

Muhammad Zairul Mohd Puad

Muhammad Zairul Mohd Puad (36) mungkin seorang yang tidak banyak berkata-kata, tetapi hasil rakaman landskap kotanya yang seakan tidak benar mampu berbicara dengan begitu jelas. Anda mungkin pernah melihat hasil karyanya tanpa anda sedari, visualnya yang berani dan berjiwa patriotik sering tular di media sosial. Berpangkalan di Kuala Lumpur, Zairul mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam industri kreatif, dan sejak tahun 2022, kerjayanya sepenuh masa turut diperkukuh dengan minat yang semakin mendalam dalam penciptaan kandungan.  

Tidak sanggup menukar bidang ini dengan apa pun, beliau berkongsi: “Apa yang paling saya hargai tentang perjalanan dalam fotografi ialah proses pembelajaran yang berterusan – memperhalusi kemahiran dan merakam momen bermakna yang menyampaikan cerita.”

Zairul sangat mengenali kota ini – dari lokasi tumpuan dan sudut menarik untuk diterokai, hinggalah ke teknik yang tepat untuk menangkap tumpahan cahaya ketika waktu emas. “Sebagai jurugambar landskap bandar, saya suka bagaimana bandar ini menggabungkan bangunan bersejarah dengan kehidupan moden. Saya tak pernah kehabisan cara baru untuk merakam ceritanya yang unik – berkat bentuk, cahaya dan pemandangan yang begitu kaya,” katanya.

Pengalaman pilihan Zairul di kota ini
“Jika saya ada masa satu jam untuk bawa pelawat melihat KL, besar kemungkinan saya akan bawa mereka ke Bukit Ampang untuk menikmati pemandangan matahari terbenam yang berlatar belakangkan langit KL.”

“Untuk kebanyakan rakaman landskap bandar, rahsianya adalah, datang pada pagi hujung minggu ketika matahari terbit. Sejam sebelum matahari terbenam juga beri kesan yang hampir sama. Inilah waktu-waktu di mana cahaya semula jadi menjadi lebih lembut dan hangat – menjadikan segalanya kelihatan lebih menarik. Apa yang buat lokasi ini istimewa ialah jalan lurus yang menuruni bukit – ia mencipta ilusi seolah-olah jalan itu terus menuju ke Menara Berkembar Petronas, walaupun sebenarnya ia tidak begitu dekat.”

“Juga, hidupkan garisan grid dalam kamera anda – letakkan subjek anda (sama ada bangunan atau manusia) di sepanjang salah satu garis atau di titik persilangan untuk menghasilkan foto yang lebih seimbang. Teknik visual ini sangat mesra sebagai permulaan, tetapi hasilnya seperti foto profesional.”

“Saya juga sangat mengesyorkan Taman Tugu, laluan hutan bandar yang penuh kehijauan, terletak bersebelahan Taman Botani Perdana. Ia percuma, tenang, dan memberikan rasa ‘tak sangka ini masih KL’.”

Tinjau hasil ciptaan Zairul dan hubunginya di Instagram.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2